“KAU
ingat pesan kami ni sampai bila-bila,” kata Usop. Jari telunjuk kanannya tepat
ke muka Azhar. Khairul yang berdiri di sebelahnya hanya memandang tanpa suara.
Azhar
teranguk-angguk. Gementar juga jiwanya apabila diingatkan begitu. Rasa seperti
diugut pun ada, walhal itu cuma satu peringatan yang cukup mudah. Ingin sahaja
dia menggaru kepala pada saat itu tetapi wajah Usop yang begitu bengis
membuatkan dia ragu-ragu. Tidak pasti bagaimana perasaannya dapat dizahirkan. Lalu
semuanya terbuku dalam dada.
“Ingat
tau!” Sekali lagi Usop membentak sebelum keluar dari bilik kecil itu. Bilik
yang lebih besar sedikit daripada bilik air. “Kalau kau lupa, kau siaplah!”
Azhar
angguk lagi bagaikan pak turut. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh seorang
pekerja baru seperti dia? Itulah hari pertama malah malam pertama dia masuk
bekerja di Restoran Nasi Lemak Zupp! 24 Jam Buka. Kebetulan malam itu, dia
ditugaskan di bilik pesanan iaitu sebuah bilik yang kecil. Selain dia, hanya
ada Usop dan Khairul yang bertugas daripada pukul 12.00 malam hingga ke pukul
7.00 pagi nanti.
Di
dalam bilik itu hanya ada mempunyai sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah
telefon. Pada dindingnya pula dipenuhi pelbagai iklan dan kertas yang
ditampal-tampal. Kenapa Usop mengarahkan dia duduk di bilik yang sempit itu
sepanjang masa, dia tidak tahu tetapi sejak dia masuk kerja tadi, di situlah
dia disuruh duduk dan diajar cara menjawab panggilan pelanggan. Cuma pesanan
terakhir Usop tadi yang membingungkan dia.
Sudah
sejam masa berlalu. Dia semakin jemu di situ. Radio kecil yang dipasang di situ
pun gagal membuatkan dirinya terus segar. Dia menoleh ke arah jam kecil di atas
meja sisi. Sudah dekat pukul 3.00 pagi. Lagi lebih kurang 20 minit sahaja lagi.
“Huwarghhh….”
Dia mula menguap panjang. Bukan kali pertama tetapi sudah entah ke berapa kali.
Makin lama makin panjang, makin berat. Kelopak matanya makin ditarik-tarik
untuk tertutup. Tak boleh jadi ni, bentak hatinya. Kalau tertidur malam pertama
bekerja, jatuhlah air muka. Dia lantas bangun meluruskan kaki dan tangan.
Merenggang-renggangkan pinggang. Kemudian dia terperasan sesuatu.
Kenapa
senyap sahaja? Ke mana mereka berdua ni pergi ya? Dia tertanya-tanya sambil
menjenguk ke muka pintu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk meninggalkan
bilik itu sebentar. Dari bilik pesanan, dia melangkah ke bahagian depan. Apa
yang dilihatnya sungguh mengejutkan.
“Tidur?”
Dia
tercengang seketika apabila melihat Azhar dan Khairul sedang berdengkur di
sudut lantai dapur. Siap berbantalkan beg masing-masing dan berselimut kain
pelikat. Amboi! Patutlah suruh aku jaga telefon. Nak membuta rupanya, hatinya
mula merungut geram. Panas sekejap dadanya.
Kring!
Kring! Kring!
Dia
tersentak. Alamak! Order! Dia bergegas semula masuk ke dalam bilik pesanan.
Ganggang telefon berwarna merah hati dan berbau hapak itu diangkat segera.
Kembang kempis sekejap lubang hidungnya menahan bau yang semerbak itu.
“Helo.
Nasi Lemak Zup 24 jam!” jawabnya dengan bersungguh-sungguh. Dadanya
berdebar-debar menunggu pemanggil itu bersuara. Terketar-ketar tangannya
memegang pen. Maklumlah panggilan pertama!
“Baiklah,
encik. Pesanan encik akan kami hantar dalam masa lima belas minit,” katanya
lagi sambil mencatatkan alamat pemanggil itu. Matanya ralit memerhati jumlah
peanan yang diterima sebentar tadi. Semuanya sudah cukup syarat. Dia segera
melangkah keluar dari bilik itu menuju ke arah dapur semula.
“Usop!
Khairul! Bangunlah… ni ada order ni,” katanya pula. Tangan kanannya
menepuk-nepuk bahu Usop dan Khairul. Geram pula dia melihat keduanya bagaikan
liat benar untuk membuka mata. “Cepatlah, wei! Nanti lambat, kita juga yang kena
kompelin.”
Mendengarkan
dia merungut-rungut, akhirnya Usop membuka mata. Kertas yang tertulis pesanan
dan alamat pelanggan di tangan Azhar disentak keras.
“Siapkan
nasi, ambil yang dah siap bungkus dalam bekas pemanas tu,” arah Usop bersela
satu nguapan yang lebar. Dia menggeliat dan menyapu muka untuk membuang air
liur basi.
Azhar
tidak mahu membantah walaupun itu bukan langsung kerjanya. Mujurlah dia sempat
melihat apa yang dilakukan pekerja-pekerja di situ sebelum shif bertukar malam
tadi. Jadi dia tahu di mana nasi lemak yang sudah siap berbungkus disimpan dan
di mana ia harus dimasukkan.
“Nah!”
Dia hulurkan beg sandang yang berisi nasi lemak apabila Usop sudah siap memakai
topi keledar.
“Kunci
pintu,” pesan Usop lagi setelah keluar dari situ.
Azhar
cuma angguk. Di muka pintu, dia memerhati Usop memecut laju bersama
motorsikalnya. Dia hanya menggeleng. Dalam kerisauan, dia berdoa semoga Usop
selamat pulang.
******
DUA
PULUH minit kemudian, Usop balik. Bunyi loceng pintu, membuat Azhar terkejut.
Dia segera meninggalkan bilik pesanan dan membuka pintu kedai. Khairul pula
hanya berkisar punggung lalu meneruskan tidurnya.
“Tak
guna! Kan aku kata jangan ambil order pukul 3.00 pagi!” Satu tumbukan hinggap
di pipi Azhar.
Azhar
terdorong ke pintu almari dan akhirnya terduduk di atas lantai. Kepalanya
pening, pipinya pedih. Dia bingung.
“Apahal?
Apahal?” Khairul bingkas bangun. Dengan mata yang terpisat-pisat dia merenung
Usop yang seperti sedang kesurupan.
“Apahal
ni?” Dia pegang lengan Usop tapi ditepis kasar.
Usop
masih tidak menjawab, mukanya merah padam.
Azhar
pula masih terkedu di atas lantai. Untuk seketika, dia tidak faham apa-apa pun
tetapi dengan perlahan-lahan dia sedar, dia telah melakukan satu kesalahan.
“Kau
tengok ni!” Usop hulur kertas pesanan kepada Khairul.
Mata
Khairul kini tertumpu kepada kertas kecil itu. Tangannya menggigil sewaktu
membuka lipatan kertas itu, sesaat selepas itu matanya membesar. Dia menoleh ke
arah Usop.
“Kenapa
kau tak perasan?”
“Manalah
aku nak perasan tadi? Aku tengah tidur, tiba-tiba saja dia kejutkan aku. Aku
lupa nak tengok jam, aku terus saja pergi. Sampai-sampai sana, baru aku sedar.”
Khairul
mengeluh. Kini, dia sendiri duduk di atas lantai di sisi Azhar. Dia menoleh ke
arah Azhar yang langsung tidak berbunyi.
“Azhar,
kan kami dah kata tadi… jangan ambil pesanan antara pukul tiga pagi hingga
pukul empat pagi.”
Azhar
menundukkan kepalanya memandang lantai. Memang betul. Itulah pesanan yang
diucapkan oleh Usop sejak dia masuk kerja tadi. Dia sendiri tidak tahu
bagaimana dia boleh lupa, mungkin kerana terlalu teruja mendengar deringan yang
pertama malam itu. Cuma… apa masalahnya hingga dia dapat penumbuk percuma?
“Aku
tak sangkalah pula sampai macam ni….” Itu sahaja yang terbit dari bibirnya. Nak
minta maaf? Dia rasa Usop yang patut minta maaf kerana menghadiahkan sebiji
penumbuk pagi-pagi buta begitu. Jika diikutkan hati mahu dia membalas juga
hadiah itu tapi nanti panjang ceritanya.
Khairul
menepuk bahu Azhar.
“Salah
kami sebab tak beritahu kau. Tapi kalau kami beritahu kau, nanti kau tak datang
lagi dah malam esok. Bukan main susah nak dapat pekerja yang sanggup kerja shif
malam sekarang.”
Azhar
merenung muka Khairul lama-lama. Dibiarkan sahaja Usop berdiri tercegat di
hadapannya. Tidak ingin dia memandang lagi muka seorang lelaki yang tidak cukup
akal seperti itu.
“Salah
kau orang? Habis tu kenapa aku yang kena tumbuk? Mujur tak patah gigi aku.”
Usop
dengan tiba-tiba mengeluh panjang. Perlahan-lahan dia juga melabuhkan punggung
di atas lantai berhadapan dengan Azhar dan Khairul. Dia mengangkat muka
memandang Azhar lalu berkata, “Aku minta maaf.Aku tak sengaja tadi tapi aku….”
Azhar
menjeling ke arah Usop.
“Ada
pula tak sengaja? Menumbuk orang itu satu perbuatan yang sengaja, tahu tak?
Mana ada orang ‘tertumbuk’ muka orang.”
Usop
menggeleng, kini dia pula tunduk memandang lantai.
“Usop
tak sengaja. Kalau dia tak tumbuk kau, mungkin aku,” kata Khairul pula. Ada
senyuman nipis di bibirnya.
Dahi
Azhar berkerut. Apa kena dengan mereka berdua ni? Dia mula rasa tidak sedap
hati. Dia salah pilih kerja ke? Sebab itu… orang lain semua tak mahu kerja di
situ? Macam-macam yang terlintas di fikirannya saat itu, menyesal, takut, nak
lari… semua ada.
“Kau
nak tahu kenapa kami tak beri kau jawab telefon antara pukul tiga dan pukul
empat pagi?” tanya Khairul lagi.
Azhar
terkelip-kelip. “Tentulah nak. Nanti aku buat silap lagi, kena tumbuk lagi,”
balasnya laju.
Anak
mata Khairul melirik ke arah Usop. Kini mereka saling berpandangan tanpa
sebarang suara. Lama mereka begitu sebelum Khairul membuka mulutnya.
“Ada
sebab kenapa kami tak benarkan kau jawab telefon pada waktu tu….”
“Cakaplah
cepat apa sebabnya,” desak Azhar. Dia sudah naik rimas apabila Khairul asyik
teragak-agak untuk membuka mulut.
Khairul
menggaru kepala seperti dia buntu untuk memulakan ceritanya. “Kejadian ni mula
berlaku sejak tiga bulan yang lalu… setiap pukul tiga pagi saja, telefon berbunyi. Ada suara
seorang lelaki membuat pesanan. Tiga bungkus nasi lemak, sambal ikan bilis, tak
mahu telur goreng. Itu sahaja. Lepas tu dia beritahu alamat rumahnya. Nombor
dua puluh, lorong tujuh belas.”
Azhar
terdiam. Matanya terkebil-kebil. Dia belum faham.
“Begitulah
yang berlaku pada setiap pukul tiga pagi sampai empat pagi setiap malam.”
“Budak
nakal kut…” kata Azhar. Takkan itu pun Usop dan Khairul nak takut macam orang
gila?
Khairul
cepat-cepat menggeleng. “Bukan. Tapi… kalau kau nak tahu, kau pergi hantar ke
alamat tu.”
Azhar
mengerutkan dahi. Cerita Khairul mula bertukar rentak. Sudah menjadi satu
cabaran pula.
“Apa
yang ada di situ?”
“Rumah
kosong. Gelap gelita.”
“Kalau
macam tu, ni mesti kerja budak-budak nakal. Lama-lama esok berhentilah tu,”
balas Azhar lagi. Lega hatinya apabila Khairul menceritakan itu sahaja. Dia
cuma bimbang jika di alamat itu menunggu beberapa orang jahat yang akan
melanyak dia cukup-cukup. Jika setakat rumah kosong, apa takutnya? Bawa sajalah
balik nasi lemak itu ke kedai, bukannya rugi sangat.
“Bukan
budak nakal,” sampuk Usop pula. Pandangan matanya kembali berapi.
Azhar
menarik nafas. Entah apa-apalah Usop ni... kena main dek budak-budak pun nak
marah sangat, katanya dalam hati.
“Aku
pernah terkena dulu… bila aku sampai, aku tengok rumah tu gelap gelita. Aku
beri salam, aku panggil-panggil. Tak lama selepas itu aku nampak kelibat
seseorang di bawah porch. Aku pun beritahu yang aku datang nak hantar nasi
lemak….”
“Lepas
tu?” Azhar bertanya apabila Usop bercerita setakat itu.
“Orang
tu datang dekat pagar tapi…” Usop diam lagi. Mukanya kusut sekali.
“Tapi
apa?” desak Azhar.
“Bukannya
orang…,” sambung Usop.
“Bukan
orang?” Azhar tercengang seketika. Kalau bukan orang apa dia? “Kalau bukan
orang, benda apa?” Dia bertanya kepada Khairul pula.
“Hantu,”
jawab Khairul. “Mula tu aku pun tak percaya cerita Usop, aku pergi sendiri ke
sana dan aku juga jumpa benda yang sama. Kepalanya pecah… darah basah di
bajunya. Bau hanyir tak usah cerita…. Busuk macam pekung.”
Azhar
terdiam. Kali ini dia benar-benar terdiam.
Kring!!!
Kring!!! Kring!!! Telefon berbunyi.
Ketiga-tiganya
saling pandang-memandang. Jam pada dinding baru pukul 3.40 pagi. Tidak ada siapa
pun yang mahu bergerak dari situ.
******
Tiga
bulan yang lalu, di rumah nombor 20, lorong 17….
“Man,
aku laparlah,” kata Sobri sambil ralit memerhati skrin komputernya. Sesekali
tapak tangannya meraba-raba perutnya yang kempis.
Man
yang leka menghadap permainan PS2 yang disambung ke kaca TV menoleh. “Lapar?
Telefonlah kedai nasi lemak kat depan tu. Order tiga bungkus. Nasi lemaknya sikit
sangat.”
Dengan
tiba-tiba sahaja, Sobri mengangkat punggung. Komputer ribanya dimatikan. Penat
pula rasanya melayan gadis-gadis berchatting sampai ke pukul 3.00 pagi. Mujur
esok tidak ada kuliah.
“Nak
ke mana tu?” tegur Man apabila Sobri menonong mengambil kunci motorsikal yang
tersangkut pada dinding rumah sewa mereka.
Sobri
memberi isyarat dengan kepalanya sahaja. Rasa lapar dalam perutnya membuatkan
dia tidak sabar. Rasanya hendak sahaja dia terbang melayang ke kedai nasi lemak
yang terletak berdekatan taman perumahan itu.
“Buat
apa pergi? Telefon sahajalah,” kata Man lagi. Mulutnya terlopong.
“Lambatlah…,”
balas Man. Dia segera menuju ke arah motorsikalnya. Tidak lama kemudian,
kedengaran enjin motorsikalnya memecah kesunyian pagi.
“Woi!
Helmet!” Man menegur lagi. Kali ini dia tinggalkan kaca TV dan menerpa ke muka
pintu.
“Tak
payahlah, dekat saja,” balas Sobri sambil menolak motorsikalnya melepasi pagar
rumah.
Man
cuma menggeleng dan mengeluh.
Sobri
menutup semula pintu pagar rumah sewanya. Dia memecut laju hingga ke hujung
simpang. Dengan tiba-tiba sahaja, pandangan matanya menjadi silau. Dia tidak
dapat berbuat apa-apa apabila motornya dirempuh sebuah lori. Dia hanya sedar
tubuhnya melayang dan apabila terhentak ke bumi, segalanya terhenti.
“Sobri!!!”
jerit Man apabila meluru ke arah sekujur jasad yang tergeletak di tepi
longkang. Kepalanya pecah, darahnya bersimbah.
Sementara itu di
Restoran Nasi lemak Zupp 24 jam…
“Kring!
Kring!Kring!”
Seorang
pekerja mengangkat ganggang telefon dan menjerit. “Jangan telefon pukul 3.00
pagi macam ni boleh tak? Menyusahkan aje. Orang nak tidurlah!”
Sejak
itu… setiap pukul tiga pagi.
“Kring!
Kring!Kring!”
"Nasi lemak tiga bungkus..."
TAMAT
*Sebuah cerpen lama yang tajuk asalnya 'TIGA'. Ditulis dalam tahun 2010.