DENGAN
berat
hati, Zed memaksa matanya terbuka. Bunyi panggilan yang masuk dari telefon
bimbitnya mengembalikan dia dari alam mimpi ke alam nyata. Walaupun belum puas
tidur setelah berlibur hingga ke pukul tiga pagi tapi bunyi telefon yang tidak
henti-henti itu seperti memberitahu satu panggilan yang penting sedang masuk.
“Erm….” Itu sahaja katanya semasa
menjawab panggilan. Matanya terpejam semula. Kedinginan bilik hotel itu seperti
mengajaknya menyambung tidur yang belum cukup.
“Hari ni aku nak kau pergi ke pasar
besar.” Botak terus memberikan arahan.
“Buat apa?” Dia sendiri sedar
suaranya begitu berat dan lemau.
“Kau ingat Poyi? Kawan lama kau?”
Zed diam. Tidak sukar untuk dia
memanggil semula ingatannya terhadap lelaki yang bernama Poyi. Kawan baiknya
sejak di sekolah menengah. Namun dia tahu bukan sebab itu Botak menyebut semula
nama Poyi pagi itu. Ada sebab lain.
“Aku dapat tahu dia dah balik ke
Melaka. Buka gerai jual sayur di sana. Baru tiga bulan.”
“Apa yang kau nak aku buat?” Itu
sahaja yang dia mahu tahu.
“Hutang tetap hutang. Aku mahu kau
tuntut hutang dia pada aku yang sudah berkulat tu. Demi kau, aku tak minta satu
sen pun bunga. Aku nak dia hanya bayar duit pokok. Dua puluh ribu.”
“Kenapa tak hantar saja orang kau
pergi? Kenapa mesti aku?” Suara Zed mula meninggi, serentak dengan itu kepalanya
berdenyut-denyut.
“Kerana dia pernah berjasa kepada
kau, aku beri dia amaran terakhir. Kalau kau juga gagal, anak-anaknya akan jadi
anak yatim,” balas Botak sebelum memutuskan panggilan.
Zed terus menyelak selimut.
*******
SUDAH hampir setengah jam, Zed
berdiri di tepi sebatang tiang di dalam pasar besar. Sudah selama itu juga, dia
memerhati Poyi dari jauh. Kesibukan Poyi melayan pembeli, membuatkan dia
serba-salah untuk mendekati kawan lamanya itu. Tetapi dia juga tahu, Poyi harus
diberikan amaran.
“Poyi,” tegurnya setelah mendekati
lelaki itu.
Poyi yang sedang memulangkan duit
baki kepada seorang wanita, tergamam. Untuk beberapa saat mereka saling
memandang dan merenung.
“Apa khabar?” tanya Zed lagi.
Dihulurkan tangan untuk bersalam.
“Zed?” Akhirnya Poyi bersuara dan
tersenyum. Dia tarik tangan Zed, dia peluk tubuh Zed buat sesaat dua sebelum
melepaskannya. “Lamanya tak jumpa kau.”
“Aku baru sampai sini minggu
lepas.” Zed renung muka Poyi dari balik cermin mata hitam yang dipakai. Dari
pandangan matanya, Poyi jauh lebih kurus daripada dahulu namun dia masih dapat
mengecam wajah Poyi yang berparut panjang di dagu sebelah kanan naik ke
telinga. “Eh! Jom naik atas. Pekena nasi gunting sepinggan dua.”
Pada mulanya Poyi seakan-akan berat
hati. Dia pandang kiri-kanan.
Seakan-akan faham, Zed tepuk bahu
Poyi lalu berkata, “Aku datang sorang.”
Air muka Poyi berubah. Ditinggalkan
pesan kepada seorang wanita bertubuh kurus di situ. Dia ikut Zed naik ke
tingkat dua bangunan pasar besar dan akhirnya mereka memilih sebuah meja kecil
yang terletak di tepi tembok separas pinggang.
“Makan,” kata Zed. Dia letakkan
sepinggan nasi gunting di hadapan Poyi. Dan sepinggan lagi nasi gunting di
hadapan tempat duduknya. Tidak lama kemudian seorang budak lelaki menghampiri
meja mereka bersama dua gelas teh ais.
“Aku dah makan tadi,” balas Poyi
dengan wajah yang malu-malu.
“Tak apalah… bukan selalu kita
dapat makan bersama.”
Poyi angguk namun dia masih tidak
menyentuh nasi itu. Hanya air teh yang disedut berhati-hati.
“Aku masih belum cukup duit nak
bayar abang kau, Zed,” katanya terus-terang. “Entah apa kenanya dengan hidup
aku ni. Dah macam-macam bisnes aku cuba, semua lingkup. Dah banyak tempat aku
cuba bina hidup baru, semuanya….” Dia mengeluh panjang sambil menggeleng keras.
“Kau mengambil langkah yang silap
balik ke sini, Poyi,” kata Zed. “Kau tahu kan abang aku bagaimana? Walau hutang
sehelai rambut pun, dia akan tuntut.”
“Kau nak tahu kenapa aku balik ke
sini semula?” Poyi renung muka Zed tidak berkelip.
Zed angguk sambil mengunyah nasi
gunting dalam mulutnya.
“Aku dah putus asa dengan hidup
aku. Aku dah penat berpindah randah. Aku dah tak sanggup melihat isteri aku,
anak-anak aku hidup seperti orang pelarian apabila dikejar along sana-sini.
Sekarang, apa nak jadi pun, jadilah. Sekurang-kurangnya jika aku mati, aku mati
di tempat aku sendiri.”
“Kau tahu apa maknanya kedatangan
aku ke sini, kan?”
Poyi tidak menjawab.
“Kau dah bersedia untuk mati?”
tanya Zed lagi sambil merenung muka Poyi.
Poyi masih diam.
Zed menghabiskan nasi gunting di
atas pinggannya. Perutnya sudah terasa penuh. Lalu dia tersandar ke dada kerusi
dengan tenang sambil mengetuk kotak rokok.
“Aku rasa sekarang masa yang sesuai
untuk aku balas budi kau.”
Mata Poyi terkelip-kelip.
“Kau pernah selamatkan nyawa aku
dulu. Parut di dagu kau tu, menjadi saksi.” Zed tersenyum nipis.
Dia teringat bagaimana Poyi
menyelamatkan dia dari diserang sekumpulan lelaki, musuh abangnya semasa dia
bersekolah dalam tingkatan empat. Disebabkan pada masa itu tubuh Poyi besar dan
tinggi, Poyi mampu melindungi dirinya walau parah dipukul dengan besi dan
helmet. Dia tidak akan melupakan saat itu sampai bila-bila.
Poyi ikut tersenyum. Malah itulah
senyuman pertamanya sejak terlihat wajah Zed di situ.
“Jadi kau jangan risau pasal hutang
tu.” Zed angguk. “Cuma aku kena datang, supaya abang aku tak syak apa-apa. Kau
tahu, kan? Orang dia ada di mana-mana.”
Sebaik sahaja terdengar kata-kata
Zed, mata Poyi bergenang. “Terima kasih, Zed. Terima kasih.”
Zed angguk lagi. Di merenung sahaja
wajah Poyi yang sedang terharu tanpa berkata apa-apa.
“Tapi Zed, kau… kau kerja dengan
abang kau ke?” tanya Poyi pula. Kali ini tiba giliran Zed pula untuk direnung.
“Aku belum buat keputusan tapi aku
balik ni bukan sebab tu.”
“Sebab apa?” Dahi Poyi berkerut.
Tajam matanya merenung wajah Zed seperti cuba mencari sendiri jawapannya.
“Adalah,” jawab Zed sebelum angkat
punggung untuk membayar harga makanan mereka. Namun baru sahaja dia hendak
berpaling, dia ternampak seseorang yang seakan dia kenal berjalan masuk
menerusi pagar pasar besar.
Dia menerpa ke tepi tembok. Dadanya
berdebar. Dia?