Serene
Apartments, Kuala Lumpur
BRUCE MCCALLUM tersedar bila dia terbatuk-batuk. Tekaknya yang tersekat
menyukarkannya bernafas. Dia membuka mata. Langsung mengangkat kepala. Tidak
menyedari sejak bila dia tertidur berbantalkan lengan di mejanya.
Dia melihat komputernya yang kini berada dalam mode tidur. Baru dia tersedar yang dia
terlena kerana keletihan setelah tonggang terbalik di kelab Skyhill sebentar
tadi. Sambil berjalan ke dapur, dia berdehem-dehem. Melegakan kerongkongnya
yang masih tersekat. Pintu peti sejuk dibukanya. Seketika sahaja susu rendah
lemak mengalir dari kotak terus ke dalam tekaknya.
Sekembalinya ke komputer, dia terpandang kotak
sembang mayanya bergegar berkali-kali, menandakan ada seseorang menyigung
dirinya secara siber. Bruce meneliti nama yang terpapar di kekotak sembang
mayanya.
’Willem!’ Bruce terseru di dalam hati bila terbaca
nama itu. Lantas dia tersengih gembira kerana orang yang dinanti sudah datang
berkunjung. Seketika sahaja terpapar di skrin, wajah seorang lelaki yang
berwajah tembam dan berkaca mata tersengih lebar.
Dialah Willem, rakan baik yang bertugas di
Bahagian IT di JustWorld. Mereka berkawan sejak mereka sama-sama bekerja di Combyte
Systems. Ketika itu, mereka bertugas di unit penyelidikan dan pembangunan
syarikat itu. Bila ada peluang memperbaiki kerjaya, mereka berdua bertukar
kerja ke JustWorld.
Bagaimana pun, Bruce bertugas di Bahagian
Pelaburan kerana ingin mengaplikasi pengetahuannya mengenai perniagaan dan
Willem masih bekerja di Bahagian IT yang diminatinya. Bila Bruce bertugas di
luar Amerika, Willemlah orang yang ditugaskan JustWorld menjadi penyelaras komunikasi syarikat mereka.
“Selamat pagi! Aku tau kau tertidur. Banyak kali
aku telefon kau tapi panggilan tak berjawab,” ucap Willem.
Bruce hanya tersenyum. Minumannya terus ditunggang
hingga habis. Sisa susu yang melekat di tepi bibirnya dilap dengan belakang
tangannya.
“Kau dapat apa yang aku kirim, Willem?” tanya Bruce.
“Semuanya. Foto... fail... video... semuanya aku
dapat. Mr. Gluke Chayim gembira dengan kau. Kau pantas bekerja.” Willem
mengkhabarkan apa yang didengarnya.
“Komisyen, Willem. Komisyen. Siapa yang tak hendak
US750,000! Tapi kau sebut nama... Mr. Gluke? Dia pun ambil tahu juga apa yang
aku buat?” tanya Bruce bagai tidak percaya.
“Ya. Entah sebab apa, pagi tadi dia minta
sesalinan apa jua maklumat yang kau kirim, disampaikan kepadanya,” ujar Willem.
Bagi Bruce, tugas untuk mendapatkan maklumat
Globest adalah perkara kecil untuk diambil perhatian oleh Pengerusi JustWorld,
Gluke Chayim. Ada berpuluh-puluh lagi operasi yang dijalankan oleh
penasihat-penasihat ekonomi JustWorld di merata dunia.
“Mengapa Gluke minat sangat dengan Globest?”
soalnya.
“Manalah aku tau, Bruce,” ujar Willem sambil
mengangkat bahunya. “Itu tak mustahak. Yang penting ialah apa yang aku nak
sampaikan ni. Engkau mesti tak percaya apa yang aku nak khabarkan.”
“Apa?” tanya Bruce. Tak sabar.
Willem tersengih-sengih. Kemudian mengejipkan
matanya berkali-kali.
“Hei, cepatlah. Kau jangan main-main...”
“Aku dah berjaya meralisasikan... Silent Dead!”
tempik Willem.
“What?” Bruce bagai tidak percaya. Dahinya
berkerut. Hidungnya berkerinyut menzahirkan rasa kurang yakinnya. Wajahnya
terus dihampirkan ke skrin komputer, untuk memandang anak mata sahabatnya itu.
Seolah-olah Willem kini berada di depannya. Mana tahu, Willem sengaja melawak.
“Aku ulang... aku dah berjaya siapkan Silent Dead!
Yesss!!!” jerit Willem lalu terus
berdiri dan menari terlompat-lompat. Bruce yang mendengarnya turut berasa
teruja. Matanya membulat. Mulutnya ternganga kerana takjub. Perlahan-lahan
wajahnya pun bertukar ceria. Akhirnya dia pun berdiri dan menari sambil
bertepuk tangan meraikan kejayaan rakannya itu. Kini, kedua-dua lelaki yang
terpisah separuh benua itu menari bagai orang sewel.
“Wo, wo, wo...” kata Willem seketika kemudian lalu
mengisyaratkan agar mereka berhenti meraikan kejayaan itu. Dia duduk kembali
menghadap komputernya. Bruce turut duduk. Kini mereka saling memandang sambil
tersengih-sengih bangga.
“Tahniah, Willem. Aku bangga dengan kau. Aku
sendiri tak percaya idea itu akan menjadi realiti. Kau tau... bila kita
bertukar kerja dari Combyte ke JustWorld, aku dah lupakan idea Silent Dead.
Pada aku, Silent Dead hanyalah sebuah idea. Tapi kau tak macam aku,” kata Bruce
dengan nada serius.
“Itulah kau. Dari dulu lagi aku percayakan konsep
Silent Dead. Sebab itu aku dapat terjemahkan idea kau menjadi realiti. Kau yang
patut terima ucapan tahniah dari aku, Bruce,” jelas Willem, enggan dipuji
melangit.
Bruce hanya tersengih dan terangguk-angguk.
Kedua-duanya saling berbalas-balas pujian. Sememangnya mereka sekepala. Di
antara mereka, Brucelah yang lebih banyak berangan-angan. Willem pula jenis
ulat buku. Tidak kreatif seperti rakannya. Namun, dia handal mencari maklumat
yang diperlukan. Bila Bruce punyai idea, kepada Willemlah idea itu ditumpahkan.
Kerana kesebatian persahabatan itulah, alat canggih yang diberi nama Silent
Dead dapat diwujudkan.
“Tapi, apa yang kau nak buat dengan Silent Dead
tu?” soal Bruce.
“Gluke dah tahu tentang Silent Dead. Aku tak tau
macam mana dia dapat tahu. Semalam dia panggil aku. Dan, dia kata nak
komersialkan alat itu.”
“Wow! Tentu kau dapat naik gaji!” teka Bruce.
“Bukan setakat naik gaji, Bruce. Aku dapat peluang
untuk mengetuai projek ini. Dapat kongsi keuntungan pulak jika projek ini
berjaya!” ujar Willem dengan bangganya.
“Kau memang layak, Willem. Bezanya kau dengan
aku... aku ni suka merapu. Sebaliknya kau pragmatik. Itu sebabnya aku amat
bangga dengan kau. You’ve made it, man!”
“Apa kata kalau kita berkongsi untuk majukan
projek ini?” cadang Willem. “Kau pun memang pakar ekonomi. Kalau kau setuju,
aku akan beritau Gluke untuk masukkan sekali nama kau sebagai rakan kongsi
projek ini.”
Matanya terkelip-kelip sambil mengharap reaksi
yang menggembirakan dari Bruce. Namun Bruce hanya menggeleng. Dia menghela
nafas yang dalam. Kemudian dia mengukir senyuman.
“You go on, my friend... you
go on. Aku dah penat
terperap dalam pejabat. Biarlah aku dengan kerja aku yang macam ni. Dapat jugak
aku tengok dunia.”
“Okey... kalau kau tak mau, aku tak memaksa.
Cuma...” Willem menelan liur. Kemudian dia menggaru kepala dan meraup wajahnya.
Sesekali matanya mencuri-curi memandang Bruce. Seolah-olah ada sesuatu yang
ingin disampaikan tetapi tidak tergamak melafaznya. Ini membuatkan Bruce
tertanya-tanya.
“Engkau tau yang aku tak suka berteka-teki,
Willem. Cakaplah apa yang kau tengah fikirkan tu,” ujar Bruce perlahan.
Willem mengeluh dalam. Kemudian dia berkata, “Kau
pun tahu betapa bahayanya Silent Dead...”
Bruce terangguk-angguk. “Betul... tapi itulah
senjata, namanya.”
“Tapi senjata ini lain dari yang lain,” ujar
Willem dengan wajah yang sugul. Kegembiraannya seketika tadi sudah bertukar
wajah.
Bruce tersengih. “Senjata adalah senjata. Ia
diguna untuk mempertahankan diri, melemahkan musuh... selain membunuh.”
“Tapi Silent Dead bukan macam tu, Bruce.”
Kata-kataWillem itu membuat Bruce memandang tepat
ke arahnya.
“Kalau senjata lain, boleh juga digunakan untuk
mempertahankan diri atau melemahkan musuh, Silent Dead tak boleh diguna untuk
kedua-dua fungsi itu. Sebaliknya ia hanya punyai satu fungsi. Silent Dead tak
ada fungsi yang baik selain daripada untuk membunuh! Itu saja.”
“Kau ni penakutlah!” Bruce mengacum perasaan
Willem.
Willem menggeleng beberapa kali. “Aku bukannya
takut, Bruce. Tapi aku mula rasa bersalah bila Gluke nak komersialkan Silent
Dead. Sepatutnya idea kau tu aku ubah sikit menjadi pelali seperti stun gun yang tidak boleh membunuh.”
“Listen to me, my friend,” Bruce mencelah. “Fungsi utama senjata
adalah untuk membunuh. Kalau tidak, ia tak dinamakan senjata. Senjata diguna
untuk membunuh musuh.”
“Kau tau yang aku tak pernah membunuh manusia,
Bruce. Dan aku bencikan pembunuhan. Bila aku buat Silent Dead, aku menggalakkan
pembunuhan. Aku juga jadi pembunuh, Bruce!” Willem tergeleng-geleng kesal.
“Aku pun bertanggungjawab melahirkan Silent dead,
Willem. Tapi memang tugas kita, sebab kita pandai buat senjata. Bayangkan kalau
kita tak buat senjata semata-mata kerana takut membunuh... orang lain akan
membunuh kita dengan senjata mereka! Kalau tak ada senjata, tak ada sesiapa
yang boleh mempertahankan diri, keluarga dan juga negara.
Sebenarnya kita sedang melakukan sesuatu yang baik
untuk negara. Kita menjadi penyumbang kepada keselamatan negara walaupun
peranan kita ini kecil. Hei, berbanggalah, kawan!” kata Bruce lalu menyentuh
penumbuknya ke skrin komputer, seolah-olah sedang menumbuk secara bergurau ke
wajah Willem.
“Cool it, my Judy!” kata Bruce lagi.
Willem hanya diam. Dia mengeluh lagi.
“Ya... kata-kata kau tu betul jugak,” ujar Willem
setelah dia termenung seketika.
Bruce hanya tersenyum melihat Willem yang kini
tenang. Tetapi sebenarnya, dia tidak tahu kebimbangan sebenar yang bersarang di
fikiran sahabatnya itu.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...