Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Aku Seorang Drebar Spy (Fragmen 5)

BISIK, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

SEBAIK sahaja Fariz muncul di muka pintu, Tuan Aziz terus menggamitnya. Dengan perlahan dia melangkah masuk ke bilik bosnya. Hatinya berasa lega kerana Tuan Aziz tersenyum senang. Ada gambaran gembira di wajah bosnya berikutan dengan kemunculannya.

“Terima kasih Fariz. Terima kasih kerana ambil keputusan yang tepat untuk terus bersama BISIK,” ujar Tuan Aziz dengan rasa bangga.

Fariz hanya tersenyum. Percutian seminggunya benar-benar melegakan fikirannya. Berehat di rumah nenek di kampung yang damai benar-benar merehatkan. Dia dapat bermuhasabah diri dan memandang jauh ke hadapan. Namun peristiwa di Thailand itulah yang membuatkan dia berasa teruja untuk terus berkhidmat dengan BISIK.

Seminggu lalu, dia tidak yakin dengan diri. Tidak tahu apakah dia layak menganggotai BISIK. Kelembapannya membuat keputusan telah mengakibatkan kematian rakan sejawatnya. Namun pemergiannya ke Thailand untuk membantu seorang kawan lama memberinya jawapan bahawa dia sebenarnya mampu bertindak pantas, tepat dan jitu. Dia sudah sedar, dirinya sebenarnya berani. Cuma tempohari dia tak pandai merebut peluang yang terbuka. Itulah kesimpulan yang diperoleh Fariz di hari akhir cutinya setelah menunaikan solat istikharah pada malam sebelumnya.

“Saya ada satu tugasan penting untuk awak. Tapi awak ke mana? Susah sangat nak hubungi awak.”

Soalan itu membuatkan wajah Fariz berubah. Lantas dia teringat akan panggilan dari BISIK ketika dia berada di Pulau Ko Pha Ngan. Panggilan itu tidak dijawabnya sampai ke sudah. Mungkin, Tuan Aziz sendiri yang menghubunginya tempohari!

“Saya... saya ada kat kampung...”

“Ya, ke? Awak tak ke mana-mana?” soal Tuan Aziz sambil tersenyum-senyum.

Fariz hanya menggeleng selamba. Tuan Aziz pula mengeluh dalam.

“Oleh kerana saya tak dapat hubungi awak, saya minta bilik operasi memantau lokasi awak. Dia orang dapat maklumat, awak berada di pulau Ko Pha Ngan, Thailand!”

Darah Fariz tersirap ke mukanya. Menjadikan wajahnya memerah. Sebagai orang berpengalaman, Tuan Aziz peka dengan perubahan air muka anak buahnya ini. Dia memerhati dada Fariz yang mula bergelombang menahan perasaan gabra.

“Err... saya ikut kawan saya ke pulau itu membantu urusan dia,” jawab Fariz. Dia tidak boleh berdalih lagi.

“Urusan apa?” Tersangkat kening Tuan Aziz bila bertanya soalan itu.

“Urusan peribadi.”

“Peribadi?” Tuan Aziz mengerinyutkan hidungnya tanda ragu-ragu. Namun dia tidak mahu mendesak Fariz menceritakan tujuannya ke pulau itu. “Dua hari lepas, saya terima laporan INTERPOL mengenai kematian Awut Chaovalit. Awut adalah penjenayah yang paling dikehendaki oleh pihak INTERPOL kerana aktiviti memperdagangkan manusia terutamanya kanak-kanak.

Sudah setahun INTERPOL mengekorinya hingga menghidu sarangnya di pulau Ko Pha Ngan. Mereka hampir dapat menangkapnya hidup-hidup. Tiba-tiba dia ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali. Kematiannya merumitkan siasatan INTERPOL. Jaringan aktiviti Awut terus terpadam bersama jasadnya. INTERPOL kena menyusur kembali salasilah jaringan operasi Awut. Usaha mereka setahun bagai sia-sia. Now, they are back to square one!”

Fariz diam sediam-diamnya. Tidak berani menentang wajah bosnya. Dia khuatir, andainya dia bertentang mata dengan Tuan Aziz, orang tua itu akan dapat membaca yang dia terlibat dengan pembunuhan itu. Dari perlakuan Fariz, Tuan Aziz mula berasa anak muda itu menyembunyikan sesuatu darinya.

“Awak ada di pulau itu. Awak tak ada dengar ke berita mengenai pembunuhan Awut Chaovalit?”

Fariz hanya menggeleng. Secara spontan, bibirnya dikatup rapat-rapat. Takut terloncat sesuatu jawapan yang akan berlanjutan menjadi soalsiasat pula. Berbohong memang sukar. Meskipun dia dilatih untuk menyimpan rahsia, namun pembohongan yang ini bukan mengenai tugasnya. Ia soal peribadi.

“Alright. I’m giving you the benefit of the doubt. Kita lupakan persoalan itu. Saya tak akan soal lagi hal-hal peribadi awak.”

Kata-kata Tuan Aziz itu melegakan hati Fariz. Namun, satu perasaan lain pula timbul di hatinya. Dia bersyukur bila mengetahui Awut adalah penjenayah kejam. Kerana itu, tindakannya menembak lelaki itu dirasakan adil dan wajar. Justeru, dia tidak berasa terbeban kerana membunuh lelaki itu.

“Mari kita bincang mengenai tugasan baru awak.”

Kata-kata itu memadam ingatan Fariz terhadap apa yang dialami tempohari. Dia terus menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh Tuan Aziz. Lelaki itu terus memutar skrin komputer ke arahnya. Terpapar wajah seorang lelaki segak berambut ikal. Hitam rambutnya sama banyak dengan putihnya. Dia bermisai tebal. Dan dia bersongkok.

“Ini Tan Sri Daud, Pengerusi Eksekutif Globest Corporation. Awak kenal dia?”

“Ya. Wajah dia selalu muncul di TV dan akhbar,” jawab Fariz.

“Dia adalah di antara usahawan yang sedang meningkat naik di negara ini. Beliau juga punyai kepentingan perniagaan di luar negara, khususnya di Cina, India, Afrika dan negara-negara Teluk. Tugas awak adalah mengiringi dia.”

“Sebagai pengawal peribadi?” tanya Fariz.

“Tidak.”

Dahi Fariz berkerut mendengar jawapan itu.

“Bukannya jadi pengawal peribadi, tapi pemandu peribadi,” ujar Tuan Aziz sambil menguntum senyuman.

“Selain daripada itu, apa tugasan saya?” tanya Fariz, sedikit gugup. Berasa tidak teruja dengan tugasan itu. Dia mengambil keputusan untuk terus menganggotai BISIK sebagai ejen penyiasat, bukannya bekerja sebagai drebar!

“Sebagai pemandu, tentu awak akan diminta mencuci kereta, menghantarnya ke bengkel untuk dibaikpulih. Err... mungkin membawa isterinya, Salwa ke pasar...” jawab Tuan Aziz. Selamba.

Fariz terkelip-kelip mendengar jawapan Tuan Aziz. Terlintas di benaknya, apakah ini tugasan ataupun ujian? Andainya ia tugasan, tidak banyak yang dia perlu lakukan kecuali memandu. Andainya ia ujian, mengapa perlu dia dipinta menjadi pemandu peribadi orang lain? Bukankah lebih baik dia menjadi pemandu peribadi Tuan Aziz sendiri?

“Jangan banyak sangat bersoal-jawab, Fariz,” usik Tuan Aziz seolah-olah memahami apa yang bersimpang-siur di fikirannya sekarang. “Sesuaikan diri dulu dengan tugasan baru tu. Kerja tu memang membosankan. Tapi percayalah, awak melakukannya sebagai pengorbanan untuk negara!”

‘Untuk negara? Macam mana menjadi pemandu kepada seorang Tan Sri itu satu pengorbanan untuk negara?’ fikir Fariz.

Sesungguhnya bosnya ini mahu berteka-teki dengannya. Jika dilayan berfikir, menjadi semak di kepala. Biarlah dia alami sahaja apa yang mendatang kerana pengalaman itu sendiri pembawa jawapan kepada apa jua persoalan di fikiran.


SEBAIK sahaja Fariz keluar dari pejabatnya, Tuan Aziz mendail sahabat lamanya Tan Sri Daud, Pengerusi Eksekutif Globest Corporation.

Daud... anak saudara aku sanggup jadi drebar engkau,” kata Tuan Aziz sebaik sahaja fonsel diangkat. “Aku dah suruh dia datang ke pejabat kau, esok.”

“Baguslah kalau macam tu. Anak saudara kau tu dari mana?” soal Tan Sri Daud.

“Anak saudara sebelah isteri aku... budak Terengganu.”

“Dia ada pengalaman memandu, ke?” tanya Tan Sri Daud lagi.

“Dulu dia bawak ambulan Persatuan Bulan Sabit Merah...”

“Kalau macam tu, dia suka pandu laju...” ujar Tan Sri Daud, sedikit kaget.

“... tapi dia juga tau selok-belok jalan di KL, ni. Eh, kau ni banyak sangat tanyalah. Kalau engkau tak hendak, aku kensel aje!”

“Oklah, oklah... suruhlah dia datang jumpa aku, esok.”

Insya-ALLAH bersambung Rabu hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED