Home Novel Seram/Misteri Roh rumah sewa
bab 11 ; Penunggu Sungai Perak

Bab 11

Jarum jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Mereka bertiga hanya duduk di ruang tamu dengan menonton televisyen. Rafael menyediakan kopi panas dan menghidangkan bahulu yang dibelinya di Shah Alam. Mail masih lagi lemah berbaring di sofa. Mereka bertiga mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu sahaja.

“Jadi cikgu ni keturunan Sultan Amirul Rashid?” Osman memecah kesunyian malam.

“Saya mungkin keturunannya. Tapi yang lebih layak tentulah ayah saya kerana dia yang sulung. Kemudian abang saya. Saya pewaris yang entah ke berapa. Sebab ada adik beradik ayah saya yang lain yang dari segi nasabnya lebih afdal dilantik. Tapi itu semua tidak penting, Perakkan sudah ada sultannya sendiri. Saya pasti jika ayah mengetahui hal ini, dia tidak akan menuntutnya. Kami sudah biasa hidup seperti rakyat biasa.”

“Jadi sultan sekarang?”

“Mungkin dari susur galur anak Sultan Amirul Rashid juga. Anak yang pertama. Anak pertama mungkin diangkat menjadi sultan. Adik beradik moyang kami.”

“Kena panggil Tengku Rafaellah cikgu ini,” sampuk Mail.

“Panggillah saya dengan nama Rafael sudah. Saya bukan suka keturunan saya diagung-agungkan. Tapi saya terkejut bila tahu saya ini berdarah raja. Tapi kata-kata jin tidak boleh dipercayai. Mungkin bertujuan untuk menyesatkan kita supaya kita alpa. Jin kafir akan menggunakan apa sahaja cara untuk menyesatkan manusia.”

“Barang-barang milik Tuanku Sultan dalam peti itu cikgu tidak mahu ambil ke?” tanya Mail.

“Barang-barang dalam bilik itu adalah kepunyaan  pemilik rumah ini. Walaupun peti itu diwariskan kepada saya. Tetapi ianya tetap empunya tuan rumah. Saya tidak berhak mengambilnya tanpa persetujuan tuan rumah. Biarkanlah harta itu terletak elok di dalam bilik sampai bila-bila,” Rafael tidak mahu mengambil barang kepunyaan orang lain.

“Tapi itu milik moyang cikgu. Sultan Amirul Rashid.”

“Sultan Amirul Rashid telah tiada. Lagipun saya rasa cukuplah apa yang saya ada. Biarlah saya seorang yang tahu saya keturunan diraja. Saya takut jika saya menuntut hak, saya akan menjadi alpa dan tamak.”

“Cikgu, kenapa kita perlu membaca ayat-ayat rukyah tadi?” tanya Mail. Dia sudah bangun dan menuangkan kopi panas di dalam cawannya dan menghirupnya.

“Tadi saya tengok kamu ikut sahaja apa yang kami baca. Ingatkan kamu tahu apa yang kami baca,” tanya Rafael.

“Aku tengah takut. Aku ngikut jelah,” jawab Mail.

“Patutlah aku dengar surah 3kul je yang laju kau baca tadi.”

“Dah itu yang aku tahu,” Mail mengambil satu biji kuih bahulu dan disuapkan ke dalam mulutnya.

“Sebenarnya dalam Al-Quran ada ayat-ayat tertentu yang kita boleh baca untuk mengubati penyakit, mengatasi sihir dan juga mengatasi gangguan jin dan syaitan. Ayat-ayat rukyah termasuk dalam kategori mengubati sihir dan gangguan jin. Tapi kalau tidak tahu tentang ayat rukyah, baca ayatul kursi pun tidak mengapa. Tidak tahu juga baca 3 kul. Itupun boleh. Fatihah pun boleh. Jangan baca doa makan macam si Osman ni baca tadi sudahlah,” Mail ketawa mengejek.

“Alah, kau tu gelakkan orang. Kau tahu ke baca ayat rukyah?” tanya Osman.

“Ala. Akupn ingat-ingat lupa. Aku ikut sahaja apa cikgu baca. Ayah aku ada ajar kau dulu. Tetapi lelama lupa bila tidak diamalkan.”

“Ayat-ayat rukyah yang kita baca tadi mengandungi beberapa potong Surah Al Baqarah, Surah Yunus, Surah Imran selain 3 kul dan Ayatul Kursi,” jelas Rafael.

“Dahla cikgu… kita tidurlah… dah dekat pukul 12 tengahmalam. Esok cikgu hendak kerja. Kami hendak motong.”

“Ah engkau macam boleh bangun awal je besok,” tingkah Osman.

“Os… aku selalu bangun lambat sebab merambu sampai pagi. Tengok cerita Korea.”

“Saya hendak tanya… kenapa Darus jarang lepak dengan kamu semua? Selalu kamu berdua sahaja sering bersama?” tanya Rafael. Dia hairan kerana kelibat Darus selalu tiada bersama. Sedangkan mereka bertiga berkawan baik.

“Darus itu anak sulung cikgu… ayahnya sudah meninggal. Dialah tempat emaknya bergantung. Pergi pasar, jual getah, jemput adik-adik dari sekolah dan macam-macam lagi. Cuma malam sahaja dia boleh lepak dengan kami merambu,” jelas Mail. Dia mula menghisap rokok.

“Kalau Osman ini keturunan Badar, kamu keturunan apa Mail?” tanya Rafael.

“Menurut cerita arwah atuk saya dulu… saya ini keturunan sida-sida istana yang melarikan diri ke sini mengikut Panglima Badar,” jelas Mail. Mereka bertiga berbual sehingga Rafael tertidur pada pukul 1 pagi.

((((((((((((((((((((((((((((

Rafael membukan matanya, nyata dia sedang berdiri di dunia tidak bersempadan. Kenapa aku dibawa kesini?Bukankah aku sudah kata… aku tidak mahu bersahabat dengan Endai atau dia menjadi khadam aku?.

“Tuan tidak ada pilihan. Jika tuan tidak melakukan upacara putus khadam… aku akan terus menjadi khadam tuan,” Rafael menoleh ke belakang suara Endai terdengar dari situ. Nyata Endai duduk bersimpuh di belakangnya.

“Kan aku kata… aku takkan buat upacara syirik tu.”

“Jadi aku akan menjadi pendampingmu sampai bila-bila.”

“Kau!!!” Rafael bergerak untuk mencekik Panglima Endai. Baru tangannya dekat untuk mencekik Endai. Rafael terpelanting… Endai bangun dan wajahnya marah kerana geram dengan perlakuan Rafael.

“Kenapa tuan hendak mencekik saya? Saya hormati tuan sebagai pewaris kesultanan Perak. Di dunia ini saya yang menjadi raja,”

“Kenapa kau bawa aku ke duniamu?” Rafael bangun. Rasa sakit dipinggangnya.

“Aku mahu menyambung ceritaku. Ceritaku tidak habis lagi. Dari mana asal usulku. Pejamkan mata…” Rafael mengikut sahaja arahan Endai. Sifat ingin tahunya mengatasi segala-galanya.

(((((((((((((((((((((((

“Buka mata kamu tuan,” arah Endai… Rafael membuka matanya perlahan-lahan. Dia mengitari pandangan sekeliling. Rafael kini berada di tengah hutan… gelap dan hanya diterangi cahaya bulan yang mengambang penuh. Bunyi alunan sungai kedengaran.

“Mari ikut saya tuan,” Rafael mengikut langkah Endai. Dari kejauhan Rafael nampak cahaya jamung yang dipegang oleh beberapa orang. Apabila sampai di tempat berkumpulnya mereka yang memegang jamung, Rafael nampak kelibat Dato Maharaja dan Panglima Badar duduk bersila bersama-sama Tok Batin Sempah dan anaknya Sekuntum. Panglima Endai duduk bersila di belakang Tok Sempah, Rafael menurutinya. Kedengaran jampi yang dituturkan oleh Tok Batin Sempah.

“Sekuntum, kamu ambil ayam itu dan sembelihnya” Sekuntum bangun dan mengambil ayam kampung hidup yang terikat berada di hadapan Tok Batin. Diambilnya pisau yang ada di satu dulang. Seorang pemuda datang membantu memegang ayam itu sebelum disembelihnya. Ayam itu mula mengelupar apabila mata pisau mula menoreh leher ayam. Setelah habis disembelih yam itu dicampakkan ke tanah sehingga habis mengelupur barulah Sekuntum mengambil dan memberikan semula kepada Tok Batin Sempah. Tok Batin Sempah mengambil kemayan dan meabur di atas bara. Bau asap kemayan memenuhi ruang.

“Asap kemayan… makanan kesukaan kami,” kata Endai.

“Wahai penunggu Sungai Perak, Ku seru kamu berdampinglah dengan aku

7 keturunan ku meminta bantuanku,

Nyai hemang kai dala

May temah roy hasu

Kang mekang poi rase

Tang pi mai tang tu jugak,”

Rafael ketawa, mantera yang akhir itu begitu mengeletek hatinya. Tok Batin Sempah mengasapkan ayamnya. Air sungai yang mengalir tenang mula berkocak. Semakin lama semakin kuat gebur air Sungai Perak. Keluarlah makhluk penjaga Sungai Perak dari permukaan. Badannya berbulu, matanya memerah dan ada tanduk di dahi. Tingginya 4 kali ganda tinggi manusia. Pengawal yang melihat makhluk tersebut berpelukan sesama sendiri. Manakala mereka yang duduk bersimpuh hanya bertenang. Mungkin sudah biasa menghadapi situasi begitu… bertentang mata makhluk jin ini. Jin itu berdiri di hapan mereka yang bersila’

“Ada apa tuan hamba mahukan daripada aku?” kata jin itu… suaranya sedikit meneram dan mengerunkan sesiapa yang mendengarnya.

“Penguasa Sungai Perak, hamba ada hajat.”

“Hajat apakah itu?”

“Sultan bertitah untuk mengenakan benggali putih. Sebab itu kami minta tolong Batin Sempah menyeru kamu,” Dato Maharaja menyatakan kenapa dia memanggil penunggu sungai.

“Kamu mahu main hantu? Bukankah Buragas sudah hamba kirimkan?”

“Buragas kini membantu Tok Batin. Besarlah hajat kami untuk meminta bantuan tuan hamba mengirimkan lagi seorang yang gagah perkasa. Mainkan benggali putih itu,” sampuk Panglima Badar pula.

“Baiklah, hamba setuju. Hamba akan kirimkan anakku yang paling gagah,”makhluk berbulu itu membaca sesuatu dalam bahasa yang tidak difahami. Kemudian air sungai kembali berkocak… seseorang yang berpakaian panglima timbul dari dasar sungai dan berdiri di sebelah makhluk berbulu. Susuk tubuh adalah susuk manusia.

“Bukankah itu kamu?” tanya Rafael.

“Ya. Itulah aku, marilah tuan kita balik ke dunia nyata,” Panglima Endai membacakan sesuatu dan meniup ke arah muka Rafael. Rafael merasakan pandangan gelap.

((((((((((((((((((((((((((((

“Cikgu… cikgu. Oh cikgu.,, bangun. Dah Subuh ni,” suara Osman sayup-sayup kedengaran di cuping telinga. Rafael membuka matanya perlahan-lahan. Osman memegang bahunya untuk mengejutkan. Rafael hanya mengangguk dan bangun.

“Sudah pukul berapa ni Osman?” tanya Rafael bingkas mengeliat dan bangun dari pembaringan.

“Pukul 6.30 pagi,” bagaikan kejutan eletrik, Rafael bangun segera dari tempat pembaringan.

“Astafirullah, kenapa boleh kesiangan. Sudah lambat ni,” Rafael melihat Mail masih lagi terbongkang tidur di sofa.

“Pasal dia tu, memang susah nak kejutkan. Kejap lagi saya simbah dengan air. Baru ada akai,” Rafael hanya tersemyum. Dia bergegas masuk ke dalam biliknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh NaimTamdjis