“KAU pasti dia?” tanya Zed sewaktu
bertemu Poyi di markas Botak, sebuah kedai lama di Jalan Tiga. Markas itu sudah
lama ditinggalkan oleh orang-orang Botak setelah kawasan itu diambilalih oleh
Geng Naga Tongga.
“Cakap banyak tak guna.” Poyi
serahkan telefon bimbitnya kepada Zed.
Zed lantas memasang semula rakaman
yang telah dibuat oleh telefon bimbit Poyi. Setelah menontonnya beberapa saat,
dia puas hati. Itu memang Adam. Tapi persoalannya kenapa Adam asyik
berulang-alik ke situ beberapa hari ini. Apa yang Adam cuba cari?
“Sampai pukul berapa dia di situ?”
“Tengah hari.”
“Tinggal di mana?”
“Jalan Semerang. Sebuah rumah
tumpangan murah,” jawab Poyi.
Zed merenung dinding kedai yang
sudah berlumut hijau di hadapannya. Lama dia begitu sambil otaknya ligat
berfikir. “Aku nak kau ikut saja ke mana
dia pergi selepas ni. Aku nak tahu apa dia buat di Melaka. Siapa kawan-kawan
dia di sini.”
Poyi angguk.
“Kalau dia datang lagi ke pasar,
telefon aku,” katanya kepada Poyi, sebelum Poyi beredar.
******
SEJAM selepas Poyi beredar, datang
pula Botak dengan orang-orangnya ke situ. Zed menunggu sahaja apa kata Botak
tentang kejadian malam tadi di kawasan itu. Dia harap Botak puas hati.
“Pagi-pagi lagi David sudah sumpah
seranah aku.” Botak ketawa kecil semasa memulakan perbualan. “Dia marah betul
pada kau. Dua orang, orang kuatnya mati. Dua parah di hospital.”
“Polis?” tanya Zed. Baru dia faham
siapa David.
Botak tersenyum sesaat.
Zed tidak menyoal lagi. Dia yakin
pihak polis tahu tetapi tidak mahu masuk campur. “Apa lagi yang kau nak aku
buat?”
“Banyak,” balas Botak sambil
menarik sebuah kerusi lalu duduk. “Aku nak kau kacau kawasan David. Aku nak dia
takut pada aku.”
“Boleh aku tahu kenapa? Takkan
kawasan ni saja yang dia ambil. Tentu ada kawasan lain.”
Botak angguk. Sambil memandang Zed
dia menjawab. “Dia dah ambil tiga kawasan aku. Jalan Tiga, Jalan Tujuh dan
Jalan Pulau. Tapi aku tak nak kau rampas dua jalan lagi macam kau rampas jalan
ini. Aku nak kau buat sampai David serahkan kawasan itu semula kepada aku
dengan cara hormat.”
Zed diam agak lama. Melihatkan
keseriusan Botak, dia faham niat abangnya. “Aku cuba.”
Botak menggeleng. “Tidak ada
istilah cuba-cuba. Kau buat atau… siapa nama lelaki tu?” Dia menoleh ke arah
orang kanannya. Lelaki itu membisikkan sesuatu. Kemudian dia menyambung, “Adam.
Kalau tidak aku ambil mayat Adam dan hantar ke balai polis. Lebih menarik.”
“Aku buat,” kata Zed. Panas hatinya
apabila diugut oleh Botak. Dia tidak mahu permainannya tamat di tangan Botak.
“Bagus.” Botak kembali berdiri.
Sambil menyapu tapak tangannya, dia berkata, “Aku rasa lebih baik kau bersihkan
sikit tempat ni. Habuk.”
Zed lihat sahaja Botak beredar dari
situ. Kemudian dia menoleh ke arah orang-orangnya.
“Malam ini kita ke Jalan Ciku.”