Pusat Perubatan Damansara One, Petaling Jaya
FARIZ sedang membaca majalah bila kedengaran bunyi
beberapa tapak kaki menghampiri. Sebaik sahaja mengangkat kepala, dia
terpandang Tan Sri Daud bergegas berjalan menghalanya. Dia tampil beriringan
dengan seorang wanita separuh usia dan seorang lelaki berjubah putih. Wanita
itu adalah Puan Sri Atika, isteri Tan Sri Daud dan lelaki itu pula seorang
doktor. Bruce McCallum mengekori. Tubuhnya yang tinggi membuatkan dia mudah
dilihat walaupun dia berjalan di belakang mereka. Lelaki itu mengangkat tangan bila
terpandang Fariz.
“Ryna ada kat dalam, Tan Sri,” ujar Fariz sebaik sahaja mereka bersalaman.
Puan Sri Salwa segera menerpa masuk ke dalam wad diikuti
oleh Tan Sri. Ketika berdiri berdekatan, Bruce sempat berbisik pada Fariz,
“Saya dengar, awak kalahkan tiga orang peragut. Awak seorang yang hebat!”
Fariz hanya menjawab kata-kata itu dengan seulas
senyuman. Tidak mahu memberi apa-apa reaksi kerana tidak ingin identiti sebenar
dirinya diketahui.
“Biarkan
dia tidur,” cadang Tan Sri sebaik sahaja terpandang Faryna sedang lena. Tidak
mahu rehat anak bongsunya itu diganggu oleh sesiapa.
“Macam
mana dia, doktor?” soal Puan Sri Salwa sambil mengusap pipi anaknya yang
membiru.
Fariz nampak wajah isteri majikannya itu diselaput
bimbang. Kerut di dahinya tidak mengendur sejak tiba ke mari. Bimbang seorang
ibu sentiasa berlebih-lebihan terhadap anaknya. Dari kecil sehingga dewasa.
“Ryna tak
apa-apa. Hanya terkejut sedikit,” jawab doktor itu.
“Bila dia boleh balik?” soal Puan Sri
seolah-olah mendesak.
“Kalau
tak ada apa-apa, esok pagi pun boleh keluar dari wad,” kata lelaki itu.
“Mama...” rengek Faryna.
Perbualan
mereka membuatkan Faryna tersedar. Tangannya didepang minta dipeluk. Puan Sri
segera menerpa. Memeluk dan mencium ubun-ubun, dahi dan pipi anaknya dengan
penuh kasih. Air mata kedua-duanya merembes. Mereka yang lain hanya membiarkan
dua orang wanita itu melepaskan kebimbangan. Buat beberapa ketika suasana
menjadi hening.
“Fariz yang selamatkan Ryna...” kata Tan Sri Daud. “Ryna
dah ucapkan terima kasih pada Fariz ?”
Faryna
hanya membisu.
“Ryna...”
Tan Sri Daud bersuara untuk menekankan sikap beradab kepada anaknya.
“Sudah.
Ryna dah ucapkan tadi,” gadis itu bercakap tanpa memandang sesiapa.
Tan
Sri mengeluh. Sebagai orang tua, dia dapat mengagak yang anaknya itu berbohong.
Namun dia tidak mahu memaksa. Cukuplah sekadar mengingatkan. Mudah-mudahan satu
hari nanti Faryna akan berubah kembali. Menjadi gadis yang tertib, berbudi dan
berbahasa.
“Apa
khabar Ryna?” tanya Bruce yang sejak tadi hanya mendiamkan diri.
“Okey.
Tak ada apa-apa. Sebenarnya saya tak takut sangat masa kejadian tu. Saya pitam
tadi pun, sebab cuaca panas sangat,”
jawab Faryna lalu tersengih-sengih. Menceritakan situasi yang dialaminya
walaupun tidak ditanya. Kata-kata Faryna itu membuat air muka Fariz berubah. Dia tahu gadis itu pengsan kerana
lemah semangat.
“Err... saya tunggu di luar saja, Tan Sri.
Telefon saya bila Tan Sri hendak balik ke pejabat. Nanti saya bawa kereta ke
depan hospital,” kata Fariz. Dia sengaja hendak menjauhi bilik ini kerana
berasa tidak selesa dengan perangai Faryna.
“Hmm...
awak baliklah dulu, Fariz. Puan Sri akan bawa saya dan Bruce balik ke ofis
sebentar lagi,” kata Tan Sri Daud.
Apabila
Fariz melangkah keluar, Tan Sri Daud dan
Puan Sri Salwa saling berpandangan. Mempamerkan reaksi kurang senang mereka ke
atas apa yang dituturkan Faryna. Namun, oleh kerana Bruce ada di situ,
kedua-dua mereka tidak jadi menegur perangai anak gadis mereka.
BARU sahaja Fariz hendak menghidupkan
enjin kereta, di kawasan parkir di bawah bangunan pusat perubatan itu, dia
terpandang kereta di hadapannya mengelip-ngelipkan lampu. Fariz memerhati ke kerusi pemandunya. Wajah Tuan
Aziz kelihatan tersenyum. Lelaki itu mengamitnya agar memasuki kenderaannya.
“Macam
mana dengan kerja baru awak?” tanya Tuan Aziz sebaik sahaja dia duduk
bersebelahan dengan lelaki itu.
“Okey
saja, Tuan. Tak ada masalah,” jawab Fariz. Sengaja tidak mahu menceritakan
masalah perhubungannya dengan Faryna. Atau sebenarnya, masalah perhubungan
Faryna dengannya.
“Saya
baru dapat lampu hijau dari PM,” kata Tuan Aziz.
Fariz hanya mengangguk. Namun memasang telinga untuk
meneliti apa yang akan disampaikan oleh bosnya.
“Dia
beri kebenaran agar saya terus menyiasat mengenai satu kes.” Kali ini Tuan Aziz
memandang tepat ke arahnya. Bagai mengisyaratkan bahawa apa yang akan
disampaikannya amat penting. “Kes ini ada kena mengena dengan Bruce McCallum.
Mulai saat ini saya mahu awak perhatikan Bruce McCallum. Dapatkan segala
maklumat mengenai aktivitinya. Dan yang paling penting... dapatkan maklumat
komunikasinya dengan ibu pejabatnya di Amerika.”
Pelbagai
imej mengenai Bruce McCallum bersimpang siur di layar mindanya. Wajah lelaki
mat salih yang tinggi itu, dengan subangnya, perawakannya yang tenang, tetapi
liar matanya bila melihat sesuatu, suaranya, malah latar belakang lelaki itu
mula dihimpun kembali ke minda sedarnya. Mulai saat ini dia mesti melihat
lelaki itu dengan rasa curiga.
“Saya hendak
ke atas melawat anak Tan Sri,” ujar Tuan Aziz.
Mereka
bersalaman.
“Selamat
menjalankan tugas... ini peralatan untuk awak,” kata Tuan Aziz seraya
menyerahkan sebuah bungkusan kecil.
Fariz maklum bungkusan itu mengandungi peralatan
perisikan. Dia terus menyisipnya ke dalam poket.
“Dan,
bersabarlah dengan perangai Ryna, ya?”
Mahu
sahaja Fariz mencebirkan bibirnya. Kata-kata akhir Tuan Aziz itu lebih berat
hendak ditunaikan berbanding dengan tugasannya yang baru diterima sebentar
tadi.
Pusat Snuker Cue Ball, Bukit Bintang,
Kuala Lumpur
MEREKA yang berada di
dalam premis itu terpaku. Masing-masing berhenti bermain. Muzik yang
menghingari premis snuker itu dihentikan. Suasana menjadi hening. Dua tiga
orang daripada mereka berjalan perlahan-lahan ke arah Fariz. Ada seorang-dua
dari mereka bergerak ke belakangnya. Seolah-olah mereka sedang menyusun langkah
untuk mengepungnya.
Sedikit pun Fariz
tidak gentar. Dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kedatangannya ke
mari hanya untuk menyerahkan wang kepada Zack, teman lelaki Faryna. Memikirkan
itu, Fariz melangkah dengan yakin
menghampiri beberapa orang lelaki yang berdiri semakin merapat. Seolah-olah
membuat benteng agar dia tidak boleh melepasinya.
“Cari siapa?” soal seorang daripada mereka yang bertubuh
agam. Dia memandang Fariz dari hujung
rambut ke hujung kaki. Seolah-olah ingin menjadikan Fariz sebagai bahan santapan mereka
“Cari Zack...” jawab Fariz, tenang.
“Untuk apa?” soalnya. Suaranya semakin lantang.
“Saya bawa sesuatu dari Ryna untuk Zack!”
Kata-kata itu membuatkan mereka berpandangan sesama
sendiri. Kehairanan dan tertanya-tanya siapakah Fariz.
“Tepi!” Kedengaran satu suara dari arah belakang mereka.
Masing-masing membuka laluan. Memberi jalan kepada
seorang lelaki yang berbaju-T sendat tanpa lengan. Kelihatan lengan dan bahunya
yang berulas-ulas dengan otot. Dia berseluar kulit berwarna hitam berkilat.
Rambutnya beremos. Kelihatan seperti hero tahun 60an. Dia menapak perlahan ke
arah Fariz. Sebaik sahaja dia berada kira-kira sedepa dengan Fariz, dia menadah
tapak tangannya.
‘Oh, inilah Zack,’ kata hati Fariz .
Lalu dia menghulurkan sampul surat berisi wang itu kepada
Zack. Tanpa berkata apa-apa, juga Zack menerimanya. Lalu Fariz berpaling untuk keluar dari premis itu.
“Nanti,” kata Zack.
Fariz menghentikan
langkah lalu menoleh. Mereka bertentang mata. Namun, dia segera menekur ke
lantai. Tidak mahu tenung merenung kerana ia boleh disalah erti. Nanti panjang
ceritanya.
“Siapa nama kau?” soalnya dengan nada memerintah.
“Fariz.”
“Kenapa,
engkau tak pandang muka aku? Jijik?” soal Zack.
“Tak
apa-apa.”
“Habis,
kenapa?”
“Tak
berani.” Itu sahaja jawapan yang terpacul dari mulutnya.
“Kalau
tak berani, itu maknanya kau takutlah!” komen salah seorang dari mereka.
Fariz mengangguk spontan.
“Ha,
ha, ha!” Mereka tertawa beramai-ramai. Zack ketawa sampai terbatuk-batuk.
Fariz hanya mendiamkan diri. Bersabar
dan beristighfar melihat gelagat mereka.
“Pergilah!”
ujar Zack sambil menguiskan tangannya sebagai isyarat menyuruh Fariz berlalu.
Dengan
tertib, Fariz mengundur diri.
Meninggalkan premis yang masih riuh rendah itu.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...