Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,738
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 10

Bab 10

KEESOKAN harinya...

POOJA terkejut sebaik sahaja masuk semula ke dalam bilik. Dia baru bercadang mahu membiarkan Muthu terus sahaja lena dan berehat di rumah sementara dia ke kedai menguruskan apa yang perlu. Namun nampaknya, semua tidak akan berjalan seperti apa yang difikirkan.

“Aiyo... mau pergi mana? Tidurlah lagi.” Pooja cuba menahan Muthu yang tergesa-gesa mencapai kain tuala. Dari pandangan matanya, Muthu seperti kurang sihat pagi itu. Muka Muthu pucat. Wajah pula muram dan kusut.

“Devi sudah bangun?” Lain yang Muthu balas.

Pooja hanya mengeyakan.“Tapi...”

“Jangan cakap apa-apa. Aku mau pergi kedai. Awak mahu ikut ka atau tinggal rumah?” sampuk Muthu dengan tegas.

“Awak kan tak sihat?” Pooja terus lekapkan tapak tangannya ke dahi Muthu. Panas seperti yang dijangkakan. “Duduk sajalah di rumah sama Devi. Saya boleh jaga kedai.”

Muthu tepis tangan Pooja. Dia menggeleng keras.

“Awak jangan banyak cakap. Aku mau pergi kedai ka... mau duduk rumah ka... aku punya pasal.” Muthu terus tinggalkan Pooja dan masuk ke bilik air.

Pooja tersentak. 16 tahun berkahwin dengan Muthu, itulah kali pertama Muthu bercakap tanpa memikirkan perasaannya. Benarkah Muthu tidur di kedai malam tadi? Ataupun Muthu ke rumah perempuan lain?

Sedikit demi sedikit rasa rajuknya datang. Matanya mula basah. Tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan dia bergegas ke dapur untuk menyiapkan minuman Muthu. Kalau tidak nanti, kena marah lagi.

*****

SEPANJANG perjalanan ke kedai, Pooja tidak lagi bercakap. Segala rasa rajuk, rasa marah dan tersinggung dikemam dalam hati. Dia akan bersabar dan bertahan sedaya mungkin. Semua itu dianggap perkara biasa dalam rumah tangga dan kasihnya kepada Muthu jauh lebih besar daripada kelukaan yang ditanggung dalam diam. Mujurlah Muthu juga tidak bersuara apa-apa.

Kira-kira setengah jam selepas itu, mereka berdua sudah tiba di belakang restoran seperti selalu. Seperti yang diduga, Raju dan Murugan sudah sedia menunggu.

“Balan ada baik sikit ka?” Muthu terus bertanya kepada Raju sambil membuka pintu belakang restoran. Dalam hati, perasaannya berkecamuk sekali. Tanpa dapat dikawal, bulu romanya berdiri tegak apabila teringatkan apa yang ada di dalam kedai itu. Apa yang telah dilihat mula terbayang semula di ruang mata.

“Ada sikit baik. Luka dia sikit kering.” Raju membantu Muthu menolakroller shutter ke atas. Kemudian, mengekori langkah Muthu masuk ke dalam restoran.

Muthu tidak ambil pusing jawapan Raju, dia lebih memikirkan soal kedai itu. Sejujurnya ada rasa takut yang bermain dalam hatinya. Adakah makhluk itu masih ada di situ?

“Pergi cuci bilik air,” arahnya kepada Murugan.

Pada mulanya Murugan tergamam, kemudian dia ikutkan juga arahan Muthu.

Melihatkan Murugan sudah bergerak, Muthu beredar ke arah kaunter. Berpura-pura mengemas apa yang ada di situ sambil mengerling ke arah Murugan. Eh! Tak ada apa-apa ke? Dilihatnya. Murugan elok sahaja keluar masuk ke dalam bilik air.

Dia menggaru leher tetapi dia yakin ‘benda’ itu masih ada di situ. Buktinya rasa seram sejuk yang dirasanya sejak masuk ke situ seperti tidak mahu hilang-hilang. Sentiasa ada. Dia semakin pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan kedainya. Ada sesuatu di situ yang dia tidak nampak.

“Awak....” tegur Pooja.

Hampir lagi Muthu terlompat.

“Kenapa awak terkejut sangat?” Pooja memandang pelik. Muthu mudah sangat terkejut kebelakangan ini tetapi dia faham. Mungkin semua itu disebabkan Muthu banyak sangat masalah yang perlu difikirkan.

Spontan, Muthu menggeleng. Kemudian dia bergerak menjauhi Pooja. Dikutipnya beg pakaian yang ditinggalkan di atas meja malam tadi lalu dibawa ke dapur. Bungkusan nasi lemak yang sudah berlendir dan basi dibuang ke dalam tong sampah di tepi pintu. Rasa meremang dan seram sejuk yang sentiasa terasa cuba dilupakan. Tetapi dia telah buat satu keputusan.

“Masaklah macam biasa. Pukul tujuh nanti, buka kedai.” Dia menoleh ke arah Pooja sebelum bergerak keluar.

“Nak ke mana tu?” Pooja mengejar hingga ke pintu. Tindakan Muthu yang di luar jangka itu membuatkan dia semakin hairan.

“Ke bank,” balas Muthu sambil menonong ke arah keretanya. Hatinya belum tenteram.

“Bank?” Pooja tercengang-cengang sambil memandang jam pada dinding. “Ada ke bank yang buka pagi-pagi buta macam ni?”

Akan tetapi rungutannya tinggal rungutan, kereta Muthu terus meluncur pergi.

******

WALAUPUN sudah jauh meninggalkan kedai, hati Muthu masih tidak tenteram. Jauh dalam hati dia percaya masalah itu akan berlarutan. Dia juga mahu tahu adakah apa yang dilihatnya malam tadi ada kena-mengena dengan apa yang sedang menimpa kedainya. Kerana selama membuka kedai di situ, dia tidak pernah terserempak dengan penampakan-penampakan seperti itu sehinggalah malam tadi. Oleh itu dia mahu mencari Balan.

“Haih…” Muthu mengeluh berat setibanya di hadapan pintu rumah sewa Balan. Puas diseluk poket kiri kanan namun kunci pendua rumah sewa itu tidak ditemui. Mungkin tertinggal di rumah.

“Balan!” Muthu terus mengetuk pintu. Dia harap Balan sudah bangun walaupun rumah itu masih gelap dan sunyi.

“Balan. Buka pintu!”

Dia mula risau kalau-kalau Balan jenis yang tidur mati. Semakin lama menunggu makin resah jiwanya.

“Balan!!!” Dia menjerit sekuat hati.

Mujurlah belum sempat perit di tekaknya hilang, Balan sudah membuka pintu dengan wajah yang berserabut. Wajah yang belum disentuh setitik pun air.

“Aiyo... pergi basuh muka,” suruh Muthu sebelum dia melangkah masuk ke ruang tamu. Deria baunya pantas menangkap bau masam dan hangit yang terbit dari badan Balan yang belum mandi. Hidungnya perit namun dia terpaksa juga bersabar.

Tanpa berlengah dia mencari tempat duduk dalam ruang yang semak dengan pelbagai barang. Di situ baju, seluar, kasut dan segala jenis barang lain bersepah di mana-mana. Di segala sudut termasuklah di bawah rak televisyen. Dia sudah tidak terkata apa-apa apabila melihat keadaan itu walaupun kurang senang.

Beberapa minit kemudian, Balan datang semula ke situ. Mukanya sudah basah. Tuala masih terselendang di bahu.

“Macam mana kaki?” Muthu memandang peha Balan yang masih berbalut.

“Ada baik sikit. Tapi kadang-kadang berdenyut-denyut.” Dengan susah payah Balan merebahkan tubuhnya di atas lantai berhadapan dengan Muthu. Raut mukanya masih bingung.

“Boleh jalan?”

“Sikit-sikit,” jawab Balan. “Kenapa, bos?”

Muthu mengeluh berat. Dia merenung lantai. Kini dia mengakui kata-kata Balan dahulu betul.

“Awak betul. Kedai kita memang ada masalah.”

Lama Balan terdiam. Dia hanya merenung wajah Muthu.

“Kari masih basi ka?”

“Semua basi. Apa yang kita masak semua basi,” balas Muthu tetapi dia percaya masalahnya lebih besar daripada itu.

“Ada yang tak kena.” Balan bersuara perlahan.

Muthu angguk.

“Ada benda dalam kedai tu. Malam tadi dua kali aku nampak.”

“Bos ada nampak?”

Muthu tunduk memandang lantai. Kalau boleh tidak ingin diingat lagi apa yang dilihat dalam bilik air kedainya.

“Hantu,” katanya separuh berbisik.

Gementar hatinya untuk menyebutnya kuat-kuat bagaikan ‘benda’ itu boleh mendengar. Boleh terbang ke arahnya serta-merta. Itu pun bulu tengkoknya terus meremang. Timbul liang-liang roma di seluruh tubuh.

“Hantu?” Mata Balan membesar.

“Ya, badan dia banyak luka. Boleh nampak tengkorak dan tulang. Bau daging terbakar.”

Muthu terus terasa amat sejuk apabila mengenang kembali semua itu. Seumur hidupnya belum pernah dia melihat benda yang begitu mengerikan. Dalam cahaya yang begitu suram pun, rupa makhluk itu sudah cukup melemahkan lututnya. Sampai ke saat itu bayangan makhluk itu tercangkung di dalam bilik air kedainya masih ternampak jelas di ruang mata. Namun dia tidak boleh membiarkan hidupnya diselubungi ketakutan sampai bila-bila.

“Itu la, bos. Hari tu saya suruh bos buat upacara sembahyang dulu, bos tak mau. Mau cepat sangat buka kedai.” Balan merungut-rungut.

Dahi Muthu berkerut. Walaupun dia akui kata-kata Balan itu betul tetapi semuanya sudah terlambat. Kekesalan sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka mesti bertindak.

“Sebenarnya bos, saya pun pernah nampak.”

“Bila?” tanya Muthu.

“Dua malam lepas. Saya sama Raju jalan depan kedai mau pergi beli sabun dekat kedai hujung sana tu,” cerita Balan beria-ia. “Saya nampak ada satu perempuan berdiri depan kedai kita. Saya pelik. Saya dekat saja, perempuan itu bangun pergi dalam gelap. Lepas tu terus hilang. Kemudian ada bunyi ketawa. Kami berdua terus lari laju-laju.”

Muthu tertelan air liur.

“Ada satu lagi,” tambah Balan.

“Apa?” Mata Muthu tidak berkelip.

“Ada bau darah. Ada bau benda hangus.”

“Kenapa tak cakap?” kata Muthu kemudian. Dia percaya itu benda yang sama yang telah dilihatnya semalam. Ternyata benda itu memang duduk di kedainya. Mungkin juga benda itu pernah dilihat orang lain sebelum dia.

“Saya tak mau bos takut. Sama Murugan pun saya tak ada cerita.”

Muthu hempas nafas. Berat betul fikirannya sekarang. Dia tidak tahu mahu berfikir apa tetapi hendak dibuat tidak tahu juga tidak boleh. Balan sudah nampak. Hari semalam dia yang nampak. Entah-entah esok lusa Pooja atau Devi pula yang nampak. Lagi susah, kalau pelanggan yang nampak. Lagi kecoh. Satu taman perumahan di situ mungkin tahu. Kedainya boleh dipulaukan. Bisnesnya akan bankrap. Tidak boleh jadi.

“Awak tahu tok sami yang bagus?”

Balan termenung seketika. Kemudian perlahan-lahan dia mengangguk tanpa memandang Muthu.

“Kita pergi sana.” Muthu renung muka Balan. Dia tidak boleh tunggu lagi.

“Sekarang?” balas Balan.

“Sekarang la. Mahu tunggu apa lagi?”

“Petang sikit boleh, bos?”

“Pasal apa kena tunggu petang?”

“Sekarang banyak pagi la, bos. Ganggu tok sami.” Balan berkerut dahi.

Muthu bergumam.

“Aku balik tengok kedai dulu. Nanti aku datang balik.” Dia terus angkat punggung. Hatinya rasa tidak sedap sahaja.

*****

SESAAT PUN hatinya tidak tenang. Dia bimbang kalau-kalau semasa ketiadaannya, makhluk hodoh itu mengganggu pula Pooja atau sesiapa. Dia juga bimbang seandainya makhluk hodoh itu mengganggu segala apa yang dimasak sehingga menjadikannya basi lagi. Sekarang semua kebimbangan dan kesalahan dilemparkan kepada makhluk yang tidak sepatutnya wujud di dalam kedai dia. Namun mujurlah, semasa dia tiba semula di situ keadaan tenang-tenang sahaja. Sejujurnya dia agak terkejut.

“Dah masak?” tanyanya berbasa-basi, walhal dia bukan tidak nampak Murugan sedang memotong sayur.

“Bank dah tutup ka?” Pooja yang sedang membasuh periuk menegur.

“Bank?” Muthu terpinga-pinga. Dia kerling jam di tangan, baru pukul lapan lebih.

“Tadi awak juga yang kata mahu pergi bank...” Pooja tersenyum sinis.

Muthu rasa tersindir. Dia terlupa kebodohannya sendiri.

“Mana ada...” Dia cuba mengelak, lalu meninggalkan Pooja untuk menyambut pelanggan yang datang untuk minum pagi. Belum sempat dia membuka mulut lagi, lengannya sudah dicuit oleh Raju.

“Tepung basi lagi...”

“Kenapa pula basi? Malam tadi aku periksa semua okey.”

Remuk rasa hati Muthu. Perasaan yang baru hendak tenang kini terasa sesak semula. Lalu dia menuju ke tempat roti canai, doh diambil lalu dicium. Tengik, masam, seperti semalam juga.

Eh! Ke mana pula pelanggan tadi? Dia berpaling ke muka pintu. Kosong. Kelam kabut dia pergi mencari, kemudian dia melihat pelanggan tadi berjalan seperti tidak cukup tanah menuju ke Kedai Beng. Dia mengejar dan sempat mencuit bahu lelaki yang dikenalinya itu.

“Kenapa tak masuk dalam?” Dia berikan senyuman kepada Chandran. Chandran bukan orang lain. Chandran makan di kedainya setiap hari. Kisah hidup Chandran pun dia tahu. Sayang sekali tangannya ditepis kasar. Dia melihat muka Chandran begitu cemas.

Sambil menggeleng, Chandran menjawab, “Tak apalah. Aku minum di kedai Beng.”

“Takkan macam tu?”

Chandran tetap menggeleng dan cuba mengelak dari memandang wajah Muthu.

Muthu semakin hairan. “Kenapa tak mau datang kedai aku? Bukan tak biasa?”

Gelengan Chandran semakin laju.

“Tak mau, tak mau!”

“Tapi kenapa?” Suara Muthu meninggi. Hatinya sudah panas dengan sikap Chandran. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dia cekak kolar baju lelaki bertubuh kurus itu dan diheret balik ke kedai. Sudahlah dia sedang risau.

“Ada benda depan pintu,” jawab Chandran dengan rupa terpaksa. Dia tidak memandang ke arah kedai Muthu walaupun sekali. Menjeling pun tidak.

“Hah?” Mulut Muthu ternganga seketika. Debaran di dada mula kencang. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah kedainya tetapi tidak melihat apa-apa. Dia menelan air liur.

“Mana ada? Awak ni mengarutlah. Kalau tak nak makan di kedai aku pun, janganlah buat cerita macam tu.”

Chandran mengeluh dan menggeleng.

“Kalau tak percaya sudahlah. Ada benda mencangkung depan pintu kedai awak tu. Rupanya buruk sangat...eee....” Chandran cepat-cepat beredar dari situ.

Muthu tidak sempat lagi menahan. Dia hanya dapat memandang Chandran beredar sehingga lelaki itu masuk ke dalam kedai Beng yang penuh dengan pelanggan. Dia sedar masalahnya semakin besar. Patutlah pagi itu, kedainya langsung tidak ada pelanggan yang masuk. Rupa-rupanya ada sesuatu yang bersidai di hadapan pintu. Hatinya mula geram.

Baru sahaja hendak melangkah balik ke kedai, dia terdengar suara yang memanggil namanya. Dia spontan berpaling. Sesak dadanya melihat siapa yang berlari-lari anak ke arahnya.



Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.