BAB
8
SEKEPING
cek
ditolak perlahan di hadapan Botak. Zed menunggu.
Botak mengambil cek itu.
Membacanya, kemudian tersenyum. “Aku dah jangka,” katanya.
“Dia pernah selamatkan nyawa aku.”
Zed menjawab. Tidak perlu dia menyembunyikan apa-apa kerana yang pentingnya dia
sudah membayar harga nyawa Poyi dengan cek itu. Sepatutnya Botak tidak
mempersoalkan duit itu datang dari siapa atau dari mana. Duit tetap duit dan
tetap akan bernilai selagi tidak palsu. Itu sahaja yang penting buat orang
macam Botak.
Botak angguk. Cek itu diserahkan
kepada pembantunya pula. Dia lantas bangun dan berdiri di tepi tingkap
pejabatnya sambil membelakangkan Zed. Lama dia termenung di situ seperti
berfikir. Kemudian dia menoleh semula ke arah Zed.
“Kau sudah bersedia?” tanyanya.
Zed geleng.
“Kenapa?” Botak seperti tidak
menjangkakan jawapan itu.
“Aku akan tinggalkan tempat ini
malam ini juga,” jawab Zed.
“Kau baru seminggu di sini. Hari tu
kata nak duduk sini lama-lama.” Botak renung wajah adiknya.
“Dia ada di sini.”
“Siapa?”
Zed diam. Dia tahu Botak pasti tahu
siapa yang dimaksudkan.
Kemudian Botak menggeleng beberapa
kali sambil merenung wajah Zed lagi.
“Sampai bila kau nak main
kejar-kejar macam ni? Sampai bila?” Suaranya sudah tinggi. Jelas sekali Botak
tidak setuju dengan keputusan Zed kali ini.
“Selagi dia hidup,” jawab Zed.
“Kalau macam tu,” kata Botak.
Sepucuk pistol jenis Revolver dikeluarkan dari dalam laci mejanya dan diletakkan
di hadapan Zed. “Habiskan saja dia. Kau tak perlu lari lagi.”
Zed tersenyum sinis.
“Kalau aku nak bunuh dia, aku tak
perlukan pistol kau. Cukup dengan duit saja. Bersih.” Pistol itu ditolak semula
ke hadapan Botak.
“Tapi aku tak setuju kau lari lagi.
Cukuplah tiga tahun kau ke sana sini dengan perempuan tu. Cukuplah kau buang
masa muda kau. Tamatkan saja. Kau dah menang,” balas Botak dengan tenang
sekali.
Zed melepaskan nafas. Terasa panas.
Terbayang di matanya kelibat Adam di pasar besar pagi tadi. Kenapa Adam boleh
tiba begitu cepat kali ini? Adakah Adam makin cekap atau dia yang makin cuai?
Dia tidak ada jawapan cuma dia harap bukan jawapan yang kedua. Dia belum puas
bermain.
“Aku perlukan kau di sini.” Botak
merenung muka Zed lagi. “Dan aku akan buat apa saja supaya kau kekal di sini.”
Dahi Zed perlahan-lahan berkerut. Dia
dapat menangkap maksud kata-kata Botak dengan jelas. Serentak dengan itu terasa
hatinya panas dan sejuk berulang-ulang.
“Jangan buat apa-apa pada dia. Dia
milik aku,” katanya.
“Okey, aku tak ganggu barang
permainan kau tapi dengan satu syarat,” kata Botak.
Mata Zed terkebil-kebil. Dia sedar
abangnya sedang mengambil kesempatan di atas kelemahan dia. Silapnya kerana
masuk ke gelanggang yang salah. Ini tempat permainan Botak. Dia silap besar.
“Kau kerja dengan aku. Sambil tu
kau bermainlah dengan dia sepuas-puas hati kau. Lagipun aku percaya, tak lama
lagi dia tentu akan berambus dari sini.”
Zed tidak memberikan apa-apa
jawapan. Dia masih berfikir.
“Kau nak tahu bagaimana untuk buat
permainan kau lebih menyeronokkan?” Botak ketawa. “Steel cage. Saling membunuh dalam satu sangkar. Baru betul-betul maco.
Bukan main kejar-kejar macam kucing dengan tikus, itu permainan budak-budak
kecil.”
“Asalkan kau tak sentuh dia,” balas
Zed. Nampaknya Botak sengaja mencabarnya. Dia juga tidak ada pilihan. Dia masih
mahukan Adam dan Liyana terus hidup supaya kedua-duanya merasa apa yang dia
rasa setiap saat, setiap minit dan setiap hari.
Botak angguk. “Buat apa yang aku
suruh.”
“Deal,”
balas Zed. Mungkin betul juga kata Botak, steel
cage lebih menyeronokkan. Dia akan buat Adam gila. Dia akan buat Adam serik
mengejarnya dalam negeri itu. Dia akan buat Adam takut pada bayang-bayangnya.
Ya, lebih seronok.
“Tengah malam ni aku nak kau ke
Jalan Tiga. Usir Naga Tongga dari kawasan aku. Kau tahu apa yang kau perlu
buat, kan?” Botak terus memberikan arahan yang pertama.
Zed tidak menjawab, sebaliknya dia
hanya merenung wajah abangnya lama-lama. Kemudian dia bangun dan menolak
kerusi.
“Tak perlu tunggu tengah malam.”
Dia pun beredar.
*******
PUKUL
4.00 pagi,Zed sampai ke pangsapurinya semula.
Rumah yang sunyi sepi, kini sedikit riuh dengan suara-suara orang-orangnya yang
diajak ke situ. Walaupun dia balik dengan kesakitan dan luka sana-sini, dia
tetap menjenguk Liyana di dalam bilik.
Selak besi pada pintu Liyana ditarik
perlahan. Bilik itu pun terbuka. Dia mencelah masuk, sebelum menutup pintu di
belakangnya. Dalam remang cahaya lampu tidur yang terpasang di tepi kepala
Liyana, dia dapat melihat perempuan itu sedang tidur dengan nyenyaknya.
Berselimut dari kaki ke paras dada.
Lalu perlahan-lahan, dia melabuhkan
punggung di atas kerusi dan duduk menghadap katil. Terasa penatnya menjalar
turun dari kepala ke hujung kaki namun kesejukan bilik itu seperti menambah
bisa pada kesakitan yang dirasainya. Kesakitan yang tidak dapat menandingi
kesakitan di hatinya sejak lima tahun yang lalu.
“Saudara kena lepaskan dia. Pulangkanlah
dia kepada keluarganya,” pujuk seorang lelaki yang kemudian diketahui namanya
sebagai Adam.
Pada waktu itu dia dan Azreen
baharu sahaja keluar dari Hotel Holiday di Wilayah Patthalung, Thailand. Dia
berhajat mahu membawa Azreen, isteri yang baru dinikahinya sehari ke Pesta Long
Rua-Lae-Nok-Thale Noi untuk melihat sebuah tasik besar yang dipenuhi bunga
teratai. Sayangnya hajat mereka tidak kesampaian.
Dan hajat itu terus tidak
kesampaian hingga ke hari ini. Semuanya gara-gara lelaki itu. Adam.
“Dia sudah jadi isteri aku,”
katanya dengan tegas sambil mencekak pergelangan tangan Azreen dengan kuat. Dia
tidak akan biarkan Azreen dibawa pergi darinya. Azreen miliknya, Azreen
isterinya, cintanya.
“Aku tahu kamu berdua dah nikah
semalam tapi dengarlah nasihat aku. Kembalilah ke negara kita secepat mungkin.
Berjumpalah dengan ibu bapa Azreen. Kita selesaikan hal ini dengan cara baik,”
pinta Adam.
“Sudah terlambat,” balasnya.
“Perkara ini tak boleh diselesaikan dengan cara baik. Mereka tak suka aku
bernikah dengan Azreen, sedangkan kami saling mencintai.”
“Kau sendiri tahu sebabnya, kan?”
Dia diam tetapi hatinya masih
menolak.
“Azreen masih bersekolah. Baru
berusia 14 tahun,” tambah Adam.
“Diam!” Dia menjerit lalu menolak
Adam sampai tersungkur ke kaki lima. “Kalau aku jumpa kau lagi, kau mati.”
Lalu dia pun beredar bersama
Azreen. Sangkanya dia berjaya mengawal segalanya hanya dengan sekeping surat
nikah. Dia tersilap. Adam seperti bayang-bayang yang mengejarnya ke mana sahaja
dia pergi.
“Erm…” Liyana bergumam sebelum
mengalihkan tubuhnya ke kanan. Kini Liyana tidur mengiring.
Dia tersedar. Ingatannya kepada
Azreen terus pudar. Isterinya yang dicintainya itu sudah lama mati tetapi
perempuan yang berada di hadapannya akan menggantikan tempat Azreen sampai
bila-bila. Semua ini berlaku kerana lelaki itu.
Lelaki yang bernama Adam.
******
LIYANA terjaga dari tidur apabila
telinganya menangkap bunyi azan. Dia yakin, bunyi azan yang merdu itu datangnya
dari Masjid Selat, yang boleh dilihat dari bilik itu. Cuma dia kesal setiap
kali bunyi azan berkumandang, dia hanya boleh mendengar tanpa berbuat apa-apa.
Sejak ditawan oleh Zed, dia sudah tidak pernah melihat kain telekung lagi malah
tudung yang sentiasa menutup rambutnya selama ini, sudah lama dibuang oleh Zed.
Hidupnya sudah benar-benar berubah.
Apabila dia mencecahkan kakinya ke
lantai yang sejuk, baru dia sedar Zed sedang tertidur di atas kerusi sambil
duduk dengan kepala yang terlentok. Muka Zed calar-balar malah dia terlihat
kesan darah di baju dan seluar yang sudah mengering. Tetapi dia tidak
bersimpati, apatah lagi berasa kasihan. Lelaki itu memang patut mati sahaja.
“Dah bangun?” tanya Zed.
Liyana terkejut. Sungguh dia
terkejut apabila Zed tiba-tiba sahaja membuka matanya. Kalaulah dia bangun
lebih awal, mungkin dia boleh menghentak kepala Zed dengan apa sahaja benda
yang boleh dicapainya. Biar kepala itu pecah berderai dan dia boleh cabut lari.
Sayangnya semua bayangan itu hanya berlegar dalam kepalanya. Zed seorang lelaki
yang teramat peka, telinganya bagaikan telinga lintah. Sukar untuk dia melihat
Zed terleka.
“Pukul berapa ni?” Zed bertanya
lagi sambil menggosok rambutnya ke belakang. Kemudian bangun menggeliat dan
melegakan pinggang.
“Dekat pukul enam,” balas Liyana
sebelum berjalan menuju ke bilik air. Tiga tahun bersama Zed, dia tetap
berwaspada walaupun Zed tidak pernah cuba menyentuh dirinya kecuali dengan niat
untuk menyakiti.
Zed melepaskan keluhan, kemudian
berjalan menuju ke arah pintu. Berhenti sekejap dan menegur Liyana.
Katanya, “Maafkan aku, semalam.”
Liyana tidak membalas apa-apa. Dia
hanya meneruskan langkah ke bilik air dan menutup pintu. Di situ, dia
termenung.
Setiap kali Zed membelasahnya
sampai pengsan atau berdarah-darah, Zed akan minta maaf selepas itu. Dia sudah
lali. Hanya kerana dia percaya semua penderitaan itu akan berakhir apabila
ditetapkan Tuhan, dia terus bertahan. Dia terus berdoa. Dia tidak mahu putus
asa.
Air matanya yang menitik,
membuatkan dia tertunduk. Kemudian tangisannya menjadi lebat. Dia ingin pulang.