Bukit Bintang, K. Lumpur
DARI stesen monorel Bukit
Bintang, Tobias menyusuri kakilima untuk mencari restoran Arabian Tent. Dia
perlu memandang dengan berhati-hati kerana di kawasan Bukit Bintang juga
terdapat pelbagai restoran Pakistan dan India selain daripada restoran Vietnam,
Cina dan Melayu.
Sekali
pandang, memang dia keliru kerana terdapat berpuluh-puluh restoran di situ. Di
hadapan Lot 10, dia terpandang Restoran Tarbush, sebuah restoran makanan
Arab-Lubnan. Setelah menyeberangi jalan, dia terpandang pula Restoran Naab,
sebuah lagi restoran masakan Arab-Iran.
Dengan
sebuah kamera digital di tangan, sekali-sekala, Tobias berpura-pura mengambil
foto agar kelihatan seperti seorang pelancong. Sekali-sakala, dia membuka
fonselnya untuk mencari tempat dituju melalui sistem GPS. Akhirnya dia nampak
pintu gerbang Ain Arabia jauh di seberang jalan.
Ain
Arabia ialah kawasan bazar untuk pelancong Arab. Sempena tahun melawat Malaysia
pada 2007, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan telah memperuntukkan
kawasan di Jalan Berangan ini sebagai tempat para pelancong dari negara Arab
membeli-belah.
Langkah
Tobias semakin pantas. Setelah melewati pintu gerbang, dia tercari-cari
restoran Arabian Tent yang dinyatakan di dalam mesej yang diterimanya. Tidak
sukar menemui restoran itu kerana ia terletak tidak jauh dari simpang jalan.
Restoran
yang berbentuk khemah itu penuh dengan pengunjung. Rata-rata mereka dari
kalangan para pelancong dari negara Timur Tengah. Dengan wajah ala-orang Arab,
Tobias mudah sahaja mendapatkan tempat jauh di sudut yang membolehkannya
melihat ke seluruh kawasan restoran.
Perutnya
terasa lapar. Lalu dia memesan salad shirazi iaitu hidangan sepinggan yang
mengandungi tomato, bawang, timun yang digaul dengan pelbagai herba.
“Tobias...”
Seseorang membisik namanya.
Tobias
terkejut. Terus bersedia untuk mempertahankan diri andainya diserang.
Gerakannya terhenti bila dia cam lelaki yang kini tampil di hadapannya ialah
Bruce. Dia menerima imej lelaki itu bersama imej Abu Afdhal melalui MMS
sebentar tadi. Lalu dia menghulurkan tangan. Mereka bersalaman. Namun dia kaget
dengan kemunculan Bruce secara tiba-tiba.
“Macam
mana kau tau aku ada kat sini?”
Bruce
tertawa perlahan. Fonsel kecilnya ditayang dan digoyang-goyangnya di depan mata
Tobias.
“Fonsel
aku yang beritahu kat mana kau berada, Tobias. Bila aku panggil kau dan fonsel
kau berdering, aku tau kau berada di mana,” jawab Bruce. Fonselnya canggih
kerana dapat mengenalpasti lokasi si penerima bila panggilan tersambung.
“Fon
aku berdering?” tanya Tobias sambil mengeluarkan fonselnya. Dia mengeluh bila
tidak sedar ada satu panggilan masuk kerana dia membisukan bunyi nada dering.
Kerana itulah Bruce boleh menjejakinya.
“Kau
tau tak, kalau aku pembunuh upahan, aku boleh bunuh kau, Tobias?” kata Bruce
perlahan sambil tergelak-gelak.
Tobias
terhenti mengunyah. Sebagai seorang pembunuh, dia biasa menyerang. Jarang
sekali dia diserang kembali kerana tindakannya pantas, kemas dan jitu
menewaskan musuh. Kata-kata Bruce itu membuatkan bulu tengkuknya berdiri kerana
teringat musuhnya yang masih belum tewas iaitu Abu Afdhal al-Nahyan.
“Tapi
teknologi yang kau gunakan ini dah lama ada, Bruce. Aku tak hairan. Sistem GPS
tak boleh digunakan kalau aku sentiasa berjalan di kawasan yang berbumbung.
Sebab isyarat satelit tak akan sampai. Hah! Aku boleh aje mengelak,” ujar
Tobias bagi menyedapkan hatinya.
“He,
he, he! Fon ini tak gunakan GPS, tapi MGPR. Micro
Ground Penetrating Radar menggunakan gelombang mikro frekuensi rendah.
Isyaratnya sampai walaupun kau berada dalam perut bumi! Kau nak lari ke mana?”
kata Bruce dengan yakin. Sebagai seorang pakar kewangan yang juga seorang pakar
IT, dia lebih tahu mengenai teknologi maklumat.
Tobias
tidak menunjukkan reaksi. Walaupun dia tahu kebenaran kata-kata Bruce, namun
dia buat-buat tidak mengerti. Seolah-olah kata-kata Bruce itu tidak berupa
ancaman. Pembunuh terlatih tidak takut
dengan kata-kata.
“Willem
kata, kau seorang jackal,” bisik Bruce secara tiba-tiba.
Tobias
lekas-lekas melintangkan jari telunjuk ke bibirnya. Matanya melingas memandang
ke sekeliling kerana khuatir kata-kata Bruce didengari mereka yang duduk
berhampiran kerana jackal adalah
gelaran bagi pembunuh upahan. Bruce yang tersentap dengan reaksi itu hanya
terpaku.
“Kalau
kau sebut perkataan itu lagi, aku patahkan leher engkau. Mengerti?” bisik
Tobias sambil mengetap bibir kerana geram.
“Okey,
okey,” ujar Bruce lalu mengangkat kedua-dua tangannya bagai orang menyerah
kalah.
Tobias
sendawa lalu mengelap mulutnya dengan napkin. Tekaknya tersekat kerana berasa
kering. Segelas minuman air suam di hadapannya sudah habis.
“Hei,
kau nak pesan minuman lagi? Aku belanja?” Bruce cuba mengambil hati.
Tobias
mengangguk. Terasa hendak minum lagi.
“Aha,
aku nak perkenalkan pada kau minuman kegemaran rakyat Malaysia. Kau mesti
rasa,” kata Bruce dengan niat mengambil hati rakan barunya itu. Dia terus
melambai seorang pelayan berhampiran. “Berikan dua teh tarik halia!”
Seketika
kemudian, dua gelas besar minuman berwarna coklat muda yang berbuih itu sampai
ke meja yang diletakkan oleh seorang pelayan wanita. Mereka terus menghirupnya
sambil berbual perkara-perkara yang menjurus ke arah kerjaya masing-masing.
“Silakan
minum, Tobias. Kau akan rasa keistimewaannya,” pelawa Bruce.
Mereka
bergelak ketawa. Sedikit pun mereka tidak peduli siapa pelayan wanita yang
menghidangkan minuman mereka. Lantas wanita itu pergi ke satu sudut untuk
menghubungi seseorang.
“Tuan...
Bruce ada di sini dengan seorang lelaki bernama Tobias,” ujar wanita itu
melalui fonsel tanpa wayarnya.
“Terima
kasih, Mala! Nanti saya belanja awak teh tarik gelas besar!”
Wanita
itu hanya tersenyum mendengar suara usikan bosnya Tuan Aziz.
MENJELANG petang, para pengunjung ke restoran ini semakin bertambah. Tobias
menanti peluang yang baik untuk bertanya apakah arahan yang akan Bruce
sampaikan kepadanya. Oleh kerana meja-meja di Arabian Tent ini dipenuhi dengan
para pelancong Arab, mereka harus berhati-hati dalam perbualan.
“Aku
diminta untuk sampaikan maklumat baru ini kepada kau,” ujar Bruce separuh
berbisik.
Tobias
berpura-pura tidak memandangnya. Namun dia memasang telinga. Lalu mengangguk
sedikit sebagai isyarat agar Bruce meneruskan kata-katanya.
“Ada
satu lagi sasaran yang akan tiba ke Malaysia!” bisik Bruce.
“Siapa?”
“Khaleed
al-Nahyan!”
“Khaleed
al-Nahyan? Siapa dia?”
“Abang
Abu Afdhal!”
“Abang
Abu Afdhal?” Tobias mengerutkan dahinya.
“Dialah
di antara pembiaya gerakan Jemaah Intifada Sedunia. Kita baru tahu mengenainya.
Selepas tiga saluran kewangan Abu Afdhal kita keringkan, kita dapati dia masih
mendapat bantuan kewangan. Rupa-rupanya ada seorang lagi pembiaya iaitu
abangnya sendiri. Khaleed juga seorang jutawan. Khaleed dan Abu Afdhal memang
rapat sejak kecil...”
Pengkisahan
Bruce dengan penuh semangat itu terhenti bila Tobias mengangkat tangannya.
Bibirnya diketap menahan geram. “Kau tau... aku tak perlu asal usul seseorang
sebelum aku bunuh dia. Cepat ceritakan apa arahan untuk aku!”
Bruce
tersenyum kerana Tobias nampaknya tak sabar. “Apa lagi tugas engkau kalau tak
membunuh?”
“Bunuh
siapa?”
“Abu
Afdhal!”
Tobias
terangguk-angguk. Sekali lagi wajah lelaki Palestin itu terbayang di layar
mindanya. Pergelutannya dengan lelaki
itu di Perancis hingga meninggalkan parut yang berbekas di wajahnya itu tidak
akan dilupakannya untuk sepanjang hayat. Kali ini, dia berpeluang untuk
membalas dendam. Dendam kesumat yang berakar dari lubuk hatinya yang hitam.
“Boleh
aku tanya kau sesuatu?” tanya Tobias setelah seketika dia termenung.
“Kenapa
tidak?” jawab Bruce.
“Kau
seorang EHM. Selalunya EHM tak ada kena mengena dengan hal-hal seperti ini.”
Bruce
mengukir senyuman bangga.
“Ada
dua sebab, Tobias... yang pertama, Abu Afdhal dan Khaleed akan datang menemui
pengerusi syarikat di mana aku bertugas. Sebab itu aku terlibat kerana aku
ditugaskan untuk memberi kau maklumat terkini. Kedua, aku diarahkan untuk
bekalkan kau senjata. Faham?”
Dengan
kata-kata itu, Bruce mengangkat punggung.
“Hei,
kau nak ke mana tu?” soal Tobias.
“Balik,”
jawab Bruce.
“Mana
senjata aku?”
Bruce
tidak menjawab. Namun dia menyeluk poket dan mengeluarkan sebuah fonsel lalu
meletakkannya di atas meja. Kening Tobias terangkat. Dia kehairanan kerana
Bruce tidak menjawab pertanyaannya.
“Pakailah
telefon ni. Ia lengkap dengan semua data penting mengenai Malaysia, internet,
GPS, MMS dan segala fungsi komputer. Yang lebih penting, ia pasca bayar!” kata
Bruce separuh bergurau. “Tapi ingat! Jangan sekali-kali kau sentuh butang yang
warna oren yang tiga segi tu! Tunggu sampai aku ajar kau cara menggunakannya!”
ujar Bruce.
Seketika
sahaja dia sudah menghilang di celah-celah orang ramai meninggalkan Tobias yang
termangu-mangu. Dia mencapai fonsel Bruce dan membelek permukaan yang dipenuhi
dengan butang-butang angka. Lalu matanya terpandang butang oren berbentuk tiga
segi yang dimaksudkan. Butang itu tidak bernombor. Sebaliknya ia mempunyai ikon
tengkorak manusia.
Dengan
selamba dia memasukkan fonsel yang tidak berjenama itu ke dalam jaketnya. Dia
sama sekali tidak mengetahui fonsel itu mempunyai nama ~ Silent Dead!
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...