1748
Hutan Jeram
Pinggir
CUACA lewat petang itu
begitu redup. Matahari sudah hampir rebah di balik pohon-pohon hutan yang
tinggi menjulang. Langit kian kelam dipayungi awan hitam. Namun gerombolan
Tengku Wazir masih tidak berganjak dari tepi sebuah jeram.
“Nampak tak,
Tengku?” bisik Sukma, ketua kepada para pengiring yang ikut berburu. Sama-sama
memandang ke seberang jeram.
Mata Tengku Wazir
tidak berkelip. Seekor pelanduk yang bermain-main di pinggir hutan menarik
perhatiannya. Dia pun menarik anak panah dengan berhati-hati. Setelah cukup
yakin, dia pun melepaskan anak panah itu tanpa teragak-agak lagi.
Pelanduk itu terus
tumbang sebelum terkial-kial cuba bangun semula. Pengiring-pengiring Tengku Wazir
pun bersorak riang lalu tergopoh-gapah berlari ke seberang jeram bagi mendapatkan
pelanduk tadi. Ada yang rebah-rempah. Ada yang basah lencun.
“Tepat sekali, Tengku,”
puji Tengku Syaiful seraya menepuk-nepuk bahu sepupunya.
Tengku Wazir
ketawa kecil. Hilang sudah rasa penatnya seharian berburu tanpa apa-apa hasil
di hutan itu. Walaupun sebelum itu mereka tidak pernah pulang dengan tangan
kosong namun hari itu segalanya tidak berhasil, bagaikan ada malang yang
menunggu.
“Sekurang-kurangnya
kita tidak pulang dengan tangan kosong,” balas Tengku Wazir. Masih menanti di
tempatnya untuk melihat pelanduk yang dipanah tadi.
“Hari pun sudah
senja. Eloklah kita bergerak pulang sebelum laluan bertambah gelap.” Tengku
Syaiful mendongak ke langit. Secara tiba-tiba sahaja, langit berubah gelap seakan-akan
hujan lebat akan turun.
“Tengku! Tengku!” Sukma
berlari semula ke seberang jeram. Wajahnya begitu cemas.
“Kenapa, Sukma?”
Tengku Wazir bercekak pinggang. “Di mana pelanduknya?”
“Lebih baik ke
sana dulu, Tengku,” balas Sukma.
Tengku Wazir dan
Tengku Syaiful saling berpandangan. Hatinya sudah terasa tidak enak bak ada
geruh yang menimpa.
“Marilah,” kata
Tengku Syaiful.
Tengku Wazir
langsung mengalah. Ajakan sepupunya itu dituruti. Tanpa banyak soal lagi,
mereka berdua meraduk air hingga sampai ke seberang jeram. Setibanya di sana,
Tengku Wazir segera mengikut pengiring-pengiringnya masuk ke dalam hutan.
Namun, tidak lama kemudian Tengku Wazir terkejut besar. Berderau darahnya.
Tengku Syaiful
juga begitu. Dia dan Tengku Wazir sekali lagi saling berpandangan tanpa sepatah
kata.
“Kenapa dengan
dia?”
Tengku Wazir
berpeluh sejuk apabila melihat seorang gadis terbaring dalam keadaan berdarah.
Sebatang anak panah miliknya tercucuk di perut gadis itu.
Sukma tidak terus
menjawab, malahan menundukkan muka.
“Adakah dia masih
hidup?” tanya Tengku Syaiful pula.
Sukma lantas
memeriksa nafas gadis itu sebelum menjawab, “Masih hidup, Tengku. Tapi kalau
lambat dirawat, gadis ini akan kehilangan lebih banyak darah.”
Tengku Wazir
memerhati sekeliling. Hutan yang bertambah gelap membuatkan dia tidak dapat melihat
apa-apa, meskipun sebuah denai.
“Cuba hantar orang
kita memeriksa. Mungkin ada perkampungan berdekatan tempat ini.”
“Baik, Tengku.”
Sukma terus mengatur orangnya untuk menggeledah hutan itu setakat yang terdaya.
Sementara itu
Tengku Wazir memerhati gadis itu dengan lebih dekat. Dia terpegun. Gadis itu
sungguh rupawan wajahnya. Pakaiannya juga tampak elok dan cantik terletak.
“Siapa agaknya
dia?”
Tengku Shaiful
menggeleng lemah.
“Tengku.” Setelah
beberapa lama, Sukma berlari anak ke situ semula. Mukanya berpeluh-peluh.
“Bagaimana?” tanya
Tengku Wazir.
“Kami tidak
menemui sebarang tanda pun, Tengku. Lagipun seingat patik, di kawasan ini
memang tidak ada yang tinggal,” jawab Sukma.
Tengku Wazir
terdiam. Lama matanya merenung wajah gadis itu yang masih lagi tidak sedarkan
diri.
“Kalau begitu,
buatkan usungan. Bawa gadis ini balik ke istana dengan segera. Panggilkan
pawang untuk merawat sehingga sembuh.” Tengku Wazir tidak ada pilihan. Dia tidak
sampai hati melihat gadis itu mati di situ.
MENJELANGmalam, barulah rombongan Tengku Wazir sampai semula ke istana. Namun
begitu, kepulangannya membawa seorang gadis yang rupawan menjadi inti bualan.
“Dari mana
gerangan kanda mendapat gadis itu?” tanya Tengku Rani Baiduri, isteri Tengku
Wazir.
Kepulangan
suami yang ingin disambut dengan rasa gembira terus hambar jadinya. Entah kenapa
sebaik sahaja terlihat wajah gadis itu, meresaplah api kemarahan di dadanya.
Panas seluruh tubuhnya.
Tengku
Wazir yang masih kepenatan; tidak menjawab.
Sebaik sahaja terpandang
wajah Tengku Rani Baiduri yang masam mencuka, terbitlah rasa marah di jiwa.
Apatah lagi apabila hal itu dipersoalkan. Terasa hak dan kekuasaannya dicabar.
Lantas, dia
memutuskan untuk meninggalkan kamar peraduan dan pergi ke kamar gundik-gundiknya
yang seramai dua puluh orang. Dipilih salah seorang untuk diajak menemaninya
bermalam. Terasa lebih tenang jiwanya daripada menghadap wajah masam Tengku
Rani Baiduri. Namun tatkala dia ingin melelapkan mata, hanya wajah gadis itu
yang asyik terbayang-bayang. Tidak sabar hatinya menunggu siang.
“BAGAIMANA, tok pawang?” tanya Tengku Wazir pada keesokan harinya. Resah hatinya
selagi gadis itu tidak membuka mata.
Pawang Taib
termenung jauh. Sebagai Pawang Di Raja, inilah tugas paling aneh yang pernah
dihadapi. Dia percaya gadis rupawan itu bukan sebarangan gadis. Akan tetapi
hendak diluah, berat benar rasanya.
“Bagaimana keadaan
gadis ini? Bolehkah dirawat? Apakah penawar yang diperlukan?” tambah Tengku
Wazir. Sikap Pawang Taib hanya menambah amarah di dada. Dia hilang sabar.
“Pada renungan
patik, mungkin sehari dua lagi gadis ini akan sedar, Tengku. Berilah masa untuk
dia berehat. Dia akan sedar dengan sendirinya apabila masanya tiba.” Pawang
Taib memberikan pandangan selembut mungkin.
Tengku Wazir
terdiam seketika.
“Buat apa sahaja.
Gadis ini mesti diselamatkan,” kata Tengku Wazir sebelum beredar pergi.
Pawang Taib
mengangguk lesu. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu dengan tepat berapa lama
lagi gadis itu akan sedar. Namun, daripada apa yang dilihat, dia yakin gadis itu
akan terjaga tidak lama lagi. Lantaran, luka di perutnya sudah bertaut dan
sembuh hanya dalam satu malam sahaja.
Dan tepat seperti
yang diduga Pawang Taib, pada keesokan harinya, sewaktu matahari tenggelam di
kaki langit, masuknya waktu senja yang suram; gadis itu membuka mata.
Tengku Wazir
gembira tidak terperi. Tetapi Pawang Taib berasa susah hati.
SEPURNAMA telah berlalu. Gadis yang terkena anak panah Tengku Wazir itu pun sembuh
dengan cepat. Uyang Candrakani namanya. Cantik rupawan tidak terperi namun amat
jarang bersuara orangnya. Hanya dengan Tengku Wazir sahaja dia mahu berseloka.
Dengan yang lain, diamlah dia seperti orang bisu sahaja.
“Dinda tidak ingat
dari mana asalnya dinda,” jawabnya apabila Tengku Wazir bertanyakan kampung
halaman.
“Dinda juga tidak
ingat bagaimana dan kenapa dinda boleh berada di sana,” tambahnya lagi.
Tengku Wazir
tersenyum tenang. Diusap lembut rambut Uyang yang ikal mayang. Sejak terpandang
wajah Uyang, hanya wajah itulah yang terbayang-bayang. Sehingga segala rasa
tidak senang. Maka diambilnya Uyang menjadi gundik. Diberikan tempat tinggal
bersama gundik-gundiknya yang lain.
“Tidak
mengapalah, dinda. Selagi dinda betah tinggal bersama kanda, kanda tidak
berhalangan. Tinggallah di sini selama mana dinda mahu.”
Uyang
tertunduk. Raut wajahnya perlahan-lahan berubah muram.
“Seandainya
sungguh kanda mencintai dinda, dinda mohon untuk pergi dari sini.”
“Pergi?”
Tengku Wazir tersentak. Terasa terbang melayang semangatnya.
“Dinda
tidak berasal usul. Tidak elok duduk di istana tempat orang berada-ada. Apa
yang manis pun terasa tawar di bibir orang. Yang cantik pun terpandang buruk.”
Untuk
seketika Tengku Wazir kehilangan bicara. Dia tahuisterinya, Tengku Rani Baiduri tidak senang dengan kehadiran Uyang
di situ sejak dahulu lagi. Ada sahaja rungutnya. Ada sahaja yang tidak kena
pada Uyang Candrakani menurut jiwanya. Gundik-gundik yang lain juga begitu
juga. Ada sahaja cerita dan hasutnya.
“Ke mana dinda hendak
membawa diri? Hati kanda berbelah bahagi. Lain kisahnya andai dinda tahu di
mana asalnya. Biar kanda sendiri yang menghantar sampai ke depan tangga,”
katanya. Hati Tengku Wazir mula walang. Terbayang hidup tanpa Uyang bagailah
tubuh tanpa bayang.
“Usahlah kanda
bimbang, tahulah dinda membawa diri.”
“Kanda tidak
benarkan. Sekiranya dinda tidak betah di sini, biarlah kanda bina sebuah istana
untuk dinda.”
“Seandainya kanda
kasihkan dinda, biarlah dinda pergi sendiri. Sudah ada tempat tinggal yang elok
nanti, akan dinda hantar utusan memberitahu kanda. Dengan itu tidaklah
menimbulkan iri di hati isteri mahupun gundik-gundik kanda yang lain.”
Tengku Wazir
termenung lama. Cadangan Uyang Candrakani difikirkan secara saksama.
“Elok juga
cadangan, dinda. Bawalah beberapa orang sebagai pengiring. Pergilah ke mana
sahaja dalam negeri ini. Asal tidak dilupa akan janji kita.”
Oleh
kerana hati Uyang Candrakani tidak dapat dipujuk lagi, Tengku Wazir terpaksa
mengalah. Mungkin dengan itu, keadaan bertambah baik buat mereka berdua dan
seisi istana. Tidak diketahui semua itu satu permulaan kepada kisah yang lebih pedih.
GENAP tiga purnama selepas itu, Sultan
Sulaeman menitahkan Pawang Taib masuk menghadap. Bukan di balai rong seri
seperti kebiasaan, sebaliknya di kamar peraduan.
“Tak boleh
dibiarkan, tok pawang. Makin lama makin banyak kilahnya,” Sultan Sulaemanbertitah. “Anak isteri ditinggalkan, urusan
negeri diabaikan.”
Wajah
baginda sugul. Jauh menungannya teringatkan anakanda Tengku Mahkota, Tengku
Wazir yang semakin lama semakin hilang pertimbangan. Duduknya tidak lagi di istana
itu. Hal negara dikesampingkan. Hal keluarga dilupakan. Sebaliknya hanya bersenang-senang
di Istana Pelambangan, jauh dari situ.
“Apa
yang patik dapat lakukan, tuanku?” balas Pawang Taib. Sama muram. Hal itu
bagaikan bengkak menanti pecah namun tidaklah berani berlunjur sebelum duduk.
“Utusan
beta untuk memanggil anakanda pulang, tidak dihiraukan,” tambah Sultan
Sulaeman. Wajah baginda begitu tegang. Terbayang di ruang mata wajah anakanda,
Tengku Wazir yang sudah lama tidak ditatap rupanya.
“Dan
berita yang sampai ke telinga beta, lebih menggusarkan. Tengku Mahkota sudah
jauh berubah laku. Sejauh mana benarnya beta tidak tahu.”
Pawang
Taib tidak berani mengangkat muka. Petang itu baginda begitu murka. Namun dia
juga faham, tentu ada sebab lain kenapa dia yang dipanggil menghadap.
“Ada
yang menyembah kata; Tengku Mahkota sudah hilang warasnya. Bagai diguna-guna.
Sebab itu tidak ingat jalan pulang ke istana.”
Dahi
Pawang Taib berkerut. Sungguhpun dia tahu lebih banyak daripada yang dititahkan
oleh Sultan Sulaeman namun, biarlah tersalah kain jangan tersalah cakap. Tertarung
kaki, boleh diinai. Tertarung hati, susah ubatnya.
“Pawang
tolonglah telekkan. Kalau benar seperti yang dibicarakan orang, tok pawang
usahakanlah sesuatu. Anakanda beta mesti dibawa pulang ke sini dengan apa pun
cara.”
“Ampun,
tuanku. Titah tuanku patik junjung,” balas Pawang Taib. Tidak dapat tidak,
dialah yang akan menanggung; kerana jauh dalam hatinya yakin, tugas itu
bukanlah mudah.
“Sekiranya
tok pawang berjaya, beta hadiahkan tanah di hulu istana. Beritahu sahaja di mana
tok pawang mahu memacak tanda. Seluas yang tok pawang hajatkan. Ke hulu,
ukur-ukurkan. Ke hilir, panjang-panjangkan.”
Hati
Pawang Taib semakin berbunga. Terbayang harta yang berganda-ganda.
“Izinkan
patik pulang memulakan kerja. Sekiranya perlu patik sendiri akan ke Tangga
Tujuh menjemput Tengku Mahkota,” sembah Pawang Taib dengan yakin.
SEPULANGNYAdi rumah dengan diiringi dua orang pembantu,
isterinya Mak Melur menyambut di muka pintu. Namun Pawang Taib tidak membuka
mulut walau sepatah kata; mahupun tersenyum memaniskan muka. Sebaliknya, terus bergegas
masuk ke dalam rumah dan menuju ke sebuah bilik khas, tempat dia melakukan
kerja.
Melihatkan
gelagat suaminya, Mak Melur pun segera faham. Sekiranya begitu gelagatnya, maka
fahamlah dia bahawa suaminya mempunyai kerja dan mahu mengasingkan diri. Apatah
lagi suaminya baru pulang dari menghadap sultan, tentu ada titah yang
dijunjung. Maka dia akur, lalu beredarlah dia masuk ke dapur menyediakan
minuman buat suaminya.
Sementara
itu, Pawang Taib sudah berada di bilik tempat dia selalu mengubatkan orang. Di
situ tersedia sebuah dupa yang sentiasa dibiarkan berbara, sebuah dulang ayan
putih, semangkuk air, tiga ulas buah limau, sepiring bunga pelbagai bau dan
rupa, sebilah keris dan sebuah kerambit berbalut kain putih. Juga sebekas
keminyan.
Mentera
dibaca sambil menabur serbuk keminyan ke atas bara. Asap berkepul-kepul naik
memenuhi bilik. Keris dicabut dari sarungnya, dipotong limau nipis dan
dibiarkan jauh ke dalam mangkuk yang berisi air. Genap tiga kali hiris, air di
dalam mangkuk membuak naik. Air yang jernih bertukar hitam.
Keris
di tangan Pawang Taib tercampak ke tepi. Dia sendiri tersandar ke dinding
sambil mengurut dada. Badan berpeluh dan matanya berpinar-pinar.
Fahamlah
dia; nyawa Tengku Mahkota dalam bahaya. Dan apa yang disangkakan selama ini
benar belaka. Uyang Candrakani bukanlah manusia.