BAB
1
Sekarang…
KIRA-KIRA pukul 11.00 malam,Adam tiba di Melaka. Walaupun hampir
setahun dia tidak menjengah negeri itu namun daripada pemerhatiannya jalan
utama tidak banyak yang berubah. Dari arah Cheng dia memasuki kawasan bandar
sambil matanya memerhatikan jika ada hotel-hotel kecil yang sesuai untuk
ditumpangi semalam dua. Akhirnya dia berhenti di tepi sebatang jalan.
“Berapa ringgit?” ulangnya sekali
lagi kepada gadis yang menjaga kaunter hotel itu. Harganya seperti munasabah.
“Rm 25.00 satu malam.” Gadis
berkaca mata itu menjawab sambil terkelip-kelip. Selepas itu dia diam menanti
keputusan Adam.
“Ada toilet?”
Gadis itu menggeleng.
“Mau yang ada toiletsekali, angkat single
bed lah, ini macam katil saja dalam satu dorm.”Gadis itu menjawab dengan ramah, mungkin mahu menunjukkan
betapa rasionalnya harga yang ditawarkan di hotel itu.
“Single bed berapa harga?”
“Rm 85.00 saja. Boleh check in sekarang.” Gadis itu mengangguk.
Kemudian dia menunggu lagi sambil merenung wajah Adam.
Adam termenung beberapa saat. Bunyinya
memang menarik tetapi banyak faktor lain yang perlu difikirkan juga. Dia
bukannya orang kaya.
“Tak apalah, biar saya fikir dulu.
Kalau saya nak nanti saya datang ke sini lagi. Beri saya kad.” Dia meminta
dengan baik. Serta-merta dia dihulurkan sekeping kad perniagaan hotel itu. Dia
pun berlalu pergi.
Dari sebuah hotel ke sebuah hotel,
dia singgah. Harganya tidak jauh berbeza. Dia termenung lagi di dalam kereta.
Bukan dia tidak ada duit tetapi dia sentiasa beringat untuk berjimat cermat.
Dia bukannya ada sumber pendapatan lagi buat masa itu, hanya mengharapkan duit
simpanan yang sentiasa menyusut. Menyedari hal itu dia menghidupkan enjin
keretanya. Tentu ada yang sesuai, kata hatinya.
Keretanya kini bergerak mengikut
arus kenderaan. Dia tidak ada arah yang tertentu tetapi cuba mengelakkan diri
dari masuk ke bandar. Dia percaya pasti banyak hotel-hotel murah di pinggir
bandar itu. Matanya meliar memperhatikan deretan bangunan di kiri kanan jalan
yang dilaluinya.
Hotel yang dikunjungi seterusnya,
adalah bangunan yang agak terasing
setinggi lima tingkat. Dihiasi pula dinding kaca berwarna gelap. Lobinya agak
besar dengan hiasan barang-barang antik dari negara China. Sayangnya harga
bilik yang ditawarkan masih tidak mampu diterima olehnya. Susah juga jika bukan
orang kaya, keluhnya sendiri.
Sambil melayani fikirannya yang
bingung, dia memandu menyusuri jalan itu semakin jauh ke dalam. Di suatu
perhentian lampu isyarat, dia terpandang sebuah papan tanda rumah tumpangan
yang terdapat di simpang sebelah kiri. Dia pun tidak berlengah lagi.
“Rm 40.00 satu malam. Bilik tak ada
aircond tapi ada kipas,” terang
seorang perempuan Cina yang berusia dalam lingkungan 40-an. Rambutnya kembang
dan berkerinting. Hanya dia yang ada di kaunter pertanyaan rumah tumpangan di
situ.
“Toilet?”
Adam
bertanya dengan suara yang kuat bagi menyaingi bunyi televisyen di belakang
kaunter itu.
Wanita itu mengangguk.
Adam berasa sungguh lega. Soal lain
dia tidak kisah sangat tetapi jika soal bilik air, dia tidak sanggup berkongsi
dengan sembarangan orang. Dia mudah jijik, tandas awam pun dia selalu elakkan.
“Saya mahu satu malam dulu.” Hatinya
kini lega. Akhirnya dia dapat juga tempat bermalam. Tempat untuk merebahkan
badan dan melepaskan rasa penat setelah memandu seharian.
Wanita Cina itu menghulurkan buku
daftar dan sebatang pena mata bulat berwarna hitam. Setelah pendaftaran dibuat,
dia menyerahkan kunci, sehelai tuala dan sebuku sabun.
“Kalau awak mau air panas, boleh
ambik sini,” katanya lagi sambil menunjukkan sebuah meja kecil di tepi kerusi
rotan yang terdapat di ruang itu.
Adam memerhati sekeliling. Nampaknya
ruang itu adalah tempat untuk segala-galanya. Di situ ada televisyen kecil untuk
penyewa, ada satu set kerusi rotan berkusyen coklat dan sebuah peti ais kecil.
Itulah lobi dan itulah ruang legar.
Adam menoleh sebentar ke arah yang
ditunjukkan wanita tadi. Di meja kecil itu terdapat sebuah tarmos besar
berwarna merah dengan penutup aluminium. Terdapat juga beberapa gelas putih
jernih. Hatinya tidak tertarik sedikit pun dengan pelawaan itu. Akhirnya, dia
menunjuk ke arah sederetan botol air mineral yang tersusun kemas di dalam peti
ais di belakang kaunter.
“Beri saya air mineral tu sebotol.”
Setelah menjelaskan bayaran air
mineral yang dibeli, Adam menyusuri sebuah lorong kecil di sisi kaunter. Di
kiri kanan lorong kecil itu adalah deretan bilik-bilik yang berdinding plywood. Pintu-pintunya bertutup rapat.
Adam perasan, setiap bilik mempunyai nombor yang saling bertentangan. Lantas,
dia mencari nombor bilik yang ke 23.
Dia berjalan dan berjalan menyusuri
lorong sempit itu. Sedar-sedar sahaja dia sudah sampai ke beranda yang dipenuhi
oleh kain-kain yang bersidaian dan segala jenis barang. Di mana pula bilik ni?
Dia resah sendiri dan apabila dia menoleh ke arah kanan beranda, baru dia
perasan ada beberapa bilik yang dibina menghadap ke situ. Setelah diperiksa,
bilik yang bernombor 23 terletak di hujung sekali.
Dia bersyukur.