Bab
10
SEMENTARA itu, Adam baru meninggalkan
biliknya bersama kamera digital dan buku hitamnya. Setelah memastikan biliknya
terkunci rapi, dia melangkah dengan penuh harapan.
“Ingat tau, awak kena check out sebelum pukul 12.00,” tegur
wanita Cina yang sedang menyapu dan mengemaskan ruang tamu itu. Kini ruang tamu
rumah tumpangan itu kembali sunyi tanpa kelibat ‘wanita-wanita cantik’ seperti
malam tadi. Semuanya sudah hilang.
“Okey, nanti saya datang balik
ambil barang.” Adam melangkah menuruni tangga dengan tergesa-gesa. Dia
sebenarnya belum pasti berapa lama lagi dia di situ. Jika cepat dia menemui Liyana,
cepatlah dia meninggalkan tempat itu. Semuanya bergantung kepada hasil
pencarian dia pagi ini. Memikirkan soal itu, hatinya mula bergetar.
Setibanya di bawah, perutnya terasa
pedih. Dia tahu, jika tidak dilayan, gastriknya akan berulang lagi. Melihatkan
ada sebuah warung kecil di tepi jalan masuk yang menuju ke situ, dia segera
menyambung langkah ke situ.
Dia menarik sebuah kerusi plastik
di tepi dinding papan. Dia duduk bersendirian sambil matanya memerhati ke
sekeliling. Sewaktu dia tiba di situ malam tadi, warung itu sudah ditutup tetapi
nampaknya pagi ini, warung itu begitu meriah dengan pelanggan. Hampir tidak ada
kerusi kosong.
“Teh satu.” Dia membuat pesanan kepada
pembancuh air di situ sambil menarik sebungkus nasi lemak.
Seusai makan, jam di tangannya
sudah menunjukkan waktu 7.15 pagi. Dia bangkit untuk bergegas ke pasar besar
pula. Namun jalan raya yang menuju ke Lebuh AMJ sesak teruk. Waktu masuk kerja
dan persekolahan sesi pagi menyebabkan kenderaan bersesakan dari segenap arah. Terpaksalah
dia menahan sabar mengikut arus kenderaan yang bergerak seumpama siput.
Semakin dekat dia ke tempat yang
dituju, semakin sejuk rasa urat perutnya. Debar di dadanya makin kencang hingga
nafasnya menjadi pendek. Mungkinkah saat-saat yang dinantikan itu sudah tiba?
Mungkinkah hari itu dia akan bertemu semula dengan Liyana? Soalan itu
berlegar-legar di fikirannya, menjadi tenaga yang mengujakan.
Keretanya menyusuri Jalan Melaka
Sentral menuju ke Jalan Sentral dan membelok ke hadapan bangunan Pasaraya Mydin
utuk mencari tempat parkir. Dari situ dia hanya berjalan kaki kerana bangunan
Pasar Besar Melaka terletak bersebelahan tempat itu sahaja. Dia cuba melangkah
dengan tenang, menyembunyikan degupan jantungnya yang semakin laju.
Kamera sudah tersedia di tangannya.
Dari jauh, lagaknya tidak ubah seperti seorang pelancong. Hakikatnya, hanya
Tuhan yang tahu. Dia berhenti berdekatan sebuah gerai menjual sayur-sayuran
kampung di dalam pasar besar itu sambil memerhati ke arah tempat letak kereta
di kiri kanan pintu utama pasar. Kereta semakin banyak yang datang, ruang
parkir itu hampir penuh.
Dia bergerak pula dari hujung ke
hujung pasar, namun kereta yang dicari masih belum nampak bayang. Dia berlegar
pula di dalam pasar, mencari lokasi intipan yang paling sesuai. Dia yakin
penculik itu kenal siapa dirinya, oleh itu dia tetap berwaspada walau dia
terlalu ingin melihat semula wajah Liyana. Dia terlalu rindu.
Pukul 9.00 pagi. Pasar besar itu
mula riuh rendah dengan suara-suara penjual dan pembeli. Teriakan dan panggilan
mereka memenuhi suasana. Masing-masing cuba menarik perhatian pelanggan untuk
membeli barangan mereka. Dia hanya memerhati dengan teliti jika Liyana dan
lelaki yang dicari tiba-tiba muncul di situ tetapi hampa.
Pukul 10.30 pagi, kakinya mula terasa
kebas. Dia beralih duduk di atas tangga untuk mengurangkan keletihannya namun
anak matanya masih tidak lekang dari memerhati suasana di pasar besar itu.
Namun setelah matahari mula meninggi dan penjual-penjual di situ juga sudah
beransur pulang, Adam terpaksa menelan hakikat. Liyana tidak muncul pada hari
itu.
Tanpa dia sedar, seorang lelaki
berkulit cerah memerhati dia dari jauh.
*****
“SATU hari lagi,” kata Adam apabila
tiba semula di kaunter pendaftaran rumah tumpangan. Kali ini wanita Cina yang
menjaga kaunter itu telah tiada, tempatnya digantikan pula dengan seorang
lelaki Cina yang lebih kurang sama baya dengan wanita itu.
Sambil membetulkan letak kaca
matanya lelaki Cina itu bertanya.
“Bilik nombor 23, kan?” Suaranya
agak tenggelam di sebalik lehernya yang agak besar dan pendek.
Adam angguk sambil menarik beg
dompetnya. Beberapa helai duit kertas sepuluh ringgit, diletakkan di atas meja.
Dia tahu, itu sahaja bahasa yang difahami di situ.
Melihatkan duit itu, buku daftar
dihulurkan ke hadapan Adam bersama sebatang pena mata bulat berwarna biru.
Tanpa berlengah, Adam mengisi
butir-butir dirinya sekali lagi. Setelah selesai, duit itu ditolak ke depan
sedikit lalu diambil dengan cepat oleh lelaki Cina itu. Urusan selesai, Adam
melangkah lemah ke biliknya sambil memikirkan langkah seterusnya.
Baru tengah hari. Hanya 20 minit
melepasi angka 12 pada jam tangannya. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam.
Selimut nipis merah muda berkotak-kotak yang mengalas bantalnya ditolak ke
tepi. Dia termenung seketika, perasaan hampanya masih terasa-rasa.
Kenapa lelaki itu tidak muncul?
Mungkinkah lelaki itu bukan lelaki yang sedang dicarinya? Mungkinkah Syamsul
tersalah pandang? Keyakinannya mula goyah.
Dia mengeluh perlahan, bukan sekali
dua perasaan itu dialaminya. Sudah banyak kali dia berkejar ke sana ke sini
setiap kali mendapat maklumat mengenai Liyana. Dia tidak ada pilihan. Dia akan
buat apa saja demi mengembalikan isterinya ke pangkuan dia dan anak mereka.
Sedang dia leka berfikir, telefon bimbitnya berbunyi.
“Waalaikumusssalam,” jawabnya laju sebaik sahaja si pemanggil
menuturkan salam dari jauh.
Dia lantas bangkit duduk untuk
bercakap dengan lebih selesa dengan si pemanggil iaitu Borhan, kawan baiknya
yang sedang menjaga Aiman, anaknya di Kuantan. Borhanlah kawannya yang paling
memahami dan banyak membantu dari segala segi. Dia sangat terhutang budi kepada
Borhan dan keluarganya. Tanpa sokongan mereka, dia sudah lama kehilangan arah.
“Sorrylah, aku tak tahu engkau nak singgah rumah.”
Adam ketawa kecil, ketawa yang
hanya keluar di hujung bibir namun tidak ada langsung rasa sukanya. “Tak
apalah, nanti aku balik aku singgahlah tengok Aiman.”
“Mak Yah pun telefon selepas kau
pergi, kalau dia telefon awal, bolehlah aku balik cepat sikit.”
“Bukan salah Mak Yah, aku yang tak
beri dia telefon kau,” jawab Adam dengan tenang. Dia tidak mahu Borhan
menyalahkan Mak Yah, pembantu rumah Borhan yang sudah dianggap seperti ibunya
juga. Di tangan orang tua itulah, anaknya Aiman dibesarkan di rumah Borhan.
“Macam mana?”
Adam menelan air liur. Dia terdiam
seketika sebelum membalas sambil menahan nafas.
“Negatif.” Kini baru nafasnya
menderu turun perlahan-lahan. Entah bilalah dia dapat memberikan jawapan yang
lain.
Borhan menggumam seperti sedang
berfikir keras. “Habis tu?”
“Aku nak cuba cari dua tiga hari
lagi.” Kemudian Adam terdiam kerana tiba-tiba saja bibirnya menuturkan
keputusan itu tanpa sempat dia berfikir panjang. Aneh pula rasanya.
“Kau tak perlu risaukan apa-apa,
kau carilah di sana sampai puas.”
“Terima kasih, Borhan. Aiman… apa
khabar?” Serentak itu perasaannya terasa sayu. Jauh di sudut hatinya terasa
ngilu.
“Aiman! Mari sini, nak. Cakap
dengan abah.” Terdengar suara Borhan memanggil Aiman.
Adam kehairanan. Darahnya berderau
seketika. Dia sekadar bertanya, tidak sangka pula Aiman ada di situ. “Dia ikut
kau ke pejabat ke?”
“Haah, pagi tadi asyik merengek nak
ikut, aku bawalah ke sini sampai separuh hari.” Borhan ketawa kecil.
Tidak lama selepas itu terdengar
suara kecil di telefonnya. “Abah!”
“Ya, Aiman. Aiman sihat?” Adam bertanya
sambil menyeka air matanya yang bergenang. Rasa rindu yang bertakung sekian
lama, akhirnya runtuh dek suara Aiman yang manja itu.
“Sihat,” jawab Aiman.
“Aiman dah makan?”
“Belum. Papa, kita makan KFC nak?”
Aiman bercakap dengan Borhan pula yang dipanggil papa.
Adam tertunduk seketika, air
matanya semakin laju menuruni pipi. Kata-kata Aiman itu membuat rasa hatinya
tercalar semakin dalam. Sepatutnya sebagai bapa, kepada dialah Aiman harus
meminta tapi apa dayanya?
“Cakaplah dengan abah tu.”
Terdengar suara Borhan menegur sikap Aiman.
“Abah, bila nak balik?” tanya
Aiman.
Adam mengurut dada. Soalan itu
sungguh sukar untuk diterangkan kepada seorang kanak-kanak yang berusia empat
tahun lebih. “Nanti bila kerja abah selesai, abah balik ya?”
“Nak lollipop tau,” tambah Aiman.
“Baiklah, nanti abah beli. Beri
telefon pada Papa Borhan.” Dia tak sanggup lagi mendengar suara Aiman. Hatinya
makin rindu. Ingin saja dia terbang balik ke Kuantan pada masa itu juga.
“Kalau ada apa-apa masalah dekat
sana, cakaplah pada aku.” Suara Borhan kedengaran semula.
“Okey, setakat ni tak ada masalah.”
“Aiman sihat, tak payahlah engkau
risaukan dia.”
Adam terdiam lagi. Dia sedar Borhan
peka pada perasaannya saat itu tetapi sebagai ayah, sedikit sebanyak perasaan
bersalah itu mengekorinya. Mana mungkin dia tidak susah hati apabila
tanggungjawabnya diserahkan kepada orang lain.
“Cari Liyana, okey,” tambah Borhan
lagi.
“Okey.” Itu sahaja jawapannya
sebelum menyambut salam sekali lagi daripada Borhan. Panggilan itu berakhir di
situ. Kamar kecil itu kembali menjadi sunyi.
Dia merenung telefon bimbitnya lama-lama.
Suara Aiman masih terngiang-ngiang di telinganya. Suara yang menjadi azimat dan
penguat semangat. Tunggu nak… abah akan bawa mak Aiman balik, rintih hatinya.