“Kenapa mesti di tepi laut?”
“Apa Azmi tanya?” Aku menoleh ke
arah Azmi. Menunganku terganggu.
“Saya tanya kenapa cerita-cerita
cinta mesti ada babak di tepi laut? Kenapa laut? Kenapa bukan di tengah ladang
kelapa sawit?”
Aku tersenyum. Sebagai seorang
penulis aku faham, Azmi sedang dihujani pelbagai persoalan. Mungkin kerana pada
waktu itu kami berdua sedang duduk termenung menghadap Laut Cina Selatan yang
begitu ganas ombaknya, maka hal itu ditimbulkan.
“Kenapa Azmi pilih untuk menetap di
pulau ini? Kenapa tak cari kerja di bandar-bandar besar?” balasku seadanya. Aku
tak akan memberikan jawapan dengan mudah kepada dia. Seorang penulis adalah
juga seorang pemikir.
“Itu lain,” katanya sambil
tersenyum.
“Tiada yang lain dari kehidupan
kita. Apa yang kita tulis selalunya tak jauh berbeza dari kehidupan yang
sebenar. Apa yang kita suka, apa yang kita tidak suka, apa yang menyedihkan
kita dan apa yang menjadi impian kita, semuanya akan kita gunakan secara
jujur.”
“Kalau begitu, itu bukan watak,
kak. Itu tanda kita tidak dapat menjiwai watak-watak kita,” bantahnya.
Aku angguk.
“Itulah perbezaannya kenapa orang
pilih laut dan bukan ladang kelapa sawit.”
Azmi terdiam.
“Kakak datang dari jauh ni bukan
nak beri saya kelas penulisan novel, kan?” tanyanya kemudian sambil ketawa
kecil.
“Apa yang dapat akak beri sebagai
bayaran? Makan minum free. Tempat tinggal free,” balasku dengan tenang. Ya,
rasa sedikit kekok apabila tiba sahaja di situ dan diberitahu Azmi yang tempat
tinggal dan makan minumku semua sudah diurus oleh abang dan kakak iparnya
dengan syarat aku sudi menetap di sebuah rumah nelayan.
Mana mungkin aku menolak kesempatan
itu walaupun aku menolak tawaran semuanya ‘percuma’ Namun penolakanku ditolak
dengan budi bahasa yang baik sehingga aku terpaksa mengalah.
“Kak, cakaplah.” Azmi memandang
wajahku lama-lama.
“Nak cakap apa?”
“Lari sampai ke hujung pulau ni…
takkan tak ada apa-apa?”
“Tak ada apa-pa,” balasku lagi
seraya menyambung menunganku. Mustahil tidak ada apa-apa yang membawa aku ke
pulau nelayan yang kecil itu namun untuk mencurahkan segala-galanya kepada Azmi
juga tidak mudah.
“Cinta tak kesampaian?” tekanya
pula.
“Akak sedang memujuk hati, okey?”
Keras sedikit suaraku.
Azmi tergamam.Kemudian mengangguk.
“Semoga pulau ini dapat memujuk
akak,” katanya dengan lembut. “Dan dapat memberikan inspirasi untuk novel akak
seterusnya.”
Aku diam sahaja. Entah kenapa aku
seperti merasakan Azmi sedang mengejekku. Ada rasa kurang senang menjalar dalam
hati. Bentakan ego barangkali.
“Perli?”
Azmi ketawa pula.
“Sampai bila akak nak lari dari
menulis kisah cinta? Padahal saya tahu, akak boleh saja tulis, kan?”
“Baca cerita orang lain lebih
senang. Lagipun dapat tolong kawan-kawan lain. Mereka dah penat menulis.”
“Semua tu alasan saja, kan kak?”
balas Azmi dengan selamba. “Alasan untuk tidak berdepan dengan ketakutan
sendiri.”
Aku diam. Disebabkan mulut Azmi
yang selalu lepas itulah, aku mencari dia walaupun jarak tempat tinggalku dari
situ hampir 400 km. Disebabkan keberanian dia itulah aku rela dilambung ombak selama
sejam untuk sampai di situ walaupun aku sangat fobia pada air dalam. Hanya dia
yang selalu dapat menyakitkan hati aku dengan kenyataan-kenyataan yang pahit.
Tetapi benar.
****
HARI kedua aku di Pulau Damai.
Sebuah pulau kecil yang penduduk majoritinya adalah nelayan kecil. Cuma ada
sebuah resort yang baru dibina di hujung tanjung berdekatan jeti. Sebuah kedai
runcit yang merangkap kedai cenderamata yang dihasilkan oleh penduduk pulau
itu. Sebuah surau dan beberapa buah rumah. Itu sahaja namun aku berasa lebih
damai.
“Kata Kak Nab, akak tak tidur malam
tadi,” tegur Azmi. Dihulurkan sebiji kelapa muda yang sudah ditebuk di bahagian
atas. Ada sebatang straw dan sudu panjang.
Aku terus tersenyum apabila
menerima pemberian itu. Pada waktu panas begitu, sememangnya air kelapa muda
amat menggoda jiwa.
“Akak biasa qiamullail?” tanyanya
lagi.
Aku pandang dia. Antara aku dan dia
sudah seperti adik-beradik. Banyak yang aku tahu pasal dia dan banyak yang dia
tahu pasal aku.
“Takkan Azmi sorang saja yang nak
qiamullail?”
“Alhamdulillah. Tapi takkan sampai
tak tidur langsung?”
“Siapa pula yang tak tidur? Akak
tidur tapi tak lama,” balasku sejujurnya.
Sememangnya kebelakangan ini aku
kurang tidur. Kalau terlelap pun hanya sejam dua. Selepas itu akan terjaga dan
melakukan solat sunat sehinggalah aku penat. Kadang-kadang aku terlelap di atas
sejadah dan aku sangat bersyukur kerana masih diberikan sedikit nikmat tidur.
“Solat dan bersabar ya, kak?” Tanya
Azmi penuh makna. Menjeling sekilas sebelum melemparkan pandangan matanya jauh
ke tengah laut.
Aku angguk perlahan. Aku faham Azmi
cuba memahami masalah yang sedang aku hadapi tetapi aku belum terbuka hati
untuk berbicara.
*****
PETANG itu aku ke tepi pantai.
Menyepak-nyepak air laut, merendam kaki sampai tenggelam dalam pasir. Sesekali
berlari mengejar gigi ombak yang pasang surut dan sesekali tunduk mengutip
kulit kerang yang pecah-pecah.
“Ini untuk akak,” kata Azmi.
Aku terkejut besar. Entah sejak
bila Azmi mengekori aku, aku pun tidak perasan.
“Apa benda ni?” Aku ambil juga
sebuah kotak kecil berbentuk bulat berwarna merah muda metalik. Aku buka dan
mataku tertancap kepada seutas mutiara. Hendak dikatakan rantai bukan, hendak
dikatakan gelang juga bukan.
“Tasbih,” kata Azmi bagaikan
mengerti kekeliruan yang berlegar di kepalaku.
Aku tersenyum lebar.
“Terima kasih, cantik!” Aku puji
sejujurnya. Sememangnya itu tasbih yang cukup indah di mataku. “Akak akan pakai
setiap hari.”
Azmi angguk dan kami terus
menyusuri pantai itu sambil melihat beberapa orang kampung membersihkan bot.
“Sudah jumpa apa yang akak cari di
sini?”
“Azmi tak suka akak tinggal di
sini?” tanyaku pula.
“Akak tahu kan itu bukan maksud
saya?”
“Tak ada apa yang perlu dirisaukan.
Insya-Allah, segala kelukaan ini akan sembuh,” kataku penuh makna. Aku tahu
Azmi faham. Masalah cinta adalah satu masalah yang sangat universal. Kalau tidak
kecewa kerana cinta tidak kesampaian, pastilah kerana cinta yang dihancurkan.
“Cinta, satu kuasa yang sungguh
aneh, kan? Ada kalanya seperti sebilah pisau. Ia boleh jadi sesuatu yang sangat
berguna. Tapi boleh juga jadi sesuatu yang boleh menghancurkan kehidupan,”
balas Azmi. “Tapi manusia tak pernah serik-serik mencari cinta walaupun kisah
kekecewaan boleh kita jumpa di mana-mana.”
“Semua orang memerlukan cinta,”
kataku. “Cinta itu makanan jiwa.”
“Makanan jiwa yang salah arah,” kata
Azmi.
Aku terdiam lama untuk memahaminya.
“Cintakan Allah SWT. Cinta yang
lain akan dipenuhi.”
Aku terus angguk.
“Tapi hati tetap perlukan masa
untuk dipujuk. Nafsu manusia,” kataku. “Bukannya tak faham, bukannya tak tahu
Allah SWT itu sempurna. Sudah cukup Allah SWT itu untuk manusia tapi….”
“Kita hidup dikelilingi dunia yang
materialistik. Termasuklah cinta manusia yang juga dijadikan bahan sanjungan.
Rumah tangga adalah kebanggaan bukan lagi amanah. Anak-anak adalah harga diri
bukan lagi amanah,” balas Azmi. “Semuanya kita hendak miliki. Kalau tidak, kita
rasa kekurangan. Bagaikan ada kelompangan dalam hidup kita. Tetapi kita tetap
kata cukuplah Allah SWT itu bagiku.”
Aku terdiam lama jadinya.
“Kelukaan akak akan sembuh,
Insya-Allah. Berfikir secara positif. Apa yang bakal akak dapat dari semua
pengalaman ini,” katanya lagi.
“Yang pastinya bukan sebuah novel
cinta.” Aku ketawa kecil.
“Kak, pernahkah akak terfikir
bahawa berdepan dengan ketakutan itu adalah penawarnya?”
Aku terdiam makin lama.
“Kak, malam ni jemput ke surau. Ada
bacaan hadis.” Pesan Azmi sebelum meninggalkan aku sendirian di situ menatap
langit senja yang semakin berwarna-warni. Alangkah indahnya jika dia ada
bersama..
****
“Akak sedang belajar menerima
kenyataan.” Keesokan harinya aku membuka mulut juga kepada Azmi. Disaksikan
langit biru dan angin pagi yang menderu-deru datang dari arah laut.
“Bahawa cinta itu bukan milik
akak?” sambung Azmi.
“Cinta itu tak pernah jadi milik
akak.”
Azmi angguk.
“Cinta itu tak pernah jadi milik
kita,” balas Azmi. “Ia milik Allah SWT. Andai diberikan kepada kita, kita
dapatlah. Kalau tak… usaha macam mana pun kita takkan dapat. Banyak orang lupa
bahawa cinta itu juga satu rezeki. Ramai yang fikir cinta itu milik hati. Namun
mereka lupa siapa yang memiliki hati manusia. Siapa yang berkuasa
membolak-balikkan hati dan perasaan manusia?”
Setiap kali Azmi bercakap, aku
mesti terdiam lama.
“Usah bersedih selama-lamanya, kak.
Sebagai hamba-Nya kita selalu kata kita reda. Kalau kita reda, kenapa kita
sedih dan marah? Kita marah siapa sebenarnya?”
“Akak bukan tak terima. Akak faham
tapi bukan senang nak membuang perasaan kecewa dalam hati akak,” balasku. Itu
sahaja masalahnya. Sebagai manusia biasa, aku punya kehendak, aku punya
cita-cita, aku punya angan-angan. Aku ada perasaan kecewa, sedih, dan marah.
“Yang marah itu ego. Yang kecewa
itu nafsu. Yang reda itu iman,” kata Azmi. “Biarlah keredaan itu lebih besar
daripada ego dan nafsu. Baru hidup kita seperti kapal yang ada kemudi. Bukan
kapal hanyut dek perasaan duniawi.”
Aku menghempas nafas. Rasanya
gelora di jiwaku lebih hebat daripada gelora yang menghempas laut pada waktu
itu. Sekurang-kurangnya berada di pulau kecil itu fikiranku dapat mengasingkan
sedikit masalah kerja dengan masalah peribadi. Dan aku benar-benar berharap aku
pulang nanti dengan perasaan yang lebih kuat untuk menempuh kehidupan.
“Cinta tak harus memiliki,” kataku.
Merumuskan sebuah hakikat yang pedih. Ternyata aku masih mencintainya.
“Tiada apa yang kita punya, kak,”
balas Azmi. “Perasaan cinta itu pun, kalau Tuhan ambil balik, kita jangan
terkejut. Bersyukurlah setiap manusia yang masih diberikan cinta dan menjadi
manusia yang dicintai manusia lain.”
Air mataku mengalir deras.
“Dia tak mencintai kakak lagi?”
Tanya Azmi perlahan.
“Sudah terlalu lama akak mencintai
dia. Tapi akhirnya akak terpaksa menerima, dia tak mencintai akak,” balasku
dengan lebih tenang. Aku tahu Azmi tidak pernah tahu kisah cinta yang aku
sembunyikan bertahun-tahun.
“Kecewa kerana apa yang akak nak
tak dapat? Merajuk?”
“Bukanlah merajuk. Kalau merajuk
pun bukan ada yang nak pujuk. Akak faham soal jodoh tapi hati dan perasaan
sahaja yang tak boleh nak rasa gembira seperti biasa. Kalau boleh, akak nak
tarik dia keluar, nak cuci dengan air laut tu.” Aku ketawa kecil. Marah pada
hati sendiri yang masih mengenang lelaki yang sudah pun menjadi suami orang.
Dia sedang berbahagia sedangkan aku berendam air mata setiap hari. Bodoh
sungguh!
“Hidup ni kalau tak diuji dengan
pelbagai perasaan bukan manusia namanya, kan? Bezanya kita dengan haiwan dan
tumbuhan ialah kita boleh meluahkan perasaan kita dengan banyak cara. Mereka
tidak. Paling tinggi pun boleh berbunyi atau memberi reaksi.”
Aku angguk faham.
“Akak jangan fikir ini ujian yang
terakhir. Selepas ini akak mungkin akan kecewa lagi, menangis lagi, marah lagi.
Tapi tak apa, pulau ni ada saja untuk akak datang menangis. Itu pun kalau pulau
ni tak dilanda tsunami.”
Aku ketawa kecil.
Azmi tersenyum.
“Macam tulah. Luka tetap luka tapi
kita tak dijadikan untuk menangis sepanjang hidup. Kalau kita faham tujuan
hidup kita, soal hati bukanlah soal yang terlalu besar, kan?” katanya dengan
selamba. “Sentiasa bersangka baik pada Allah SWT. Kita tak tahu semua perkara.
Ya, memang hati akak suka dia tapi akak tak tahu semua perkara tentang dia,
kan? Tapi Allah SWT tahu dia bukan yang terbaik untuk akak. Kalau akak reda dengan
aturan Tuhan dan berserah pada Allah SWT untuk tentukan jodoh akak, saya
percaya Allah SWT akan berikan yang terbaik untuk akak nanti.”
“Akak faham tapi….”
“Solat dan bersabar,” tambah Azmi.
“Itulah penawar semua kelukaan dalam dunia ni.”
Akhirnya aku angguk. Sememangnya
tidak ada jawapan yang lain untuk mengubati kelukaan ini. Lari ke hujung dunia
pun tidak akan membantu kerana yang luka itu adalah hati. Ke mana pun aku
pergi, aku akan membawanya.
“Hadapi saja ketakutan tu kak,” pujuk
Azmi lagi.
Aku diam.
****
HARI ketiga aku di Pulau Damai.
Hatiku sememangnya makin damai di sini. Siang bercumbu dengan ombak, malam
berqiamullail sambil ditemani bintang dan bulan. Waktu yang tersisa, aku
habiskan dengan mengaji dan mengaji. Kak Nab dan suaminya membiarkan aku buat
sesuka hatiku di situ. Mungkin mereka faham. Aku sedang bergelut dengan
kesedihanku sendiri.
“Esok akak balik,” kataku apabila
dikunjungi Azmi di rumah Kak Nab.
“Dah bersedia?”
“Insya-Allah,” balasku. Aku
sememangnya berharap aku sudah bersedia kerana setelah memikirkannya
masak-masak, aku sedar aku tetap mencintai dia. “Akak tetap mencintai dia. Akak
masih belum dapat melupakan dia. Membenci lagi tak boleh.”
Azmi tersenyum.
“Cinta sejati,” katanya. “Dia
beruntung kerana mendapat cinta sejati akak. Dan akak sebenarnya beruntung
kerana dianugerahkan cinta sejati seperti itu. Akak tahu tak? Tak semua orang
dapat merasainya. Selalunya selepas kecewa, hubungan terputus terus. Tidak ada
doa untuk orang yang pernah dicintai. Malah mungkin ada yang mendoakan yang
tidak baik.”
“Kerana kenangan itu menyakitkan,”
balasku sambil tersenyum. Itu sahaja masalahnya. “Tapi dengan memaafkan, sakit
itu akan kurang.”
“Tak semua orang punya kekuatan
untuk memaafkan macam akak.”
“Mungkin di situlah beza antara
cinta dan cinta sejati. Cinta mahu memiliki tapi cinta sejati tidak meminta
apa-apa hak. Dia hanya mahukan apa yang terbaik untuk yang dicintainya dunia
dan akhirat.”
“Saya percaya hati akak sudah
tenang,” balas Azmi. “Jadi bolehlah tulis kisah cinta selepas ini.”
Aku tersenyum lebar. Ya, hatiku
telah tenang setelah mengambil keputusan. Bagaimanapun untuk menulis kisah
cinta…. Aku belum bersedia.
“Akak takut, kisah yang akak tulis tu
akan jadi kisah sedih. Kisah cinta yang tak kesampaian seperti realiti
kehidupan akak juga.”
“Ada saja orang yang suka baca
kisah sedih, kak.Asalkan kisahnya memberikan penyelesaian yang betul. Kalau
kisah putus cinta lepas tu bunuh diri, memanglah salah,” balas Azmi.
“Entahlah. Akak belum punya
kekuatan,” kataku.
“Hadapi ketakutan, kak. Akak
seorang yang kuat.”
Aku diam lagi.
Keesokan harinya aku tinggalkan
Pulau Damai. Aku ucapkan selamat tinggal kepada Kak Nab sekeluarga dan juga
Azmi yang menghantarku ke jeti. Dalam genggamanku, tasbih pemberian Azmi kugenggam
kemas seperti aku mengenggam keazaman.
Biarlah cinta aku tidak kesampaian
tetapi tidak seharusnya aku hidup dalam kesedihan yang berpanjangan. Sungguh akan tiada lagi gurauan. Tiada lagi kenangan manis. Namun aku tetap akan mendoakan kebahagiaan dia dalam setiap doaku. Kebahagiaannya... kebahagiaanku jua.
* terima kasih kerana sudi meluangkan masa membacanya ya ~MK