Bab 17
MOMENTUM
perniagaan Muthu terus rancak hingga ke lewat petang. Pelanggan tidak
putus-putus datang. Kesemua yang ada di situ gembira dalam kepenatan
termasuklah Devi. Dia harap keadaan itu akan berterusan sampai bila-bila.
“Penat?” tegur
Muthu kepada Devi. “Kaki okey?”
Devi tersenyum.
Diraih tangan ayahnya dan mereka sama-sama melangkah meninggalkan kedai yang
baru ditutup. Penat memang terasa namun perasaan gembira kerana melihat kedai
ayahnya didatangi semula pelanggan melebihi segala-galanya.
“Esok Devi tak
payahlah datang. Duduk rumah rehat. Macam mana mau pergi sekolah kalau kaki tak
baik cepat?”
“Cuti lagi satu
minggu.” Devi tersengih.
Muthu ikut
tersenyum melihat kenakalan Devi yang sudahpun berusia 15 tahun.
“Tahun ni mau
ambil PMR, kan? Nanti semua kawan-kawan belajar, Devi tak tau apa.”
“Ala… nanti
boleh tanya kawan-kawan. Cikgu pun mesti tolong.”
“Betul tapi
tetap tak sama. Belajar dalam kelas itu yang paling bagus. Sebab tu tak mau
ponteng.”
Leteran ayahnya
membuatkan Devi menutup mulut. Dia sedar kata-kata ayahnya semua benar namun
dia juga sangat selesa berada di samping ibu bapanya. Mungkin selepas habis
SPM, dia mahu bekerja saja di situ membantu apa-apa yang perlu. Mungkin boleh
belajar memasak supaya dapat meringankan beban ibunya. Dia harap dia tidak
dipaksa belajar jauh-jauh.
“Esok jangan
ikut ya?” pinta Muthu lagi apabila mereka berdua sudah sampai di tepi kereta.
“Bukan penat
sangat,” bantah Devi. Sejujurnya dia sangat suka berada berada di situ.
“Duduklah rumah.
Esok rehat, lagi satu hari baru datang pulak. Macam mana?”
Kali ini Devi
tidak dapat membantah lagi. Dia takut kalau ayahnya marah dan langsung tidak
membenarkan dia datang ke situ selepas ini. Biarlah dia mengalah buat seketika.
******
PADA sebelah
malamnya, Muthu keluar semula. Hala tujunya ke bilik sewa Balan. Dia percaya
Murugan dan Raju tidak akan syak apa-apa. Dia boleh sahaja kata, dia ke situ
untuk melihat keadaan Balan. Sewaktu dia tiba, ketiga-tiganya belum tidur lagi.
Mereka sedang leka menonton sebuah filem Tamil dari CD yang disewa.
“Aku dengar
bisnes banyak bagus ni hari, bos.” Balan tersenyum sampai ke telinga. Pada
waktu itu, dia dan Muthu bercakap di dalam bilik sementara Murugan dan Raju
masih leka di hadapan televisyen.
“Handal betul
tangkal tok sami tu,” puji Muthu. “Beng terus sakit teruk. Kedai dia tutup
sepanjang hari.”
“Wah! Banyak
cepat?” kata Balan.
Muthu ketawa.
Dia terasa geli hati melihat reaksi spontan Balan. Pada awalnya dia sendiri
tidak percaya dengan kesan yang begitu cepat. Tetapi itulah kebenarannya.
“Padan muka dia.
Siapa suruh kacau kita dulu?”
Balan angguk
sahaja.
“Apa yang awak
buat semalam?” Itu yang Muthu ingin tahu sangat.
“Aku buat apa
yang bos suruh buat. Gelas tu aku serahkan pada budak yang cuci meja. Budak tu
ambil saja dan masukkan ke dalam bekas cawan yang belum dibasuh,” terang Balan
sambil cuba mengingatkan segala apa yang dilakukan semalam. Tidak ada apa-apa
yang pelik dan semuanya berjalan lancar.
“Mereka tak
tanya kenapa awak datang situ?”
“Beng ada tanya.
Tapi aku jawab kedai tutup. Jadi tak dapat makan sana.”
“Mereka tak syak
apa-apa, kan?” Muthu pandang muka Balan. Sejujurnya dia berharap agar Balan
bercakap benar. Malah apa yang lebih penting, Balan tidak belot.
Balan
menggeleng.
Hati Muthu
terasa lega. Dia yakin rancangannya berjalan dengan baik. Dia melihat masa
hadapan perniagaannya akan kembali cerah dan bertambah baik selepas ini.
Bisnesnya bertambah maju, dia akan buka beberapa cawangan dan yang paling
pentingnya segala hutang pada Natesh akan dapat dibayar habis sedikit masa
lagi.
Dia yakin benar.
*****
SUDAH dua jam,
Lim, Gark, Janet dan Ben sampai semula di rumah. Dalam perjalanan balik dari
hospital tadi dia sempat singgah di rumah pengasuh untuk menjemput Ben. Selepas
singgah membeli bubur nasi di sebuah gerai di tepi jalan, Lim terus memandu
pulang. Setibanya di rumah, kepulangan Gark disambut Lassie dengan salakan dan
lolongan panjang.
“Aiyaa…” marah
Janet. Dia pimpin Gark masuk ke dalam rumah. Gark diam sahaja bagai orang
bingung.
Lim pandang
Lassie yang masih menderam-deram menunjukkan gigi. Dia juga perasan akan
perubahan sikap lassie sejak beberapa yang lalu. Lassie bukan lagi seekor anak
anjing yang manja dan tenang. Kini Lassie selalu menyalak dan sesekali melolong
tidak kira masa. Dia sendiri rasa galau.
“Shhh!”
Dia menengking
Lassie. Lassie menundukkan muka lalu berundur perlahan-lahan ke sudut kandang.
Dia rasa kasihan tetapi dia tidak ada masa untuk memeberi perhatian kepada
Lassie. Dia hempas nafas lalu membawa beg pakaian Gark masuk ke ruang tamu.
Baru sampai di muka pintu, dia dikejutkan dengan jeritan dan tangisan Gark. Dia
terus meluru untuk membantu.
“Jangan macam ni
la.” Suara Janet meninggi.
Gark berguling-guling
di atas lantai sambil menutup muka. Sesekali menangis. Sesekali menerajang
sesiapa sahaja yang berdekatan. Janet suruh Ben menjauh. Lim pula tarik nafas
dalam-dalam. Dia betul-betul tidak tahu apa yang tidak kena dengan Gark. Di
hospital sudah elok sepanjang hari, senja itu berulang lagi penyakitnya.
Sepanjang malam,
dia dan Janet terpaksa mengawasi Gark yang bagaikan orang kesurupan. Di luar
rumah, Lassie asyik menyalak.
*****
“ANAKLAH raja
pergi menyumpit…dapat seekor burung terkukur… anaklah raja pergi
menyumpit…alangkah cantik bintang terbit, alah dondang sayang, bagaikan songket
lah songket kuntum bertabur…”
Suara Aunty May
menyanyikan lagu dondang sayang kedengaran tenggelam timbul. Sambil tekun
mengelap satu per satu barang-barang milik Suzy di atas meja solek, sesekali
dia bergumam melagukan irama dondang sayang yang begitu sebati dalam hidupnya.
Kalau dulu, dia yang selalu menyanyikan dondang sayang di pentas-pentas kini
bakat itu diwarisi Suzy pula. Sayangnya tidak lama. Semuanya terhenti apabila
Suzy terus hilang tanpa jejak sehingga kini.
“Suzy… lu
baliklah.”
Dia terdiam
sebentar apabila rasa rindunya memecah empang perasaan. Rasa seperti ingin mati
apabila sakitnya terlalu menghentam dada. Kehilangan anak bukan mudah apatah
lagi Suzy satu-satunya anak yang hidup. Kini hilang pula entah ke mana.
“Gua tak marah
lu lagi.”
Air matanya
gugur semakin laju. Pipi mula basah. Akhirnya dia tersedu-sedu. Setelah puas
melepaskan tekanan di jiwa, dia menyeka air mata dengan hujung baju. Dia tahu
Suzy tidak mendengar tetapi dia cuma mahu menyuarakan isi hati. Walau kekesalan
itu mungkin sudah terlambat. Biar mati anak; jangan mati adat itu kedengarannya
mudah namun apabila ketegasan mahu memelihara tradisi dan budaya itu memberi
kesan sebegitu perit; dia terpaksa mengalah.
Sedang dia cuba
bangun dari lantai, dia terdengar suara esakan seperti orang menangis
tersedu-sedu.
Dia pandang
keliling tetapi tidak melihat sesiapa. Dia pergi ke tingkap lalu menyelak
sedikit kain langsir. Dia terus terpandang seorang perempuan berdiri di hadapan
kedai Muthu. Untuk beberapa saat dia terpaku sehinggalah tubuh tuanya terasa
seram sejuk.
Dengan jari yang
mengigil-gigil, dia tutup semula langsir lalu beredar.