“Yang nilah cantik.”
“Yang ni lagi cantik.”
“Dia suka warna biru. Ambil yang nilah.”
“Tapi yang ni aku rasa lagi cantik.Yang tu nampak
murah aje.”
Seminit, dua minit, tiga minit. Kemudian jadi
berminit-minit. Aku yang menunggu sudah rasa jemu. Pilih kad hari jadi bagaikan
hendak pilih baju, rungutku dalam hati apabila dua orang gadis masih belum
berganjak dari rak yang menempatkan pelbagai kad ucapan hari jadi. Aku yang
mahu ke situ terpaksa beralah. Ingatkan sekejap sahaja, rupanya sudah hampir
setengah jam.
“Untuk kekasih.” Salah seorang daripada gadis-gadis
bersuara. Di tangannya ada sekeping kad ucapan hari jadi.
Aku yang memerhati dari tepi rak yang menempatkan
pelbagai jenis sampul surat tertarik pada kad yang dipegang. Memang cantik. Aku
teringin membelinya.
“Berangan kau, doe. Entah bila tahun budak tu jadi
kekasih kau,” perli yang seorang lagi.
Aku termenung sendiri. Ya, entah bila dia jadi
kekasih aku…
*****
10 tahun yang lalu…
“Kesian. Kesian.”
Suara yang tidak asing lagi kedengaran. Aku menelan
air liur dan menunduk semula membaca nota.
“Lupakanlah sajalah orang tu. Orang tu dah ada makwe.
Takkan ingat kau lagi.”
“Diamlah, Min.” bentakku separuh kuat. Tidak jauh
dari tempat aku duduk menekuni nota-nota SPM ada empat orang pelajar Cina yang sedang
rancak berbincang. Walaupun aku yakin mereka tidak mendengarnya namun rasa cuak
tetap ada.
Kawanku yang bernama Min ketawa. Dia duduk di
sebelahku sambil meletakkan buku-buku teks di hadapannya. Kemudian memandang ke
tengah padang di mana dua pasukan hoki sedang giat berlatih. Salah seorangnya
adalah, dia.
“Siapa menang?”
Aku menoleh ke arah Min yang berwajah bulat.
“Oh… aku lupa. Kau bukan tengok perlawanan. Kau
tengok orang tu.” Min tersenyum lebar.
“Nak kena cubit ke nak kena tolak?” balasku garang.
Geram kerana kata-kata Min yang sentiasa menyakitkan hati.
“Dua-dua tak nak,” balas Min. Kemudian bertempik. “Eh!
Dia jatuhlah!’
Aku segera menoleh ke arah padang tetapi tidak ada
apa pun yang pelik.
Min ketawa lagi. “Nampak benar kau sayang dia ya?”
Mukaku jadi merah padam. Selepas ketawa Min reda aku
berkata, “Min, lepas sekolah ni kau temankan aku ke bandar.”
“Kau nak beli apa?”
“Kad birthday.”
“Birthday siapa?”
Aku diam semula.
“Ha… ni mesti birthday budak tu kan?” kata Min. “Ila…
tak payahlah kau bazirkan duit kau pada budak tu. Dia bukan suka kau pun. Hairan
pun tidak. Habiskan duit aje.”
Aku bertambah diam. Remuk hatiku. Petang yang panas,
bertambah panas jadinya.
“Lainlah kalau kau nak beli kad untuk aku,” tambah
Min.
“Birthday kau bulan depan ya?”
“Sampai hati!” kata Min. “Birthday aku kau tak
ingat. Birthday dia kau ingat!”
Kali ini aku kelu. Memang salahku kerana terlupa
hari lahir sahabat baik sendiri.
****
SELEPAS itu
aku tidak mengajak Min ke bandar lagi. Lantaran hari jadi Min dan dia dalam
bulan yang sama, aku mengambil keputusan untuk pergi tanpa dia. Aku mahu beli
kad untuk Min dan untuk dia. Dua-dua penting bagi aku.
Sudah hampir setengah jam aku di dalam kedai buku
yang kecil itu. Kedai yang kecil menjadi setiap ruang dipenuhi buku-buku yang
pelbagai jenis dan rupa. Rak yang mempamerkan kad hanya diletakkan di ruang
paling belakang berdekatan dinding. Aku ke situ dan mula memilih.
Kad ucapan berwarna putih krim dengan lukisan kartun
arnab berwarna merah muda aku pilih untuk Min. Sayangnya aku terkial-kial
memilih kad hari jadi untuk dia. Yang itu salah, yang ini keterlaluan, fikirku.
Untuk kekasih salah, untuk teman istimewa tidak kena. Akhirnya aku pilih yang
biasa sahaja. Hanya ada ucapan ‘Selamat Hari Jadi’, ada gambar kotak hadiah
bereben dan belon tiga biji. Sangat ringkas. Setelah berpuas hati, aku bawa
kedua-dua kad itu ke kaunter pembayaran namun belum sempat aku sampai,
langkahku terhenti.
Di tersenyum di pintu masuk kedai. Sayangnya
berteman.
*****
Hari demi hari berlalu. Kad ucapan untuk Min sudah
aku letakkan di dalam meja. Aku kira, Min sudah pun menerimanya apabila masuk
ke dalam kelas pagi tadi. Aku tidak pasti apa reaksi Min kerana kami berlainan
kelas. Hanya pada waktu rehat nanti, aku akan bertemu dengan Min di kantin.
Masalahnya kad untuk dia. Aku…
“Ila!” Sergah Min pada waktu rehat. Tapak tangannya
melekap kuat pada kedua belah bahuku.
Aku tersenyum. Melihatkan wajah Min yang keriangan
aku pasti, Min sudah menerima kad yang aku letakkan tadi.
“Thanks, dear,” kata Min sambil duduk di sebelahku. “Ingat
pun kau birthday aku ya?”
“Takkanlah aku lupa.”
“Tapi bila kau pergi beli kad? Kau pergi dengan mama
kau ya?”
Aku geleng.
“Beranilah kau pergi bandar sorang-sorang. Kalau
mama kau tahu, siaplah.”
“Nak buat macam mana? Ada kawan pun banyak alasan,”
balasku.
“Kalau aku tahu kau nak beli kad untuk aku, aku
naklah ikut. Nak minta kad sebesar manila kad tu.”
Aku ketawa kecil.
“Kau dah beli kad untuk dia ya?”
Ketawa aku terhenti. Aku diam.
Min menghempas nafas. Mukanya mendung.
“Kalau kau nak hantar juga, aku tak halang. Meh, aku
hantar!” Min hulur tapak tangan.
Aku geleng. Sejujurnya di saat aku melihat dia
berdua tempoh hari lagi, aku sudah terasa tawar hati untuk menghantar kad
ucapan itu.
Akhirnya tahun demi tahun berlalu dan kad itu masih
ada di dalam laci.
*****
Sekarang….
“Cukuplah ni…”
“Okeylah. Kita share bayar tau.” Dua orang gadis
tadi berlalu meninggalkan rak kad ucapan.
Aku tersedar dari ingatan yang membawa aku jauh ke
belakang. Ingatan kepada Min. Ingatan kepada dia. Dan hari itu, aku memilih kad
ucapan yang sama. Satu untuk Min dan satu untuk dia. Seperti selalu. Seperti setiap
tahun.
Walau aku tidak tahu dia di mana, aku tidak tahu dia
hidup dengan siapa, aku tidak tahu bagaimana keadaan hidupnya kini… kad ucapan
itu akan selalu ada untuk dia.
Sepulangnya aku di rumah, aku tuliskan kad untuk
Min. Aku tuliskan kad untuk dia. Kemudian aku simpan di dalam laci bersama-sama
sembilan kad yang lain. Bersama-sama impian yang tidak pernah mati. Bersama doa-doa
semoga dia bahagia selalu.
“Selamat Hari Lahir, sayang…” ucapku perlahan. Laci
kututup. Air mata kering sendiri.
TAMAT