Surat
yang engkau kirimkan membuatkan aku menangis dalam senyuman. Engkau masih
membayangkan aku sebagai seorang gadis yang seperiang dahulu. Engkau masih
membayangkan aku sebagai seorang yang selalu bersemangat sewaktu menuntut ilmu
dan apa yang paling menyentuh hatiku, engkau masih ingat betapa ikalnya
rambutku dan betapa merahnya pipiku sewaktu aku engkau usik tanpa segan silu.
Aku
amat menghargainya teman. Untuk sejenak, ia membuatkan aku berasa ada sisi
dalam diriku yang masih berharga pada dirimu. Namun begitu, seperti tahun-tahun
yang saling bergantian maka hidup ini juga telah meluruhkan sebahagian daripada
diriku. Tiada lagi rambut yang ikal atau pipi yang merah. Tiada ada lagi mata
yang coklat pekat. Tiada lagi senyum polos seorang gadis yang berusia 17 tahun.
Segalanya telah berubah.
Sekiranya
satu hari nanti, engkau datang bertemu aku usahlah engkau terkejut. Rambut yang
ikal dahulu sudah kututup di sebalik hijab yang lusuh. Mata yang coklat pekat
dahulu mungkin sudah hilang sinarnya. Pipi yang merah itu telah lama hilang
serinya. Semuanya gara-gara perjalanan hidup yang begitu menyukarkan.
Sejujurnya
aku malu, teman. Tidak ada juadah enak yang dapat aku hidangkan sekiranya
engkau menjenguk tempat tinggalku. Tidak ada juga kemesraan yang dapat aku
hadiahkan. Tidak ada kerinduan yang dapat aku luahkan walaupun sudah lama tidak
bertemu. Sesungguhnya aku terpenjara dalam sebuah kehidupn yang tidak mungkin
engkau mengertikan tetapi aku yakin sekiranya engkau sudi mendengar ceritaku
suatu hari nanti, engkau akan faham ke mana hilangnya semangat hidupku yang
suatu ketika dahulu pernah engkau lihat.
Wahai
teman baikku, dalam tempoh yang begitu lama kita terpisah terlalu banyak
perkara yang aku tempuh. Perkahwinan yang aku harapkan menjadi suatu teduhan
yang rimbun mendamaikan telah bertukar
menjadi penjara yang memenjarakan aku dari segala sudut. Satu demi satu perkara
dalam hidupku disekat dan dirampas.
Aku
terputus hubungan bukan sahaja dengan engkau bahkan sesiapa sahaja yang
mengenali aku. Keluarga, teman, rakan mahupun sahabat. Tanpa sesiapa, aku
bersendirian menempuh laut perkahwinan yang begitu bergelora. Namun demi
anak-anakku aku terus bertahan dan bertahan sehingga kini. Namun sebagai
manusia apabila suaraku terpenjara, jiwaku tersiksa. Apabila raga terdera,
semangatku melata. Maka hiduplah aku bagaikan seekor burung di dalam sebuah
sangkar. Menanti kematian.
Teman,
maafkan aku sekiranya kisahku ini memeranjatkan engkau. Tiada lagi aku yang
hidup penuh kasih sayang dan dimanja. Tiada lagi aku yang selalu engkau pandang
tinggi suatu ketika dahulu. Kini aku adalah seorang aku yang lemah dan tewas.
Tidak langsung berdaya untuk berjuang. Namun begitu janganlah kerana kisahku
ini, semangat engkau juga luruh. Berbahagialah dan berjalanlah di atas dunia
ini dengan penuh bersemangat. Usah tewas seperti aku.
Mungkin
engkau ingin bertanya kenapa aku hanya mengalah dan tidak bangkit
mempertahankan diriku? Mungkin juga engkau ingin bertanya kenapa aku terus
membiarkan hati dan jiwa aku tersiksa?
Teman,
mungkin engkau harus tahu sesuatu. Akulah burung yang sudah lama terpenjara.
Akulah burung yang sudah lupa betapa tingginya langit. Akulah burung yang sudah
lupa betapa luasnya dunia. Setelah lama raga, jiwa dan mindaku terantai atas
nama sebuah perkahwinan, hatiku telah bertukar menjadi batu yang dingin dan
beku. Sehingga aku sudah lupa, akulah burung yang pernah terbang tinggi.
Aku
yang sekarang bukan aku yang dahulu. Akulah burung yang terantai dan
terpenjara. Akulah burung yang sudah patah sayapnya.
Walaupun
begitu, dari balik jeriji sangkar yang memenjarakan aku ini, aku bersyukur
kerana dapat melihat engkau terbang tinggi. Dapat meneroka hidup ini. Dapat
merasakan apa itu cinta dan bahagia. Dapat mengukur dalamnya laut dan tingginya
gunung. Betapa bertuahnya engkau, teman. Sedar dan bersyukurlah kerana apa yang
masih tinggal padaku hanyalah sepotong mimpi.
Wahai
teman, aku masih ingin ke persisiran pantai lagi. Menunggu senja berlabuh dan
berlarian mengutip cengkerang yang sudah pecah. Aku ingin duduk di bawah pohon
sambil mendengar engkau bercerita tentang dunia yang telah engkau lawati. Aku
ingin menghidu udara yang segar dari arah perbukitan. Namun semua itu hanyalah
mimpi selagi aku masih terantai dan terpenjara di sini.
Akhir
kata, maafkan aku yang telah mengalah. Jeriji besi ini tidak mampu aku
pecahkan. Mindaku telah ditutup. Ragaku telah lemah. Jiwaku terpasung lelah.
Terima
kasih, teman. Surat yang engkau kirim memberi sedikit kekuatan untuk aku kembali bersuara. Andai
nanti, aku sudah tiada lagi, jadikanlah kisah ini satu tauladan. Kisah sebuah
janji yang dusta dari seorang manusia yang bernama lelaki dan kisah seekor
burung yang telah luka jiwanya. Sampaikan kepada dunia, kekejaman itu ada di
mana-mana walaupun atas nama sebuah cinta dan perkahwinan. Ia tetap mampu membunuh sebuah jiwa
dan mengubah sebuah dunia.
TAMAT