Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
110,008
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 18

Bab 18

HARI kelima sejak kejadian itu berlaku. Pagi itu Muthu bangun dengan lebih bersemangat setelah tidur nyenyak semalaman. Hari itu juga langit cerah tanpa sebarang tanda hujan. Muthu tersenyum riang. Semangatnya berkobar-kobar.

“Appa…” tegur Devi. Entah kenapa berat betul rasa hatinya untuk tinggal berseorangan di rumah pada hari itu. Belum apa-apa lagi dia sudah rasa sunyi.

“Tak boleh,” balas Muthu sambil menyisir rapi rambut yang sudah mula mahu tumbuh uban di sana-sini. Dia cukup faham erti nada suara Devi.

“Ala…” Devi tarik muka masam. Walaupun sudah bersetuju semalam tetapi dia masih berharap ayahnya membenarkan dia mengikut lagi pada pagi itu.

“Tak boleh,” ulang Muthu buat kali kedua. “Appa takut kaki Devi makin teruk. Nanti langsung tak boleh jalan.”

“Boring la duduk rumah.”

“Besok kan kedai tutup? Nanti appa sama amma bawa Devi jalan-jalan. Apa macam?” Spontan sahaja idea itu muncul dalam fikiran Muthu. Walhal belum dibincangkan dengan Pooja. Tetapi rasanya wajar untuk mereka semua bercuti dan bergembira setelah masalah yang begitu memeningkan kepala mereka selesai.

Dengan spontan Devi tersenyum.

“Betul?”

Muthu angguk. Tidak diduga, Devi terus memeluknya erat-erat sampai sesak nafasnya. Betapa dia dapat merasakan kejemuan yang melanda hati Devi selama ini.

“Tinggal di rumah baik-baik. Kunci pintu. Baca buku. Jangan main game saja atau tengok drama Korea tak habis-habis.”

“Aiyo... appa. Kasi peluang la orang cuti. Kata mau kasi sembuh cepat,” balas Devi.

Jawapan Devi buat Muthu ketawa. Diusap kepala Devi dengan penuh rasa kasih sayang. Demi Devi, dia berjanji akan berusaha mencari duit lebih kuat. Dia mahu Devi dan Pooja hidup senang di sampingnya nanti.

“Appa pergi dulu,” katanya.

Devi tersenyum hambar.

*****

“KENAPA Devi tu?” tanya Pooja sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Sejak bangun pagi tadi dilihatnya wajah Devi monyok sahaja.

“Apa lagi? Mau ikut la,” jawab Muthu sebelum melambai tangan ke arah Devi yang masih tercegat di muka pintu.”

Pooja hanya tersenyum. Semua itu sudah dijangka tetapi dia juga bersetuju sekiranya Devi tinggal sahaja di rumah hari itu. Devi perlu berehat. Setelah menempuh perjalanan yang lancar mereka tiba di kedai. Namun sebaik sahaja keluar dari kereta, dilihatnya Murugan dan Raju sedang riuh bercerita bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

“Apa hal?” Muthu serahkan kunci kepada Pooja.

Murugan dan Raju terdiam. Murugan pandang Raju. Raju pandang Murugan. Masing-masing saling menyuruh antara satu sama lain untuk menjawab.

“Cakaplah,” desak Muthu lagi. Dia rasa semua itu hanya membuang masa. Dia sudah tidak sabar-sabar untuk berniaga.

“Malam tadi….,” kata Raju.

Muthu yang baru hendak melangkah terus berhenti. Dia menoleh ke arah Raju.

“Malam tadi Balan menjerit-jerit. Satu malam kami tak dapat tidur,” sambung Raju dengan wajah muram.

“Apa kena dengan dia? Malam tadi elok saja?” Muthu sukar hendak percaya. Sewaktu dia meninggalkan bilik sewa Balan, Balan tidak pula begitu.

Murugan dan Raju sama-sama angkat bahu dan menggeleng lemah. Di wajah mereka terlukis kerisauan dan keletihan.

“Dia menjerit-jerit, kata sakit… sakit. Dia kata mulut dia terbakar, dada banyak panas. Dia juga guling-guling atas lantai. Nangis-nangis.” Murugan cuba juga bercerita.

“Aiyo… kenapa tak telefon?” Hati Muthu sungguh runsing mendengarnya. Buntu kepalanya memikirkan keadaan Balan. “Habis tu sekarang dia macam mana? Kau orang boleh pulak datang kerja?”

“Pukul dua belas malam, dia nangis. Pukul tiga pagi, dia diam,” jawab Murugan sepatah-sepatah. “Tapi kami berdua tak boleh tidur sampai pagi. Takut dia jerit-jerit lagi.”

“Kenapa?” Muthu masih kurang faham.

“Pukul tiga pagi, Balan diam. Dia tidur. Tapi atap bilik banyak bising. Ketuk sana, ketuk sini. Cakar sana, cakar sini. Pintu kena ketuk, tingkap kena ketuk,” sambung Murugan dengan susah payah.

Apa pulak hal ni? Muthu hanya bertanya dalam hati.

“Ribut?”

“Malam tadi tak hujan,” sampuk Raju pula.

Muthu tarik nafas. Perasaannya sudah terganggu. Dia juga risau dengan keadaan Balan yang tinggal berseorangan di bilik.

“Masuk dalam dulu. Buat kerja. Aku pergi tengok Balan.” Muthu buat keputusan dengan cepat sebelum berpatah balik ke kereta.

Raju dan Murugan melihat sahaja Muthu tergesa-gesa pergi.

*****

SETELAH Muthu pergi, Pooja bertanya kepada Raju.“Ke mana pulak dia pergi tu?”

“Tengok Balan,” jawab Raju. Dia dan Murugan segera membantu Pooja mengangkat roller shutter ke atas.

“Tengok Balan? Balan sakit ka?” Hati Pooja berdebar-debar. Timbul rasa kesal kerana sejak Balan bercuti, belum sekali dia melihat keadaan adik sepupunya itu. Menurut kata Muthu, Balan okey saja. Jadi dia tidaklah risau tetapi kenapa pula hari ni terasa lain benar?

Kali ini Raju tidak menjawab. Murugan juga mendiamkan diri. Kedua-duanya melangkah masuk ke dalam kedai bagaikan tidak mendengar pertanyaan Pooja.

“Raju!” panggil Pooja. Dia tidak puas hati kerana pertanyaannya tidak dijawab. Namun belum sempat Raju membuka mulut, ketiga-tiganya tersenyap dan saling memandang.

“Uwekk!!!”

Pooja berlari keluar dari kedai dan seluruh isi perutnya terlambak keluar di tepi longkang. Itulah bau yang paling busuk pernah dihidu dalam hidupnya. Seperti bau mayat reput, seperti bau bangkai binatang dan sesekali seperti bau najis di kandang ternakan yang dibakar. Semua bau itu bercampur baur menghadirkan rasa loya yang bergulung-gulung dalam dada dan rongga perut.

Setelah memuntahkan segala yang ada dalam perutnya, dia tersandar di dinding belakang kedainya. Lembik. Namun dia tidak berani masuk ke dalam. Dia takut akan termuntah lagi. Tidak lama selepas itu, Raju dan Murugan pula keluar mencari dia.

“Kakak okey?” tanya Raju.

Pooja angguk sahaja walaupun dia yakin dia belum pulih sepenuhnya dari rasa terkejut.

“Pergilah buang apa yang berbau tu,” pintanya. Dia semakin risau kerana masa semakin banyak terbuang sedangkan dia belum lagi mula memasak. Dia yakin, sekiranya Muthu pulang, dia akan dimarahi.

“Dah cari. Tapi tak jumpa apa-apa,” jawab Murugan pula.

Hati Pooja makin risau.

“Buatlah apa-apa. Sembur minyak wangi ke,” katanya. “Buka pintu depan biar angin masuk kasi bau tu keluar.”

Raju dan Murugan masuk semula ke dalam kedai dan tidak keluar-keluar lagi. Dari situ Pooja dapat mendengar pintu roller shutter bahagian hadapan dibuka. Dia dapat rasa, hari itu keadaan tidak sebaik semalam. Tetapi, dia lebih takut memikirkan apa yang akan terjadi kepada Muthu. Hatinya rasa tidak sedap.

*****

DENGAN kunci pendua yang dipegangnya, Muthu terus membuka pintu gril. Suasana yang senyap di dalam rumah kedai di tingkat dua itu, sedikit sebanyak merunsingkan dia. Dan apabila dia melangkah masuk ke dalam, didapatinya rumah itu lebih bersepah berbanding kali terakhir dilihatnya pada malam tadi. Tanpa berlengah dia terus menuju ke bilik Balan.

“Balan.” Dia menepuk sedikit bahu Balan yang masih tidur mengerekot di sudut bilik. Sempat matanya melihat kain pelikat Balan yang dicemari darah yang basah dan kering.

“Balan,” tegurnya lagi.

Balan bergumam. Dia kelam-kabut bangun apabila membuka mata.

“Ya, bos?” Balan bingung.

Muthu hempas nafas. Apa yang dilihatnya tidaklah seteruk yang diceritakan oleh Raju dan Murugan tadi. Perasaan runsingnya mula menyusut.

“Sakit ke?” Dia bertanya untuk memuaskan hatinya sendiri. Dilihatnya Balan seperti biasa sahaja.

Balan pandang pehanya. Disingkap kain pelikat hingga menampakkan bahagian peha yang masih berdarah. Kulit yang hampir mengering kini terkopek teruk.

“Sakit. Berdenyut-denyut. Rasa mau demam.”

“Teruk ni. Kita pergi klinik cuci,” kata Muthu. Dia geli melihat keadaan peha Balan yang terdedah isi peha yang bercampur nanah dan darah. “Lain kali janganlah tidur lasak sangat.”

Kata-kata Muthu tidak dibantah Balan. Dengan susah payah dia bangkit berdiri untuk mencuci muka. Dicapainya tuala yang tersangkut pada tingkap, disandang ke bahu.

“Apa yang berlaku malam tadi?” Muthu menyoal sebaik sahaja Balan balik ke bilik setelah membasuh muka. Dipandang sahaja Balan menukar baju dan kain pelikat di hadapannya.

Balan diam agak lama.

“Malam tadi ada hantu kacau,” katanya kemudian tanpa memandang wajah Muthu.

“Mana ada hantu?” balas Muthu seraya berdiri. Walaupun hatinya sendiri cuak selepas mendengar cerita Raju dan Murugan tadi tetapi dia tidak mahu mengalah dan tidak mahu mereka bertiga juga begitu.

“Bos,” panggil Balan. “Betul, ada hantu datang sini.”

Kini mereka berdua berpandangan lama. Muthu tahu Balan bercakap benar.

“Selepas ke klinik kita jumpa tok sami tanya dia.”

Balan angguk perlahan.

Dengan keputusan itu, Muthu melangkah keluar dari bilik Balan. Dalam keadaan terleka, dia ternampak seorang perempuan berambut lurus berjalan ke arah bilik air rumah kedai itu. Dia menoleh sekali lagi, tetapi perempuan itu sudah tidak kelihatan.

“Ada orang lain ke tinggal sini?”

Balan angkat kening. Terus dia menggeleng.

“Ada bawa perempuan masuk?”

“Tak ada, bos. Bos boleh periksa,” jawab balan dengan yakin.

Serta-merta bulu roma Muthu berdiri. Hati Muthu mula terasa tidak sedap. Adakah semua itu ada kaitannya dengan apa yang telah dilakukan kepada Kedai Beng?

*****

SEJAM selepas itu mereka sudah sampai ke kuil. Tok Sami yang sedang mengadakan upacara sembahyang di sisi kuil menoleh. Dari jauh lagi, dia sudah menggamit mengajak Muthu dan Balan masuk ke dalam kuil.

“Aku dah tahu,” kata tok sami.

Muthu tergamam. Tetapi dalam pada itu, dia berasa lega. Kalau tok sami sudah tahu, tidak perlulah dia menerangkan apa-apa. Dia sendiri sedang bingung.

“Apa yang berlaku, tok? Pekerja aku pun kena kacau malam tadi.”

Sebenarnya dia lebih risaukan keadaan kedainya. Dia bimbang kejadian lima hari lepas berulang lagi. Kali ini dia mahu minta tok sami buat tangkal yang lebih besar kuasanya. Dia yakin tok sami itu boleh.

“Mereka balas balik. Kali ini lebih kuat.”

Berubah air muka Muthu. Terasa sejuk pipinya hingga ke rahang. Dia menelan air liur.

“Cubalah lawan balik. Aku sanggup bayar berapa saja.” Itu sahaja yang mampu diucapkan saat itu. Satu penyelesaian yang dirasakan amat mudah. Apa yang penting, kedainya selamat.

Tok sami menghela nafas panjang. Kemudian merenung wajah Muthu. “Dulu…. mereka sudah tanam satu benda dalam kedai,” katanya.

“Tanam? Di mana? Biar aku gali keluar,” jawab Muthu. Dalam rasa terkejut dia sempat memikirkan bila masa pula orang masuk menggali dan menanam sesuatu dalam kedainya.

“Tak boleh gali,” kata tok sami. “Mereka tanam pakai ghaib punya jalan.”

Mulut Muthu separuh tertutup. Dia tidak begitu faham tetapi itu bukanlah penting.

“Takkan tok tak boleh buang?”

“Sekarang mereka buat itu ‘benda’ lagi sakit. Kalau ‘benda’ itu sakit, dia banyak marah. Banyak kacau.”

“Tolonglah, tok. Tolonglah.” Muthu berasa sangat risau. Dia tidak boleh hilang perniagaannya. Hendak rasa menyesal pun sudah terlambat. Lagipun tidak mungkin dia akan mengalah dengan permainan Beng.

“Dulu… masa mahu bukak kedai, tak ada buat sembahyang ka?” Suara tok sami mula keras.

Dengan rasa bersalah, Muthu menggeleng. Bukan Pooja dan Balan tidak ingatkan dia mengenai hal itu, tetapi dia yang sudah tidak sabar-sabar mahu memulakan perniagaan di situ. Dia tidak sangka perkara seperti itu akan berlaku.

Tok sami mengeluh berat. Kemudian menggamit salah seorang penjaga kuil itu yang sedari tadi memerhati perbualan antara dia dan Muthu dari jauh. Setelah lelaki itu dekat, tok sami bercakap sebentar. Kemudian lelaki itu bergegas pergi dan datang semula ke situ bersama bungkusan kain berwarna oren terang.

“Ini barang, bawak balik. Sana dinding kasi gantung. Satu letak luar kedai, satu dinding depan atas. Satu dalam ofis.” Tok sami serahkan bungkusan itu kepada Muthu

Muthu segera mengambilnya. Berbunga-bunga perasaannya waktu itu. Kali ini bukan setakat tangkal tapi dia dapat tiga buah topeng merah. Semakin kuat dia percaya kepada tok sami itu. Lalu, diseluk poketnya yang mengandungi wang sebanyak lima ratus ringgit. Diserahkan ke tangan tok sami yang tersenyum tenang.

“Ini barang mau kasi selamat itu kedai. Apa-apa pun jangan kasi turun,” tambah tok sami.

“Untuk dia, tok?” Muthu minta sesuatu untuk melindungi Balan dan pekerja-pekerjanya pula. Dia yakin ‘benda’ itu mengejar Balan.

“Ini.” Tok sami serahkan sebuah tangkal ke tangan Muthu. “Letak atas pintu depan.”

Sekali lagi Muthu menadah tangan penuh gembira. Setelah dirasakan urusan di situ selesai, dia segera menghantar Balan balik semula ke rumah kedai. Dia harap perniagaannya hari itu juga laris seperti semalam walau kebimbangan di hatinya masih terasa-rasa.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.