Globest
Corporation, Kuala Lumpur
8.30 PAGI. Hari pertama
Fariz memandu Tan Sri Daud ke pejabatnya.
Bila Fariz masuk ke ruang pejabat, Siti
sudah menantinya dengan senyum simpul. Lalu dia mengajak Fariz ke pantri. Sebungkus nasi lemak sudah
disediakan untuknya. Diletakkan di dalam pinggan bersama sudunya sekali.
“Makanlah.
Siti belikan tu. Jangan tak sudi pulak, ya? Ini air nescafe untuk abang,” kata
gadis itu seraya meletakkan sekole minuman.
“Terima
kasihlah Siti. Buat susah-susah aje,” jawab Fariz berbasa-basi.
“Tak
adalah susahnya. Bukannya Siti yang buat. Siti beli aje. Air ini pun jenis 3+1.
Tak payah sukat-sukat. Mesti kaw
punya,” jawab Siti sambil tergelak-gelak.
“Siti
tak makan sekali?”
“Sudah,
bang! Dua bungkus! Nasi lemak sebungkus, mi hun sebungkus! He, he, he.”
Fariz turut tertawa. Gadis ini sungguh baik hati.
Boleh dibuat kawan di pejabat ini. Melihatkan kepada sikapnya yang mudah
membantu, Fariz berasa Siti boleh
memberinya banyak maklumat bila diperlukan.
Usai
sarapan, Fariz duduk di mejanya. Sebuah
komputer sudahpun terpasang di situ. Terima kasih, Siti. Fariz terus mengakses laman BISIK. Sebuah e-mel
dari ibu pejabatnya dibuka. Terpapar wajah Bruce McCallum bersama biodatanya;
bangsa Scotland-Amerika, 35 tahun, bekas pelajar Havard Business School,
bertugas sebagai pakar kewangan di JustWorld Foundation, Amerika. Itu sahaja maklumat
yang dia peroleh. Tercatat ayat yang menyatakan bahawa arahan seterusnya akan
disampaikan dalam waktu terdekat.
Fariz termangu-mangu. Rasa bosan
mula menyelinap di sanubari kerana tidak betah bekerja sebagai pemandu peribadi
semata-mata. Dia mahukan aksi. Tanpa aksi, dirinya tak bermaya. Bagai petani tiada cangkulnya. Seperti
pemuzik tanpa biolanya.
“Hai?
Derebar pun kau bagi komputer, Siti?”
‘Alamak...
bukan aksi begitu yang aku mau!’ bentak hati Fariz bila terdengar suara yang menyakitkan hati itu.
Fariz mengeluh dalam. Suasana di ruang
itu tiba-tiba semerbak mewangi. Perfum yang dipakai Faryna begitu mengharum.
Terlalu wangi hingga hampir busuk baunya.
“Siti
yang minta Bahagian Pentadbiran yang pasang komputer tu. Senanglah nanti...
kalau ada apa-apa tugasan, Siti isi aje kat dalam kalendar dalam komputer abang
Fariz. Tak payah nak pesan-pesan. Takut terlupa. Lagipun, abang Fariz pun pandai guna komputer,” jawab Siti yang
muncul dari pantri.
“Kalau
setakat nak beri tugasan aje, tulislah kat kertas. Tak payah catat kat dalam
komputer. Buat membazir aje beri komputer tu. Penghabisnya, bila kita dah beri
semua kemudahan... dia berhenti kerja jugak. Bukannya boleh kerja sampai
setahun, pun,” ceceh Faryna.
“Talib tu memang kena balik kampung, kak. Abang
Fariz ni mungkin lain.” Siti
mempertahankan Fariz yang dibandingkan
dengan Talib, pemandu peribadi Tan Sri Daud yang baharu berhenti kerja.
“Alah...
dia orang semua sama aje. Kau tengoklah sebulan dua nanti. Mula-mula, datang
lambat. Lepas tu ponteng... kemudian terus lesap!” Faryna terus memperli.
Sambil
membelek akhbar, mulutnya terus mengomel. Sedikit pun dia tidak pedulikan
Fariz yang mendengar leterannya. Memang
dia sengaja hendak membuat bising dan menyakitkan hati orang. Fariz yang tak senang dengan gelagat Faryna hanya
menahan perasaan.
“Selamat
pagi!”
Bruce
muncul. Dia berdiri tegak selepas merapatkan pintu. Kacamata hitamnya
ditanggal. Menampakkan anak matanya yang berwarna coklat. Dia memandang Siti
dan Fariz secara bergilir-gilir. Tidak
tahu kepada siapa dia hendak bertanya.
“Good morning! What can I do for you?” sapa Faryna. Dia terus menerpa. Mendahului Siti yang baru hendak
bangun menyambut Bruce.
“Nama
saya Bruce McCallum. Saya nak jumpa Tan Sri Daud. Dia suruh saya datang
bertugas hari ini, di sini,” kata Bruce penuh tertib.
“Bertugas
di sini?” tanya Faryna dengan wajah riang.
Bruce
mengangguk.
“Hari
ini?” mata Faryna mencerlang.
Bruce
mengangguk lagi.
“Tan
Sri Daud ada di dalam biliknya. Mari saya bawa jumpa dia.”
“Tak
perlukah awak beritau dia dulu?” tanya Bruce kehairanan.
“No need. I am her daughter!”
jawab Faryna lantas menarik tangan Bruce memasuki pejabat Tan Sri.
Siti
mencemik. Fariz yang memerhatinya terus
tersenyum. Faham apa yang menarik di hati gadis itu melalui perlakuannya.
“Entahlah,
bang. Nak dikutuk si Ryna tu, dia anak bos. Kalau tak ditegur pulak,
perangainya makin menjadi-jadi. Sekejap dia kata dia tak sukakan lelaki. Bila
nampak mat salih, terjojol pulak biji mata.
Nak
kata dia suka bertukar pakwe, tidaklah juga. Pada satu-satu masa, dia hanya
berkawan dengan seorang aje. Nak dikata dia brutal
sebab hati dia keras macam batu pun, tak boleh juga. Dia bela banyak kucing kat
rumah. Siti pernah tengok semua kucing berkerumun keliling kaki dia bila dia
sampai ke rumah. Itu tanda dia penyayang, orangnya.”
“Dia
tu budak-budak, Siti. Belum tetap pendirian, belum matang, belum banyak
pengalaman. Nanti bila dia meningkat dewasa, akan datang satu dugaan besar yang
akan mengubah dia menjadi dewasa. Percayalah cakap saya, Siti.” Fariz melahirkan pendapatnya setelah lama berdiam
diri.
“Isy,
abang ni macam mendoakan musibah pada Ryna pulak. Tak baik, tau!” Dalam pada
dia mengutuk Ryna, ada juga rasa prihatinnya terhadap anak majikannya itu.
“Tak.
Abang cakap yang benar. Semua orang akan hadapi satu ujian hebat menjelang usia
dewasa. Pada masa itu, terpulanglah pada seseorang itu. Kalau dia bersikap
positif, dia akan matang. Kalau dia bersikap negatif, dia boleh jadi
sebaliknya.”
Siti
terkebil-kebil memandang Fariz. Tidak tahu apa yang hendak diperkatakan. Juga
tidak pasti akan kebenaran kata-kata pemuda itu.
“Kalau
macam tu, Siti pun akan hadapi ujian yang besar juga, ya?”
“Hmm-hmm.”
“Isy,
Siti takutlah!”
Fariz hanya tersengih mendengar kata-kata itu.
Tidak disedarinya yang kata-katanya itu turut sama memalit batang hidung Siti.
“SAYA teruja dengan prestasi syarikat Tan Sri,” puji Bruce setelah menutup buku
profil syarikat. “Tan Sri aktif dalam bidang pertanian, perladangan, perikanan, hartanah dan
kejuruteraan. Tetapi mengapa hendak terlibat dalam pembinaan pengairan
pertanian? Dan Tan Sri hendak melabur di Bwana? Bukankah negara itu tidak
stabil? Perang dan kebuluran di negara itu pun masih tak nampak
penyelesaiannya.”
“Saya pun tertanya-tanya mengapa JustWorld Foundation berminat
untuk berusahasama dengan Globest di Bwana... negara yang sudah berpuluh tahun
menghadapi perang saudara. Lagipun, Globest hanya sebuah syarikat kecil. Macam
mana JustWorld boleh nampak sebuah syarikat yang tak ada dalam peta dunia
perniagaan ini?” jawab Tan Sri Daud. Menjawab soalan dengan soalan.
“Mungkin kita sama-sama gila, Tan Sri!”
Reaksi Bruce itu membuatkan kedua-dua mereka tertawa
besar.
“Ya, dari satu segi JustWorld Foundation juga gila. Tapi
kami ada tanggungjawab. Tanggungjawab untuk dunia. Kami mengimpikan sebuah
dunia yang dihuni oleh manusia yang cukup makan pakainya, boleh berteduh bila
malam tiba, ada pekerjaan sama ada bertani atau berternak, anak-anak mereka
dapat belajar dan tidak buta huruf serta kesihatan mereka terjamin.
Inilah
yang membuatkan kami teruja bila mengetahui ada sebuah syarikat kecil dari
Malaysia berani melabur untuk membina prasarana pengairan pertanian di sebuah
negara yang tak stabil lagi mundur. Kami kagum denganGlobest kerana berani meneroka di kawasan yang masih kelam masa
depannya. Globest bertindak seperti datuk nenek kami yang berani menjelajah
seantero dunia demi misi kemanusiaan. We
salute Globest.”
“Gold, glory and gospel,ujar Tan Sri Daud. “Itulah slogan bersemangat pelayar
zaman dahulu dari Prince Henry hingga ke Sir Walter Raleigh. Saya pernah baca
sejarah mengenai mereka. Terima kasih kerana mengangkat kami sebegitu rupa.
Memang benar kami ingin menjelajah ke seluruh dunia. Kami juga ingin lakukan
kebaikan terhadap manusia sejagat. Konsep meneroka, berhijrah dan berdakwah
inilah yang disaran oleh Nabi Muhammad, nabi kami.”
Sempat
juga Tan Sri Daud menyampaikan mengenai ketokohan dan kehebatan Rasulullah
s.a.w. Sengaja ingin menapis tanggapan Bruce bahawa orang-orang barat sahaja
yang berani meneroka benua sedangkan orang-orang Islam jua adalah pengembara
sejagat. Malah, mengembara untuk mengembangkan syiar Islam adalah satu bentuk
dakwah yang amat dituntut agama.
“Ya,
saya pernah baca buku tulisan Michael H. Hart,
The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History. Nabi Muhammad menduduki tangga pertama,” ujar
Bruce dengan yakin. Dia tidak mahu kalah untuk menyatakan pengetahuannya.
“Wah,
nampaknya awak seorang yang rajin membaca. Awak bukan sahaja bijak dalam
ekonomi. Awak juga minat pada sejarah tokoh-tokoh. Saya kagum. Benar-benar
kagum,” puji Tan Sri Daud.
Bruce
berasa bangga dipuji begitu. Bibirnya tidak kendur dengan senyuman. Memang
itulah tanggapan yang ingin ditayangkan kepada Tan Sri Daud. Dia mahu lelaki
itu melihatnya setaraf dari segi pengetahuan. Dengan itu, mudahlah dia
berunding dan memberi nasihat kepada Tan Sri Daud.
“Well, back to business… bila
kita boleh mulakan?” tanya Tan Sri Daud.
“Sekarang,
Tan Sri. Tapi, bolehkah saya semak maklumat, data dan rekod Globest? Oh, tentu
sekali yang tidak confidential bagi
syarikat ini. Saya perlukan itu supaya saya boleh cadangkan kepada JustWorld
bentuk usaha sama yang paling efektif.”
“Tentu
sekali, Bruce. Saya sudah sediakan pejabat untuk Bruce. Segala alat komunikasi
juga saya bekalkan supaya awak boleh terus berhubung dengan ibu pejabat awak.
Mulai minggu hadapan, awak akan dipanggil untuk menghadiri mesyuarat pengurusan
syarikat,” ujar Tan Sri Daud.
“Oh,
terima kasih kerana memberi layanan kelas pertama kepada saya. Saya juga ucapkan
terima kasih kepada Tan Sri kerana memberi saya tempat tinggal di apartmen
bertaraf lima bintang. Orang Malaysia memang pandai mengambil hati
tetamu.” Beria-ia Bruce memuji.
Tan
Sri Daud tersenyum bangga. Tidak menyedari Bruce McCallum menjeling sinis
dengan ekor matanya.
Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...