Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,798
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3
Bab 3

“AMMA, kenapa kedai tutup?”

Belum hilang penatnya lagi, Devi sudah bertanya. Cemas perasaannya tadi apabila dari jauh lagi dia sudah terlihat pintu hadapan kedai bapanya tertutup rapat. Dia terpaksa berpusing masuk ikut pintu belakang. Walhal pagi tadi, dia yang sama-sama membuka pintu kedai itu. Apa pula yang berlaku?

Pooja tidak terus menjawab. Dia hanya membisu.

“Amma…,” desak Pooja. Sikap diam ibunya, membuat dia bertambah risau.

“Petang ni ada tuisyen tak?” Itu pula yang ditanya Pooja.

Devi menggeleng. Dia semakin bingung melihat Balan dan dua orang lagi pekerja mereka sedang membuang makanan yang telah dimasak. Apabila dia cuba dekat, dia terhidu bau yang sangat busuk sehingga dia terpaksa menutup hidung.

“Apa bau ni?” Dia mengangkat muka ke arah Balan.

Balan cuma menggelengkan kepala.

Devi makin bingung.

“Amma, apa yang berlaku ni?” Dia pegang tangan ibunya. Wajah muram ibunya memberitahu dia memang ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di situ.

“Makanan kita semua basi. Jadi appa suruh buang semuanya.” Pooja mengalah.

Basi? Devi tercengang. Dia benar-benar tidak sangka hal yang pelik begitu boleh berlaku, belum pernah makanan yang disediakan mereka basi. Rasa tidak percaya pun ada.

“Basi? Tipulah.”

“Devi sendiri boleh bau, kan?”

“Macam mana boleh basi? Selama ni simpan tiga hari pun tak basi-basi.” Devi pening kepala.

Pooja angkat bahu.

“Itu yang amma risau ni. Tahu sajalah appa Devi tu...”

Devi termenung. Dia berasa kasihan kepada ayahnya, namun lebih kasihan kepada ibunya yang terpaksa menanggung dua masalah. Masalah kedai dan masalah sikap ayahnya yang tidak boleh marah. Kalau ayahnya marah, akibatnya semua orang akan kena marah. Dan yang lebih merisaukan dia ialah, ayahnya menghidap tekanan darah tinggi. Dalam keadaan itu, dia bimbang ayahnya akan pitam kalau terlalu tertekan.

“Appa mana? Tak nampak pun.”

“Entah. Tapi dia suruh kita kemas kedai cepat. Dia ajak kita semua balik. Devi tolong amma basuh pinggan ya. Nanti balik, kita singgah makan di kedai lain.”

“KFC boleh?”

Pooja angguk sahaja.

Devi tidak bertanya lagi. Selepas meletakkan beg sekolahnya di tepi kaunter, dia mula membantu ibunya mengemas dapur. Dia harap masalah itu tidaklah seteruk mana. Semuanya akan pulih sedia kala esok. Sedang dia leka menyusun pinggan, sebiji gelas besar meluncur turun dari atas rak.

Prang!!!

Gelas itu pecah berderai setelah jatuh di atas kakinya. Devi menjerit kesakitan.

*****

SEKUJUR tubuh Pooja menggeletar. Deru nafasnya terhenti seketika apabila melihat darah Devi menitik-nitik di atas lantai. Kelam kabut dia mendapatkan anaknya.

“Aiyoyo... apa jadi ni?”

Dengan jari yang terketar-ketar, dia cabut serpihan kaca yang tertusuk di atas kaki Devi. Darah semakin banyak memancut sehingga menitik ke lantai dapur. Lalu ditekap dengan hujung sari.

“Aduh...” Devi terdencit-dencit menahan perit dan bisa yang dirasa.

Kini kakinya terasa berdenyut-denyut. Dia tidak tahu bagaimana gelas kaca yang tersusun elok di atas para berdekatan kepalanya boleh meluncur jatuh. Itu pun mujurlah yang jatuh cuma sebiji. Jika jatuh semua, mungkin lebih parah.

“Kita pergi klinik.”

Pooja tergesa-gesa mencapai sehelai tuala kecil di tepi dapur masak. Dengan jari yang terketar-ketar, dia tekap di atas luka Devi dan diikat ketat. Sekejap sahaja tuala itu bertukar warna merah. Tidak ada apa lagi yang dapat dibuat, dia bergegas mencari beg tangannya. Kepada Balan diberikan arahan untuk menyudahkan semua kerja yang tertangguh. Risaunya bertambah-tambah. Hari itu macam-macam perkara terjadi di situ.

Balan akur.

“Appa...” Pooja menelefon Muthu pula. Dia kemudiannya menceritakan apa yang baru menimpa anak mereka. Mukanya sudah berpeluh-peluh kerana terkejut dan panik melihat darah Devi.

Riuh suara Muthu membalas. Pooja hanya menarik nafas. Nampaknya dia tidak boleh menunggu suaminya balik semula ke situ. Lagipun klinik bukannya jauh sangat, sebaris dengan kedai mereka sahaja. Cuma selang empat buah kedai.

“Kita pergi jalan kaki sajalah. Appa lambat sampai,” katanya sambil memaut bahu Devi. Hendak didukung Devi bukannya kecil lagi.

“Appa pergi mana?” Devi pandang wajah ibunya yang redup. Bukan niatnya mahu menyusahkan hati ibunya.

“Appa pergi bank. Boleh jalan? Amma tak larat dukung.” Rasa sedih semakin menekan perasaan Pooja. Kalaulah Devi masih kecil, mahu didukung sambil berlari mencari doktor. Apa-apa pun akan dilakukan demi Devi.

Devi angguk saja.

Setelah hampir lima belas minit, dia dan Devi tiba juga di klinik. Luka Devi dicuci dan dijahit. Melihatkan keadaan Devi yang pucat dan lemah, Pooja dapat merasakan yang hari itu sungguh aneh. Dan jauh dalam hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

******

SETELAH mengunci semua pintu kedai, Muthu memandu pulang. Hari itu dia memberikan perlepasan kepada Balan, Raju dan Murugan berehat awal. Esok pagi, mereka perlu datang awal untuk berbincang dan memulakan kerja. Dia bertekad untuk lebih berhati-hati esok bagi memerhati keadaan. Manalah tahu, kalau ada sesuatu yang berlaku di belakang dia. Mungkin ada pekerja yang sabotaj. Ya, macam-macam boleh berlaku. Siapa tahu hati orang?

Sambil memandu dia menjeling cermin pandang belakang. Dia lihat Devi sedang leka membaca majalah. Dia berasa lega walaupun dia kesal kerana dia tidak berada di kedai sewaktu kejadian itu berlaku. Mujurlah Devi hanya kena sepuluh jahitan tetapi dia tetap berasa pelik. Hari itu banyak kejadian yang malang menimpa kedainya berturut-turut. Dia rasa susah hati.

“Pergi mana tadi?” Tanya Pooja.

“Pergi bayar bil. Pergi bank,” balas Muthu seadanya sahaja. Walaupun jawapan itu bukanlah jawapan yang penuh. Dia juga pergi ke beberapa tempat yang lain.

Pooja dengar sahaja tanpa bersuara. Pandangan matanya lurus memerhati jalan. Segala rasa masih terbuku dalam hati.

“Apa yang terjadi?” Selagi belum tahu dengan jelas, fikiran Muthu terasa runsing.

Kali ini Pooja mengeluh. Dia menoleh sekilas ke arah Devi. Devi masih leka membaca majalah.

“Tak tau pasal apa, gelas tu boleh jatuh,” balasnya.

“Devi salah letak?”

Pooja menggeleng.

Melihatkan isterinya seakan-akan bingung, Muthu batalkan hasrat untuk bertanya lebih lanjut. Mungkin Pooja masih terperanjat dengan apa yang baru menimpa Devi. Dia faham perasaan Pooja, perasaan seorang ibu. Namun jauh dalam hatinya tetap berasa kesal dengan kejadian itu.

“Awak dah tahu ke apa yang tak kenanya dengan kedai kita tu?” Semena-mena sahaja, Pooja bersuara sambil menjeling Muthu.

Muthu tergamam.

“Entahlah. Tak tahu apa yang tak kena,” jawabnya. Sememangnya dia sendiri belum memahami apa yang berlaku.

“Aku tak mau awak sembunyikan apa-apa,” kata Pooja.

“Awak fikir aku rahsiakan apa-apa ke?” balas Muthu. Sejujurnya dia terkejut mendengar kata-kata Pooja. Tersinggung. Macamlah dia pula yang bersalah. Macamlah dia yang melakukan sesuatu. Itu kedai dia. Dengan apa pun akan dipertahankan.

Pooja hanya menggeleng.

“Awak sendiri yang masak, awak sendiri yang jaga bahagian dapur. Kalau bukan awak yang salah, tentu ada orang lain yang buat sesuatu pada makanan kita.”

“Awak salahkan aku?”

Muthu hanya diam.

“Awak syak sesiapa?” Hati Pooja mula sakit. Dia tahu dia tidak bersalah tetapi kalau bukan dia, siapa pula?

Muthu tarik nafas panjang. Keretanya sudah berhenti di lampu isyarat.

“Kita tak boleh baca hati orang. Tapi esok aku mahu awak hati-hati, buka mata. Jangan kasi mereka dekat dengan makanan kita.” Itulah yang dia syak sekarang. Dia syak ada seseorang yang sabotaj makanan yang mereka masak.

“Awak syak pekerja kita buat perkara tak elok?”

“Mungkin.”

Muthu tekan pedal minyak. Kereta terus bergerak ke hadapan dengan laju. Dia tahu, hati Pooja tersinggung kerana Pooja sangat mempercayai Balan, Raju dan Murugan. Tetapi Pooja juga seharusnya bersedia untuk berhati-hati. Saudara, saudara juga.

Jawapan Muthu terus mematikan pertanyaan Pooja. Dia hanya merenung jalan tidak putus-putus.

Kali ini, Muthu biarkan sahaja Pooja termenung. Dia mahu Pooja menerima kenyataan itu perlahan-lahan. Sedangkan lidah lagi tergigit dek gigi inikan pula hanya pertalian keluarga yang jauh. Dia tidak pernah mempercayai sesiapa dalam hidupnya kecuali ibunya, Pooja dan anaknya, Devi.

“Esok, perhatikan mereka baik-baik,” pesannya penuh makna kepada Pooja.

Dia tidak akan membenarkan perniagaan yang dibina dengan susah payah itu dimusnahkan oleh sesiapa. Itu hidup dan matinya. Masa hadapan mereka bertiga.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.