Home Novel Thriller/Aksi MENITI MAUT
Digoda Lelaki Mat Salleh (Fragmen 13)

Globest Corporation, Kuala Lumpur

“SAYA ucapkan terima kasih kepada Tan Sri kerana menerima idea JustWorld Foundation untuk bekerjasama dengan Globest. Saya amat hargai niat baik Tan Sri,” puji Bruce McCallum sebaik sahaja mereka memasuki pejabat Tan Sri Daud.

“Saya kagum dengan idea-idea awak sebagai seorang penasihat kewangan. Dan saya takjub dengan keupayaan JustWorld, Bruce. JustWorld bukan sahaja punyai pengalaman sebagai penyumbang dana, malah sebagai koordinator projek yang cemerlang. Saya tak sangka JustWorld mempunyai pelaburan yang tersebar luas di merata dunia,” Tan Sri Daud memuji kembali.

Kedua-dua mereka duduk di sofa. Tan Sri Daud meletakkan songkoknya di atas meja. Kemudian menggeliat sedikit membetulkan urat sarafnya. Bruce pula meletakkan beg kulitnya di sisi meja. Kemudian dia melonggarkan tali lehernya. Setelah beberapa hari berlalu, Tan Sri Daud dan Bruce tidak begitu formal sangat di antara satu sama lain kerana sudah selesa dengan kehadiran masing-masing.

Pada petang ini, Bruce ingin mengemukakan cadangan kewangan JustWorld kepada Tan Sri Daud. Ingin menyampaikan secara langsung kerana ingin mempengaruhi Pengerusi Eksekutif Globest Corporation ini agar menerima cadangan dari ibu pejabatnya, JustWorld Foundation. Dia berasa Tan Sri Daud kini sudah bersedia untuk mendengarnya.

“When shall we start our project in Bwana?” tanya Bruce.

“We have! Sudah ada sepasukan pakar kajibumi pertanian yang sedang menjalankan kajian untuk merangka pelan pengairan padang pasir di sana.”

“Oh, yeah? This is news to me!” Mata Bruce terkebil-kebil memandang Tan Sri Daud. Seperti ada sesuatu yang ingin ditanya kepada lelaki separuh usia itu.

“Why, Bruce? Is anything wrong?”

“No. Nothing. Saya tak menyangka pasukan Globest begitu cepat berada di negara itu. Saya ingat, Globest baru berura-ura untuk membuat pelaburan di sana. Lagipun, sepengetahuan saya, bukan senang hendak berurusan dengan banyak negara di Afrika. Red-tape seperti tak berkesudahan,” ujar Bruce seperti tidak percaya.

Tan Sri Daud tersenyum. “Dubaku. We have Dubaku.”

“What is... Dubaku?” tanya Bruce kehairanan.

Tan Sri Daud tersengih pula. “Dubaku is the name of a person. Dia adalah Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha Menteri Pertanian Bwana. Dan, Dubaku adalah bekas pelajar di Universiti Islam Antarabangsa di sini. Dia pernah menjalani latihan amali di syarikat ini. Kini, dia adalah kontak kami di sana. Jadi, dialah yang menyakinkan ketuanya agar kami dapat melakukan kajian dan cadangan untuk pengairan padang pasir di negara itu.”

“Nampaknya Globest cekap dalam lobi melobi. Tan Sri sudah melatih seorang pelobi yang berkeupayaan,” puji Bruce.

“Maaf, ya. Melobi bukan stail kami. Dan, Dubaku bukan pelobi kami. Dia adalah saudara kami,” jelas Tan Sri Daud.

“Saudara?” soal Bruce kehairanan.

“A brother in our Muslim brotherhood,”jawab Tan Sri Daud sambil tersenyum penuh erti.

Kening Bruce terjungkit mendengar istilah itu. Lalu dia tersengih-sengih dan terangguk-angguk tanda mengerti. Dia mula perasan yang aktiviti Globest juga membawa agenda ukhwah Islamiah di dalam aktiviti perniagaannya.

Di atas semangat Islamlah Globest boleh bertapak di Bwana. Sebagai negara anggota OIC, adalah mudah Bwana mempercayai syarikat yang datang dari negara Islam. Apatah lagi, Malaysia memang negara Islam yang terkenal. Itu memang dijangka oleh mereka di ibu pejabat Bruce di JustWorld Foundation. Mereka juga mahukan Bruce menyelidik dan mengesahkannya.

“Muslim brotherhood. Saya mengerti dengan semangat agama yang dibawa. Ada banyak syarikat yang dianggotai oleh penganut agama Kristian bergerak di atas semangat agama. Begitu juga dengan syarikat-syarikat yang dipunyai oleh penganut agama Yahudi. Orang Jepun, orang India dan tentu sekali orang-orang Cina pula kebanyakannya pula bergerak atas semangat bangsa.

Saya fikir, kepelbagaian semangat samada semangat beragama, bangsa atau nasionalisma adalah faktor ‘X’ yang mendinamiskan ekonomi dunia. Cuma kami di JustWorld bertindak melangkaui kepentingan agama, bangsa dan juga negara. Buat kami, kemanusiaan itu lebih utama. Sebab itulah saya ingin berkongsi dengan Tan Sri gagasan yang kami bawa.”

Tanpa dipinta, Bruce mengambil begnya lalu mengeluarkan sebuah dokumen yang sudah siap dijilid dan diserahkan kepada Tan Sri Daud.

“Ini kertas cadangan dari JustWorld. Saya baru dapat dari kurier pagi tadi.”

“Apa yang ada di dalamnya?” tanya Tan Sri Daud. Dia kelihatan tertarik lalu membeleknya. “Hmm... tampak menarik.”

“Tan Sri perlu menjadi orang yang pertama melihat cadangan pakej kerjasama kami. Setelah yakin dengan tawaran kami barulah Tan Sri dikemukakan pada mesyuarat Lembaga Pengarah esok.”

Tan Sri Daud meneliti kertas cadangan itu halaman demi halaman. Melihat foto, ilustrasi dan rajah pelan pembangunan prasarana di Bwana. Semakin lama dia kian tertarik dengan apa yang dicadangkan oleh JustWorld. Dia juga meneliti carta yang mengandungi belanjawan projek raksaksa yang dicadangkan. Akhirnya lelaki itu menutup kertas cadangan itu. Lalu dia menarik nafas yang dalam. Berasa teruja dan bersemangat dengan apa yang ditatapnya. Hatinya berasa seronok andainya apa yang dicadangkan itu menjadi kenyataan. Namun kos yang diperuntukan tidak terjangkau akalnya.

“1.5 bilion dolar Amerika. Itu hampir 5 bilion ringgit duit kami. Walaupun kosnya dibahagi dua, ia masih besar. Saya tak fikir Globest mampu. Syarikat kami kecil, Bruce. Lagipun, kami hanya ingin membina projek pengairan padang pasir.

Sedangkan anda hendak membina separuh wilayah utara Bwana. Anda hendak bina lebuhraya, kawasan pertanian, penyulingan air laut, loji elektrik dan bandar raya. Kami tidak terfikir hingga ke situ meskipun untuk 5 tahun akan datang.”

Bruce tersengih mendengar komen Tan Sri Daud.

“Ia kecil kalau dibahagikan pada 15 tahun, Tan Sri. Kami di JustWorld hanya inginkan satu pertiga dari keuntungan iaitu 33 peratus sahaja. Kami juga yang akan sediakan dana. Bukankah saya pernah katakan yang kami melabur untuk kemanusiaan?

Dan kami juga punyai pasukan sepasukan pakar perunding dan jurutera yang berpengalaman dari pelbagai bangsa. Tengoklah rekod kami di Afrika sahaja seperti di Libya, Mesir, Nigeria dan Uganda. Kami boleh bekalkan kepakaran ini. Semuanya ditanggung oleh JustWorld.

Maknanya, JustWorld menanggung keseluruhan kos pasukan kami. Tetapi dari segi keuntungan, Globest menerima lebih daripada kami.”

“Tapi, JustWorld memperoleh keuntungan daripada kadar faedah pinjaman,” Tan Sri Daud berhujah.

“Empat peratus adalah kadar faedah yang kecil, Tan Sri. Globest hanya menerima keuntungan bersih setelah ditolak pembahagian keuntungan dan kadar faedah.” Bruce bertutur dengan penuh semangat.

“Tawaran JustWorld memang menarik. Cuma kami hanya ada projek kecil di Bwana. Projek yang awak cadangkan memerlukan perundingan dan kelulusan yang lain. Nampaknya kami kenalah berunding dengan pegawai yang lebih tinggi jawatannya dari Dubaku.”

“Tak perlu, Tan Sri. Kami ada kontak dengan pihak yang lebih berkuasa.”

“Siapa?” tanya Tan Sri Daud ingin tahu.

“General Gubamba, Presiden Bwana sendiri!”

Tan Sri Daud tersandar lega dengan apa yang didengarnya. Tawaran yang dikemukakan Bruce terlalu menarik. Ia adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Namun, hati kecilnya tertanya-tanya, jika JustWorld sudah punyai kepakaran taraf dunia dan perhubungan dengan Bwana hingga ke peringkat Presidennya, mengapa mereka perlu mengajak Globest untuk menjalankan usaha sama?

“Apa yang Tan Sri fikirkan?” soal Bruce seolah-olah dapat mendengar bisikan hati lelaki itu.

“Ah, tidak ada apa-apa,” jawab Tan Sri Daud sambil tersengih-sengih kerana tidak mahu menceritakan detik hatinya.

“Deal?” tanya Bruce seraya menghulurkan tangan.

“Deal!” jawab Tan Sri Daud lalu mereka pun berjabat erat.

Di antara kedua lelaki itu, Bruce lebih gembira kerana projek bernilai 1.5 billion itu bakal memberinya komisyen 0.05 peratus atau US750,000 dalam tempoh lima tahun atau US150,000 setahun sebaik sahaja perjanjian dimeterai. Setelah itu dia akan berangkat ke mana-mana negara lain untuk menawarkan projek-projek mega dengan komisyen yang berlipat ganda. Inilah agenda peribadinya.


PEJABAT sudah sunyi. Siti pun sudah pulang. Tinggal Fariz sahaja di mejanya. Melayari internet sambil menanti Tan Sri Daud yang berbincang dengan Bruce untuk membawa majikannya itu pulang. Seketika kemudian dia nampak kelibat Bruce McCallum yang baru keluar dari bilik Tan Sri. Dia sengaja tidak mahu mengangkat wajah seolah-olah tidak menyedari akan kehadiran lelaki itu. Dari ekor matanya, Fariz perasan Bruce sedang memandang sambil menapak perlahan-lahan ke arahnya. Lelaki mat salih itu kedengaran bernyanyi-nyanyi kecil.

‘Pasti ada sesuatu yang menggembirakannya setelah bertemu Tan Sri Daud,’ fikir Fariz.

“Tak balik lagi?” tegur Bruce.

“Saya tunggu Tan Sri,” jawab Fariz. Matanya masih tak lari dari skrin komputernya.

“Oh... saya tak ingat ia tugas awak. Err... dia ada program, malam ini?” soal Bruce.

“Setahu saya tak ada,” jelas Fariz.

“Kalau begitu, awak free malam ini, kan?”

Pertanyaan itu membuatkan Fariz memandangnya. Ingin tahu apakah maksud Bruce.

“Saya dengar di KL ni ada satu tempat bernama Skyhill Club. Boleh awak bawa saya ke sana?”

“Boleh juga. Bila saya boleh datang ke tempat Bruce?”

“10.00 malam. Fariz temankan saya, ya?” kata Bruce lalu meminta diri.

Fariz beristighfar di dalam hati. Dia tersenyum tawar bila mengingatkan nama kelab yang disebut Bruce. Skyhill bukan kelab biasa. Ia adalah kelab eksklusif yang terkenal sebagai sebuah kelab gay. Namun, demi tugas, terpaksalah dia menemani lelaki mat salih itu.

“Fariz. Jom kita balik,” kata Tan Sri Daud yang baru muncul dari biliknya.

“Ya, Tan Sri.”

Fariz menutup komputer, mengemas mejanya dan bingkas bangun.

“Tolong tutup lampu di bilik Bruce tu,” perintah Tan Sri Daud.

Fariz mengganguk dan terus ke pejabat Bruce. Lalu menutup lampu di bilik itu. Sebelum melangkah keluar dan merapat pintu, dia mencabut sebuah alat kecil sebesar tudung pen di belakang komputer Bruce lalu disisip ke poket bajunya.

Ia adalah alat yang merekod aktiviti komputer. Fariz akan dapat mengesan setiap laman yang dilayari, setiap emel yang masuk dan keluar, malah setiap aksara yang ditaip di papan kekunci komputer itu.

Insya-ALLAH bersambung Ahad hadapan...

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NORDEN MOHAMED