Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Di antara Normala & Faryna (Fragmen 10)

Damansara One, Kuala Lumpur

PETANG ini Fariz mengambil Faryna dari satu temujanji di sebuah lokasi perniagaan yang baru. Kawasan ini tidak begitu sibuk. Masih ada beberapa premis perniagaan yang belum dibuka. Tidak banyak kenderaan yang memenuhi kawasan ini. Walaupun begitu, Fariz tetap memandu dengan perlahan.

“Ha? Sepuluh ribu ringgit?”

Tengkingan Faryna mengejutkan Fariz. Sekilas, dia menatap cermin pandang belakang. Gadis itu kelihatan menyinga. Wajahnya memerah. Dahinya berkerut seribu. Fonselnya terapat ke telinga.

“Sudahlah, Zack! Kan, kita dah putus? Tak boleh! Tak boleh!! Tak boleh!!!” Faryna terjerit.

Membingitkan suasana di dalam kereta. Dengan pekikan itu, Fariz tidak perlu lagi memekakkan telinga kerana suara itu memang pun membuat telinganya tuli. Tidak lama kemudian, Fariz terdengar esak tangisan. Tergerak hatinya hendak memujuk, walau sekadar menyuruh gadis itu bersabar.

Lalu Fariz mencuri pandang ke cermin pandang belakang. Mata mereka bertembung! Lekas-lekas Faryna memandang ke luar tingkap. Secara sembunyi-sembunyi, dia mengelap air matanya dengan jari. Pasti dia ingin menyembunyikan remuk hatinya ketika ini.

Bila melihat reaksi begitu, Fariz tak jadi membuka mulut. Sudah pasti Faryna bergaduh lagi dengan Zack, teman lelaki yang dikatakan oleh Siti. Biarlah dia merawat hatinya dengan berdiam diri. Dengan berdiam dan bermenung, boleh juga kekusutan fikiran dilerai. Bila memikirkan begitu, Fariz terus memandu.

“Berhenti!” perintah Faryna.

Fariz terpinga-pinga. Apakah Ryna bercakap dengannya atau dengan seseorang melalui fonselnya? Dia melihat ke cermin pandang belakang. Berkomunikasi dengan mata, inginkan kepastian melalui bicara tanpa suara.

“Berhentilah, woi!” jerit Faryna lagi. “Aku nak pegi bank!”

Fariz membrek. Reaksinya spontan kerana terkejut. Rupa-rupanya Faryna bercakap dengannya, bukan dengan orang lain di fonselnya. Nyaris lori pikap di belakang tercium bontot keretanya. Faryna segera membuka pintu.

“Ryna hendak saya temankan?” tanya Fariz. Terpacul pertanyaan dengan niat hendak menjaga keselamatan gadis itu.

“Huh!”

Itu sahaja jawapan Faryna. Dia menghempas pintu. Berdentum bunyinya. Fariz mengintai ke cermin sisi. Mengekori pergerakan Faryna menuju ke bank. Sekejap sahaja gadis itu sudah hilang dari pandangan. Fariz tergeleng-geleng kesal. Setelah mengeluh panjang, dengan perlahan dia memandu kereta mencari petak parkir.

Fariz mendengus pula bila berasakan kerenah gadis ini mula memakan hatinya. Baru seketika tadi dia bersedih. Tak sampai seminit sudah menyinga kembali. Apalah punya perangai. Kalau diikutkan hati mahu sahaja Fariz bertegang urat dengan Faryna. Bukannya dia tidak boleh menggarangkan dirinya. Bukannya dia tidak tergamak untuk mensamsengkan dirinya. Bukan juga dia tidak boleh mendajalkan gadis ini dengan meninggalkan dia supaya dia pulang sendiri sebagai satu pengajaran. Tetapi apa kesudahannya?

Dia mungkin menimbulkan masalah lain. Tan Sri Daud yang memanjakan anak gadisnya ini tentu tidak suka kalau dia menegur Faryna. Silap haribulan, dia boleh diberhentikan kerja. Jika itu berlaku, Tuan Aziz pasti akan marahkan dia. Ah, sukarnya kalau bekerja dengan dua majikan!

Kerana seorang gadis, dia mungkin tidak dapat melaksanakan misinya. Tapi apa misinya? Mengapa Tuan Aziz tidak mahu memberinya tugasan selain menyuruhnya menjadi pemandu kepada Tan Sri Daud? Fariz mengeluh lagi. Untuk menenangkan hati, Fariz cuba membuang fikirannya daripada tertumpu memikirkan tentang Faryna. Tiba-tiba fonselnya mengalunkan lagu.

“Helo, hensem!” kedengaran satu suara wanita yang serak-serak basah di hujung talian.

“Hei! Kak Mala kat mana? Dah keluar hospital ke?”

Hati Fariz yang membengkak berasa teruja mendengar suara rakan sejawatnya, Normala Mustakim. Sewaktu wanita itu dimasukkan ke wad ICU kerana cedera terkena tembakan Mehmoud, dia hanya sempat melawat wanita itu sekali. Sejak itu dia tidak menemui Normala. Tiba-tiba wanita ini sudah menelefon dengan suara yang ceria dan bertenaga. Ibu tunggal beranak seorang ini sungguh kuat semangatnya.

“Aku dengar, kau kena jadi derebar Tan Sri Daud. Betul, ke?”

“Alah, dah kena kerja macam ni, nak buat macam mana?” jawab Fariz .

“Hei, aku bukannya kutuk kaulah, Fariz. Aku pun kena buat kerja lebih teruk dari kau, tau tak?”

“Kerja apa?”

“Tukang jaga tandaslah!”

“Ei, ni ejen apa, da?”

“Hei, tandas pun sebenarnya syurga penjenayah, tau!” jawab Normala membetulkan tanggapan rakannya.

Kedua-duanya tertawa galak. Saling usik mengusik.. Perbualan mereka semakin rancak. Bertukar-tukar fikiran, pendapat dan juga cerita lawak yang masing-masing alami.


FARYNA memasukkan 100 keping not seratus ringgit ke dalam tas tangannya. Wang tunai berjumlah RM10,000 itu hendak dipinjamkan kepada teman lelakinya, Zack. Dengan pantas dia melangkah keluar bank.

Di muka pintu, matanya melilau tercari-cari di mana Fariz. Faryna mendengus bila nampak Fariz memarkir kereta agak jauh dari bank. Sambil merungut-rungut dia melangkah juga. Menyelit dan memintas sesiapa sahaja yang berjalan lebih lambat darinya. Memang Faryna begitu. Tidak suka berjalan di belakang orang. Kalau boleh, semua orang mahu dipintasnya.

“Boleh tumpang tanya?”

Satu suara menegurnya. Faryna menoleh. Terpandang seorang lelaki bertopi yang tersengih padanya. Dia terpegun seketika. Tertanya-tanya apakah hajat lelaki ini. Tak semena-mena dia terasa tas tangannya direnggut dari belakang.

“Hei, hei, hei, apa ni?” bentak Faryna bila terpandang seorang lelaki yang tidak dikenali muncul untuk merampas beg tangannya dari belakang.

Dia menarik tas tangannya. Buat beberapa saat kedua-duanya saling meregang tas tangan Faryna. Gadis itu memeluk begnya sekuat tenaga.

“Tolong!!! Fa... Fariz !!!” Faryna menjerit sekuat hatinya.


PERBUALAN Fariz dengan Normala terhenti. Fariz menjenguk ke luar tingkap bila terdengar jeritan nyaring itu. Terpandang dua orang lelaki sedang cuba merampas tas tangan Faryna. Dengan pantas, Fariz keluar dari keretanya.

“Mala! Situasi cemas! Ada rompakan! Hubungi polis!” katanya sebelum menutup fonselnya lalu berlari ke arah Faryna.

“Wei! Berhenti! Bagi wang budak tu pada aku! Dia pergi bank sebab nak bayar hutang dia pada aku!” jerit Fariz memberi arahan. Sengaja menyerkap jarang meminta wang, kerana wanglah barang utama yang lazimnya diingini peragut. Sengaja menimbulkan tipu muslihat untuk mengelirukan fikiran peragut-peragut itu barang seketika.

“Jangan rapat. Kalau kau rapat, aku akan cederakan dia!” pekik salah seorang peragut.

“Aku hanya nak duit aku! Buatlah apa yang kau suka pada dia. Aku pun bukan peduli dengan si mulut murai tu!” jawab Fariz. Dalam suasana yang genting itu, dia sempat mengata Faryna. Komen itu membuatkan Faryna membuntangkan matanya ke arah Fariz! Fariz hanya tersenyum di dalam diam. Puas sedikit hatinya dapat mengata, walaupun seolah-olah tidak disengajakan.

Kedua-dua lelaki yang menghimpit Faryna itu terpaku seketika. Mereka tidak terfikir lelaki di depan mereka tergamak membiarkan gadis yang dimangsai hanya kerana wang. Mereka saling pandang memandang sesama sendiri. Pada kesempatan itu, Fariz menerpa ke arah salah seorang perompak itu. Tapak tangannya cepat sahaja menolak rahang perompak itu hingga dia terdongak. Kakinya segera membentes pelipat perompak itu. Menyebabkan penjahat itu jatuh terlentang. Kepalanya terhentak ke jalanraya. Dia pengsan.

Tindakannya itu membuatkan seorang lagi perompak menumbuk muka Faryna dan merentap tas tangan gadis itu. Faryna ditolaknya dan dia cabut lari. Mujurlah Fariz sempat menahan Faryna dari jatuh tersembam. Dalam pada itu, Fariz sempat memandang wajah Faryna yang benar-benar pucat.

“Tolong dia!” Fariz memerintah kepada beberapa orang ramai yang mula datang berkerumun. Mereka segera membantu. Menyandarkan Faryna di kaki lima. Lantas Fariz berlari mengejar perompak itu. Tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda muncul dan berhenti. Peragut itu segera melompat ke dalam kenderaan itu.

Fariz segera melangkahi parit dan berdiri betul-betul di laluan kenderaan itu. Matanya tajam mempastikan ada dua orang penjahat berada di dalam kenderaan itu. Seorang pemandu dan seorang lagi peragut yang cabut lari itu. Kenderaan yang menghampiri itu tiba-tiba membuat pusingan ‘U.’ Fariz tidak mati akal. Dia terus berlari dan memaut cermin sisi di sebelah pemandu dan berdiri di ruang pemijak di sisi pintu kenderaan itu. Dengan pantas dia menyiku cermin tingkap kenderaan itu menyebabkan kacanya berderai. Tangannya lantas menggagau stereng kenderaan itu dan memulasnya sekuat hati. Menyebabkan kenderaan itu masuk ke dalam parit dan terhenti.

“Tolong! Tolong! Jangan pukul kami!” jerit kedua-dua peragut itu.

“Keluar! Cepat keluar!” perintah Fariz.

Dengan susah payah, kedua-dua mereka keluar dari kenderaan. Namun, sebaik sahaja mereka muncul, Fariz terkejut. Kedua-duanya sedang memegang parang panjang. Mereka melibas-libas parang masing-masing. Kemudian membuka langkah ilmu mempertahan diri dengan konfiden. Terpusing-pusing sesama sendiri menunjuk jantan. Gaya mereka begitu angkuh dan bongkak.

“Heh! Heh! Heh!” kedua-dua mereka tertawa terkekeh-kekeh. Memandang Fariz dari atas ke bawah dengan wajah samseng.

Fariz hanya tercegat dengan tenang. Tidak peduli untuk membaca dan menelah apakah bentuk serangan yang akan tiba.

“Heh! Heh! Heh!” Kedua-duanya kian menghampiri.

“Heh! Heh! Heh!” Tiba-tiba Fariz pula yang mengajuk cara mereka tertawa.

Kedua-dua mereka terhenti beraksi. Saling pandang memandang sesama sendiri kerana terkejut dengan tindakan Fariz mengajuk perangai mereka. Lalu kedua-duanya merenung Fariz. Kemudian, menapak menghampiri pemuda itu dengan wajah marah. Namun perlahan-lahan wajah-wajah jahat itu berubah. Bertukar ke wajah-wajah bimbang bila terpandang sepucuk pistol di tangan Fariz. Mereka tidak menyangka Fariz mempunyai senjata yang boleh mencabut nyawa mereka dalam sesaat.

Fariz menguis muncung pistol. Mengisyaratkan mereka meletakkan senjata. Kemudian, kedua-duanya terkial-kial diarahkan duduk mencangkung.

“Kawan saya dah panggil polis. Tolong tengok mereka.,” ujar Fariz kepada pengawal keselamatan bank yang menghampiri. “Kalau mereka melawan, belasah aje!” ujar Fariz pula kepada orang ramai yang mengerumuni mereka.

PERJALANAN tidak sampai 5 kilometer terasa begitu jauh. Sebaik sahaja kenderaan yang dipandu Fariz memasuki jalan besar, trafik sudah sesak kerana waktu puncak warga kota pulang dari kerja. Walaupun sudah dua kali lampu trafik bertukar hijau, kereta yang dipandu masih tidak dapat melepasi simpang. Sesekali, Fariz menjeling ke arah Faryna yang tersandar di kerusi belakang.

Sebentar tadi, Normala tiba untuk membantunya. Wanita itu menyuruhnya menghantar Faryna ke rumah sakit dan membiarkannya menjaga ketiga-tiga peragut itu. Fariz sendiri yang mendukung Faryna memasuki kereta kerana gadis itu masih pengsan. Pipinya membiru kesan ditumbuk. Seluruh tubuh Faryna terasa sejuk kerana ketakutan. Setelah menyandarkan gadis itu, Fariz lekas-lekas menyelimutkan Faryna dengan kot Tan Sri yang memang terdapat di dalam kereta.

Bagi diri Fariz, meskipun berdepan dengan suasana cemas adalah tugasnya, namun kali ini hatinya berdebar kerana bukan dirinya yang menghadapi masalah tetapi anak majikannya. Mungkinkah gadis ini pengsan kerana lemah semangat atau kerana komplikasi lain? Bila memikirkan itu, Fariz ingin sekali cepat tiba ke pusat rawatan.

“Fariz ...” Lemah sekali suara Faryna.

Fariz mengintai ke cermin pandang belakang.

“Nanti tolong berikan wang ini pada Zack, ya?” kata Faryna lalu menghulur sebungkus sampul kertas berisi wang kepadanya. “Nanti saya mesejkan alamatnya,” kata Faryna lagi.

Tanpa menoleh, Fariz menyambut sepucuk sampul surat tebal yang berisi wang. Sampul itu terus diselitkan ke dalam jaketnya.


Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED