Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,700
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
PROLOG dan Bab 1

PROLOG

Masa: Tahun 2014

Lokasi: Di sebuah rumah sewa di Batu Berendam.

“TAPI malam tu malam hantu lapar.” Jacky tidak sedap hati.

Tarikh itu satu tarikh yang amat digeruninya. Setiap kali tarikh itu datang, dia tidak boleh tidur pada waktu malam. Pada waktu siang pun dia ketakutan. Dia sentiasa memastikan ada orang lain di sisinya. Dia tidak berani bersendirian.

“Kita pergi malam lain la.” Dia hempas daun terup yang sudah lembap di tangan. Sudah hilang mood untuk bermain terup malam itu.

“Alahai… malam tu la bagus. Tak payah panggil-panggil pun mereka sendiri datang.” Budi menjawab sesuka hati. Dia tidak sangka Jacky ada masalah dengan tarikh yang dicadangkan. Tapi dia juga tidak ada masa lapang yang lain.

“Jangan ooo… jangan main-main. Malam tu hantu betul-betul keluar.” Jacky mula geram. Budi tidak tahu apa yang dicakap. Budi belum merasa apa yang dia rasa. Budi belum pernah alami apa yang dia pernah alami.

“Yang kau takut sangat ni kenapa? Relaks la. Mana ada hantu? Kalau ada pun… semua hantu takut pada aku.”

Budi mendebik dada beberapa kali. Dia bukan sekali dua buat kerja itu. Sudah banyak kali. Tidak pernah pula dia diganggu. Kalau yang dipuja dan dipanggil itu datang pun, hanya datang sekejap sahaja tunjuk muka. Selepas itu hilang. Dia tidak pernah rasa takut yang keterlaluan. Setakat terkejut sekejap itu tidak ada apa. Dia percaya Jacky yang disangkanya berani itu sebenarnya penakut.

“Tapi bukan malam tu. Kita pergi malam lain.”

“Bila lagi nak pergi? Malam lain aku kerja.”

Budi tarik muka masam. Dia juga hempas daun terup ke lantai. Dia geram kerana Jacky banyak songeh pula kali ini. Selalunya Jacky ikut sahaja. Tetapi kalau Jacky tidak ikut pada malam itu nanti, susah pula. Dia tidak arif dengan tempat itu. Lagipun kerja pecah memecah rumah atau bangunan itu bukan kemahirannya. Itu kemahiran Jacky.

Pertanyaan Budi buat Jacky termenung lama.

“Bolehlah. Ya?” Budi tepuk bahu Jacky. “Nak takut apa? Aku kan ada? Kalau ada hantu… aku flying kick dia, okey?”

Jacky telan air liur. Tekak terasa perit. Kata-kata Budi bukan buat dia bertambah lapang tetapi bertambah bimbang. Flying kick konon. Dia tidak tahu siapa yang akan kena flying kick nanti. Budi tidak tahu apa yang dicakap. Budi tidak tahu apa yang akan dihadapi kali ini. Budi belum kenal apa yang ada di lot 55 itu.

“Tapi… orang kata tempat tu… sangat keras. Hantunya ganas. Makan darah.”

Dia berbisik. Ingatannya jauh terimbau mengingati segala apa yang pernah berlaku di lot 55; yang mungkin tidak pernah diketahui oleh Budy. Itu hantu bukan sebarang hantu. Orang panggil… Lengloi.

“Ataupun, kita pergi tempat lain. Tepi Sungai Muar pun okey jugak.”

Satu pukulan hinggap di kepala Jacky.

“Aku dah tempah dah cermin yang nak digunakan tu, kau nak ubah tempat pulak.” Budi makin geram. Tidak pasal-pasal melayang sahaja modal yang telah dikeluarkan. Semuanya kerana Jacky.

“Kalau nak pergi, boleh. Tapi jangan malam tu.” Jacky membalas.

“Aku tak peduli. Aku hanya boleh pergi pada malam tu saja. Lepas tu aku nak balik kampung. Kalau kau nak buat jangan banyak songeh. Ikut saja. Aku ada.”

Jacky tarik nafas berat. Dia rasa menyesal mencadangkan tempat itu kepada Budi tempoh hari. Sekarang dia juga yang susah.

“Tangkal saja besar tapi penakut!” perli Budi lagi sambil menjeling tajam.

Sakit hati Jacky tetapi dia tidak membalas. Dia raba tangkal di leher. Dia usap perlahan-lahan. Mungkin betul kata Budi. Dia tidak perlu takut. Sudah hampir dua tahun tidak ada apa-apa pun yang berlaku pada dia; mungkin kali ini juga Lengloi tidak akan apa-apa kan dia.

*****

SEMINGGU dari pertemuan itu, malam yang ditunggu-tunggu itu pun tiba. Malam ke ke 14 bulan ke tujuh dalam kalendar lunar Cina. Dengan berat hati, Jacky tinggalkan rumah selepas pukul 10.00 malam dan pergi menjemput Jacky di rumah sewa. Dari situ mereka terus bergerak ke tempat yang dituju.

“Barang-barang?” tanya Budi sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.

Jacky angguk sepintas lalu. Sejak tinggalkan rumah dia sentiasa berdebar-debar sehinggakan timbul rasa malas mahu bercakap tetapi dia lihat Budi relaks sahaja seperti tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan. Mungkin dia juga harus begitu; fikirnya.

“Itu apa?”

Budi bertanya sewaktu melintas sebatang jalan kecil yang dipenuhi orang dalam perjalanan ke situ tadi. Sayup-sayup sahaja dia melihat sebuah patung besar berdiri di tengah altar yang didirikan di tengah satu lorong di sebelah kanan jalan. Hampir kesemuanya berwarna merah dan hitam. Dari jauh pun rupa patung besar itu sudah cukup menakutkan.

Jacky menoleh sekejap ke arah yang ditunjukkan Budi. Kesesakan jalan membuatkan pemanduannya tersekat-sekat. Suasana di situ pun riuh dan meriah. Sekiranya tidak ada tugas mahu juga dia singgah untuk menjamah Loh Bak yang sedap.

“Itu patung Phor Thor Khong. Atau kita panggil Tai Su Yah.”

“Apa tu?” Budi tidak faham langsung.

“Raja Neraka. Ruler of Underworld.” Selamba sahaja Jacky membalas. “Orang sembahyang dia untuk minta dia control semua hantu-hantu lapar tu. Supaya jangan buat kacau pada orang lain.”

“Kalau tak letak makanan, hantu tu marah ke?” Budi melihat beberapa buah meja diletak di tepi jalan atau di hadapan kedai-kedai. Di atas meja ada makanan, lilin dan colok. Malah ada makanan yang ditabur-tabur ke jalan raya. Di mana-mana juga ada bendera dan kertas dibakar. Di sesetengah tempat terdapat colok-colok sebesar pemeluk dinyalakan.

“Orang Cina berfahaman Tao percaya hantu-hantu tu lapar. Mereka tak mahu hantu-hantu masuk ke dalam rumah cari makanan. Nanti kacau pula. Juga, ada yang takut hantu-hantu itu balik balas dendam. Jadi kasi dia makan la.”

“Betul ke malam ni hantu-hantu semua balik?” tanya Budi lagi. Dia pernah nampak hantu. Bukan sekali tetapi banyak kali. Tetapi semua hantu-hantu itu hanya datang apabila dipanggil dan diseru bukan merayau sesuka hati.

“Kau fikir macam mana?” Jacky sakit hati dengan mulut Budi. Celupar bukan main.

“Tiap-tiap hari ada hantu,” kata Budi.

Jacky tidak membalas. Banyak perkara lain yang berlegar dalam kepalanya. Soal kerja, soal hutang. Lagipun dia bimbang Budi akan bercakap besar lagi. Hampir sejam setengah selepas itu baru mereka tiba ke tempat yang dicari-cari.

“Di sini ke?’ tanya Budi. Matanya sempat melirik ke arah papan tanda yang bertulisan huruf besar sepenuhnya; Taman Tasik Setia.

Jacky angguk sekali sahaja. Semakin dekat hatinya semakin berat.

*****

Lokasi:

Lot kedai 55

Taman Tasik Setia

DI SINI matahari tidak tenggelam di kaki laut. Di sini matahari hanya tenggelam di balik bumbung-bumbung bangunan kedai yang sudah lama usang, sunyi dan tidak bernyawa. Selalunya tanpa salam pamitan atau tanpa dipedulikan sesiapa. Cuma semua orang di sini tahu apabila matahari tenggelam, tempat ini perlu ditinggalkan kecuali beberapa orang manusia yang sememangnya datang mencari bala.

Pada waktu itu, udara malam begitu dingin. Rebas hujan masih bertempias ke kaki lima. Sekaligus bersaing dengan angin memadamkan lilin dan colok-colok yang terpacak di atas sebuah meja lipat kecil yang diletakkan di tepi tiang di sebelah kanan kedai.

Dalam remang suasana, masih terlihat jelas apa yang diletakkan di atas meja. Ada beberapa biji buah limau, taufu, nasi yang direndam di dalam air dan sebuah bungkusan. Di tepi meja itu pula ada sebuah tong besi berwarna merah yang digunakan untuk membakar wang neraka dan sebuah kerusi yang seperti telah diduduki orang.

Semua itu jelas menunjukkan ada seseorang yang telah berusaha menyajikan hidangan di situ untuk roh-roh yang dipercayai telah dibebaskan dari neraka dan tersesat ke situ mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Namun bagi Budi semua itu tidak memberi erti.

“Aduh…”

“Cepatlah sikit!”

Keluhan Jacky mematikan lamunan Budi. Sambil menggesa, tangan Budi menolak-nolak bahu Jacky yang sedang cuba membuka kunci mangga roller shutter. Kunci di sebelah tengah sudah dibuka. Tetapi entah apa masalahnya, kerja yang sepatutnya senang, sudah jadi susah. Dia mula hendak marah. Apatah lagi beg plastik yang dipegang semakin lama semakin menyakitkan jari. Kerana tidak tertahan, dia meletakkan sahaja beg plastik itu ke atas lantai kaki lima yang berdebu.

Jacky berdecit keras. Dalam keheningan malam, deruan nafas yang laju memacu rasa cemas. Gigil di tangan semakin kencang. Dahi mula basah. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah apa sahaja yang terlintas dalam kepala. Dia tidak sangka akan jadi sesusah itu. Mulalah dia rasa menyesal.

“Fuh!”

Kata-kata itu tersembur daripada mulutnya apabila kunci roller shutter terungkai. Barulah dia boleh bernafas semula. Tanpa membuang masa, dia terus berdiri sambil menarik roller shutter itu ke atas sedikit. Namun ketatnya bukan main. Sampai cekang urat perutnya.

Krek! Pintu itu bergesel dan berkeriut apabila ditolak Jacky sekuat hati. Maklumlah sudah lama tidak dibuka sesiapa.

“Perlahan la sikit!” Budi menegur dengan kerutan di dahi.

Sesekali matanya melingas memerhati keadaan sekeliling; memerhati kalau-kalau ada sesiapa yang lalu-lalang. Kerana setahu dia, di tempat sebegitu kadang-kadang memang ada polis dari balai polis berdekatan yang membuat rondaan. Kalau terserempak memang menjawab panjanglah jadinya. Lagipun waktu sudah hampir benar ke tengah malam. Sesiapa sahaja boleh mengesyaki yang bukan-bukan.

“Tunggu apa? Cepatlah masuk!”

Kini Jacky pula yang menyergah Budi yang masih terhegeh-hegeh di kaki lima kedai. Budi, badannya sedang-sedang. Sekali pandang seperti seorang peladang dengan tuala Good Morning melingkari leher dan topi Jepun yang sentiasa melekap di atas kepala tetapi yang sebenarnya Budi hanyalah seorang pekerja di sebuah kilang batu-bata haram. Juga seorang kawan yang sekepala dalam hal-hal perjudian dan nombor ekor. Mereka kenal pun di meja judi.

Mendengarkan arahan Jacky, Budi segera mencapai beg plastik di atas lantai. Kemudian menundukkan kepala untuk melepasi roller shutter yang hanya dibuka lebih kurang enam kaki tinggi. Dia terus mencelah masuk dan tubuhnya terlanggar tubuh Jacky yang berdiri di hadapan pintu bersama lampu suluh kecil.

“Hisy!” bentak Jacky.

Sempat ditampar bahu Budi sekali. Kemudian dia terus menekan roller shutter ke bawah, kemudian memijaknya sehingga menyentuh lantai supaya tidak ada sesiapa perasan ada orang di dalam kedai bernombor 55 itu. Kemudian mendekati Budi yang tidak bergerak jauh.

“Jom!”

“Engkau la jalan dulu. Aku mana tahu tempat tu kat mana,” balas Budi.

Kakinya bagaikan terpaku ke lantai. Berat sungguh untuk diangkat walau dia juga yang beria-ia mahu mencuba nasib di situ. Cuma apabila berada di dalam tempat yang tertutup begitu, dia dihurung rasa yang menyesakkan. Seperti tidak cukup Oksigen.

“Aiya… tentu la kat belakang. Mana ada orang buat toilet kat depan pintu?” jawab Jacky sambil melangkah ke hadapan tetapi perlahan-lahan lantaran cahaya lampu suluh yang tidak berapa terang. Hendak dibawa lampu besar bimbang limpahan cahayanya boleh dilihat dari luar.

“Jalan la cepat.” Budi mula mengatur langkah di belakang Jacky.

Setapak Jacky bergerak, setapak juga dia melangkah. Sesungguhnya pergi ke tempat-tempat yang dikatakan keras begitu bukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sebut sahaja di mana ada tempat yang sesuai untuk menurun nombor ekor, dia akan pergi. Cuma inilah kali pertama dia ke situ. Itu pun setelah Jacky buka cerita.

Kata Jacky, dia tahu satu tempat yang dia rasa boleh bawa untung besar. Yang anehnya sejak sampai ke kawasan perniagaan di situ lagi, dia sudah dihurung rasa tidak selesa. Dadanya berat. Debarnya kencang. Rasa sejuk mencengkam dari dalam. Udaranya juga seperti tidak berangin dan pengap. Dan yang paling jelas sekali, dia sentiasa rasa menggermang. Sudah dicuba segala apa yang dia tahu, rasa itu tetap tidak hilang. Kini dia akui Jacky tidak berbohong. Daripada pengalamannya, dia yakin tempat itu memang keras.

“Aiyaaa!” Jacky berundur ke belakang secara tiba-tiba.

Budi di belakang terus terlanggar tubuh Jacky. Dia hampir lagi tersungkur ke lantai kalau dia tidak cepat berpaut pada dinding bilik.

“Janganlah!” Dia bingkas berdiri tegak semula. Dia benci kalau terkejut terutama dalam keadaan seperti itu.

“Tu.” Jacky angkat lampu suluhnya semula. Kali ini lebih tinggi, kira-kira separas mata mereka berdua. Dia bukan sengaja hendak menjerit.

Mata Budi melirik mengikut arah cahaya. Apa yang disuluh Jacky buat dia tergamam. Di hadapan mereka, berdiri sesusuk tubuh hitam legam. Kepala botak berkilat dengan mata biru muda. Lebih tergamam apabila Budi nampak mata biru itu berkelip. Bagai hendak gugur jantung Budi seketika. Mujurlah dia cepat menyedari semua itu mungkin hanyalah khayalan.

“Patung….” Lesu suara Budi.

Nafasnya mula teratur semula. Kemudian apabila Jacky menyuluh ke sekeliling, ada empat lagi patung yang serupa di sekitar ruang itu. Ada yang berbaju dan ada yang tidak. Di atas lantai juga masih bersepah kain-kain yang sudah menakung habuk tebal. Maka betul kata Jacky, kedai itu memang sebuah butik pakaian wanita suatu ketika dahulu.

“Kat sini boleh la.” Jacky berhenti melangkah. Cahaya lampu suluhnya tepat menyuluh ke arah lantai yang lapang.

“Ke depan la sikit. Kata kat toilet,” Budi menegur.

Sejujurnya dalam keadaan yang gelap gelita itu, dia belum nampak bilik air yang dikatakan oleh Jacky sejak beberapa hari yang lalu. Kenapa di bilik air, dia pun tidak tahu kerana setelah puas didesak Jacky tetap tidak mahu beritahu apa-apa. Cuma apa yang diberitahu oleh Jacky ialah tempat yang paling keras di kedai itu ialah di bilik air.

Itu bukan menghairankan sangat kerana setahu dia selalunya di dalam sesebuah kedai orang bukan Islam; tuan punya akan mengadakan acara sembahyang untuk menyeru datuk-datuk untuk menjaga tempat dan memanggil untung. Mungkin kedai itu juga begitu. Mungkin juga yang akan diseru nanti itu salah satu datuk yang diikat di situ. Budi tidak peduli asalkan pada malam itu dia dapat nombor yang boleh menang besar.

“Tu.” Jacky angkat lampu suluh ke sebelah kanan kedai.

Di sudut belakang terdapat dua buah bilik yang pintunya tertutup rapat. Mungkin berkunci, Budi tidak dapat memastikan kerana Jacky menyuluh hanya sekilas lalu.

“Buat depan toilet la. Kat sini jauh sangat.” Itu pendapat Budi. Kalau boleh lagi dekat lagi bagus.

Jacky tidak membantah walaupun hatinya mula ragu-ragu. Hal itu memang tidak menyusahkan tetapi dia lebih bimbang kepada akibatnya nanti. Dia harap kalau apa-apa terjadi, dia dan Budi masih sempat keluar dari situ.

“Cukup la ni.”

Jacky tidak mahu bergerak lebih jauh daripada itu. Padanya tempat itu sudah cukup baik. Kalau apa-apa hal berlaku pun mereka hanya perlu lari lurus sahaja ke hadapan. Masalahnya cuma satu. Setibanya di situ; dadanya berdebar makin kuat. Sejujurnya dia hendak keluar sahaja dari situ kalau boleh. Rasa menyesal sudah naik ke kepala. Dia rasa semakin tidak tahan.

“Ke depan la sikit.”

“Tak mau la. Sini cukup la.” Jacky berkeras.

Melihatkan Jacky sudah tidak mahu lagi bergerak walaupun sejengkal, Budi terpaksa mengalah. Setelah memandang-mandang, dia mula mencari tempat duduk untuk memulakan acara. Lantas beg plastik besar yang dibawa tadi diletakkan di atas lantai yang kotor dan berhabuk tebal. Barang-barang di dalamnya perlu dikeluarkan satu persatu. Namun belum sempat dia membuka beg plastik itu, beg plastik itu bergerak kira-kira sekaki bagai direntap seseorang.

Berderau darah Budi.

Dia pandang Jacky. Jacky pandang dia dengan mata yang tidak berkelip. Hanya setelah keadaan kembali tenang, dia tarik semula bungkusan itu rapat kepada dia tanpa mahu memandang ke mana-mana. Pada dia, lebih cepat urusan di situ selesai, lebih baik. Pada fikirannya, tempat itu bukan sebarang tempat.

Sehelai kain tudung bawal berwarna merah darah dibentang sebagai alas. Sebiji pinggan plastik. Seekor ayam ponteh yang disimpan dalam sebuah bekas plastik, tujuh batang lilin hitam dan sekeping cermin muka berbentuk tiga segi yang ditempah khas untuk upacara itu. Sebuah mangkuk kecil porselin berwarna merah dan sebentuk cincin yang dibelit dengan benang hitam. Kesemuanya disusun di atas lantai; betul-betul di hadapan bilik air yang pertama.

Ayam ponteh diletak di atas pinggan. Kemudian diletak cermin tiga segi di belakangnya. Di sebelah ayam ponteh diletakkan sebuah mangkuk kecil yang berisi cincin. Selepas itu baru tujuh batang lilin hitam disusun melengkung di kiri kanan cermin. Setelah siap, Budi menyalakan ketujuh-tujuh batang lilin itu sebelum menyusun sila. Dia tumpukan perhatian sambil jari-jarinya meramas-ramas serbuk kemiyan di sisi lutut. Dia sudah bersedia untuk menyeru.

Jacky pula sekadar duduk bertinggung di sebelah kiri Budi. Tugasnya untuk membawa Budi ke situ sudah selesai. Kini sampai giliran Budi pula untuk menjalankan kerjanya. Dia pernah melihat Budi menyeru dan menurun di beberapa tempat yang keras. Di rumah kosong, di jirat Cina, di rumah bomoh yang mati dibunuh, di puncak bukit, semua pernah. Ternyata Budi seorang manusia yang tidak tahu takut. Dia juga pernah melihat Budi menang nombor ekor beberapa kali. Jadi, dia memang percaya kepada kebolehan Budi. Pada malam itu dia benar-benar berharap, mereka akan dapat nombor yang betul-betul bagus.

Dengan penuh harapan, Jacky menunggu dan menunggu. Ada rasa tidak sabar kerana dia mahu keluar dari situ secepat mungkin. Apatah lagi, semakin lama, udara dirasakan semakin kering dan panas. Ditambah haba yang keluar dari lilin yang mencair dan asap hitam yang mula memenuhi ruang yang tertutup itu. Kulit hidungnya terasa perit dan gatal. Lebih-lebih lagi apabila asap semakin banyak dan udara di situ dipenuhi bau kemiyan yang mencucuk hidung.

Makin lama, Jacky makin terasa susah bernafas. Paru-parunya tidak cukup Oksigen. Bahunya sakit. Lehernya seperti dicekik sesuatu. Peluhnya sudah menitis. Dia semakin gelisah kerana Budi seolah-olah akan lama lagi di situ sedangkan dia semakin kekurangan nafas.

“Budi…” Dia memanggil dengan sisa suara yang ada.

Namun Budi tidak menyahut. Budi semakin asyik bertafakur sambil memejamkan mata rapat-rapat. Bibir Budi terkumat-kamit membaca jampi serapah yang tidak tentu ulas butir. Dia percaya Budi sudah berada di alam lain dan dia keseorangan di situ. Namun kerana tidak tahan, dia pegang lengan Budi. Dia tarik sekuat hati kerana pandangan matanya sudah berpinar-pinar. Kepalanya pening. Dia rasa hendak pitam apatah lagi apabila terlihat apa yang bertenggek di atas pintu bilik air. Rasa hilang darah dari tubuhnya.

Budi buat tidak tahu sehinggalah telinganya ditampar sesuatu. Berdesing. Sakit. Apabila dia buka mata, lilin paling hujung di sebelah kiri terpadam. Kemudian yang kedua, ketiga, keempat. Tinggal tiga batang lilin sahaja yang masih menyala. Budi tahu apa yang diseru sudah datang. Baru hendak tersenyum, dia lihat cincin di dalam mangkuk kecil bergerak.

Keletak! Keletak! Keletak!

Cincin yang dibelit benang hitam itu bergerak-gerak dengan laju dan keras; memukul sisi-sisi mangkuk dengan kuat.

Keletak! Keletak! Keletak!

Tidak berhenti-henti sehinggalah tercampak ke atas kain alas apabila mangkuk itu tergolek tumbang.

“Jacky! Tengok…” kata-kata Budi tidak habis di situ.

Dia terkedu apabila melihat Jacky terpaku seperti patung dengan kepala Jacky mendongak tinggi arah ke bilik air. Mata Jacky buntang tidak berkelip. Mulut Jacky terlopong sehingga terkeluar air liur. Dia ikut memandang tetapi tidak melihat apa-apa, cuma dia mula terasa tengkuknya berat dan ketat seperti dipeluk sesuatu dari belakang. Dari leher sampai ke pangkal punggung terasa panas.

Belum sempat menegur, Jacky sudah kelam-kabut bangun dan lari dari situ.

“Jacky!” Dia memanggil tetapi Jacky terus hilang dalam kegelapan. Terdengar juga pintu yang membahagikan ruangan hadapan dan ruang belakang tertutup semula.

Kini dia berseorangan dan serba-salah. Usahanya sudah berjaya tetapi Jacky pula yang lintang-pukang melarikan diri. Hendak dimarah pun sudah terlambat cuma dia tidak sangka pada malam itu Jacky akan menjadi manusia yang sangat penakut. Selama ini tidak pula Jacky bersikap seperti itu.

Mahu atau tidak, dia terpaksa meneruskan apa yang telah dibuat. Kerana dia tahu seru bukan sebarang seru. Ada seru memanggil datang; ada pula seru menyuruh pulang. Kalau tidak, hal itu tidak akan selesai di situ sahaja. Panjang ceritanya.

Lalu jampi serapah diteruskan. Mata dipejamkan semula. Fikiran ditumpukan. Dia benar-benar berharap apa yang diseru tidak berkecil hati dan mahu memberikan sebaris angka pada cermin. Baru beberapa saat, satu hembusan angin sejuk menyapa pipi kiri.

Dia membuka mata. Lilin mula terpadam satu demi satu, sehingga tinggal lilin yang terakhir. Betul-betul yang berada di sebelah cermin. Dia yakin detik yang ditunggu sudah tiba, dia lantas merenung cermin tidak berkelip. Dia berharap benar, akan muncul sebaris nombor tetapi sayangnya lain pula yang dilihat berada di belakang dia. Lantas anak matanya membesar.

Di atas cermin terlihat seorang perempuan sedang memandang ke arah kanan. Yang kelihatan cuma sebelah pipi yang rentung, sebelah mata yang merah, rambut lurus yang berjurai turun dan baju kebaya hitam pendek yang dipakai. Setakat itu sahaja kerana selebihnya tidak sanggup lagi dipandang Budi. Apabila perempuan dalam cermin itu menjeling ke arahnya sambil tersenyum, nafas Budi seakan terhenti.

Tubuh Budi mula ketar. Air liur berbuih-buih keluar. Dia mula terfikir untuk menghentikan semua itu. Bibirnya laju membaca mentera tetapi semuanya sudah berterabur. Entah yang mana pangkal; yang mana hujung. Dia terus baca bersungguh-sungguh. Selesai sahaja, dia terus mengambil cincin di atas lantai. Tanpa diduga, satu deruan angin yang kuat berserta bunyi jeritan menerpa dari entah mana. Pintu bilik air terhempas kuat. Lilin terakhir terpadam. Ruang kembali gelap gelita.

Namun sebaik sahaja kedua tapak kaki memijak lantai, Budi terus berlari keluar mengikut gerak hati. Dalam kelam-kabut begitu, dia terlanggar patung mannequin dan tersembam ke lantai. Walaupun terasa sakit, dia dapat bangun semula dan merangkak mencari dinding. Dinding itu disusuri sehinggalah berjumpa pintu ke ruang hadapan. Sewaktu dia menarik daun pintu, dia tersembam jatuh buat kali kedua.

Dagunya terhentak ke lantai. Sakit. Belum sempat bangun kakinya direntap ke belakang. Dia meronta tetapi tubuhnya tetap bergerak ke belakang sehingga terlanggar dinding. Ditarik pula ke hadapan, belum sempat bernafas sudah dilontar semula ke dinding sekali lagi.

Perut Budi senak. Tulang-temulang terasa hendak tercabut namun siksaan itu tidak berhenti setakat itu. Rambutnya pula ditarik ke belakang sehingga tubuhnya jatuh terlentang. Kemudian terasa tubuhnya perit seperti dilibas sesuatu yang tajam dan panas. Budi berguling dan menjerit-jerit. Kesakitan yang dirasa seakan tidak tertanggung lagi.

“Budi!”

Suara Jacky yang menerpa masuk semula ke situ, mengejutkan Budi. Dia hanya mampu mengecilkan mata apabila cahaya lampu suluh Jacky singgah ke muka. Dalam rasa lega dia tahu nyawanya sudah sampai ke penghujung. Dia sedar sekujur tubuhnya sudah basah dengan darah. Tulang patah-patah dan daging separuh hancur. Dia tidak mampu bergerak jauh. Itulah kali pertama dalam hidupnya dia rasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat orang lain dan bersikap takabbur.

“Jacky!” Cincin yang digenggam tadi disua kepada Jacky. Itulah sahaja yang terdaya.

“Budi!”

Jacky yang tadinya tergamam kini mula panik. Walaupun keadaan Budi begitu teruk, dia tetap menarik tangan Budi yang basah dengan darah. Dia cuba angkat tubuh Budi yang lemah longlai untuk kembali berdiri namun sayang, tubuh Budi direntap kuat sehingga terlambung menghentam dinding sekali lagi. Budi tersungkur mencium lantai. Kemudian berguling-guling menahan sakit.

Jacky tergamam lama. Antara mahu membantu Budi ataupun cabut lari, dia tidak dapat membuat keputusan. Namun apabila terasa kakinya pula disentuh, dia tidak menunggu lagi. Dia terus lari dan lari. Memang dia menyesal datang ke situ lagi.

*****

EMPAT hari sudah berlalu. Jacky masih belum menerima apa-apa berita daripada Budi. Dia semakin risau. Entah di mana Budi dan entah bagaimana keadaan Budi. Lalu pada hari itu dia bernekad untuk mencari Budi sampai dapat.

Selepas selesai mengisi minyak di sebuah stesen, dia berhenti untuk menelefon Budi tetapi sekali lagi panggilannya tidak berjaya. Yang sebenarnya sejak malam itu, dia sentiasa cuba menghubungi Budi tetapi panggilannya tidak pernah berjawab. Sejak dua hari lepas pula, nombor telefon Budi terus tidak dapat dihubungi. Dia benar-benar bingung.

Walaupun begitu, dia amat berharap Budi selamat. Mungkin juga kerana dia diheret rasa bersalah setelah lari meninggalkan Budi malam itu. Disebabkan tidak betah berada dalam keadaan tertanya-tanya begitu, dia akhirnya membuat keputusan untuk pergi semula ke lot 55 untuk melihat apa yang telah berlaku di sana. Tetapi sewaktu dia tiba di situ, jalan di hadapan lot itu sudah sesak dengan orang ramai.

Kereta polis dan ambulan sudah tiba dan berada di kotak parkir. Pita rentang pula sudah dipasang di hadapan lot 55. Nafasnya sesak. Setelah memarkir kereta agak jauh, dia berjalan selaju yang mungkin menuju ke situ. Setibanya di situ, dia melihat empat orang anggota polis sedang mengangkat sebuah stretcher keluar dari lot 55. Di atas strecher ada sekujur mayat yang diletakkan di dalam plastik hitam. Dia rasa hendak menangis tetapi sedaya upaya menahan diri.

“Teruk keadaan mayat tu.”

Jacky terdengar seorang lelaki bercerita. Apabila dia menoleh, lelaki itu rupa-rupanya tuan punya gerai yang menjual air tebu dan pisang goreng yang terletak bertentangan dengan lot 55. Dia terus mendekat untuk bertanya lebih lanjut.

“Pak cik tengok ke mayat tu?”

Lelaki tua itu angguk.

“Pak cik dan tuan punya kedai tu yang jumpa tadi. Pak cik yang telefon tuan punya kedai tu sebab dah banyak hari pak cik tengok kedai tu terbuka saja pintunya. Bila masuk dalam, sudah ada bau busuk. Bila masuk cari, dah kembung berulat.”

“Budak-budak hisap dadah la tu. Kalau tak, mesti nak mencuri.” Suara yang lain pula kedengaran. Di situ riuh-rendah dengan pelbagai cerita. Semua orang hendak bercakap.

“Memang silap besarlah pilih kedai tu,” jawab yang lain.

“Orang luar kut? Orang sini mana berani dekat dengan kedai tu. Tak pasal-pasal ada yang menumpang tidur malam karang.”

Semakin banyak cerita yang Jacky dengar. Semakin susah hatinya.

“Yang mati tu… lelaki ke perempuan, pak cik?” Dia masih ingin memastikannya lagi. Walaupun lambat laun dia akan tahu juga.

“Lelaki. Tapi dah susah nak kenal.”

“Kenapa?” Jacky dihurung rasa pilu. Dia semakin yakin yang mati itu Budi.

Pak cik itu terdiam lama.

“Kenapa, pak cik?” tegur Jacky. Rasa sedih dan bersalah ditelan dalam-dalam. Kalaulah orang tahu dia kenal siapa yang mati itu, tentu sukar jadinya. Tetapi dia juga tahu kes Budi tidak akan berlarutan lantaran Budi hanyalah seorang pendatang haram.

“Badan dia… dari muka ke kaki hancur. Tapi yang pelik tu tak ada apa-apa yang hempap dia. Cuma macam disebat dengan belati sampai mati. Ada kesan berbelang-belang. Kesan darah tak usah cakaplah. Macam banjir bahagian belakang tu. Ulat-ulat menggeletik sampai ke pintu tengah.”

Jacky ternganga. Tidak dapat dibayangkan kesakitan yang Budi rasa pada malam itu namun semuanya sudah terlambat untuk disesali. Cuma ada baiknya dia tidak menjejakkan kaki di situ lagi.

“Tapi… itu bukan kematian yang pertama di kedai tu,” tambah pak cik tadi.

Sekali lagi Jacky menelan air liur. Ya, bukan yang pertama. Dia pun tahu. Cuma itulah yang paling dahsyat setakat ini.

Dua tahun sebelum itu….

Bab 1

Masa : Tahun 2012

Lokasi : Kedai Daun Pisang Muthu

Lot 55, Taman Tasik Setia

BAGIMuthu, kedai itu adalah segala-galanya. Dunia, harga diri, masa hadapan dan kebahagiaan. Terlalu besar harapan yang disandarkan kepada kedai itu; sepertimana besarnya harapan isteri dan anaknya, Devi yang tersandar di bahunya. Terlalu banyak pengorbanan dan modal yang telah dilaburkan kepada kedai itu. Dan dia pula bukanlah seorang yang mampu menerima kegagalan.

Hari itu dia mengharapkan perniagaan kedai makannya berjalan seperti hari-hari yang lalu. Dengan bantuan isterinya, Pooja dan tiga orang pekerja yang rajin dia percaya kedai makannya akan bertambah maju hari demi hari. Malah dia bercadang untuk mendapatkan kawasan kedai yang lebih luas, menambah bilangan pekerja dan membeli bangunannya sendiri. Dia percaya kepada kerja kuat, buat baik dan masakan yang sedap.

“Khushiyaan aur gham sehti hai… phir bhi yeh chup rehti hai…”

Bibirnya mengikut perlahan lagu Hindustan daripada filem Mann yang berkumandang di dalam kedainya pada waktu itu. Sambil jarinya ligat membuat perkiraan jumlah bil yang perlu dibayar dengan menggunakan kalkulator sebesar dua tapak tangan. Sesekali, dia mengangkat muka memerhati pekerja dan pelanggan yang keluar masuk dari kaunter yang terletak di sebelah kanan kedai. Tidak jauh dari pintu masuk. Bahagia hatinya. Semuanya berjalan seperti biasa.Tidak ada masalah.

“Teh tarik satu. Roti telur satu.”

Suara yang biasa didengarnya itu, membuatkan anak matanya spontan melirik ke arah sebuah meja di tepi dinding. Dari tempatnya berdiri, dia dapat melihat seorang anak muda berbangsa Cina sedang tunduk memeriksa telefon bimbitnya. Hatinya terus diseru rasa sayu.

Dia sedar, itu pun salah satu kisah kehidupan manusia. Tetapi yang ini ceritanya penuh kesedihan. Kalah kisah Romeo dan Juliet. Melihatkan wajah anak muda itu yang sugul, sudah cukup untuk membayangkan kesedihan yang ditanggung.

Di matanya, tubuh Lim nampak susut sedikit berbanding dahulu. Mungkin kerana kurang makan atau kurang tidur. Mungkin juga kerana terlalu merindui kekasihnya, Suzy. Sedikit sebanyak dia turut berasa sedih.

Lantas, dia kutip satu persatu bil di atas kaunter lalu dimasukkan sahaja ke dalam poket baju. Rasanya tidak mengapa jika dia meluangkan sedikit masa menegur pemuda itu. Setibanya di meja, bahu Lim ditepuk dengan mesra. Tanpa dipelawa, dia menarik kerusi di sebelah kiri Lim lalu duduk.

“Macam mana?” Cukup setakat itu dia bertanya. Dia yakin Lim faham apa yang dia tanya tanpa perlu bercakap panjang lebar.

Lim menggeleng sambil menundukkan muka semula. Perlahan-lahan dia menghirup air teh tarik dalam cawan besar di hadapannya. Namun matanya tidak lekang dari skrin telefon.

“Sabarlah. Mesti polis jumpa dia,” katanya.

Itulah sahaja kata-kata semangat yang dapat diberikan walaupun kalau boleh dia juga mahu mengatakan lebih daripada itu. Dia sendiri mahu melihat keadaan itu berubah. Dia mahu kesugulan pada wajah Lim hilang. Dia mahu anak muda itu tersenyum dan ceria semula seperti dahulu. Dia juga mahu menatap wajah Suzy yang cantik manis itu semula.

Kata-kata Muthu buat Lim mengangguk. Mulutnya masih terkatup rapat.

Muthu pandang lagi wajah Lim. Nampaknya bukan mudah untuk mengubati kelukaan hati anak muda itu. Mungkin Lim perlukan masa seperti orang putih kata; ‘Time will heal’

“Nanti, uncle tampal poster Suzy di depan kedai. Siapa tahu, mungkin ada yang nampak dia. Di kaunter pun boleh letak.”

Kini anak mata Lim spontan melirik ke arah Muthu.

“Boleh ke, uncle?”

“Boleh. Apa tak boleh pulak? Buatlah satu poster, buat banyak pun tak apa. Nanti bila balik rumah, uncle tampal pulak di rumah.”

Bagaikan bunga baru belajar berkembang, begitulah senyuman yang menghiasi bibir Lim. Dia angguk lagi.

Muthu cuma mampu mengeluh. Dia sendiri tidak sangka perkara itu boleh berlaku. Selama ini, dia sering berbual dengan Lim dan Suzy setiap kali pasangan muda itu datang makan dan minum di kedainya. Sayangnya sejak sebulan yang lalu, Suzy hilang dalam perjalanan balik dari kerja. Sejak itu Suzy tidak ditemui lagi walau segala usaha sudah dibuat untuk mengesan Suzy. Sejak itu juga sikap Lim berubah menjadi pendiam. Dia sendiri rasa berdukacita dengan kejadian itu.

“Toilet sudah boleh guna ke, uncle?”

“Boleh. Semalam lagi sudah siap. Cantik!Muthu acung ibu jari tanda bagus. Dia bangga.

Lim menyambut dengan ketawa kecil. Dia terus bangkit untuk ke bilik air.

Dari jauh, Muthu mengeluh halus. Walaupun dia gembira dengan bilik air yang baharu itu tetapi tetap ada kemusykilan di hati. Kerja ubahsuaian yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah syarikat tiba-tiba sahaja ada masalah lalu dia terpaksa menerima kontraktor baharu yang ditawarkan. Kerja ubahsuai jadi bertambah lewat tetapi mujurlah dapat juga disiapkan dengan elok. Dia sudah tidak tahan dengan rungutan pelanggan. Dia dan pekerja-pekerjanya pun susah juga. Kena cari tandas awam.

“Wah! Banyak cantik la uncle,” puji Lim sebaik sahaja sampai semula di meja.

Muthu cuma tersengih. Lega hatinya kerana masalah itu telah selesai. Baru hendak buka mulut semula dia terlihat seorang perempuan tua berketurunan Baba dan Nyonya masuk ke kedai.

“Tengok tu siapa datang.” Dia terus berdiri dan tinggalkan Lim.

Lim menjeling dari jauh.

******

“AUNTY…. Wah! Aunty banyak cantik hari ni.” Muthu cuba mengambil hati. Dia tahu Aunty May juga terluka seperti hati Lim. Malah mungkin lebih lagi.

Mendengarkan pujian Muthu, Aunty May tersenyum nipis tetapi tidak bersuara. Dengan langkah yang perlahan, dia mendekati kaunter yang menghidangkan pelbagai jenis makanan.

“Hari ni kita cuma masak kari ayam. Kari ikan yang aunty suka tu, tak ada la. Ikan hari ni banyak mahal.”

Muthu cuba membantu ketika Aunty May tercari-cari lauk yang hendak dibeli. Sejujurnya melihat Aunty May bersendirian di situ hatinya semakin tersentuh. Dulu, semasa Suzy masih ada, Suzy dan Aunty May sering makan di situ jika tidak makan bersama Lim. Mereka berdua; ibu dan anak yang sangat mesra dan rapat. Suka bercerita dan sangat peramah. Sayangnya semua itu sudah tinggal kenangan.

“Aunty pilihlah ya, saya mahu keluar bayar bil,” kata Muthu lagi. Baru teringat kerja yang tertangguh.

Aunty May terangguk-angguk. Kemudian pandangan mata Aunty May tertancap ke arah Lim yang sedang duduk di tepi dinding. Mereka berdua hanya berpandangan dalam diam tanpa secalit senyuman.

Melihatkan keadaan itu, Muthu dapat merasakan ketidakselesaan antara Aunty May dan Lim namun dia tidak ingin masuk campur. Dia faham kedua-duanya masih dalam keadaan bersedih dan cuba menerima keadaan itu dengan sebaik-baiknya. Sedang dia bersiap-siap untuk meninggalkan kedai, dia ternampak Lim menggamit dia dari jauh. Dia sekadar memberikan isyarat supaya Lim menunggu sekejap.

“Mahu tambah dal?” Dia terus bertanya sambil merapati meja Lim. Pada waktu itu Aunty May sedang bercakap dengan pekerjanya, Balan.

Sayangnya Lim mengeleng. Dahinya berkerut.

Muthu angkat kening. Kenapa pula dengan Lim? Muka kelat semacam saja.

“Cuba bau... kenapa bau dia lain ha, uncle?” Lim angkat piring yang berisi kari ayam lalu diunjuk ke arah Muthu.

“Hah?”

Muthu cepat-cepat pegang piring itu lalu dibawa ke hidung. Selain bau rempah kari dia terbau sesuatu yang aneh. Yang busuk. Yang meloyakan. Seperti kari itu sudah basi lama. Spontan, dia menguis batang hidupnya yang terasa perit. Terasa darah sejuk menyerbu ke mukanya, apatah lagi pada waktu itu Lim sedang merenungnya.

******

“SEKEJAP, uncle tukar.”

Dalam kebingungan Muthu bergegas membawa piring itu ke hadapan semula, di mana semua lauk-pauk sedang terhidang dan pekerjanya sedang sibuk melayan pelanggan. Macam mana boleh jadi macam ni? Hatinya tertanya-tanya. Setahu dia, rempah ratus yang digunakan sama sahaja sejak dia membuka restoran itu setahun yang lalu. Selama ini tidak pernah pula masakannya berbau seperti itu.

“Kenapa semua lauk berbau macam ni?” Dia menegur pekerjanya yang bernama Balan.

Balan tergamam.

“Bau apa?”

Muthu dekatkan piring tadi ke hidung Balan.

Balan tergamam sekali lagi. Mulutnya terkunci namun dahinya berkerut rapat. Mereka berdua terdiam seketika. Bingung.

Kemudian, Muthu meletakkan piring yang dipegangnya di atas meja. Dia ambil piring lain lalu mengisinya dengan kuah kari yang baru. Namun, apabila dia menceduk kuah dari periuk hidungnya menangkap bau kari yang busuk. Spontan, senduk yang dipegangnya terlepas.

“Macam mana boleh jadi macam ni? Macam mana kari ni boleh basi?” Muthu sudah mula rasa panik. Waktu makan tengah hari sudah tiba, pelanggan sudah mula datang berduyun-duyun.

Balan kelu. Dia hanya mampu menggelengkan kepala.

“Angkat periuk ni ke belakang. Pergi buang,” arah Muthu secepatnya.

Balan segera mengikut arahan Muthu. Periuk besar yang mengandungi kari ayam itu diangkat dengan segala kekuatan menuju semula ke dapur. Sambil itu mulutnya membebel.

Dari jauh, Muthu dapat melihat wajah isterinya yang tercengang-cengang di muka pintu dapur. Dia hanya dapat memandang kerana dia belum ada masa untuk menjelaskan keputusannya. Kemudian, dia mendekati meja Lim semula dengan niat mahu meminta maaf dan bertanya jika dia boleh menggantikan kari ayam tadi dengan lauk yang lain. Namun belum sempat dia membuka mulut, dia sudah dipanggil oleh pelanggan yang duduk di meja lain. Dia lantas menukar arah.

“Kenapa lauk ni rasa semacam? Bau pun busuk.” Pelanggan berbangsa India itu bertanya lantang sambil menunjukkan nasi yang sudah bergaul dengan pelabagai jenis kuah di atas daun pisang.

Untuk sesaat, Muthu rasa mahu pitam. Betul ke lauk-pauk yang lain juga basi? Aneh!

“Maaf,” katanya. Lalu menggamit isterinya untuk menukar daun pisang dan nasi. Pelanggan itu merungut tidak habis-habis.

Isterinya Pooja, terus datang. Walaupun tidak begitu memahami apa yang sedang berlaku, Pooja segera menukar daun pisang dan mencedukkan nasi yang baharu. Apabila Pooja selesai meletakkan kuah, pelanggan tadi segera menciumnya.

“Ceh! Busuk! Ptuihh!” Pelanggan itu menolak kerusi dengan kuat lalu meludah ke lantai.

Pelanggan lain tersentak.

“Aiyo.... Jangan ludah.” Suara Muthu mula meninggi.

Dia rasa marah sungguh dengan sikap pelanggan itu. Apatah lagi dia sedang runsing dengan kekalutan itu. Namun pelanggan itu semakin marah, segala sumpah seranah sudah keluar dari mulutnya.

Muthu tergamam. Dia menggenggam penumbuknya sekuat hati.

“Porah!” Pelanggan itu meludah sekali lagi selepas puas memaki hamun Muthu.

Kali ini, Muthu lupa diri. Sedar-sedar sahaja penumbuknya sudah melayang ke pipi pelanggan tadi. Dia sendiri terdorong ke arah meja dan pelanggan tadi terjatuh ke atas lantai.

Kedai menjadi gempar. Mujurlah kedua-dua dapat dipegang oleh pelanggan lain yang ada di situ.

Bersama sumpah seranah yang tidak putus-putus, pelanggan tadi meninggalkan kedai setelah dipaksa keluar dari situ oleh Balan. Disusuli dengan ancaman untuk membakar kedai Muthu ataupun menyamannya berjuta-juta.

Di dalam kedai, Muthu tercungap-cungap mengambil nafas. Dia bingung dengan apa yang baru berlaku. Dalam kekalutan itu, dia hanya mampu melihat pelanggan-pelanggannya mula meninggalkan kedai seorang demi seorang termasuklah Aunty May. Yang tinggal cuma seorang sahaja iaitu Lim.

*****

UNTUK seketika, kesemua yang ada di dalam kedai itu bungkam. Mulut masing-masing bagaikan digam. Radio yang mengalunkan lagu-lagu Hindustan tadi pun sudah dimatikan. Di suatu sudut Muthu termenung panjang memikirkan apa yang patut dilakukan. Semua itu di luar jangkaan. Dia pening.

“Cuba tengok lauk. Semua basi ka?” Dia menjengilkan mata ke arah Balan.

Tanpa berlengah, Balan pergi memeriksa. Satu demi satu lauk dicium dan dirasa kemudian datang semula memberi laporan.

“Semua sudah basi.”

Muthu hempas nafas. Macam mana pula boleh basi? Semua lauk-pauk itu dimasak di situ sejak pagi tadi. Memang begitulah cara dia berniaga sejak dahulu lagi. Selama ini sampai ke petang pun elok sahaja malah jarang bersisa kerana semua habis dibeli.

“Tutup sajalah kedai.” Itulah keputusan yang dirasakan paling tepat.

“Hah?” Pooja terperanjat.

“Aiyo… jangan banyak tanyalah. Aku kata tutup kedai, tutuplah!” tengking Muthu sambil menghenyak punggung ke kerusi. Darah mula terasa menyerbu ke setiap urat di kepala. Kemudian berkumpul di situ. Dia berpeluh-peluh. Bukan mudah untuk membuat keputusan itu. Tutup kedai bermakna hilang pendapatan.

Suasana semakin hening.

Pooja tidak bersuara lagi. Dia hanya memberi isyarat kepada Balan dan Raju untuk segera melaksanakan arahan Muthu. Kebetulan pada waktu itu, seorang pelanggan baru sahaja hendak melangkah masuk ke situ. Pelanggan itu terus dihalang.

Melihatkan keadaan yang tegang di situ, Lim bangun meninggalkan kerusi.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.