PROLOG
Setahun yang lalu…
DARI luar, rumah dua tingkat itu kelihatan usang. Cat pada dinding
luarnya putih kehijauan bersalut lumut terutama di bahagian tepi longkang.
Tingkap-tingkapnya yang berkaca hijau tertutup rapat. Pintu hadapannya pula
terbuka sebelah tetapi di tepi daun pintu kayu yang terbuka itu terletak sebuah
beg kain yang mengandungi tukul, spanar dan pelbagai alat pertukangan lainnya.
Tanda ada seseorang di rumah itu.
Prak! Bum!!! Keheningan rumah itu
hilang seketika. Disusuli habuk yang berterbangan keluar dari sebuah bilik.
Tidak lama selepas itu, seorang pemuda berlari keluar dari bilik itu sambil
terbatuk-batuk. Dia tercungap-cungap di tepi pintu, mencari udara segar untuk
bernafas.
Seorang lelaki yang berusia dalam
lingkungan 30-an ketawa besar melihat gelagat pemuda itu. Dia menggeleng
seketika sebelum menyambung tugasnya menyapu cat pada dinding ruang tamu. Namun
di hatinya berharap agar pemuda itu tidak lemah semangat membantunya di situ.
“Biasalah tu, kerja-kerja macam ni memang
kotor sikit,” katanya separuh memujuk.
Pemuda itu diam sahaja. Membantah
tidak, mengiakan pun tidak. Dia masih berdiri di muka pintu sambil menyapu
mukanya yang disaluti habuk dan sawang.
Lelaki itu menjeling sekilas. Kemuraman
wajah pemuda itu merisaukan hatinya. Dia bimbang sekiranya tugas yang
diserahkan kepada pemuda itu terlalu berat untuk dilaksanakan seorang diri. Jika
pemuda itu lari pula, dia juga yang susah.
“Banyak lagi ke?” Dia bertanya dengan ikhlas.
“Dah tumbang semua.” Pemuda itu
menjawab sebelum melangkah masuk semula ke dalam bilik tadi.
Lelaki yang menyapu cat itu
berhenti seketika melepas lelah. Namun cahaya matahari yang semakin hilang di
luar rumah, membuatkan dia tidak senang duduk. Hari sudah petang, kerja masih
banyak yang belum disiapkan. Jika begitulah keadaannya, mungkin segala
kerja-kerja baik pulih di rumah itu akan mengambil masa lebih panjang daripada
yang dijangkakan. Itu yang membuatkan hatinya bertambah tidak senang.
“Mat, kayu-kayu ni nak dibuang ke
mana?” tegur pemuda tadi yang sudah keluar semula bersama cebisan papan lapis
yang baru dirobohkan tadi.
“Rul, kau campak saja ke tepi rumah
dulu. Nanti tuan rumah panggil lori.” Lelaki yang dipanggil Mat itu, meneruskan
kerja-kerjanya.
Khairul tidak membantah. Arahan Mat
segera dituruti. Dia keluar dari pintu belakang lalu mencampakkan kayu dan
papan yang sudah reput itu ke sisi rumah. Sempat juga dia mencuri pandang ke
arah rumah di sebelah yang nampak sunyi sepi. Selepas puas meninjau, dia melangkah
masuk ke dalam rumah semula sebelum berhenti melihat Mat menyambung
kerja-kerjanya.
“Cepatlah siapkan kerja tu. Dah
dekat pukul 6.00 petang ni. Rumah ni bukannya ada elektrik.” Mat menghela
nafas.
Dia berundur beberapa langkah ke
belakang dan melihat dinding rumah itu yang sedikit sebanyak sudah bertukar
seri. Nampak lebih cerah dengan warna kuning muda yang dicatnya sejak pagi
tadi. Dia turut bercekak pinggang memerhati jika ada sudut-sudut kecil yang
perlu dikemaskan sebelum pulang.
Dia maju ke depan semula.
Mencangkung berdekatan dengan tin cat dan mengambil berus cat yang hanya
selebar dua inci. Dicelup-celup dan kini dia berdiri semula berdekatan dengan
tingkap yang menghadap ke ruang belakang rumah itu. Disapukan perlahan-lahan di
tepi sudut dinding kerana masih ada yang
dia terlepas pandang.
“Yang di dalam semua dah siap,”
lapor Khairul yang sudah beberapa kali keluar masuk membuang kayu-kayu yang
tidak diperlukan lagi. Dia juga sempat menyeka peluhnya dengan hujung baju
kemeja lengan panjang yang dipakai sejak pagi tadi.
Mat angguk lega. Berus cat
dikumpulkan setempat di dalam tin cat yang kosong. “Bolehlah kita balik, dah
dekat pukul 7.00 petang ni.”
“Bilik tadi tu kita kena cat juga
ke?”
Mat angguk lagi sambil
mengemas-ngemas kertas-kertas yang dijadikan pengalas lantai. Semuanya
dikeronyokkan dan diasingkan setempat. Dia tidak ada masa mahu berbual kosong,
dia hanya mahu meninggalkan rumah itu sebelum senja menjelma.
“Siapa yang tinggal di rumah
belakang ni, Mat?”
Kali ini Mat hanya mengangkat bahu.
Dia memang tidak tahu apa-apa tentang rumah di belakang itu. Sejak dia
berpindah ke taman bersebelahan, hanya beberapa kali dia melalui di hadapan rumah
itu. Dia tidak pernah melihat sesiapa di situ dan tidak pernah terlintas di
fikirannya untuk ambil tahu apa-apa.
“Sudahlah tu, buat apa
tengok-tengok?”
Tanpa menghiraukan Khairul, dia
membawa tin cat itu ke belakang rumah menuju ke sebuah paip di tepi tembok.
Sambil melangkah, dia masih
berfikir. Dia faham apa yang bersarang di fikiran anak muda itu. Khairul pernah
membangkitkan kisah rumah di belakang itu yang dikatakan berhantu. Begitu juga
dengan rumah yang sedang dibaik pulih itu. Pendek kata kedua-dua buah rumah itu
sudah menjadi bahan cerita mulut-mulut penduduk di sekitar tempat itu. Namun
memandangkan upah yang diberikan oleh tuan rumah itu agak tinggi, sukar sekali
baginya untuk menolak walaupun di dalam hatinya tetap terasa risau.
Sedang dia leka menggosok
jari-jarinya di bawah air paip yang meleleh perlahan, tiba-tiba telinganya menangkap
bunyi suara yang halus.
“Xiao lau shu, shang deng tai, tou chi you, xia bu
lai…”Kemudian senyap.
Serta-merta jantung Mat berdegup laju. Terasa
darah menderu naik ke mukanya. Suara apa tu? Hatinya tertanya-tanya. Namun dia
berusaha juga menyiapkan kerja-kerja pembasuhannya secepat mungkin. Sedang dia
terkocoh-kocoh, dia terdengar lagi.
“Xiao lau shu, shang deng tai, tou chi you,
xia bu lai, Miao, miao, miao, mao lai le, Ji li ku lu, kun xiao lai.” Kemudian diikuti dengan tangisan yang hiba
dan panjang. Terdengar juga bunyi sesuatu yang diketuk atau dipukul
bertalu-talu.
Mat tersentak, matanya memandang ke
sekeliling. Apa yang kelihatan di matanya adalah daun-daun pokok Sukun yang
merendang di atas kepalanya. Langit pula semakin gelap menandakan senja mula
tiba, tanpa dapat ditahan nafasnya terasa sesak. Pelbagai bayangan ngeri hinggap
di kepalanya.
“Xiao
lau shu, shang deng tai, tou chi you, xia bu lai…”
Suara kecil itu kedengaran lagi, diikuti esak tangis yang semakin kuat.
Mata Mat menjadi besar, bulu romanya meremang.
Berus cat dicampakkan saja. Semasa dia menutup pintu belakang, esak tangis yang
mendayu itu masih kedengaran dari pokok sukun itu. Mat tidak berpaling lagi.