1942
Kampung
Mati Api
BUNYItembakan dan letupan bom sudah berhenti dari arah bukit.
Kapal terbang askar juga sudah tidak kelihatan terbang melewati kawasan kampung
seperti beberapa minggu sebelum itu. Suasana agak sunyi.
Di
pantai, perahu-perahu nelayan terbiar lesu. Teroleng-oleng dipukul ombak. Ada
juga yang hanyut ke tengah laut tanpa pengemudi. Rumah-rumah juga sepi dan
terbiar tanpa tanda-tanda kehidupan. Kampung itu seolah-olah kampung tinggal.
Namun jauh di tepi sebuah sungai, berpuluh-puluh penduduk berkumpul di situ.
“Sampai
bila kita nak tinggal di sini?” Salah seorang penduduk kampung bersuara. Namanya,
Pak Din. Di sisinya ada isterinya, Salimah dan anak perempuanya, Latifah.
Kehidupan di situ sukar dan merimaskan. Dia juga sudah beberapa lama tidak
dapat turun ke laut.
“Keadaan
belum selamat, Pak Din,” balas tok penghulu, Pak Ghazali.
“Aku
tak kira. Aku nak balik juga. Ini tanah aku. Mereka tak ada hak nak takutkan
aku.” Pak Din bersuara tegas. Yang lain ada yang mengangguk, ada juga yang
hanya termenung jauh bagaikan buntu memikirkan masa hadapan.
“Bukan
kita takut tapi kita berundur mencari penyelesaian. Berundur bukan bererti kita
kalah tapi kita memikirkan keselamatan anak isteri kita.”
“Sama
jugalah dengan penakut. Kalau semua nak terus duduk di sini macam dayus,
silakan. Aku nak bawa anak isteri aku balik ke rumah,” balas Pak Din seraya
berdiri mengetatkan ikatan kain di pinggang.
Dia
sudah nekad untuk balik semula ke rumah. Dia orang bertuan. Sejak berkurun
moyangnya membuka penempatan di situ. Tapak rumah dan beberapa ekar tanah di
situ milik dia.
“Kalau
askar Jepun tu datang semula, macam mana?” tanya pula orang kampung yang lain.
Semua
orang kampung tahu apa yang telah terjadi sejak askar Jepun masuk ke kampung
mereka. Beberapa orang penduduk telah ditembak kerana cuba melarikan diri dan
ada yang dibawa entah ke mana. Sampai ke detik itu tidak pulang-pulang.
Pak
Din berdengus. Pertanyaan itu membuatkan hatinya panas. Mungkin orang lain
takut hendak menentang askar Jepun yang kurang ajar itu tetapi bukan dia. Darah
pendekar yang mengalir dalam tubuhnya turun-temurun pantang dicabar. Bukan
sia-sia. Bukan disuruh sejuk di badan.
“Aku
tak ajar anak isteri aku hidup seperti tikus.”
Lantas
dia melangkah. Di belakangnya, Salimah dan Latifah tergesa-gesa mengejar.
Pak
Ghazali hanya mengeluh. Tambah mengejutkan apabila beberapa orang kampung juga
mengambil keputusan seperti Pak Din.
SEHARItelah berlalu. Kehidupan di Kampung Mati Api berjalan
seperti biasa. Sungguhpun Pak Din dan orang kampung belum lagi turun ke laut
namun segala hasil tanaman di sekeliling rumah dapat digunakan sedikit sebanyak
buat mengalas perut. Ikan masin dan ikan bilis masih cukup sebagai simpanan untuk
beberapa minggu. Beras masih ada secupak dua.
Pohon beringin...
daunnya rendang
Akar berjalur... cecah
ke bumi
Hatiku ingin... hidup
gemilang
Nasib malang... suratan
diri
Salimah
menjenguk dari luar tingkap. Suara Latifah menyanyi di atas buaian sayup-sayup
kedengaran di bawa angin. Lagu yang sedih. Dia, sebagai seorang ibu juga
berharap agar semua yang sedang berlaku hanyalah mimpi ngeri. Dia mengimpikan
masa hadapan yang indah buat, Latifah. Mendirikan rumah tangga dan
beranak-pinak.
“Mak!”
Jeritan lantang kedengaran.
Periuk
tanah yang berisi beras yang baru dibasuh jatuh ke lantai lalu pecah terbelah.
Jantung Salimah bagaikan mahu gugur. Tanpa memikirkan apa-apa lagi dia menerkam
ke tanah. Langkahnya mati seketika apabila melihat Latifah dipegang tiga orang askar
Jepun.
SALAH seorang sedang menekup mulut. Yang lain pula memegang
kedua lengan Latifah. Sementara itu ada tiga orang askar Jepun sedang berdiri
dan mentertawakan anaknya.
“Lepaskan
sial!” Salimah sudah tidak ingat apa-apa. Sedar-sedar sahaja dia sudah meluru
ke arah Latifah tetapi dalam sekelip mata juga tubuhnya terpelanting sehingga
terlentang ke tanah. Kepalanya sakit akibat terhentak.
“Mak!”
Meluncur suara Latifah. Dia meronta sekuat hati tetapi lengannya tetap dipegang
kuat. Luluh hatinya melihat ibunya terlentang begitu.
“Lepaskan!”
Pak Din yang baru balik dari menebang buluh meluru ke halaman rumah. Apa yang
dilihat hampir sahaja memecahkan dada. Namun dia dihalang daripada mendekati
Latifah.
Askar
Jepun itu mengacah-ngacah dengan bonet di hujung senapang seraya mentertawakan
dia. Darahnya menyirap ke kepala. Tanpa berfikir panjang dia membuka langkah
silat. Tubuh askar Jepun itu dapat diterajang hingga jatuh.
Dalam
keadaan kelam kabut begitu, dua das tembakan dilepaskan ke arah Pak Din.
Serentak Salimah dan Latifah menjerit ketakutan.
Pak
Din rebah tetapi masih berayawa. Peluru yang terkena ke tubuhnya seolah-olah
tidak lut. Tempat di mana peluru itu kena hanya meninggalkan kesan-kesan lebam.
Tetapi Pak Din tetap berasa sakit dan lemah.
Kesempatan
itu diambil oleh askar Jepun itu. Mereka menendang dan membelasah Pak Din beramai-ramai.
Salimah segera memeluk tubuh suaminya, akibatnya dia juga ditendang sampai
tidak bermaya.
Latifah
yang melihat sudah berjuraian air mata. Suaranya sampai hilang.
Tubuh
Pak Din dan Salimah kemudian diikat dengan rotan. Dan dibiarkan sahaja di
tengah panas.
Mereka
mengerumuni Latifah pula.
“JANGANsentuh dia! Anjing!” Jeritan Pak Din bergema.
Dalam keadaan begitu lemah dan berdarah-darah, dia dapat melihat tubuh Latifah
disentuh. Hatinya hancur luluh. Salimah hanya mampu menangis.
Namun
jeritannya hanya membuatkan askar-askar Jepun itu semakin galak memegang dan
menyentuh Latifah.
Latifah
menangis, meronta dan menggigil kuat. Terbayang apa yang akan dilaluinya
sebentar lagi. Dia merayu tetapi askar-askar Jepun yang mengelilinginya seperti
bukan lagi manusia. Mereka seperti makhluk yang tidak memahami langsung erti
belas kasihan. Mereka bukan manusia dan tidak memandangnya seperti seorang manusia.
Tengah
hari itu, dunia Latifah menjadi gelap.
Luluh
jiwa raganya diperkosa enam orang askar Jepun di bawah pohon manggis di tepi
rumah. Tidak cukup dengan itu, Pak Din dan Salimah dipaksa melihat semua
kekejaman yang dilakukan kepada Latifah.
Kedua-duanya
menangis sehingga kering air mata. Pak Din menyesali keputusan dan
keangkuhannya tetapi sayang, semuanya sudah terlambat. Latifah sudah longlai
tidak bermaya tanpa sebarang suara.
Pada
waktu itu Pak Din hanya ingat mati. Kemudian tubuhnya direntap sehingga dia
terbangun.
Askar
Jepun itu menolak tubuhnya untuk berjalan tetapi langkahnya terasa sukar. Dia
dihentak sebelum ditendang hingga tersungkur ke tanah. Belum sempat bangun, dia
terdengar satu bunyi tembakan.
Dia
hanya teringatkan Latifah. Tetapi apabila dia menoleh ke belakang, dia melihat
isterinya, Salimah berlumuran darah dan terlentang di atas tanah dengan mata
terbuka merenung jauh ke langit.
“Salimah...”
Pak Din cuba bergerak ke arah isterinya namun dihalang. Belum habis suaranya
hilang, dia melihat perut Salimah ditikam-tikam dengan bonet. Tanah bermandi
darah.
Dia
kehilangan kata. Apa yang berlaku di luar batas akalnya. Sedar-sedar sahaja,
tubuhnya ditarik pergi secara paksa.
Sewaktu
tubuhnya dihumban naik ke dalam sebuah trak, Dia dapat melihat tubuh Latifah
diangkat beramai-ramai ke dalam sebuah trak lain.
Dia
hanya menyeru nama TUHAN. Dalam kepala terbayang kesengsaraan yang akan dirasai
Latifah. Kemudian dia tidak sedarkan diri.
NGONGOIANyang panjang mengejutkan Latifah. Apabila
kelopak matanya terbuka, yang dilihat hanyalah ruang yang suram dan begitu
asing. Lama matanya melihat ke sekeliling. Akalnya tidak mampu mentafsir di
mana dia berada sungguhpun ruang sempit yang membentuk bilik kecil itu
bertabirkan kain-kain yang berwarna hijau pucat. Kemudian telinga menangkap
bunyi ngongoian itu lagi.
Dia
pasti, ada orang lain di situ.
Dia
cuba bangun tetapi sekujur tubuhnya rasa sakit-sakit. Dia langsung teringatkan
apa yang telah menimpanya sebelum ini. Spontan air matanya mengalir. Dia
tersedu-sedu. Ingatan terhadap ayah dan ibunya membuatkan kesedihannya
memuncak.
Dia
paksa tubuhnya bangun namun apabila digerakkan kaki, kakinya terasa amat berat.
Apabila dilihat ke bawah, kedua belah kakinya dirantai dengan rantai besi yang
besar.
Dia
tambah takut. Dia cuba bangun semula. Dia mesti keluar dari situ untuk mencari
ibu dan ayahnya walau bagaimana sukar pun yang dihadapi. Tetapi apabila dia
menyelak kain yang menabiri bilik kecilnya, dia tergamam.
Di
luar sudah menanti beberapa orang askar Jepun.
Apabila
mereka melihat Latifah sudah berdiri semula, salah seorang menerkam masuk dan
menolak Latifah hingga jatuh semula ke lantai yang hanya beralaskan tikar
nipis.
Latifah
tidak sempat berbuat apa-apa.
Hari
itu dia diperkosa dari siang ke malam silih berganti sehingga dia pengsan
berkali-kali.
RASA air yang sejuk membuatkan Latifah tersedar semula. Dia
menggerakkan kepala meskipun kelopak mata amat berat untuk dibuka.
“Latifah...”
Satu suara membuatkan akalnya waras semula.
“Siapa?”
Dia bertanya walau separuh daya.
“Ini,
Som.” Gadis yang duduk di sisi Latifah menjawab sambil tersedu-sedu. Tubuh
Latifah dilap sehabis lembut. Dia memahami apa yang dialami Latifah. Dia juga
begitu. sakit jiwa raga.
“Som?”
Fikiran Latifah benar-benar keliru.
“Ini,
Som.” jawab gadis tadi beria-ia smabil memegang tangan Latifah.
Latifah
angguk lemah. Ingatannya datang sedikit demi sedikit. Itu, Som. Kawan
sepermainan satu kampung. Anak bilal yang rumahnya jauh ke dalam. Sudah lama
mereka tidak bertemu, setelah Kalsom berkahwin. Cuma dia tidak faham di mana dia
berada dan apa yang sedang berlaku di situ.
“Kita
di mana?”
Som
tidak terus menjawab. Air matanya mengalir perlahan.
“Kita
di dalam kem askar di atas bukit,” jawabnya.
“Kem?”
Dahi Latifah berkerut.
“Engkau
dibawa ke sini semalam dalam keadaan tak sedar,” tambah Kalsom. “Tapi selepas
tu engkau....”
“Engkau
juga?”
Kalsom
angguk.
“Kita
dijadikan perempuan pemuas nafsu mereka. Itulah tugas kita di sini.”
Kata-kata
Kalsom hanya menambah keperitan di dada. Semua yang berlaku seolah-olah tidak
sanggup difikirkan. Dia kembali memejamkan mata.
“Engkau
mesti bangun, Latifah.” Kalsom menangis lagi. “Engkau mesti membersihkan diri
dan makan sedikit.”
Latifah
menggeleng. Dia tidak ada rasa mahu buat apa-apa. Dia hanya mahu berbaring dan
tidur buat selama-lamanya. Dia sudah tidak punya apa-apa untuk terus hidup.
“Engkau
tak boleh macam ni. Di sini bukan ada engkau seorang. Ada ramai lagi perempuan
yang senasib dengan kita. Engkau mesti kuat. Engkau mesti balik ke kampung jumpa
ibu dan ayah engkau,” kata Kalsom.
Mendengarkan
perkataan ibu dan ayah, Latifah terus celik. Kemudian dia tersedu-sedu.
Tubuhnya terhinggut-hinggut bersama perasaan yang dihamburkan.
“Mak...”
katanya.
“Jangan
kuat-kuat. Nanti mereka datang pukul kita,” tegah Kalsom.
“Aku
nak mak... ayah...” tambah Latifah. Wajah kedua-duanya terbayang sehingga
memenuhi ruang mata.
“Sebab
tu engkau mesti bangun. Mandi dan makan sementara ada masa. Kita mesti balik ke
kampung cari keluarga kita. Mesti.”
Latifah
terus menangis. Kalsom juga.
“Kita
tak boleh berlengah. Ini aje masa yang ada. Semua yang lain sudah mandi dan
makan. Engkau kena cepat. Mari aku bantu engkau. Kalau engkau tak buat nanti
mereka datang pukul engkau. Lagi teruk.”
Mahu
tidak mahu Latifah memaksa dirinya untuk bangun. Ketika keluar dari bilik
kecilnya, baru dia dapat menyaksikan keadaan di situ.
“SEMUA ni?” Latifah bertanya. Dia terkejut apabila tempat itu
banyak bilik-bilik kecil yang ditabiri kain.
Kalsom
angguk. Tubuh Latifah dipapah perlahan.
“Setiap
bilik diletakkan seorang perempuan. Yang sakit atau mati diasingkan. Bilik
engkau tu baru aje kosong sebelum engkau dimasukkan,” balas Kalsom.
Ketika
itu mereka sudah keluar dari bangunan dan menyusuri dinding batu setinggi 10
kaki. Pada waktu itu jugalah buat kali pertama Latifah melihat langit meskipun
tempat itu ditutupi jala hijau.
“Perempuan
sebelum aku tu?”
“Mati.
Gadis Cina. Aku rasa umurnya mungkin 12 tahun aje. Kecil orangnya. Siang malam
dia dikerjakan. Terjerit terlolong sampai senyap.”
Terhenti
nafas Latifah. Terasa sakit semula seluruh tubuhnya. Dia sendiri mungkin mati
begitu juga.
Tiba-tiba
perbualan mereka disergah. Seorang askar pengawal marah-marah dalam bahasa
jepun yang tidak difahami mereka berdua.
Kalsom
tertunduk-tunduk sebelum menarik Latifah agar bergerak lebih laju. Latifah bergerak dengan susah payah sungguhpun kakinya tidak dirantai lagi.
“Kita
dah nak sampai. Di sini ada perigi untuk mandi dan cuci pakaian. Sehari, kita
dibenarkan mandi sekali aje pada waktu pagi. Makan dua kali sehari, pagi dan
malam.” Kalsom bawa Latifah ke tepi perigi yang terlindung di balik tembok
separas kepala mereka.
Tetapi
belum sempat sampai, mereka berdua terdengar bunyi seorang lelaki menjerit
kesakitan.
Latifah
terpempan.
“LATIFAH!” Kalsom mengejar apabila dengan tiba-tiba
sahaja Latifah berlari ke arah suara yang didengarnya tadi. Mujurlah dia dapat
menyambar tangan Latifah sehingga Latifah tersembam ke tanah. Secepat kilat,
tapak tangannya menekup mulut Latifah yang meronta-ronta.
“Ayah!”
Suara Latifah meletus ketika Kalsom mengalihkan tapak tangan.
“Shh!!”
bentak Kalsom. “Engkau nak kita kena bunuh ke?”
“Ayah...
ayah...” Latifah bagai hendak gila apabila terdengar suara ayahnya menjerit
dari sebalik tembok.
“Shh...”
Kalsom cuba mententeramkan Latifah.
Kemudian
dia memandang ke kiri ke kanan. Apabila dilihatnya tidak ada askar Jepun di
situ, dia menarik tangan Latifah ke dalam rumpun semak di tepi sebuah bangunan
stor tempat menyimpan barang-barang buruk. Di situ ada sebatang pokok beka yang
besar dan rendang.
Mereka
berdua kemudiannya memanjat untuk melihat apa yang sedang berlaku di sebelah.
“Ayah...”
rintih Latifah. Apa yang dilihat sungguh menghancurkan hati.
Ayahnya,
dikurung di dalam sebuah kurungan kayu berduri persis kurungan haiwan. Saiz
kurungan itu hanya muat-muat sahaja tubuhnya; tetapi kepalanya dikeluarkan
melalui satu bukaan kecil. Kurungan itu pula diletakkan di tengah kawasan
lapang.
Daripada
keadaan ayahnya, dia tahu ayahnya sedang kesakitan tetapi masih hidup. Ayahnya
seperti sedang meracau.
Di
situ juga terdapat dua buah bangunan yang mempunyai bilik-bilik berjeriji
seperti bilik tahanan. Di dalamnya terdapat ramai lelaki pelbagai bangsa.
Kesemuanya menggerumuk di satu sudut sambil memerhati ke tengah lapangan dengan
wajah takut.
Empat
orang askar Jepun melangkah ke tengah lapangan. Salah seorang membawa baldi
yang entah apa isinya.
Kepala ayahnya ditarik ke belakang. Leher
ayahnya terngadah ke langit. Latifah menutup mulut. Bila-bila masa sahaja leher
itu akan terbelah dua dan darah ayahnya menyembur-nyembur. Tetapi apa yang
dijangkakan itu tidak berlaku.
“ALLAH!”
Suara ayahnya meletus hiba apabila kulit kepalanya ditoreh hidup-hidup dan
dikoyak hingga nampak tengkorak.
Ayahnya
menggelupur sehingga kurungan itu bergoncang keras.
Askar
Jepun itu menjadi riuh seketika sebelum askar yang memegang baldi tadi
mencurahkan garam di atas kepala ayahnya.
Sebaik
sahaja terkena garam, sekali lagi ayahnya menggelupur bagai ayam disembelih
lehernya. Lama-lama kemudian tubuhnya ayahnya terkulai.
Askar-askar
Jepun tadi riuh rendah semula bagaikan
suka benar. Tahanan-tahanan yang melihat ada yang menangis.
Latifah
jatuh pengsan.
LATIFAH sedar semula apabila tubuhnya disimbah dengan air perigi.
Kepalanya rasa berpusing dan nanar.
“Cepat!
Kita tak boleh berlama-lama di sini. Kalau mereka perasan kita tak ada di
bilik, kita akan dipukul.” Kalsom begitu kalut.
Dia
melucutkan pakaian Latifah dan memandikan Latifah dengan tergesa-gesa. Kemudian
memakaikan Latifah dengan sehelai pakaian yang disediakan untuk semua perempuan
di situ. Sehelai baju labuh berwarna hijau pucat.
“Kenapa
mereka buat ayah macam tu?” Latifah menangis lagi. “Apa salah ayah?”
“Ayah
Latifah tak salah. Mereka tak perlu apa-apa sebab untuk menyiksa tahanan. Semua
tu hanya untuk menankutkan tahanan dalam penjara,” terang Kalsom.
Latifah
terus tersedu-sedu. Sungguh sakit disiksa tetapi lebih sakit apabila melihat
orang yang disayang; disiksa. Sakitnya tidak dapat dibayangkan.
“Kita
balik sekarang. Sekejap lagi mereka sampai,” kata Kalsom. Dipimpinnya Latifah
yang masih lemah balik ke bangunan tadi.
Setibanya
di sana, dia suapkan bubur nasi yang sediakan untuk makan pagi semua yang ada
di situ ke mulut Latifah.
Latifah
menggeleng.
“Engkau
mesti makan. Nanti engkau mati,” pujuk Kalsom.
Latifah
tolak mangkuk ayan yang berisi bubur. Hilang sudah semangatnya untuk hidup. Dia
tahu ayahnya tidak akan bertahan dalam keadaan itu.
“Engkau
mesti balik ke kampung. Mak engkau tunggu,” kata Kalsom sambil tersenyum pahit.
Air matanya sendiri sudah basah di pipi.
Untuk
sesaat Latifah merenung wajah Kalsom yang sarat dengan penderitaan.
“Macam
mana engkau boleh terima semua ni? Macam mana engkau boleh bertahan?” Dengan
sepenuh perasaan dia bertanya.
“Sebab...
aku nak jumpa anak aku semula. Semasa mereka culik aku dan bawa aku ke sini,
anak aku sedang tidur dalam buai,” jawab Kalsom sebelum terduduk lesu.
Jawapan
Kalsom buat Latifah terdiam. Belum sempat dia memeluk Kalsom, tabir biliknya
disingkap.
Tubuh
Kalsom direntap dan ditarik keluar. Disambut bunyi riuh rendah di luar. Di
dalam bilik, tubuh Latifah diterkam. Bubur nasinya bertaburan ke lantai.
Hari
itu dia terpaksa melayan askar Jepun seorang demi seorang sehingga dia tidak
sedar apa-apa. Terasa ingin mati tetapi jasadnya masih bernyawa.