Bab
6
“BUAT apa susah-susah sewa bilik?
Tidur di rumah aku kan boleh?” kata kawan lama Adam. Namanya Syamsul, sewaktu
mereka berjumpa di sebuah gerai makan di luar Melaka Sentral pada sebelah
malam. Wajahnya begitu serius. Mi goreng di dalam pinggannya pun belum disentuh
lagi.
“Tak apalah. Lain kali sajalah.”
Adam menepuk bahu Syamsul.
Dia betul-betul tidak berniat untuk
mengecilkan hati kawannya itu. Namun pengalaman hidupnya mengajar agar tidak
mengambil kesempatan di atas budi baik kawan.
“Engkau sampai pukul berapa hari
tu?”
“Dekat pukul 11.00 malam. Aku
singgah ke rumah mak mertua aku dulu sebelum tu. Cari punya cari, dapat bilik
dekat Jalan Semerang.” Adam menjawab dengan tenang. Nasi goreng kampung di
dalam pinggannya disuap perlahan-lahan.
“Jalan Semerang? Ada hotel ke dekat
situ?” Syamsul berkerut dahi seperti cuba mengingati sesuatu.
Adam tersenyum. “Rumah tumpangan
saja. Aku bukannya nak datang melancong.”
Syamsul turut ketawa kecil apabila
mendengar kata-kata gurauan Adam itu. Setelah ketawanya hilang, wajahnya
kembali serius.
“Aku dah cuba cari di sekitar sini,
kalau-kalau terserempak dengan kereta tu lagi tapi tak ada.” Dia pandang Adam
yang seakan tergamam apabila terdengar kata-katanya.
Mata Adam terkelip-kelip. Namun
belum sempat dia menjawab, Syamsul berkata lagi.
“Ha… aku ada tangkap gambar kereta
tu tapi tak jelas sangatlah.” Syamsul membuka album gambar di dalam telefon
bimbitnya untuk ditunjukkan kepada Adam. “Ni dia.”
Tangan Adam menggigil menyambut
telefon yang dihulurkan Syamsul. Telefon milik Syamsul itu diletakkan segera di
atas meja. Matanya terpaku ke arah sebuah imej yang kabur. Namun dia dapat
melihat sesuatu, dadanya berdebar.
“Bluetooth ke telefon aku,”
pintanya.
Syamsul angguk. Dalam seminit dua,
gambar itu sudah berada di dalam telefon Adam pula. “Bila kau nak pergi cari?”
“Aku dah ke sana pagi tadi, tak ada
sesiapa pun yang perasan mereka berdua. Semalam pun aku dah perhatikan tempat
tu dari sini,” balas Adam.
Syamsul melemparkan pandangan ke
arah bangunan Pasar Besar Melaka yang terletak hanya di seberang jalan dari
tempat mereka duduk. Pasar itu nampak lengang dan sunyi kerana waktu perniagaan
di situ telah pun tamat.
“Masa aku nampak dia hari tu, lebih
kurang pada pukul 9.40 pagi. Cubalah kau datang awal-awal esok. Manalah tahu kalau
mereka datang lagi?”
Adam angguk sahaja. Memang itulah
rancangan dia esok pagi dan pada pagi-pagi yang seterusnya. Dia masih lagi
merenung imej yang diterima tadi. Apa yang dilihat adalah bahagian tepi kereta
yang berwarna putih. Dalam kekaburan imej itu, dia dapat melihat topi kelabu
yang dipakai lelaki itu. Dia berdebar-debar. Mungkinkah lelaki itu yang
menculik Liyana? Mungkinkah?
“Terima kasih untuk maklumat kau
ni.”
“Kau tak nak beritahu pihak polis?”
Dia geleng cepat.
“Mungkin mereka boleh buat roadblock,” sambung Syamsul lagi.
Dia geleng lagi sambil memandang
wajah Syamsul lama-lama. Wajah kawan sekolahnya yang sudah bertahun tidak
berjumpa. Perhubungan hanya terjalin semula apabila dia menyiarkan berita
kehilangan Liyana di dalam surat khabar tiga tahun yang lalu. Sejak itu dia
dihubungi oleh rakan-rakan lamanya semula untuk menyatakan rasa simpati mereka,
salah seorangnya ialah Syamsul yang duduk di hadapannya sekarang.
“Maklumat kita tak kuat,” jawabnya
ringkas sambil melepaskan keluhan.
“Tak kuat?” Syamsul terkelip-kelip.
Dia angguk sambil mengangkat
kening. Perkara itu bukan sesuatu yang asing lagi kepadanya. Malah dalam masa
tiga tahun, entah berapa kali dia memberikan maklumat sebegitu kepada pihak
polis tetapi hasilnya tetap nol. Lama-kelamaan dia pun sudah serik untuk
menyusahkan pihak polis lagi. Biarlah kali ini dia siasat dulu betul-betul.
Syamsul tergaru-garu kepalanya. Dia
mengeluh sambil menggeleng. “Kalaulah aku cepat sikit hari tu.”
Adam tersenyum lagi. Rungutan yang
keluar dari bibir Syamsul itu menyentuh hatinya. Dia bersyukur kerana sejak dia
kehilangan Liyana, ramai kawan-kawannya tampil membantu sedikit sebanyak. Namun
dia juga yakin, Tuhan masih belum mahu menemukan dia dengan Liyana walau dia
tidak akan berhenti berharap.
“Tak apalah, Syam. Semua tu
ketentuan Tuhan,”
“Kau boleh relaksya? Kalau akulah… aku tak tahu apa akan
jadi.”
Adam cuma ketawa kecil. Ketawa yang
hanya dia yang faham apa rasanya. Relaks?
Sejak bila dia relaks? Malah sejak
Liyana dibawa lari, siang dan malamnya seolah tidak ada bezanya lagi. Itukah
relakspada pandangan Syamsul?
“Dah tiga tahun berlalu, Syam. Apa
yang kau jangkakan aku akan buat?”
“Betul kata kau, maafkan aku,” kata
Syamsul pula, wajahnya membayangkan kekesalan dan simpati yang dalam. “Cuma aku
harap dapat membantu lebih daripada itu.”
“Ini pun dah cukup baik. Kalau
betul itu Liyana, bermakna dia masih hidup. Syukur, Alhamdulillah.” Adam cuba tersenyum supaya Syamsul tidak berkecil
hati dan tenggelam dalam rasa kesal.
“Jika aku lapang, aku akan bantu kau cari
Liyana.”
“Terima kasih, Syam,” balasnya
seraya tersenyum.
Dia tidak mungkin akan menolak apa-apa pun
pertolongan walau sebesar zarah sekalipun. Lagipun Syamsul lebih arif dengan
tempat itu berbanding dia.
******
SETELAH
meninggalkan Melaka Sentral, Adam terus balik ke rumah tumpangannya. Perjalanan
yang jauh dari Kerteh ke Melaka dan pencariannya yang tanpa henti, mula memberi
kesan. Sekujur tubuhnya dipanjat keletihan yang amat sangat. Pada saat itu, dia
hanya terbayangkan katil dan bantal di biliknya.
Sebaik sahaja kakinya memijak anak
tangga, telinganya sudah menangkap bunyi televisyen berbahasa Mandarin. Dia
mengeluh perlahan. Mujurlah biliknya jauh ke belakang. Kalaulah di bahagian
hadapan, mungkin dia perlu menutup telinga sepanjang berada di situ, fikirnya.
Namun dek kerana kepenatan yang makin terasa, dia mengagahkan diri juga untuk
naik ke atas. Setibanya di tingkat dua, dia tergamam.
Permandangan yang dilihat kini,
jauh berbeza dari apa yang dilihat malam tadi. Kini ruang tamu itu dipenuhi
oleh ramai orang. Kebanyakannya perempuan atau ‘seakan-akan perempuan’.
Kehadirannya segera menjadi perhatian. Semua mata-mata yang beralis lentik di
situ menoleh dengan wajah yang gembira.
“Abang! Mau pakai tak?” tanya seorang ‘wanita’
yang berambut lurus melepasi bahu.
Mukanya bujur sireh dengan dagu
yang runcing. Solekannya begitu tebal dengan warna gincu merah menyala.
Pakaiannya sendat dengan skirt pendek
atas lutut dan baju-T ungu yang berkilat.
Adam cuma menggeleng. Pandangan
mata yang menyeluruhi tubuhnya dari atas ke bawah itu tidak diendahkan.
Langkahnya makin dilajukan. Dia tidak perlu ambil tahu tentang mereka atau apa
yang sedang terjadi di situ. Masalahnya sudah sedia banyak, dia cuma mahu
melepaskan lelah malam itu.
“Bukannya mahal sangat bang, RM
20.00 saja…” pujuk perempuan cantik berbahu bidang itu lagi sambil
melentok-lentok di tepi dinding.
Adam hanya memekakkan telinga. Dua
puluh ringgit ke, sepuluh ringgit ke atau percuma sekalipun, dia tidak mahu
tahu. Kedatangannya ke situ bukan untuk menambah dosa malah dia sentiasa berdoa
agar hatinya terpelihara dari godaan dunia yang semakin hari semakin hebat.
Setelah mengunci pintu, dia segera
memetik suis lampu. Suis kipas juga diputar ke paras yang maksima. Tanpa berlengah
dia merebahkan tubuhnya ke atas tilam yang cadarnya sedikit berkedut.
Serta-merta tubuhnya terasa makin lega.
Dia cuba melelapkan mata namun
kelopak matanya terasa pedih. Akhirnya dia terkelip-kelip merenung siling putih
di atas kepala. Fikirannya serta-merta melayang ke pasar besar semula. Segala
yang dilihat pagi tadi, segala suara
manusia yang ditemui dan semua lorong dan pintu keluar pasar yang terbuka itu
cuba diingatkan semula. Secara tiba-tiba kedengaran ketukan yang lembut di
pintu biliknya.
Adam memasang telinga. Mungkinkah
dia tersalah dengar? Sedang dia terfikir-fikir, ketukan itu kedengaran lagi
bersama suara yang sayup-sayup. Kini dia yakin, memang pintu biliknya yang
diketuk. Lantas dia bangun menghampiri pintu. Belum sempat dia membukanya
kedengaran ada suara yang memangil.
“Abang… mahu pakai tak? Murah
saja.”
Dadanya berdebar. Perempuan itu
lagi, keluhnya dalam hati. Tubuhnya yang lesu dirasakan makin lesu. Suara di
luar sana tidak henti-henti merengek dan merayu. Kepalanya mula pening. Apabila
ketukan kedengaran lagi, dia membuka pintu.
“Boleh tak awak jangan ganggu saya?
Saya nak bersolat,” katanya tenang sambil merenung wajah ‘wanita’ di hadapan
pintunya itu. Dia yakin ‘wanita’ itu faham apa ertinya solat.
Wanita itu terdiam. Senyuman di
wajahnya pudar. Di ruang matanya tergambar kengerian. Sehingga pintu bilik itu
ditutup semula, dia terus terpaku di situ bagaikan patung.
Sebaik sahaja mengunci pintu, Adam
menarik kain pelekat yang terlipat elok di sudut katilnya. Seluarnya dilucutkan,
dan kini dia berkain pelekat sahaja. Dengan langkah yang longlai dia menuju ke
bilik air untuk mandi dan bersolat Isyak. Semasa dia menutup pintu bilik
air, ketukan di pintu tadi sudah tidak
kedengaran lagi.