“KENAPA tok tidak memenggal kepala pemuda itu? Tok biarkan sahaja dia pergi malah diberinya pula baju sutera yang kita rampas daripada pedagang Cina. Tok kata tok handal! Mana kejantanan tok? Tok biarkan orang kita dipenggal!” ujar Jantan yang merupakan orang kanan lelaki itu.
“Apa kamu tahu? Ikutkan hati aku, mahu sahaja aku penggal kepala anak Panglima Hitam. Tapi aku sabar, aku tahu dia ada pendamping yang ampuh. Aku tidak akan boleh membunuhnya sewenang-wenang. Aku memang berdendam dengan Panglima Hitam. Dia bunuh ketua aku masa aku jadi lanun di Pangkor dulu. Tapi aku balas dendam bukan dengan senjata, tapi dengan akal fikiran,” terang lelaki pertengahan usia itu.
“Apa maksud tok?” tanya Jantan, tidak mengerti.
“Menurut pendampingku, waris Panglima Hitam selalu melalui jalan di Hutan Melintang. Jadi, aku sudah tawarkan baju yang kamu beri itu dengan sihir yang paling ampuh. Sebaik sahaja dia keluar dari sempadan pendinding yang aku buat di sekeliling pangkalan kita, dia akan menderita. Perlahan-lahan dia akan mati. Sebab itulah aku suruh budak hingus ini serang rombongan pemuda itu. Kemudian aku memperlihatkan pangkalan kita di mata anak Panglima Hitam. Bila dia melepasi sempadan, maka pendampingnya tidak dapat berbuat apa-apa. Begitu juga apabila dia memakai bajuku, pendamping tetap tidak akan dapat masuk ke dalam tubuhnya,” jelas lelaki itu.
“Sungguh tidak disangka, tok sangat bijak.”
“Jantan. Kamu pergi kumpulkan mayat. Tanam di dalam hutan. Bawa beberapa orang kita,” arah lelaki itu.
“Baik tok.”
SEJAK sampai di Taiping, Aduka berasa badannya sangat lemah. Puas dia memanggil Panglima Endai, tetapi Panglima Endai tidak datang kepadanya. Bajunya telah dibuka tetapi agak terlambat apabila racun santau yang ada di dalam baju meresap ke dalam tubuhnya. Rancangan mereka untuk ke kuala terpaksa dibatalkan. Kamel terpaksa mencari dukun yang handal dalam ilmu santau.
Setelah tiga hari, keadaan Aduka semakin tenat. Bukan sahaja muntah darah, tetapi turut keluar darah melalui dubur dan hidungnya. Keadaan Aduka semakin lemah. Malah sudah tiga hari dia tidak berselera untuk makan. Akhirnya Kamel terpaksa meminta bantuan Syeikh Maulana yang didengarnya seorang pengubat yang hebat apabila Aduka tidak sedarkan diri pada hari ketujuh.
SYEIKH Maulana menggeleng-geleng melihat keadaan Aduka yang dibawa ke madrasahnya di Kemunting oleh Kamel dan Rasan.
“Berdiamlah di sini seminggu dua. Saya akan mengubatinya,” ujar Syeikh Maulana yang berasal dari India. Kamel dan Rasan bersetuju. Mereka diberi sebuah pondok. Setiap malam Syeikh Maulana akan mengubati Aduka. Racun santau dikeluarkan hampir setiap malam. Malam kedua barulah Aduka sedar. Syeikh Maulana memberinya air madu yang telah dibaca ayat-ayat al-Quran. Namun, Aduka masih belum sedar siapa dirinya. Rasan telah diminta oleh Kamel untuk balik semula ke Kampung Pulau Manis untuk memberitahu Panglima Hitam keadaan anaknya.
Hari ketiga barulah keadaan Aduka beransur pulih. Ingatannya sudah pulih dan tidak lagi muntah darah dengan kerap. Malah Aduka sudah mula makan bubur. Walaupun begitu, menurut Syeikh Maulana terdapat banyak lagi bahan-bahan santau di dalam tubuh Aduka. Hari keempat Aduka mula boleh berjalan sambil dipimpin Kamel. Dia mahu menghirup angin sambil melihat suasana sekitar madrasah. Entah mengapa hatinya sebak apabila melihat anak-anak muda bersungguh-sungguh mendalami agama Islam. Sedangkan beliau masih lagi buta agama. Aduka meminta Kamel memapahnya untuk mendengar ceramah Syeikh Maulana di masjid madrasah. Syeikh Maulana sedang memberi ceramah mengenai azab di alam kubur. Aduka menangis mendengar seksaan di alam kubur. Dia menginsafi dan terkenangkan dosa-dosa silamnya. Tentang dirinya selama ini bersahabat dengan jin dan mensyirikkan ALLAH.
Selama 10 hari menjalani rawatan, hampir setiap hari Aduka mendengar ceramah Syeikh Maulana. Hari ke 13, Aduka memohon supaya semua ilmunya dibuang. Malah keris milik ayahnya ditawarkan. Dia mahu bertaubat bersungguh-sungguh dan membuang kesemua azimat dan kesaktiannya. Syeikh Maulana mengatakan kesemua ilmu akan terhapus jika pendampingnya dipasung atau dibuang. Aduka mengajak Syeikh Maulana ke kampungnya bagi memberi ilmu dan memasung pendamping. Syeikh Maulana bersetuju mengikut Aduka pulang.