Globest Corporation, Kuala Lumpur
“SAYA ucapkan terima kasih
kepada Tan Sri kerana menerima idea JustWorld Foundation untuk bekerjasama
dengan Globest. Saya amat hargai niat baik Tan Sri,” puji Bruce McCallum sebaik
sahaja mereka memasuki pejabat Tan Sri Daud.
“Saya
kagum dengan idea-idea awak sebagai seorang penasihat kewangan. Dan saya takjub
dengan keupayaan JustWorld, Bruce. JustWorld bukan sahaja punyai pengalaman
sebagai penyumbang dana, malah sebagai koordinator projek yang cemerlang. Saya
tak sangka JustWorld mempunyai pelaburan yang tersebar luas di merata dunia,”
Tan Sri Daud memuji kembali.
Kedua-dua
mereka duduk di sofa. Tan Sri Daud meletakkan songkoknya di atas meja. Kemudian
menggeliat sedikit membetulkan urat sarafnya. Bruce pula meletakkan beg
kulitnya di sisi meja. Kemudian dia melonggarkan tali lehernya. Setelah
beberapa hari berlalu, Tan Sri Daud dan Bruce tidak begitu formal sangat di
antara satu sama lain kerana sudah selesa dengan kehadiran masing-masing.
Pada
petang ini, Bruce ingin mengemukakan cadangan kewangan JustWorld kepada Tan Sri
Daud. Ingin menyampaikan secara langsung kerana ingin mempengaruhi Pengerusi
Eksekutif Globest Corporation ini agar menerima cadangan dari ibu pejabatnya,
JustWorld Foundation. Dia berasa Tan Sri Daud kini sudah bersedia untuk
mendengarnya.
“When shall we start our project in Bwana?” tanya Bruce.
“We have! Sudah ada sepasukan
pakar kajibumi pertanian yang sedang menjalankan kajian untuk merangka pelan
pengairan padang pasir di sana.”
“Oh, yeah? This is news to me!”
Mata Bruce terkebil-kebil memandang Tan Sri Daud. Seperti ada sesuatu yang ingin ditanya kepada
lelaki separuh usia itu.
“Why, Bruce? Is anything wrong?”
“No. Nothing. Saya tak menyangka
pasukan Globest begitu cepat berada di negara itu. Saya ingat, Globest baru berura-ura
untuk membuat pelaburan di sana. Lagipun, sepengetahuan saya, bukan senang
hendak berurusan dengan banyak negara di Afrika. Red-tape seperti tak berkesudahan,” ujar Bruce seperti tidak
percaya.
Tan
Sri Daud tersenyum. “Dubaku. We have
Dubaku.”
“What is... Dubaku?” tanya Bruce
kehairanan.
Tan
Sri Daud tersengih pula. “Dubaku is the
name of a person. Dia adalah Pegawai
Khas kepada Ketua Setiausaha Menteri Pertanian Bwana. Dan, Dubaku adalah bekas
pelajar di Universiti Islam Antarabangsa di sini. Dia pernah menjalani latihan
amali di syarikat ini. Kini, dia adalah kontak kami di sana. Jadi, dialah yang
menyakinkan ketuanya agar kami dapat melakukan kajian dan cadangan untuk
pengairan padang pasir di negara itu.”
“Nampaknya
Globest cekap dalam lobi melobi. Tan Sri sudah melatih seorang pelobi yang
berkeupayaan,” puji Bruce.
“Maaf,
ya. Melobi bukan stail kami. Dan, Dubaku bukan pelobi kami. Dia adalah saudara
kami,” jelas Tan Sri Daud.
“Saudara?”
soal Bruce kehairanan.
“A brother in our Muslim brotherhood,”jawab Tan Sri Daud sambil tersenyum penuh erti.
Kening
Bruce terjungkit mendengar istilah itu. Lalu dia tersengih-sengih dan
terangguk-angguk tanda mengerti. Dia mula perasan yang aktiviti Globest juga
membawa agenda ukhwah Islamiah di dalam aktiviti perniagaannya.
Di
atas semangat Islamlah Globest boleh bertapak di Bwana. Sebagai negara anggota
OIC, adalah mudah Bwana mempercayai syarikat yang datang dari negara Islam.
Apatah lagi, Malaysia memang negara Islam yang terkenal. Itu memang dijangka
oleh mereka di ibu pejabat Bruce di JustWorld Foundation. Mereka juga mahukan
Bruce menyelidik dan mengesahkannya.
“Muslim brotherhood. Saya
mengerti dengan semangat agama yang dibawa. Ada banyak syarikat yang dianggotai
oleh penganut agama Kristian bergerak di atas semangat agama. Begitu juga
dengan syarikat-syarikat yang dipunyai oleh penganut agama Yahudi. Orang Jepun,
orang India dan tentu sekali orang-orang Cina pula kebanyakannya pula bergerak
atas semangat bangsa.
Saya
fikir, kepelbagaian semangat samada semangat beragama, bangsa atau nasionalisma
adalah faktor ‘X’ yang mendinamiskan ekonomi dunia. Cuma kami di JustWorld
bertindak melangkaui kepentingan agama, bangsa dan juga negara. Buat kami,
kemanusiaan itu lebih utama. Sebab itulah saya ingin berkongsi dengan Tan Sri
gagasan yang kami bawa.”
Tanpa
dipinta, Bruce mengambil begnya lalu mengeluarkan sebuah dokumen yang sudah
siap dijilid dan diserahkan kepada Tan Sri Daud.
“Ini
kertas cadangan dari JustWorld. Saya baru dapat dari kurier pagi tadi.”
“Apa yang
ada di dalamnya?” tanya Tan Sri Daud. Dia kelihatan tertarik lalu membeleknya.
“Hmm... tampak menarik.”
“Tan
Sri perlu menjadi orang yang pertama melihat cadangan pakej kerjasama kami.
Setelah yakin dengan tawaran kami barulah Tan Sri dikemukakan pada mesyuarat
Lembaga Pengarah esok.”
Tan
Sri Daud meneliti kertas cadangan itu halaman demi halaman. Melihat foto,
ilustrasi dan rajah pelan pembangunan prasarana di Bwana. Semakin lama dia kian
tertarik dengan apa yang dicadangkan oleh JustWorld. Dia juga meneliti carta
yang mengandungi belanjawan projek raksaksa yang dicadangkan. Akhirnya lelaki
itu menutup kertas cadangan itu. Lalu dia menarik nafas yang dalam. Berasa
teruja dan bersemangat dengan apa yang ditatapnya. Hatinya berasa seronok
andainya apa yang dicadangkan itu menjadi kenyataan. Namun kos yang
diperuntukan tidak terjangkau akalnya.
“1.5
bilion dolar Amerika. Itu hampir 5 bilion ringgit duit kami. Walaupun kosnya
dibahagi dua, ia masih besar. Saya tak
fikir Globest mampu. Syarikat kami kecil, Bruce. Lagipun, kami hanya ingin
membina projek pengairan padang pasir.
Sedangkan
anda hendak membina separuh wilayah utara Bwana. Anda hendak bina lebuhraya,
kawasan pertanian, penyulingan air laut,
loji elektrik dan bandar raya. Kami tidak terfikir hingga ke situ
meskipun untuk 5 tahun akan datang.”
Bruce
tersengih mendengar komen Tan Sri Daud.
“Ia
kecil kalau dibahagikan pada 15 tahun, Tan Sri. Kami di JustWorld hanya
inginkan satu pertiga dari keuntungan iaitu 33 peratus sahaja. Kami juga yang
akan sediakan dana. Bukankah saya pernah katakan yang kami melabur untuk
kemanusiaan?
Dan
kami juga punyai pasukan sepasukan pakar perunding dan jurutera yang
berpengalaman dari pelbagai bangsa. Tengoklah rekod kami di Afrika sahaja
seperti di Libya, Mesir, Nigeria dan Uganda. Kami boleh bekalkan kepakaran ini.
Semuanya ditanggung oleh JustWorld.
Maknanya,
JustWorld menanggung keseluruhan kos pasukan kami. Tetapi dari segi keuntungan,
Globest menerima lebih daripada kami.”
“Tapi,
JustWorld memperoleh keuntungan daripada kadar faedah pinjaman,” Tan Sri Daud
berhujah.
“Empat
peratus adalah kadar faedah yang kecil, Tan Sri. Globest hanya menerima
keuntungan bersih setelah ditolak pembahagian keuntungan dan kadar faedah.”
Bruce bertutur dengan penuh semangat.
“Tawaran
JustWorld memang menarik. Cuma kami hanya ada projek kecil di Bwana. Projek
yang awak cadangkan memerlukan perundingan dan kelulusan yang lain. Nampaknya
kami kenalah berunding dengan pegawai yang lebih tinggi jawatannya dari
Dubaku.”
“Tak
perlu, Tan Sri. Kami ada kontak dengan pihak yang lebih berkuasa.”
“Siapa?”
tanya Tan Sri Daud ingin tahu.
“General
Gubamba, Presiden Bwana sendiri!”
Tan
Sri Daud tersandar lega dengan apa yang didengarnya. Tawaran yang dikemukakan
Bruce terlalu menarik. Ia adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh
dilepaskan begitu sahaja. Namun, hati kecilnya tertanya-tanya, jika JustWorld
sudah punyai kepakaran taraf dunia dan perhubungan dengan Bwana hingga ke
peringkat Presidennya, mengapa mereka perlu mengajak Globest untuk menjalankan
usaha sama?
“Apa
yang Tan Sri fikirkan?” soal Bruce seolah-olah dapat mendengar bisikan hati
lelaki itu.
“Ah,
tidak ada apa-apa,” jawab Tan Sri Daud sambil tersengih-sengih kerana tidak
mahu menceritakan detik hatinya.
“Deal?” tanya Bruce seraya menghulurkan
tangan.
“Deal!” jawab Tan Sri Daud lalu
mereka pun berjabat erat.
Di
antara kedua lelaki itu, Bruce lebih gembira kerana projek bernilai 1.5 billion
itu bakal memberinya komisyen 0.05 peratus atau US750,000 dalam tempoh lima
tahun atau US150,000 setahun sebaik sahaja perjanjian dimeterai. Setelah itu
dia akan berangkat ke mana-mana negara lain untuk menawarkan projek-projek mega
dengan komisyen yang berlipat ganda. Inilah agenda peribadinya.
PEJABAT sudah sunyi. Siti pun sudah pulang. Tinggal Fariz sahaja di mejanya. Melayari internet sambil
menanti Tan Sri Daud yang berbincang dengan Bruce untuk membawa majikannya itu
pulang. Seketika kemudian dia nampak kelibat Bruce McCallum yang baru keluar
dari bilik Tan Sri. Dia sengaja tidak mahu mengangkat wajah seolah-olah tidak
menyedari akan kehadiran lelaki itu. Dari ekor matanya, Fariz perasan Bruce sedang memandang sambil menapak
perlahan-lahan ke arahnya. Lelaki mat salih itu kedengaran bernyanyi-nyanyi kecil.
‘Pasti
ada sesuatu yang menggembirakannya setelah bertemu Tan Sri Daud,’ fikir Fariz.
“Tak
balik lagi?” tegur Bruce.
“Saya
tunggu Tan Sri,” jawab Fariz. Matanya masih tak lari dari skrin komputernya.
“Oh...
saya tak ingat ia tugas awak. Err... dia ada program, malam ini?” soal Bruce.
“Setahu
saya tak ada,” jelas Fariz.
“Kalau
begitu, awak free malam ini, kan?”
Pertanyaan
itu membuatkan Fariz memandangnya. Ingin
tahu apakah maksud Bruce.
“Saya
dengar di KL ni ada satu tempat bernama Skyhill Club. Boleh awak bawa saya ke
sana?”
“Boleh juga. Bila saya boleh datang ke tempat
Bruce?”
“10.00
malam. Fariz temankan saya, ya?” kata
Bruce lalu meminta diri.
Fariz beristighfar di dalam hati. Dia tersenyum
tawar bila mengingatkan nama kelab yang disebut Bruce. Skyhill bukan kelab
biasa. Ia adalah kelab eksklusif yang terkenal sebagai sebuah kelab gay. Namun,
demi tugas, terpaksalah dia menemani lelaki mat salih itu.
“Fariz.
Jom kita balik,” kata Tan Sri Daud yang baru muncul dari biliknya.
“Ya,
Tan Sri.”
Fariz menutup komputer, mengemas mejanya dan
bingkas bangun.
“Tolong
tutup lampu di bilik Bruce tu,” perintah Tan Sri Daud.
Fariz mengganguk dan terus ke pejabat Bruce. Lalu
menutup lampu di bilik itu. Sebelum melangkah keluar dan merapat pintu, dia
mencabut sebuah alat kecil sebesar tudung pen di belakang komputer Bruce lalu
disisip ke poket bajunya.
Ia
adalah alat yang merekod aktiviti komputer. Fariz akan dapat mengesan setiap laman yang
dilayari, setiap emel yang masuk dan keluar, malah setiap aksara yang ditaip di
papan kekunci komputer itu.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...