MALAM
itu Masjid Sultan Ahmad Shah agak penuh dengan jemaah. Malam itu malam ke 27
Ramadan bersamaan dengan malam Jumaat. Malam yang penuh berkat. Antara jemaah
yang hadir memenuhi masjid ialah Adam dan Borhan.
“Malam
ni… kau nak duduk di masjid juga ke?” Borhan bertanya sewaktu menyarung
selipar. Pada waktu itu mereka baru selesai menunaikan solat tarawikh. Jam
hampir ke pukul 10.30 malam.
Adam
sekadar mengangguk. Bagi dia itulah tindakan yang sebaik-baiknya dapat diambil
pada waktu itu. Peluang beriktikaf pada malam-malam terakhir Ramadan begitu
sedikit sebanyak menyuntik kekuatan dalam jiwanya yang sedang rapuh.
“Kita
pergi minum dulu,” ajak Borhan lagi sambil menepuk lembut bahu Adam.
Melihatkan
kesungguhan Borhan, Adam tidak menolak. Dari kawasan masjid mereka beredar
menuju ke Bandar Indera Mahkota mencari restoran buat menghilangkan dahaga dan
melepaskan sedikit lelah.
“Sabarlah,
Adam. Aku percaya satu hari nanti Liyana akan sembuh,” kata Borhan sebaik
sahaja mereka selesai memesan minuman.
“Itulah
doa aku hari-hari.”
Pendek
sahaja jawapan Adam. Sesungguhnya dia tidak berhenti-henti berdoa dan berusaha
agar Liyana sembuh seperti sedia kala dan pulih dari trauma. Namun nampaknya
apa yang telah berlaku selama hampir tiga tahun yang lalu masih meninggalkan
kesan yang mendalam pada jiwa isterinya. Kini hidup mereka bertiga sudah jauh
berubah. Liyana, bukan lagi Liyana yang dahulu. Kebahagiaan yang diharapkan
selepas Liyana pulang ke pangkuannya masih belum kunjung tiba.
“Aku
ada mendengar satu tadabbur dari Ustaz Nouman Ali Khan. Semasa membicarakan
surah Al-Qasas ayat 10 dari Juz 20 yang menceritakan peristiwa semasa ibu Nabi
Musa menghanyutkan Nabi Musa di sungai, bagaimana pada waktu itu Allah swt
menguatkan hati ibu Nabi Musa. Sedangkan pada waktu itu ibu Nabi Musa sudah
terlalu sedih dan hampir mengalah. Ayat itu membuktikan bahawa apa pun
kesedihan, kelukaan dan trauma yang dialami manusia, Allah swt mampu menentukan
dan menyembuhkannya. Jadi kita berdoalah sama-sama. Mana tahu dengan keberkatan
Ramadan tahun ini, Tuhan sembuhkan jiwa dia. Sabar sahajalah. Tuhan tahu bila
waktu yang terbaik.”
Adam
tatap wajah Borhan yang begitu tenang. Apa yang didengar makin membuahkan
harapan. Dia memang mengharapkan perubahan pada diri Liyana demi kebahagiaan
mereka sekeluarga. Apatah lagi demi Aiman yang sangat merindui kasih sayang
seorang ibu.
*****
MENJELANG
tengah malam, Adam sampai ke rumah. Pada waktu itu rumah sudah senyap sepi. Dia
yakin Aiman sudah tidur. Begitu juga dengan pembantu rumah mereka. Yang dia
tidak pasti ialah Liyana.
“Liyana
belum tidur lagi?”
Dia
pandang Liyana yang hanya duduk termenung di atas lantai di tepi katil
bersebelahan tingkap. Di situlah Liyana selalu duduk menghabiskan masa.
Menangis atau termenung. Kadangkala dia mendengar Liyana bercakap sendiri.
Kalau tidak tahan sangat, Liyana akan menjerit dan membaling semua barang yang
sempat dicapai. Kalau itu berlaku, hatinya terasa sangat pilu.
Pertanyaan
Adam tidak dijawab. Sememangnya begitu sikap Liyana setelah dibawa pulang dari
Melaka. Berbulan-bulan di hospital, rawatan dan kaunseling masih tidak berjaya
memulihkan trauma Liyana. Akhirnya Adam membuat keputusan untuk menjaga sendiri
Liyana di rumah dengan harapan, Liyana boleh pulih perlahan-lahan dalam suasana
yang lebih aman. Sayangnya setelah hampir setahun berlalu, keadaan Liyana masih
begitu juga.
Adam
duduk di birai katil. Tanpa sepatah kata, dia merenung wajah Liyana yang murung
dan kusut. Dia selalu tertanya-tanya apa yang telah dialami Liyana selama ini.
Sejauh mana kelukaan hati Liyana dan sejauh mana dia sebagai seorang suami
telah gagal melindungi seorang isteri. Sesungguhnya apa yang berlaku pada jiwa
Liyana lebih melukakan hatinya sendiri. Adakalanya dia berasa sudah tidak
berdaya menghadapi semua itu kalau tidak kerana dia percaya kepada semua
janji-janji Allah swt yang tidak akan membiarkan hamba-hamba-Nya.
“Marilah
tidur. Dah malam ni.” Akhirnya dia bersuara juga. Bagaimanapun situasinya, dia
tetap akan bersabar dan tidak putus asa. Dia tahu dalam waktu begitu, hanya dia
yang sanggup menjaga Liyana. Ibu Liyana sendiri sudah tidak mengaku anak.
“Pergi!”
jerit Liyana dengan semena-mena.
Sedar-sedar
sahaja dahi Adam sudah sakit. Sebotol penyembur ubat nyamuk melantun jatuh ke
lantai lalu bergolek. Adam rasa pening seketika tetapi dia tidak marah. Dia
cuma berharap Liyana tidak mengamuk berpanjangan kerana bimbang menganggu
jiran-jiran yang bersebelahan.
“Pergi!
Jangan dekat aku! Kau pembunuh!” Jeritan Liyana semakin kuat. Dia mula
meronta-ronta dan menendang-nendang lantai.
Air
mata Adam mula bergenang. Kalau tidak diingat yang Liyana sedang sakit, mungkin
sudah hilang sabarnya malam itu. Sudah dipujuk dengan lembut, sekasar itu
balasan Liyana. Malah dia tidak faham mengapa selalu dituduh sebagai pembunuh.
Cuma mungkin fikiran Liyana masih keliru antara dirinya dengan Zed.
“Liyana…
ni abang.” Dia cuba menenangkan Liyana yang mula menangis.
Sayangnya
usahanya terus menemui jalan buntu. Liyana menolak tubuhnya malah menggigit
bahunya kuat-kuat. Puas dia cuba melepaskan gigitan Liyana. Apabila gigitan itu
dapat dilepaskan, dia dapati bahunya lebam dan berdarah sedikit. Liyana pula
memandangnya seperti orang yang sedang kerasukan.
Adam
terpaksa beristirgfar banyak kali. Dibiarkan Liyana begitu. Dia bangkit ke
bilik air memeriksa luka di bahu dan menampal sekeping plaster. Rasanya agak
pedih dan sengal. Setelah berwuduk, dia capai sebuah kitab Al-Quran. Dibaca
agak kuat. Dia mahu Liyana dengar.
Itulah
yang selalu dilakukan. Dan biasanya usaha itu berjaya membuatkan jiwa Liyana
tenang dan tertidur. Malam itu sekali lagi usahanya berjaya. Hanya selepas
menyelimutkan Liyana yang masih tergolek di atas lantai, dia pergi semula ke
masjid untuk beriktikaf. Dia mahu memanjatkan lebih banyak rintihan dan doa.
Kalaupun belum sampai masanya untuk Liyana sembuh, biarlah dia yang menjadi
lebih kuat.
******
KEESOKAN
harinya, dia tidak ke pejabat. Lantaran tidak banyak kerja yang perlu
diselesaikan, dia membuat keputusan untuk menghabiskan masa bersama Aiman dan
Liyana. Tanpa disangka-sangka Borhan datang ke rumah bersama Hanisa dan anak
mereka, Damia.
“Aiman,
Damia datang ni.” Adam terus memanggil Aiman yang sedang leka menonton
rancangan kartun di bilik.
Tanpa
berlengah Aiman berlari keluar. Setelah memeluk Borhan dan Hanisa, Aiman
mengajak Damia bermain buaian di luar rumah. Tinggallah mereka bertiga sahaja
di situ.
“Ni
ha ada kuih raya sikit.” Hanisa hulurkan sebuah beg kertas yang hampir penuh.
Bersusun bekas plastik yang berisi kuih-muih di dalamnya.
“Banyaknya.”
Adam agak terkejut.
“Tahu
ajelah Mak Yah tu. Nanti dia suruh datang rumah ambil lemang dengan rendang.”
Adam
terdiam. Tidak tahu apa yang hendak dicakapkan lagi. Sememangnya dia belum
membuat apa-apa persiapan raya. Dengan keadaan Liyana yang begitu, dia tidak
dapat menumpukan perhatian. Baju raya untuk Aiman sendiri pun disediakan oleh
Borhan dan Hanisa. Baju raya dia dan Hanisa masih belum difikirkan.
“Susah-susah,
kau beraya ajelah di rumah aku. Bukan tak biasa.” Borhan pula bersuara.
“Tak
boleh,” balas Adam perlahan. “Tahu ajelah Liyana tu.”
“Dia
mengamuk lagi?” tanya Hanisa.
Adam
tunjukkan lebam di dahi. Kesan lebam di bahu tidak pula ditunjukkan kerana
bimbang Hanisa takut.
Borhan
dan Hanisa sama-sama saling memandang. Kemudian mengeluh. Belum sempat Adam
bersuara sudah terdengar jeritan pembantu rumah.
Adam
menerkam ke dalam bilik. Hampir berlanggar dengan pembantu rumah yang berlari
keluar.
****
SETIBANYA
di dalam bilik, Adam tergamam. Liyana sedang mengamuk semula. Habis semua benda
yang ada di atas meja solek dibaling ke arah dinding. Dulang yang berisi bubur
nasi yang dibawa pembantu rumah kini terlungkup di atas lantai.
“Liyana…
ni abang.” Dia cuba mendekati Liyana yang sedang memegang lampu tidur. Dia tahu
kalau dibaling ke arah sesiapa mungkin akan mengakibatkan kecederaan.
Liyana
mencerlung garang.
“Liyana...
letak lampu tu,” katanya dengan lembut.
Lama
Liyana mematungkan diri. Permintaan Adam tidak dipedulikan. Dia sekadar
merenung ke muka pintu di mana Hanisa dan Borhan sedang memerhati dengan ralit.
Entah apa yang menarik perhatiannya, Adam tidak faham.
Kemudian
secara tiba-tiba sahaja, Liyana berubah laku. Liyana meletakkan lampu tidur di
atas meja semula dengan tertib sebelum bergerak ke arah tingkap. Langsir
ditarik dan tingkap dibuka sedikit. Dia mengintai.
Adam
semakin hairan. Perlahan-lahan dia melangkah mendekati Liyana. Dia ingin tahu
apa yang sedang menarik perhatian Liyana. Akhirnya dia tahu. Dia dengar.
Suara
Aiman dan Damia yang sedang bermain berdua di halaman membuatkan Liyana terpaku
di tepi tingkap.
Adam
biarkan sahaja. Perlahan-lahan dia berundur untuk mengemaskan bubur nasi yang
bersepah di atas lantai.
*****
MALAM
itu malam raya. Selepas balik bersolat isyak di masjid dan bertakbir raya beramai-ramai,
dia pulang ke rumahnya yang sunyi. Malah malam itu dia rasakan alam sekeliling
juga amat sunyi lantaran jiran-jiran di kawasan perumahan itu kebanyakannya
pulang ke kampung halaman masing-masing.
Aiman
pula tiada di rumah. Mungkin kerana menyedari suasana yang agak berbeza antara
di situ dan di rumah Borhan, Aiman meminta untuk bermalam di sana. Adam faham.
Tentu Aiman lebih gembira beraya di rumah Borhan kerana suasana rayanya lebih
hidup dan meriah berbanding di rumah itu yang seolah-olah tidak bernyawa tanpa
nafas Syawal.
Dia
tidak dapat berbuat apa-apa. Dia tidak mahu Aiman terhukum oleh suasana itu.
Aiman masih kecil. Aiman berhak meraikan hari raya dengan gembira walau apa pun
masalah yang sedang dihadapinya.
Setelah
mengunci pintu, dia masuk ke bilik. Beg plastik yang dibawa masuk diletak di
atas katil. Dia menjeling ke arah Liyana yang sedang berbaring membelakangkan
dia. Mungkin Liyana sudah tidur, fikirnya. Dia biarkan sahaja.
Perlahan-lahan
ditarik beg plastik tadi. Dikeluarkan sepasang baju Melayu berwarna coklat muda
dan sepasang baju kurung yang agak sama warnanya. Baju kurung itu diacukan ke
bahu Liyana. Dia tidak pasti sama ada baju itu muat atau tidak tetapi itulah
sahaja apa yang termampu dilakukan sebagai seorang suami. Sama ada Liyana mahu
memakainya atau tidak, itu soal lain. Apa yang pasti, dia tetap mahu membelikan
Liyana sehelai baju raya. Itu sudah cukup menyuntik sedikit rasa bahagia.
Setelah
puas termenung, baju Liyana dilipat elok-elok. Diletakkan di atas meja sisi di sebelah
Liyana. Dia berpaling mahu ke bilik air. Dia mahu berwuduk, bersolat dan
mengaji sampai pagi. Itulah sahaja kekuatannya saat itu.
*****
1
SYAWAL menjelma.
Adam
hanya sedar apabila terasa bahunya digoyang seseorang. Mungkin kerana terlalu
penat bersolat dan mengaji sepanjang malam, dia tertidur nyenyak di atas
sejadah sehingga melepasi waktu subuh.
“Bangun,
bang. Hari dah siang.”
Mata
Adam terus terbuka. Dia mengambil masa yang agak lama untuk mempercayai apa
yang dia dengar. Suara Liyana? Atau dia masih bermimpi?
“Bang…”
Dia
terus berpaling. Besar matanya. Spontan dia terus duduk. Tercengang melihat
Liyana yang sudah siap berbaju kurung dan bersisir rapi. Lama dia begitu.
Tergamam dan kelu.
“Bang,”
tegur Liyana lagi yang memandang Adam tidak berkelip.
“Liyana.”
Adam terus memeluk Liyana. Betapa suara dan panggilan itu terlalu lama hilang dari
hidupnya. Tidak sedar air matanya mengalir laju. Disulam esak Liyana yang makin
kuat. Hatinya…tidak habis-habis mengucapkan syukur. Ternyata masa yang ditunggu-tunggu
telah pun tiba.
Di
pagi Syawal itu Adam bersujud syukur lama-lama.
TAMAT