Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Bersabarlah Menanti Janji ALLAH ~ Fragmen 15

Restoran Al-Muntaha, Burj al-Arab, Dubai


BURJ al-Arab atau Menara Orang-orang Arab adalah sebuah hotel mewah yang dibina oleh Said Khalil, seorang jutawan tempatan. Bangunan itu direkabentuk menyerupai sebuah kapal layar dhow, iaitu sejenis kapal layar Arab. Dengan ketinggian 321 meter, ia adalah hotel yang tertinggi di dunia yang dibina di atas sebuah pulau tiruan di pantai Jumeirah dan dihubungkan dengan sebuah jambatan bengkok ke daratan.

Malam indah yang dihiasi beribu bintang di langit menyerlahkan kehebatan bangunan ini. Kerdipan lampunya boleh dilihat dari tengah laut. Bagai sebuah kapal yang sedang meluncur dengan layar terkembang di lautan lepas. Inilah manifestasi penciptanya agar Burj al-Arab menjadi mercutanda Dubai sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif.

Khaleed al-Nahyan, anak kelahiran negara Palestin baharu sahaja menikmati makan malam di restoran Al-Muntaha. Alis matanya yang tebal serta kelopaknya yang dalam membuatkan pandangan biasanya seolah-olah seperti orang merenung. Ditambah pula dengan sikapnya yang suka berfikir, menjadikan jutawan berusia awal 30an ini kelihatan matang.

Janggut dan misainya diandam rapi. Nipis dan tidak panjang. Cukup untuk menjadikan ia identiti sebagai seorang Arab yang punyai ciri-ciri konservatif meskipun dia adalah seorang jutawan yang berfikiran yang amat moden. Kerana itu, Said Khalil, tuanpunya bangunan ini menjadikan dia sahabatnya.

Kini dia duduk tersandar memerhati rakan-rakan niaganya berbual sambil bergelak ketawa. Sesekali dia melemparkan pandangannya sesaujana mata memandang ke arah bandaraya Dubai yang boleh dilihat dari jendela restoran ini. Sesekali dia tersenyum dan tertawa perlahan kerana terhibur dengan gelagat kawan-kawannya. Itupun hanya untuk mengambil hati agar kawan-kawannya tidak berasa yang dia meluat dengan perangai mereka.

“Telefon…” bisik Akbar, pengawal peribadinya sambil menghulurkan fonsel.

“Wahai adikku Abu Afdhal,” seru Khaleed sebaik sahaja fonsel itu terlekap ke telinganya.

“Khaleed. Aku rindukan kau,” jawab Abu Afdhal separuh terjerit keriangan.

“Aku pun. Bersabarlah. ALLAH bersama orang-orang yang sabar, wahai adikku,” nasihat Khaleed.

“Ya. Aku sentiasa ingat pada ALLAH. Pada janji ALLAH. DIA bersama-sama orang yang benar.”

“Bagaimana dengan sekalian jamaah?” soal Khaleed.

“Alhamdulilah. Ahli-ahli Jemaah Intifada Sedunia kesemuanya berjihad di sepanjang masa.Cuma kita sentiasa mendapat tentangan,” jawab Abu Afdhal.

“Ya, adikku. Aku tau Gerakan Zionis Antarabangsa sentiasa membayangi setiap langkah kita. Hati-hati, adikku.”

“Insya-ALLAH, insya-ALLAH. Err… aku memanggil kerana aku perlu jumpa kau, abangku.”

Ucapan Abu Afdhal itu membuatkan Khaleed terdiam. Walaupun dia merindui adiknya, namun dia tahu bahaya yang bakal terjadi bila mereka bertemu. Rasa bimbang mula membayanginya.

“Khaleed…” ujar Abu Afdhal bila abangnya tidak menjawab.

“Emm… boleh. Kita jumpa di Malaysia.”

“Malaysia?” tanya Abu Afdhal.

“Ya, Malaysia. Negara Islam di timur yang aman. Aku rasa kita lebih selesa di sana,” jawab Khaleed dengan yakin.

“Boleh... boleh. Kita jumpa di sana,” jawab Abu Afdhal.

Khaleed memutuskan talian. Sejurus dia berpaling kepada Akbar.

“Akbar. Siapkan tiket penerbangan ke Kuala Lumpur. Aku hendak melawat tapak projek-projek usaha sama aku di sana. Aku juga nak bertemu Abu Afdhal.”

“Ya, Khaleed,” jawab Akbar. “Penginapan di hotel mana, tuan?”

“Tak perlu membazir. Aku nak menginap di rumah sahabatku, Daud Hasani.”

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED