BAB
3
Keesokkan harinya…
Ipoh,
Perak
“SORRY lah brother, adik aku tak jadi pula pindah. Sorryya.”
“Mana boleh macam tu, bro? Lusa aku dah kena masuk kerja. Mana
sempat lagi nak cari rumah sewa lain?” Nafas Rafiq semakin kencang keluar
masuk. Kepalanya nanar seketika.
“Habis? Aku pun tak boleh buat
apa.”
“Aku tambah sewa lagi satu ratus.
Macam mana?”
“Tak bolehlah… adik aku nak pakai
bilik tu. Sorry, bro.” Panggilan
diputuskan.
Rafiq berdengus keras. Ingin sahaja
dia menelefon lagi, lelaki yang pernah berjanji akan menyewakan sebuah bilik di
rumahnya pada dua minggu lalu. Alih-alih pula di saat-saat akhir begini,
berubah fikiran. Namun dia sedar, tidak ada gunanya jika dia berbuat begitu.
Keputusan nampaknya sudah muktamad, entah apa sebabnya dia sendiri kurang
pasti. Tanpa sedar, dia termenung kosong di kerusi taman di luar rumahnya
dengan perasaan marah yang membuak-buak.
“Kenapa termenung saja ni?” tegur
seorang wanita dalam usia 50-an. Tubuhnya kurus seperti tubuh Rafiq juga.
Wanita itu duduk di hadapan Rafiq dengan wajah yang prihatin. “Macam ada
masalah saja.”
Rafiq melepaskan keluhan. Dia tidak
pasti apa yang harus dilakukan sekarang.
“Orang yang nak sewakan bilik kat
Melaka tu, kata tak jadi pula, mak. Geram betul dibuatnya. Kalau cakap
awal-awal, kan senang?” Dia termenung lagi. Perasaan geramnya masih
meruap-ruap.
Ibunya juga mengeluh perlahan.
Sambil tunduk merenung meja, ibunya bersuara. “Mak suruh tumpang rumah mak
andak kamu, kamu tak mahu. Pergilah saja rumah mak andak tu dulu. Kalau kamu
malu nak cakap, biar mak yang telefon. Mereka mesti tak menolak punya.”
“Memanglah mereka tak menolak tapi
saya yang segan, mak. Mereka tu pun bukannya saudara dekat kita. Entah-entah,
saya ni menyusahkan saja nanti.”
“Kamu memang macam tu, cukup susah
nak ke rumah saudara-mara kalau ke mana-mana. Habis tu nak tinggal di mana
nanti?”
Anak mata Rafiq kini melirik ke
arah ibunya. Dia tahu ibunya hampa dengan keputusannya tetapi dia memang berat
hati untuk menyusahkan sesiapa. Dia rasa segan. Dia lebih rela tinggal di hotel
jika perlu.
“Tengoklah nanti. Mungkin saya sewa
hotel dulu, itu pun kalau kawan dekat sana tak dapat tolong.”
“Sewa hotel? Mahal tu…”
“Terpaksalah, mak. Nak buat macam
mana lagi? Paling murah pun, sepuluh hari dah sama dengan sewa rumah sebulan.
Kena hantar baju ke dobi lagi, kena makan di kedai. Memang banyak jugalah
perbelanjaan bulan ni kalau tak dapat bilik sewa.”
“Ada kawan yang boleh carikan?”
tanya ibu Rafiq lagi. Di wajahnya sudah terbayang kerisauan terhadap anak
sulungnya itu.
Rafiq angguk. Sambil memaksa
dirinya untuk tersenyum dia menjawab, “Harap-harap dia sempatlah tolong carikan
malam ni atau esok.”
“Eloklah tu. Esok nak bertolak
pukul berapa?” Ibunya bangkit meninggalkan kerusi batu di sisi rumah dua
tingkat yang sudah berusia hampir 14 tahun itu. Wajahnya sedikit risau.
“Dah jadi macam ni… saya rasa nak
bertolak pagilah, mak. Sempat juga pusing-pusing tempat tu cari rumah kalau
perlu.”
Ibunya tidak bertanya lagi,
sebaliknya berjalan perlahan masuk ke dalam rumah.
Rafiq hanya menjeling sehingga tubuh
ibunya hilang di balik pintu. Dia faham perasaan ibunya tetapi keputusannya
sudah muktamad. Dia tetap mahu pergi ke Melaka dan dia tidak akan membiarkan
perkara seperti itu menjadi penghalang. Dia kembali menatap skrin telefon
bimbitnya. Dadanya berdebar.
Anak matanya leka meneliti satu
demi satu nama yang ada di dalam buku telefonnya. Akhirnya pencariannya
terhenti pada sebaris nama yang baru dimasukkan beberapa hari yang lalu. Dia
mengeluh perlahan sambil melemparkan pandangan ke arah rumah yang bertentangan
dengan rumahnya, dia menekan butang CALL. Sebaik sahaja panggilannya dijawab,
dia berasa mukanya panas. Rasa segan, rasa kekok semuanya ada.
“Helo, boleh saya bercakap dengan Mr. Jeremy?”
Dia memaksa suaranya keluar.
“Ya, bercakap. Ada apa?” tanya satu
suara yang sangat lembut dan perlahan.
Rafiq mula berpeluh. Dia mula
ragu-ragu terhadap tindakannya itu. Namun dia tidak mempunyai seorang kawan pun
yang tinggal di Melaka untuk meminta tolong. Paling dekat yang ada pun ialah di
Muar, tentulah akan menyusahkan pula.
“Saya… Rafiq. Mohamad Rafiq. Akauntan yang akan masuk kerja lusa.”
“Oh! Encik Rafiq… apa khabar? Headquarters memang sudah beritahu kami
yang encik akan datang lusa.”
Rafiq menarik nafas. Jantungnya
berdegup pantas.
“Ya, betul. Saya akan mula kerja
lusa tapi saya ada masalah sikitlah, Mr. Jeremy.” Dia diam, rasa cemas dan
segannya memuncak.
“Masalah? Masalah apa?”
“Tempat tinggal. Sampai petang ni,
saya masih belum dapat tempat tinggal dekat-dekat situ,” terang Rafiq. Serentak
itu dia berasa sedikit lega. Seperti terlepas beban di dada.
“Tempat tinggal ke? Tak apa, tak
apa. Awak datang sini dulu, nanti saya cuba carikan untuk awak kalau ada.”
Rafiq tersenyum. Tangan kirinya
mencengkam pemegang kerusi dengan kuat. Walau dia belum pernah berjumpa dengan
pengurus sumber manusia syarikat tempat dia akan berkhidmat itu, dia mula rasa
segalanya akan berubah baik sedikit masa lagi.
“Terima kasih, Mr. Jeremy.”
“Awak datang sini esok, kan?”
“Ya, mungkin paling lewat pun,
petang saya dah sampai ke Melaka,” jawab Rafiq dengan yakin sambil
mencongak-congak berapa jam perjalanan yang perlu ditempuhinya dari Perak ke
Melaka esok hari.
“Nanti bila sampai, terus jumpa
saya.”
“Okey, terima kasih sekali lagi, Mr
Jeremy. Jumpa esok.” Rafiq memutuskan talian dengan 1001 harapan.
Dia tersandar kelesuan. Kepalanya
masih bengang. Tanpa semena-mena dia terpaksa berharap kepada orang yang tidak
pernah dikenalinya pula untuk membantu. Dia rasa tidak berdaya dan hampa. Namun
dia juga tidak ada pilihan kerana itulah keputusan yang dipilih sendiri. Dia
tidak akan mengalah.
*******
KEESOKAN harinya, cuaca mendung
sahaja pada sebelah pagi. Walau hujan yang turun di sepanjang malam telah
berhenti, namun langit masih berat dan berwarna kelabu di serata tempat.
Bagaikan membawa petanda ada hati yang sarat dengan kesedihan.
Dalam keadaan itu, Rafiq terpaksa
berlari berulang-alik ke keretanya memasukkan barang-barang yang hendak dibawa.
Beg yang pertama sudah berada di tempat duduk belakang kereta MyVinya bersama
beberapa buah kotak yang mengandungi beberapa barang peribadi yang penting.
Kini, dia memasukkan beg yang kedua pula. Setelah semuanya ada dan terletak
dengan baik, dia berasa masanya telah tiba untuk dia memulakan perjalanan ke
Melaka.
“Saya pergi dulu, mak, ayah,”
katanya sambil tunduk menyalami tangan ibu dan ayahnya yang turut keluar
melihat dia bertolak. “Nanti kalau dapat tawaran masuk mana-mana, telefon
abang,” katanya pula kepada adik bongsunya Mardiana yang turut keluar ke
pekarangan rumahnya.
Adiknya tersengih. “Abang tu jangan
sibuk bekerja saja. Cari-carilah kakak ipar sorang.”
Rafiq tergamam apabila terdengar
usikan adiknya itu. Dia hanya mengeluh.
Ibu dan bapanya ketawa melihatkan
gelagat mereka dua beradik.
“Bawa kereta tu baik-baik. Jalan
raya licin ni lepas hujan.” Ayahnya menepuk bahunya dengan mesra.
Rafiq angguk sambil mengerling ke
arah ibunya yang berwajah muram. Hatinya mula terasa serba-salah. Dia memang
tidak suka saat-saat perpisahan seperti itu tetapi dia perlu menghadapinya jua.
Itu pilihannya.
“Mak, jangan lupa makan ubat.
Jangan buat kerja rumah banyak sangat. Sementara Mar cuti tu, suruh dia buat
kerja rumah. Ni asyik main SMS dengan pak we saja tahu.”
“Pergilah cepat!” balas adiknya
sambil menolak tubuh Rafiq ke hadapan.
“Yalah. Nanti sampai sana
telefonlah sini. Kalau tak dapat sangat tempat tinggal, telefon mak andak kamu
tu,” Ibunya menjawab dari tepi pagar.
Rafiq ketawa kecil. Ibunya tidak
habis-habis menyuruhnya ke rumah saudaranya. Nantilah, mungkin dia akan pergi
melawat apabila masalahnya sudah selesai. Sebelum leteran ibunya bertambah
panjang, dia segera meminta diri.
“Kalau tak ada apa-apa, Fiq jalan
dululah. Nanti lambat pula sampai sana.”
Ibu bapanya hanya mengangguk.
Dia melangkah dengan tenang menuju
ke keretanya. Dia tidak bimbang langsung dengan perjalanan itu cuma bimbang
dengan apa yang akan dihadapinya di sana kelak.
Senangkah, susahkah… dia hanya pasrah kerana itu pilihannya.