Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,759
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 11
Bab 11

DARI jauh lagi Muthu sudah nampak seorang lelaki berperut buncit dan memakai kaca mata empat segi tersengih-sengih ke arahnya. Namun, entah kenapa dia merasakan senyuman Beng pagi itu seperti mengejeknya. Hatinya sudah panas.

“Apa kena dengan kedai?” Dari jarak satu meter, Beng sudah bertanya.

“Tak ada apa,” jawab Muthu dengan nada sedikit keras. Walaupun dalam hati, dia tahu Beng sudah tahu sesuatu. Ini, mesti ada pelanggan yang bawa mulut. Dengan langkah berat, dia cuba beredar.

“Dengar kata, lauk awak basi. Macam mana boleh basi?”

Makin sakit hati Muthu. Dia tidak percaya Beng begitu prihatin. Beng mesti hanya berpura-pura baik. Beng memang sengaja mahu menyakitkan hati dia. Beng suka restorannya ditimpa masalah

“Mana ada basi? Karutlah.” Dia meneruskan langkah.

Sayangnya, Beng tetap mengejar.

“Kalau dah tak ada pelanggan, tutup sajalah. Buka kedai runcit, jual ikan. Senang-senang saya pun boleh beli ma....” Dari arah belakang Beng bersuara.

“Awak lagi suka, kan?” Muthu berpaling menghadap Beng. Wajah Beng direnung bagaikan singa lapar. Pada waktu itu, Beng yang berperut buncit itu pun sudah nampak kecil sahaja di matanya.

Senyuman di wajah Beng pudar perlahan-lahan. Dia jelas tergamam.

“Aku cuma mau tolong ma....” balasnya dengan wajah yang tidak bersalah.

Gigi Muthu mengertap. Kalau diikutkan hati, mahu penumbuknya naik ke muka Beng. Dia semakin yakin ini semua angkara Beng. Dia tidak boleh biarkan saja. Beng akan kenal siapa Muthu.

Sewaktu dia berjalan masuk ke kedai, dia terbau bau hangit daging terbakar. Dia menoleh ke arah kaki lima tetapi dia masih tidak melihat apa-apa.

*****

“BENG mahu apa?” tanya Pooja sebaik sahaja Muthu duduk di kaunter. Kebetulan dia mencari Muthu tadi dan nampak Muthu sedang bercakap-cakap dengan Beng dengan wajah tegang. Dia berharap tidak ada masalah baharu yang timbul.

“Awak buat kerja awak sudah la. Biar saya buat kerja saya,” bidas Muthu. Sejujurnya kepalanya sedang berserabut. Kata-kata Beng, senyuman Beng, semuanya buat tekanan darahnya naik. Sekarang, Pooja banyak soal pula.

“Tanya pun tak boleh,” rungut Pooja. Sekarang, dia betul-betul hendak menangis di hadapan Muthu tetapi mengenangkan di situ bukan rumah, dia masih ada rasa malu.

Muthu mengeluh kasar. Wajah Pooja yang sarat dengan air mata membuatkan dia rasa sudah tidak tertanggung dengan segala perkara.

“Pergi dapur.” Dia angkat tangan kanan menunjuk ke arah dapur. Kalau Pooja masih berdegil, dia tidak akan teragak-agak untuk bertempik. Dia betul-betul memerlukan sedikit ruang untuk bersendirian menenangkan fikiran.

Melihatkan Muthu menghalaunya, Pooja segera beredar. Niat di hati ingin berkongsi segala masalah yang ditanggung suami, ternyata dia tidak dianggap seorang isteri yang berkemampuan. Dia rasa benar-benar kecewa dengan dirinya sendiri. Dengan langkah laju dia keluar ke hadapan kedai dan terus berjalan tanpa arah. Tidak sedar air matanya menitis.

Sikap Pooja membuatkan Muthu tercengang seketika namun dia tidak mahu mengejar Pooja. Biarlah Pooja keluar menenangkan diri. Dia harap satu hari nanti Pooja faham kenapa dia begitu. Lantas dikeluarkan surat khabar semalam dari bawah kaunter.

Dibuka dan diselak helaian demi helaian. Bukan untuk membaca sangat tetapi sekadar mahu melupakan segala-galanya buat sementara waktu. Dia perlukan ruang untuk bertenang. Apatah lagi sejak pagi tadi, sesen pun belum masuk ke kedai.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.