Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
34,234
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 9

Bab 9

SETELAH singgah membeli nasi lemak di sebuah gerai, akhirnya Muthu sampai juga ke kawasan kedai. Pada waktu itu jam sudah kira-kira sebelas malam dan tidak banyak kereta yang lalu-lalang lagi di kawasan perniagaan itu. Untuk keselamatan, kali ini Muthu memarkir keretanya di bahagian hadapan kedai di kotak parkir yang banyak kosong. Sewaktu dia keluar dari kereta, dia terpandang sesusuk tubuh seorang perempuan sedang berjalan perlahan melintasi sisi kereta. Pandangan matanya terus tidak berkalih.

Untuk sejenak dia terpaku memandang perempuan yang memakai kebaya nyonya berwarna hitam dan berkain batik ketat Rambutnya lurus melepasi bahu dan jalannya menunduk bagai mengira langkah. Terdetik di hati untuk menegur kerana hatinya kuat merasakan seperti dia mengenali perempuan itu.

“Baru balik?” Itulah ayat yang dirasakan paling sesuai. Dia ingin sangat melihat muka perempuan itu depan-depan.

Perempuan itu pula terus berhenti melangkah. Dalam jarak tiga meter dia berdiri dan menunduk membelakangkan Muthu.

Muthu mula rasa tidak sedap hati. Terasa perbuatannya tidak manis pula. Mungkin sahaja perempuan itu berfikir dia lelaki jahat yang mahu mengganggu.

“Sorry,”katanya seraya berpaling lalu menutup pintu kereta cepat-cepat.

Beg pakaian dipegang kemas. Lebih elok kalau dia segera meninggalkan tempat itu. Namun, apabila dia menoleh semula, dia lihat perempuan itu masih tercegat di situ. Dia gugup. Sedang berfikir-fikir apa yang harus dilakukan, perempuan itu semena-mena berpaling menunjukkan muka.

Mulut Muthu terkancing tidak boleh bersuara. Dia hanya mampu melotot bagai dipukau memandang seraut wajah yang begitu buruk. Kulit muka perempuan itu hitam legam dan merekah seperti rentung. Dari setiap rekahan keluar pula darah yang membuak-buak. Mata perempuan itu tidak berkelip merenungnya. Baju dan kain yang dipakai dipenuhi darah. Malah terkoyak berjalur-jalur menampakkan daging dan tulang. Kemudian dari setiap bukaan itu keluar darah, nanah dan bau hangit seperti daging manusia hangus.

Perut Muthu mula rasa bergelodak. Sambil menahan muntah yang bergelora hendak keluar, Muthu berlari ke arah kedai. Dengan tangan yang terketar-ketar dia membuka pintu. Di belakangnya, suara mengilai yang halus dan panjang kedengaran. Dia rasa hendak pitam.

****

APABILA masuk sahaja ke dalam kedai, Muthu menerkam mencari suis. Lampu dinyalakan dan dia segera menutup pinturoller shutter rapat-rapat. Dengan nafas yang tercungap-cungap, dia terduduk di atas lantai. Kepalanya sungguh pening dan hidungnya masih dapat mencium bau hangit dan perit itu.

Dia tarik nafas dalam-dalam. Peluh di dahi disapu dengan hujung baju. Dia cuba bertenang. Dia cuba melupakan segala apa yang telah dilihat. Mungkin sahaja itu hanyalah khayalan.

Setelah tenang sedikit, dia bangkit meninggalkan lantai. Beg baju yang dibawa diletakkan sahaja di atas meja. Dia cuba menumpukan semula fikirannya kepada tujuannya datang ke situ pada malam itu dan melupakan apa yang telah berlaku.

Perkara pertama yang dilakukan ialah memasang televisyen. Setelah terpasang elok, dia melangkah ke ruang dapur. Dari situ, dia dapat mendengar suara-suara yang bertingkah-tingkah di televisyen. Sekurang-kurangnya itu dapat menghilangkan sedikit rasa sunyi. Tanpa berlengah, dia memeriksa segala rempah ratus yang disimpan di dalam peti ais. Diperiksa juga doh roti canai yang sudah elok kembangnya. Setelah berpuas hati, dia menutup peti ais dan beralih pula ke arah peti ais yang menyimpan bahan-bahan mentah yang basah. Semasa dia membuka penutup peti ais, dia terperasan sesuatu.

Keadaan begitu sunyi. Eh! Spontan dia menoleh ke arah televisyen yang kini terpadam. Televisyen rosak ke? Dia beralih pula ke ruang hadapan untuk memeriksa televisyen. Ternyata, televisyen itu tidak rosak, setelah ditekan suis, ia menyala semula.

Muthu mengeluh pendek. Oleh kerana kerjanya belum selesai dia pergi semula ke dapur. Baru melangkah dua tapak, televisyen terpadam semula. Eh! Dia berpaling. Alat kawalan televisyen dicapai dan ditekan. Televisyen terpasang tetapi tidak lama kemudian terpadam semula. Begitulah berulang-ulang sehingga dia menghempaskanremote controlitu ke lantai dan ruang itu menjadi senyap sunyi.

Perasaan marahnya muncul. Lepas satu, satu masalah datang. Sesekali dia berasa seolah-olah semua perkara dalam kedai itu mahu menentangnya. Mahu mempermainkan dia.

Zzz.... zzz.... zzz.... Televisyen terpasang semula namun berkelip-kelip. Sekejap muncul gambar sekejap hilang. Yang ada hanyalah garisan putih yang melintang.

Muthu tergamam seketika. Dikerlingremote control yang sudah pun berkecai di atas lantai, bateri pun sudah entah ke mana.

“Terpasang pula dia.”

Dia merungut sendirian sambil melangkah ke arah televisyen yang masih berkelip-kelip. Ditepuk beberapa kali namun televisyen itu tetap berdesir-desir dan gambarnya tenggelam timbul. Akhirnya Muthu menutup suis elektrik. Televisyen langsung terpadam. Ruang itu kembali senyap. Dia melangkah semula ke dapur.

Tap! Lampu pula terpadam.

Langkah Muthu terhenti. Nafas tercungap sekejap dek rasa terkejut. Dalam keadaan gelap gelita, dia cuba memfokuskan pandangan matanya sebelum teraba-raba bergerak mencari kotak suis di tepi bilik air. Apabila semua suis dinaikkan ke atas, restoran itu menjadi terang semula. Dia menarik nafas, mula penat dengan situasi di situ. Setelah keadaan tenang, dia meneruskan kerja-kerjanya memeriksa bekalan makanan di dalam stor.

Setengah jam berlalu, tidak ada apa-apa perkara yang pelik lagi berlaku di situ. Muthu pun sudah selesai memeriksa kedainya. Dia tidak menemui apa-apa yang ganjil. Semuanya seperti biasa. Peti ais tidak rosak, bekalan makanan semua elok tidak tercemar. Lalu, dia mengambil keputusan untuk makan, berehat dan tidur sahaja sementara menanti pagi. Sayangnya hajatnya tidak kesampaian.

Baru sahaja hendak membuka bungkusan nasi lemak di atas meja, telinganya menangkap bunyi pintu bergesel bagai ditolak angin. Pada mulanya dia buat tidak kisah tetapi bunyi itu berulang lagi bagaikan pintu itu dimain-mainkan seseorang.

Krek! Krek…

Dia tidak dapat menahan rasa ingin tahu.

Krek! Krek… Krek krek... Bunyi itu berulang semakin kerap. Semakin meleret.

Tak boleh jadi ni… Anak mata Muthu liar mencari. Di dalam kedai itu tidak banyak pintu. Satu pintu pejabat dan dua pintu bilik air. Pintu hadapan dan pintu belakang hanya menggunakanroller shutter. Dia yakin pintu pejabat dia memang berkunci. Oleh itu tentu yang berbunyi tadi adalah pintu bilik air. Akhirnya dia membuat keputusan untuk memeriksa bilik air yang baru siap. Baru melangkah empat tapak…

Bum!

Pintu bilik air terhempas kuat kemudian melantun lalu terbuka perlahan-lahan.

Krekkk.... bunyi meleret itu terhasil lagi.

Spontan Muthu terlompat ke belakang. Kering rasa tekaknya.Apabila pintu bilik air itu terbuka semula, matanya terbeliak habis. Bibirnya bergetar. Dia dipeluk rasa takut dari segenap penjuru. Otaknya tidak mengambil masa yang panjang mentafsirkan apa yang dilihat mencangkung di dalam bilik air.

Dengan spontan, dia terus berlari selaju mungkin ke arah pintu. Mujurlah kunci kereta dan kunci kedai masih tersimpan di dalam poket. Terketar-ketar dia memandu laju meninggalkan tempat itu. Di telinganya masih terdengar-dengar hilaian yang nyaring. Hidungnya juga mencium bau hangit di sepanjang perjalanan pulang.

*****

“POOJA! POOJA!” Muthu menjerit sebaik sahaja tiba di rumah. Disebabkan keadaan kelam kabut tadi, dia tertinggal kunci rumah di dalam kedai. “Aiyoo! Pooja!!!”

“A...” Belum sempat Pooja habis bertanya, Muthu sudah merempuh masuk ke dalam rumah, lalu duduk di atas kerusi memeluk lutut. Tubuhnya masih menggigil kesejukan.

“Kenapa dengan awak ni?” Pooja duduk di sisi Muthu. Dia dapat melihat muka suaminya yang pucat lesi. Jantungnya seperti mahu luruh kerana terlalu terkejut.

Muthu menggeleng keras, bibirnya menggeletar.

Melihatkan keadaan Muthu yang tidak keruan, Pooja terus masuk ke bilik tidur lalu mengambil sehelai selimut. Tubuh suaminya diselimutkan dengan baik dan suaminya tidak menolak.

“Appa?” Devi pula turun ke tingkat bawah. Dia terdengar riuh-rendah di bawah tadi. “Kenapa ni appa?”

Pooja hanya mampu menggeleng tidak tahu.

“Devi tunggu appa, amma mahu panaskan susu kasi appa minum.”

Devi segera mendekati ayahnya.

“Appa... kenapa ni? Appa demam ka?”

Muthu menggeleng. Buat sementara waktu dia hanya mahu berada di situ, dikelilingi isteri dan anaknya. Hatinya sedikit tenteram walaupun bayangan ngeri yang dilihatnya tadi masih terbayang-bayang di matanya. Apa benda tu? Kenapa ada di dalam kedai dia? Kenapa duduk situ? Kenapa ganggu dia? Kenapa? Semua pertanyaan seperti berasak-asak mahu memecahkan kepalanya yang sakit.

“Cakaplah, appa.” Devi terus memujuk sambil memegang lengan ayahnya.

“Ambilkan ubat,” katanya terketar-ketar. Sakit di kepalanya memberitahu tekanan darahnya sudah menderu naik.

Devi segera berlari ke dalam bilik tidur ibu bapanya. Beg plastik putih yang selalu menyimpan ubat-ubatan ayahnya dicapai segera.

“Minum dulu.” Pooja menyuakan segelas susu suam kepada Muthu.

Muthu terus menyambutnya dengan tangan yang masih terketar-ketar. Setelah menelan ubat dia masuk ke dalam bilik lalu berselubung di bawah selimut. Dia cuba melelapkan mata tetapi apa yang dilihatnya tadi sentiasa terbayang-bayang di mata.

Mengerikan.

*****

“AMMA,” tegur Devi. Dilihatnya ibunya masih duduk di hadapan televisyen walaupun jam sudah pukul dua pagi. Appa tidak pula kelihatan. Mungkin sudah masuk ke dalam bilik.

“Kenapa Devi belum tidur?” Pooja terperanjat. Terkulat-kulat dia memandang wajah Devi yang baru turun ke ruang tamu. Dia ingatkan Devi sudah tidur.

“Belum mengantuk,” balas Devi lalu menarik sebuah kusyen kecil dan dibawa ke riba. Matanya tertancap ke skrin televisyen yang sedang menyiarkan rancangan memasak kek.

Ibunya lantas bangkit duduk. Disanggulnya rambut yang sudah terurai tadi. “Pergilah tidur. Esok mengantuk. Lagipun jangan la asyik turun naik turun naik. Nanti luka di kaki tu lambat baik.”

“Amma risau pasal appa ya?” tanya Devi pula. Selalunya ibu bapanya cepat sahaja masuk tidur. Maklumlah penat seharian di kedai.

“Devi jangan risau. Jangan fikir pasal kami. Fikir pasal PMR sudah. Nanti kalau tak dapatresult bagus, appa marah,” balas Pooja bersahaja dan mahu bangkit menutup suis televisyen.

Melihatkan sikap ibunya yang masih menutup mulut, Devi rasa putus asa. Dia tahu ada sesuatu yang menganggu fikiran ibunya sejak kepulangan ayahnya tadi.

“Amma… cakaplah. Apa yang sedang berlaku ni? Apa yang berlaku pada appa?” Dia sudah rasa hendak menangis. Dia risau dengan semua yang dilihatnya.

“Tak ada apa,” pujuk Pooja sambil membelai rambut panjang Devi. “Dengar cakap amma. Amma tak mau Devi fikir apa-apa pasal kami. Appa tak apa-apa, cuma kurang sihat sikit. Appa letih dua tiga hari ni.”

Devi tahu ibunya masih menyorokkan hal yang sebenar dari dia. Dia dapat rasa sesuatu sedang berlaku. Namun dia takut untuk bertanya lagi. Takut ibunya marah pula.

“Sekarang pergi naik tidur. Amma pun sudah mengantuk ni.” Pooja bangkit tinggalkan Devi yang masih duduk di atas kerusi.

Sambil mengeluh berat, Devi hayun juga langkah kakinya ke atas. Namun hatinya masih belum berpuas hati dengan jawapan ibunya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.