AKU benar-benar
menyesal. Bahkan tidak terkira berapa banyak perkara yang aku kesalkan
sekarang. Semuanya seakan-akan bergumpal menjadi sebab yang sedang menghambat
nyawaku kini. Bahkan aku rasa seperti maut sedang menari-nari. Mengintai-intai.
Pipiku masih
berdarah. Dan darah masih menitik, menuruni dagu dan jatuh satu persatu ke atas
riba. Pedih, ngilu, sakit, berdenyut… semuanya aku rasa hidup-hidup. Bukan lagi
satu bayangan, bukan lagi satu ilusi. Memang nyata, itu darahku yang sedang
menitik jatuh, bukan darah orang lain atau watak-watak Homo fictus yang aku cipta. Darah aku. Darah benar!
Sejujurnya aku
tidak pasti bila darah itu akan kering. Sekejap lagi atau akan terus menitik
sehingga aku mati kering di atas kerusi ini. Aku tidak tahu. Aku benar-benar
tidak tahu. Dan aku juga tidak tahu adakah nyawaku akan ditamatkan sekejap
lagi, esok atau dibiarkan mati kebuluran di situ setelah bermingu-minggu. Aku
tidak tahu.
Apa yang aku
tahu, aku menyesal. Banyak perkara yang aku kesalkan.
*******
Beberapa jam
yang lalu…
“Ya, Allah! Dah
pukul tujuh?” Suaraku meletus sendiri. Meluahkan apa yang tercetus di minda
lalu menghasilkan tindakbalas berantai. Degup jantung yang melaju dan rasa
debar yang menggila.
Sempat aku
kerling meja-meja lain yang telah kosong. Tidak perlu aku pandang lama-lama,
kesunyian di pejabat itu sudah memaklumkan dengan jelas.Tidak ada orang lain di
situ melainkan aku.
Tap! Tap! Tap!
Kasut tumit
tinggiku mengalunkan irama. Menemani aku yang tergopoh-gopoh melangkah ke arah
lif. Butang untuk turun ke bawah, aku tekan-tekan. Sambil mengomel sendiri,
kenapa bangunan yang kosong pun lif lambat benar sampai.
Ting! Pintu lif
terbuka.
Aku masuk.
Berdiri seorang. Rasa sungguh janggal. Otak terus berfikir. Bagaimana wisma
yang begitu besar dan gah di tengah ibu kota boleh jadi sesunyi itu? Aku
seorangkah yang masih bekerja hingga selewat ini di malam minggu? Menyedihkan.
“Baru habis
kerja, Cik Marhani?” tegur Pak Cik Isa, pengawal keselamatan tempat aku
bekerja.
“Ya,” balasku
bersama senyuman. Lalu aku terus melangkah ke muka pintu tanpa memberi peluang
kepada Pak Cik Isa berbicara panjang. Sesungguhnya aku masih segan untuk
bercakap walau dengan sesiapa pun di situ. Aku pekerja baru. Baru dua minggu.
Sewaktu aku
meninggalkan wisma, angin senja segera menyambut tubuhku. Membelai dan
menggoda. Mengajak aku ikut bersuka ria bersama neon-neon yang mula terpasang.
Bersama bahagia yang pura-pura. Aku menolak dan lantas menghayun kaki
menjauhinya.
Sedang aku
menapak lesu ke arah sebuah denai kecil di antara dua buah bangunan tinggi,
tiba-tiba saja mulutku ditekup. Spontan aku meronta walau gelap sekejap
pandangan mataku. Dan pandangan mataku terus gelap apabila satu hentakan kuat
singgah di kepalaku.
******
Beberapa jam selepas
itu…
Sakit kepala.
Berdenyut-denyut di bahagian yang kena hentak tadi. Melarat pula hingga ke
bahagian hadapan kepala, turun ke hidung. Tapi tidak berdarah.
“Erm…” Satu
suara garau, berat kedengaran. Suara seorang lelaki.
Aku mengerutkan
mata, cuba mengurangkan segala sakit yang aku rasa. Cuba memaksa mataku terbuka
supaya dapat aku lihat di mana aku berada dan siapa lelaki yang berada di situ.
Sayangnya, tidak secepat itu. Ternyata kelopak mataku bagaikan bertan-tan
beratnya. Aku tidak berdaya selain terus mencium lantai yang penuh debu.
“Dah jaga? Dah
tiga jam.” Lelaki itu terus bersuara, jelas dan tegas. Bahkan telingaku
menangkap penekanan yang aku tidak tahu apa tujuannya. Cuma hatiku ingin sekali
tahu siapa dia dan kenapa dia buat aku begitu.
Tiba-tiba aku
terasa kepalaku ditarik ke belakang. Leherku bagaikan hampir patah. Tudungku
entah keronyok bagaimana. Kemudian entah kenapa dilepaskan kepalaku begitu
saja. Terhempas ke atas lantai. Kepalaku berdenyut kuat, hidungku pedih. Tanpa
dapat aku tahan, hidungku mula berdarah. Aku mula menghidu bau darahku sendiri.
Hanyir.
Untuk sesaat aku
sudah tidak tahan. Kepalaku berdenyut bagaikan ingin pecah. Rasa rimas, kotor,
letih, lapar, sakit dan segala macam rasa yang tidak selesa aku rasa silih
berganti. Akhirnya lelahku menyerang.
Nafasku jadi
pendek-pendek, sesekali aku terbatuk. Aku tercari-cari udara yang bersih di
antara zarah-zarah debu yang menyelubungi aku. Hampir mustahil. Aku pasrah
sahaja dan dalam kepasrahan itulah timbul kekuatan. Aku buka mata.
Dia?
*****
Beberapa hari
yang lalu di pejabat…
“Cik Marhani ada
dapat e-mel saya?” tanya Razak. Seorang pegawai di bahagian lain. Datang
menjenguk ke mejaku petang itu.
Aku terdongak
seketika. E-mel? Ya, e-mel.
“Ada, ada.” Aku
mula cemas. Rasa sejuk menjalar hingga ke lengan. Ada rasa bersalah, ada rasa
geram.
“Kenapa tak
balas?”
“Banyak sangat
kerja hari ni, makan pun tak sempat tadi.” Aku cuba tersenyum. Moga-moga lelaki
yang aku kenali sebagai Razak itu terpujuk dan mahu memaafkan aku. Sebenarnya
aku tidak tahu yang dia sedang menunggu balasan e-melku. Sungguh aku bukan
sengaja tidak mahu membalasnya, tapi aku sedang bekerja dan e-mel itu adalah
e-mel peribadi.
“Cik Marhani
belum makan? Eh! Kenapa sampai macam tu? Dah dekat pukul 3.00 petang ni. Mari
kita minum dulu.”
“Tak payah, tak
payah.” Suaraku bergetar. Serentak itu otakku memerah akal untuk menolak ajakan
itu. “Saya kena siapkan kerja saya dulu. Sekejap lagi bos nak tengok.”
Razak angguk,
walaupun riak wajahnya seperti hampa sahaja. Kemudian dia tersenyum. “Kalau
macam tu pukul lima nanti saya datang sini balik ya? Saya temankan Cik Marhani
makan. Cik Marhani cakap saja nak makan di mana, saya bawa.”
“Rasanya saya
kena kerja lebih masa hari ni. Maaflah,” balasku. Aku mula rasa didesak,
dipaksa. Padahal aku tidak mahu keluar minum, makan, berjalan atau apa sahaja
dengan dia.Tidak mahu.
Mendengarkan
jawapanku itu, Razak menarik nafas. Rasa kecewa jelas tergambar pada
wajahnya.Dia tidak berkata apa-apa lagi, sebaliknya terus melangkah pergi.
Maka aku pun
fikir, perkara itu sudah selesai setakat itu. Tapi aku terkejut, dalam pukul
enam petang, Pak Cik Isa datang ke pejabatku menghantar bungkusan nasi.
“Nasi ni, Encik
Razak yang suruh hantar pada cik. Dia kata cik belum makan sejak tengah hari
tadi.” Pak Cik Isa beria-ia menghulurkan aku bungkusan itu sambil tersengih.
Melihatkan wajah
Pak Cik Isa yang tulus dan tidak tahu apa-apa itu, aku menerima nasi pemberian Razak
dengan serba-salah. Namun nasi itu tetap tidak kusentuh walau seulas pun. Aku
tinggalkan saja di bilik pantri.
******
Sejak hari itu
e-mel demi e-mel aku terima daripada Razak. Aku balas ala kadar. Walau aku tahu
apa tujuan Razak menghubungi aku, tapi aku tetap tidak suka dipaksa-paksa.
Tidak suka diarah-arahkan oleh dia. Apatah lagi menjadi rapat. Entah kenapa aku
dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dalam diri lelaki itu, cuma aku tidak
tahu apa. Aku rasa tidak selesa. Tidak selamat. Itu sahaja.
“Cik Marhani.”
Satu petang, dia dapat mengejar aku di pintu lif. Waktu itu aku mahu balik
setelah habis kerja.“Mari kita minum dulu,” katanya.
Aku rasa hendak
menangis. Aku rasa marah kerana dia tidak faham atau sengaja berpura-pura
seperti tidak faham. Mustahil dia tidak faham kalau e-melnya yang panjang
sedepa itu aku cuma balas dengan sebaris ayat. Mustahil dia tidak faham kalau
semua ajakannya sebelum ini aku tolak dengan pelbagai alasan. Mustahil.
Tapi dia tetap
dengan muka selambanya yang suka mendesak itu.
“Marilah kita
pergi minum, Cik Marhani. Bukan lama sangat. Kalau lambat pun, saya hantar Cik
Marhani balik sampai ke rumah,” katanya. Begitu lantang di dalam lif
sehinggakan staf-staf lain yang turut berada di situ tersenyum sumbing.
Aku tidak
menjawab. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, aku terus meluru keluar. Aku hanya
fikir, untuk menjauhi dia secepat mungkin. Sedar-sedar sahaja lengan aku
ditarik seseorang. Aku terkejut sehingga langkahku terhenti.
“Cik Marhani!”
Suara Razak agak tinggi. Dia pandang aku dengan muka yang serius.“Marilah minum
sekejap. Ada perkara saya nak cakap ni.”
“Awak tak faham?
Saya tak nak pergi minum, pergi makan, atau pergi ke mana-mana dengan awak.
Saya nak balik,” kataku sebelum berpaling dan meneruskan langkah.
Lalu aku fikir,
semuanya sudah tamat di situ. Nampaknya apa yang aku fikir itu salah, teramat
salah.
*****
Sekarang…
Basah. Muka aku
basah. Aku yakin tudung dan baju kurung aku juga basah sebahagiannya. Cuma air
yang disimbah ke mukaku tadi menambah rasa sesak di dada, lalu nafasku makin
sesak. Aku tercungap-cungap. Lelahku makin kuat.
Tetapi apabila
terpandang wajahnya, aku mengetap bibir. Timbul rasa geram dan marah apabila
melihat dia selamba sahaja duduk di atas kerusi menghadapku sambil memegang
botol air mineral yang telah kosong. Adakah aku sedang berhadapan dengan
seorang yang gila?
“Bangun pun,”
kata Razak. Dia berdiri memandang aku yang masih terbaring di lantai. Menarik
nafas panjang, kemudian melangkah ke arah tingkap bilik itu, merenung hujan
lebat yang mencurah-curah turun bagaikan sedang berfikir jauh.
Aku hanya
memerhati gerak lakunya dengan ekor mata. Aku perhatikan segala yang aku mampu
perhatikan. Lantai simen yang berdebu, dinding batu yang kosong, dua buah
kerusi plastik, bungkusan air yang telah kosong, bekas polisterin di sudut
bilik, beg tangan aku yang terlempar agak jauh. Itu sahaja. Tetapi aku di mana?
Yang itu aku masih tidak tahu. Aku boleh berada di mana-mana.
“Kalau rasa mahu
menjerit. Menjeritlah. Bukan ada orang boleh dengar pun dalam bunyi hujan di
luar tu. Tapi kalau rasa sayangkan suara, sayangkan tenaga, tak payahlah,” kata
Razak sambil berjalan semula ke arahku. Kemudian duduk semula di atas kerusi
sambil memerhati pisau lipat yang telah ditoreh ke mukaku sebelum ini.
“Aku rasa kau
mesti tertanya-tanya kenapa aku bawa ke sini, kan? Kenapa aku ikat tangan kau,
ikat kaki kau. Layan kau macam ni…” Razak terus bersuara sambil memutar-mutar
pisau di tangannya. Kemudian pisau itu ditoreh di atas tapak tangannya hingga
berdarah. Peliknya dia seperti tidak merasa apa-apa kesakitan.
Aku hanya
memerhati dengan teliti. Makin lama makin aku sedar, Razak bukan lelaki yang
biasa. Ada sesuatu yang tidak kena dengan fikirannya. Cuma mungkin kesedaran
aku telah terlewat. Aku amat kesal.
“Aku cuma nak bercakap
dengan kau. Ada perkara yang aku nak sampaikan pada kau,” katanya lagi seperti
meningkah suara hujan di luar bilik. Kemudian dia bangun balik. Mundar-mandir
tidak tentu arah. Akhirnya berhenti. Dia menyeluk poket jaket yang dipakai.
Dikeluarkan sesuatu. Sebuah novel.
“Ini!” Dia
hempas novel itu ke lantai.
Novel itu
melantun kena ke mukaku sedikit. Darah dari hidungku yang baru berhenti, keluar
semula. Pedih.
“Apa yang kau
tulis dalam ni?” Razak menjerit lagi.
Dalam
tercungap-cungap mencari nafas, aku cuba berfikir. Apa kesilapanku sehingga dia sanggup memperlakukan aku
begini. Tapi akalku yang sedang berserabut gagal mencari satu pun jawapan. Maka
aku diam. Walau aku tahu dia tidak akan berhenti selagi hatinya puas.
“Aku dah tanya
dalam e-mel tapi kau tak jawab. Kau layan aku acuh tak acuh. Kau ingat aku
bodoh sangat sampai tak layak berbincang dengan kau.”
Aku diam. Aku
biarkan sahaja dia membebel. Tiba-tiba kepala aku ditarik ke belakang, terlalu
kuat sehingga tubuhku ikut terangkat duduk. Dia tolak pula kepalaku hingga kena
ke dinding. Dia pandang aku depan-depan.
“Patutnya aku
toreh lagi muka kau berkali-kali. Biar kau rasa betul-betul apa yang watak kau
rasa. Supaya kau boleh tulis bagaimana rasa sakitnya yang Taufik rasa, apabila
dipukul, dihentak, ditikam, ditoreh oleh penculik tu.”
Aku
berdebar-debar. Aku teringatkan Taufik. Tapi apa kena-mengena Razak dengan
Taufik? Aku tidak jumpa jawapan.
“Sebelum ni kau
tulis elok aje. Tapi dalam ni…” Razak melepaskan kepalaku. Aku tersengguk kuat.
Dia kutip novel itu semula. Direnyukkan dengan sebelah tangan sahaja. “Kau
tulis sambil lewa. Aku dapat rasakan, kau tak dapat menyelami watak Taufik
betul-betul. Kau macam pakai agak-agak saja. Tak tepat, tak cukup dalam. Kau
tipu aku! Kau tipu pembaca kau!”
Novel itu
hinggap ke mukaku lagi. Kali ini tepat menghentam hidungku. Makin laju darah
yang keluar. Aku mula pening apabila mukaku berlumuran dengan darah aku sendiri.
Bau darah segar di mana-mana. Mual.
“Kau nak tahu
macam mana Taufik rasa bila pehanya ditikam? Kau nak tahu macam mana rasanya bila dia dibiarkan kebuluran
seminggu? Kau nak rasa? Kau nak tahu?”
Aku segera
menggeleng. Ekor mataku dapat melihat pisau yang berkilauan di tangan Razak.
Mungkin sudah sampai masanya aku bersuara.
“Razak,”
panggilku.
*****
Razak tergamam.
Mungkin dia tidak pernah sangka aku akan berani berbunyi pada waktu itu tetapi
aku tidak peduli. Ini soal aku, soal hidup dan mati aku.
“Aku minta maaf
sebab tak beri peluang pada kau,” kataku.
Itu perkara
pertama yang muncul dalam kepalaku. Aku rasa bersalah pada dia. Mungkin kerana
aku terlalu mementingkan perasaan aku sendiri aku jadi buta pada penderitaan
dia. Kalaulah aku mahu duduk minum dengan dia sejam dua, dengar apa dia hendak cakap,
mungkin semua ini tidak perlu terjadi kepada aku. Mungkin aku sedang tidur
nyenyak di atas katilku sekarang. Mungkin. Tapi aku buat pilihan yang salah dan
itu buat aku kesal.
Dia tersenyum
sinis. Kemudian tersenyum panjang.
“Orang yang
bersalah selalu macam tu. Dah buat salah, minta maaf. Buat salah lagi, minta
maaf lagi,” katanya. “Kenapa tak buat perkara yang betul supaya kau tak perlu
minta maaf?”
“Kerana aku
manusia biasa. Hari-hari aku buat salah. Pada orang, pada diri aku sendiri,
pada Tuhan,” jawabku.
Lama dia
terdiam.
“Kau novelis
pujaan aku. Aku tak suka kau buat salah,” katanya lagi. “Sejak aku tahu kau
masuk kerja satu tempat dengan aku, aku sangat gembira. Sudah lama aku simpan
hasrat nak jumpa kau. Sejak aku baca novel kau yang pertama dulu. Ini sudah
novel ketujuh.”
Jadi? Segala
tekaan aku selama ini salah? Aku agak terkejut. Selalunya peminat beri bunga,
beri hadiah…bukan beri pisau, beri darah.
“Aku pergi cari kau semasa pesta buku dulu.
Tapi setiap kali aku datang kau mesti tak ada. Kenapa kau tak suka jumpa
peminat? Kau tak hargai mereka?”
Aku menggeleng.
Aku menafikan tuduhan dia. Aku hargai peminat aku cuma aku tidak sukakan
populariti dan dunia glamer. Aku lebih suka orang mengenali aku melalui
novel-novelku sahaja bukan secara peribadi. Melihat muka aku di halaman
Facebook sahaja, aku rasa mual. Aku tidak selesa.
“Tapi yang
paling aku kesalkan ialah novel ni….” Dia mengeluh. “Teruk! Paling teruk!”
Kali pertama aku
dikritik depan-depan. Rasanya seperti dihempap sebuah bangunan tinggi yang aku
bina sendiri. Hancur lumat segala keyakinan, segala harga diri malah terasa
melayang segala penat lelah aku menyiapkan novel itu siang malam. Teruk?
Terlalu teruk sehingga novel itu patut dibaling ke mukaku dua kali?
“Tolong jangan
hampakan aku lagi,” kata Razak. Kali ini suaranya sudah mengendur pula. “Tolong
jangan tulis macam ni lagi. Kembalikan Marhani yang dulu. Marhani yang aku
kagumi.”
Aku tidak dapat
menjawab. Aku sendiri tidak tahu sejak bila ‘Marhani yang dulu’ hilang dari
diriku. Sangkaku aku tidak pernah berubah. Dan aku tidak tahu pun bagaimana
rupanya ‘Marhani yang dulu’ dan apa bezanya dengan ‘Marhani yang sekarang.’
“Jangan malukan
diri kau dengan tulis macam ni. Ni dah tahap budak belum bersunat.” Kasar
semula suaranya.
“Aku takkan tulis
lagi. Kau jangan bimbang,” kataku.
Razak menoleh ke
arahku. Tajam matanya merenung wajahku yang entah bagaimana rupanya.
Aku larikan
pandangan mataku ke arah lain. Aku tidak jelaskan apa-apa kerana aku tahu itu
yang dia mahu.
“Kenapa… kau tak
nak tulis lagi?” Dahinya berkerut.
Aku buat tidak
tahu. Aku tutup mulut.
“Kenapa kau tak
nak tulis lagi!” Razak menjerit semula.
Aku benar-benar
terkejut apabila dia merentap lengan aku dan menggoncangnya sekuat hati
sehingga tudung yang aku pakai tercabut dan terlondeh.
Dia betulkan.
“Maaf,” katanya
sambil cuba membetulkan tudung kepalaku yang terungkai. “Kenapa kau tak nak
tulis lagi?” tanyanya dengan suara yang lembut pula.
Aku geleng.
“Tulislah,” katanya
sambil merenung wajahku dengan pandangan mata yang sayu. “Jangan berhenti.
Tolonglah jangan berhenti.”
Aku pandang ke
arah lain. Tidak sanggup aku memandang mukanya lagi.
“Aku… aku buat
ni bukan nak sakitkan kau. Aku… aku… aku cuma nak kau rasa apa yang watak kau
rasa. Aku… aku…” Razak terduduk di atas lantai di sebelahku. Seperti kesal,
seperti keliru.
Aku hanya
menunggu.
“Kalau kau nak
aku tulis lagi… lepaskan aku. Kau tak membantu aku kalau kau buat macam ni,”
balasku.
“Tapi yang kau
tulis dalam novel ni salah!” Dia tepuk lantai.
Aku mengeluh.
Dalam keadaan sakit, lelah, penat, lapar, kotor aku rasa sudah tidak berdaya
lagi menyambung perbualan itu. Aku tidak tahu apa rancangan dia. Adakah dia
akan menyiksaku sepanjang malam sehingga aku mati atau dia akan tinggalkan aku
selepas puas dia bercakap. Aku tidak tahu tetapi apa yang aku tahu ialah aku
belum bersedia untuk mati dan mengalah.
“Kalau kau tak
lepaskan aku macam mana aku nak betulkan apa yang aku tulis?”
“Kau boleh
betulkan?”
“Dalam novel
yang akan datang,” balasku. Walhal aku sudah tidak ada semangat untuk menulis
lagi. Aku sudah takut. Trauma.
Razak angguk
berkali-kali. “Kali ni kau tulis betul-betul. Kau kena jiwai watak kau tu sungguh-sungguh.
Kau kena rasai kesakitan mereka, kau kena rasai kesusahan mereka. Ketakutan,
kelaparan. Kau cium lantai ni, kau cium.”
Dia tumus muka
aku ke lantai.
“Macam mana
baunya? Hapak? Hancing? Masam?” Dia bertanya macam seorang guru sebelum
perlahan-lahan menarik muka aku sekali lagi. “Kau dah tahu sekarang. Kau tak
perlu main agak-agak aje. Kau tak perlu berlakon tahu sedangkan kau tak pernah
tahu. Kau tak perlu menipu kerana aku akan tahu.”
“Ya,ya.” Aku
mengangguk laju.
Razak tersenyum.
Dia menepuk kepalaku beberapa kali. “Bagus. Sekarang, aku nak ajar kau buat
kali terakhir. Satu perkara yang aku rasa selalu kau tulis dalam novel kau tapi
kau tak pernah rasa…”
Jantungku
seolah-olah mengeras. Nafasku seolah-olah tersekat. Apa yang dia hendak ajar
aku? Puas aku cuba mengingatkan apa yang telah terjadi kepada Taufik, Rina,
Sofea, Julia, Idzham dan banyak lagi watak-watak dalam cerita yang kutulis.
Yang mana satu? Dirogol? Ditikam? Dipukul? Dirodok?Dipotong? Yang mana? Yang
mana?
Dan apabila
Razak berdiri semula sambil menggenggam penumbuknya aku sudah tahu apa yang
telah dipilih. Aku pasrah sahaja.
Paling akhir
yang terdengar di telingaku adalah bunyi pintu bilik dibuka. Kemudian pandangan
mataku gelap semula.
******
“Cik Marhani?”
Satu suara lelaki memanggilku.
Sudah matikah
aku? Beginikah alam barzah? Itukah suara malaikat? Fikirku.
“Cik Marhani?”
Suara itu memanggil lagi.
Kelopak mataku
terbuka. Terang seterang-terangnya. Spontan mataku tertutup semula. Aku
mengerut mata mencari kekuatan untuk menentang cahaya terang di atas kepala.
Mataharikah? Bulankah? Aku ingin sangat tahu.
“Cik Marhani dah
selamat.” Suara itu kedengaran lagi. “Keluarga Cik Marhani ada di luar
menunggu.”
Aku buka juga
mataku. Aku perlu tahu di mana aku berada. Di dalam kubur atau di mana. Dan
akhirnya apabila mataku dapat menyesuaikan dengan cahaya yang masuk, barulah
segalanya menjadi terang. Aku di wad?
“Dah sedar.”
Aku dengar
suara-suara anggota polis yang ada di situ berbisik-bisik. Seorang doktor
lelaki yang berada di sisi katilku segera memeriksa mata dan mukaku. Entah apa
yang dicari. Aku sedikit rimas tetapi aku bersyukur jika benar itu wad dan
bukan di kubur. Aku belum bersedia hendak mati. Aku masih banyak dosa. Aku
masih mahu meminta ampun.
“Setakat ni dia
okey tapi kita akan pantau beberapa jam lagi. X-tray tak menunjukkan kecederaan
yang parah. Tak ada tulang yang patah selain lebam, luka dan bengkak di sana-sini,”
kata doktor lelaki itu kepada seorang anggota polis. Mungkin polis yang
bertanggungjawab menyiasat kes itu. Aku tidak pasti.
“Dia boleh
disoal siasat?” tanya polis itu pula.
Doktor lelaki
itu mengangguk. “Mungkin sekejap lagi. Kita beri dia bertenang dulu.”
Aku tarik nafas
lega kerana doktor lelaki itu faham apa yang sedang aku hadapi. Aku masih
terkejut sebenarnya. Terkejut kerana aku masih hidup dan terkejut kerana aku
sudah berada di tempat yang bersih dan selamat. Tapi apa yang telah terjadi
semasa aku pengsan?
*******
Beberapa hari
selepas itu…
“Dia didakwa
atau dilepaskan?” tanya ibuku kepada ayah. Mereka berdua berbual di tepi
katilku sambil leka membelek surat khabar. Rasanya mereka tidak sedar yang aku
sudah terjaga dari tidur.
“Mungkin lepas.
Tapi kalau lepas pun bukan lepas di luar. Masuk dalam juga. Dalam hospital
sakit jiwa.”
“Bahaya kalau
orang ada sakit jiwa macam tu,” kata ibuku. “Nampak di mahkamah hari tu elok
saja orangnya.”
Ayah tersenyum
tawar. “Luar sihat, dalam tak.”
“Dia memang
sakit dari kecil ke?” tanya ibu lagi. Berminat pula dia hendak tahu.
“Kata doktor
yang merawat dia, dia dulunya elok sahaja. Tapi selepas kena culik semasa dia
berumur 15 tahun, dia berubah perangai.”
“Tapi macam mana
pula dia boleh dapat kerja di situ? Pegawai yang ambil kerja tu tak periksa
betul-betul ke? Pakai ambil sahaja?”
“Nak buat macam
mana? Wisma tu pun ayah dia punya.”
Mulut ibu
terlopong seketika. “Isy! Macam-macam. Mujur tak dibunuhnya anak kita. Itu pun
tak pasal-pasal muka anak kita berparut.”
“Abang rasa dia
memang tak berniat nak bunuh anak kita. Sebab tu dia sengaja tinggalkan pintu
bilik tu terdedah aje supaya ada staf yang nampak.”
“Tak ada
maknanya nak buat baik kalau dah macam tu. Culik, ikat, tumbuk, toreh…ingat
anak kita ni anak patung?”
Aku yang
mendengarnya hanya mampu menarik nafas. Apa pun tujuan Razak menculik dan
menyiksa aku, aku tetap tidak dapat maafkan. Mungkin lukaku boleh sembuh, parut
di mukaku boleh hilang tapi aku tahu parut di hati, di ingatan…akan kekal. Dan
selagi ingatan itu kekal, aku tidak akan menulis lagi. Aku serik.
Sekarang aku
rasa Razaklah yang patut berasa kesal, bukan aku.
TAMAT