Bab 18
HARI kelima
sejak kejadian itu berlaku. Pagi itu Muthu bangun dengan lebih bersemangat
setelah tidur nyenyak semalaman. Hari itu juga langit cerah tanpa sebarang
tanda hujan. Muthu tersenyum riang. Semangatnya berkobar-kobar.
“Appa…” tegur
Devi. Entah kenapa berat betul rasa hatinya untuk tinggal berseorangan di rumah
pada hari itu. Belum apa-apa lagi dia sudah rasa sunyi.
“Tak boleh,”
balas Muthu sambil menyisir rapi rambut yang sudah mula mahu tumbuh uban di sana-sini.
Dia cukup faham erti nada suara Devi.
“Ala…” Devi
tarik muka masam. Walaupun sudah bersetuju semalam tetapi dia masih berharap
ayahnya membenarkan dia mengikut lagi pada pagi itu.
“Tak boleh,”
ulang Muthu buat kali kedua. “Appa takut kaki Devi makin teruk. Nanti langsung
tak boleh jalan.”
“Boring la duduk rumah.”
“Besok kan kedai
tutup? Nanti appa sama amma bawa Devi jalan-jalan. Apa macam?” Spontan sahaja
idea itu muncul dalam fikiran Muthu. Walhal belum dibincangkan dengan Pooja.
Tetapi rasanya wajar untuk mereka semua bercuti dan bergembira setelah masalah
yang begitu memeningkan kepala mereka selesai.
Dengan spontan
Devi tersenyum.
“Betul?”
Muthu angguk.
Tidak diduga, Devi terus memeluknya erat-erat sampai sesak nafasnya. Betapa dia
dapat merasakan kejemuan yang melanda hati Devi selama ini.
“Tinggal di
rumah baik-baik. Kunci pintu. Baca buku. Jangan main game saja atau tengok drama Korea tak habis-habis.”
“Aiyo... appa.
Kasi peluang la orang cuti. Kata mau kasi sembuh cepat,” balas Devi.
Jawapan Devi
buat Muthu ketawa. Diusap kepala Devi dengan penuh rasa kasih sayang. Demi
Devi, dia berjanji akan berusaha mencari duit lebih kuat. Dia mahu Devi dan
Pooja hidup senang di sampingnya nanti.
“Appa pergi
dulu,” katanya.
Devi tersenyum
hambar.
*****
“KENAPA Devi
tu?” tanya Pooja sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Sejak bangun pagi tadi
dilihatnya wajah Devi monyok sahaja.
“Apa lagi? Mau
ikut la,” jawab Muthu sebelum melambai tangan ke arah Devi yang masih tercegat
di muka pintu.”
Pooja hanya
tersenyum. Semua itu sudah dijangka tetapi dia juga bersetuju sekiranya Devi
tinggal sahaja di rumah hari itu. Devi perlu berehat. Setelah menempuh
perjalanan yang lancar mereka tiba di kedai. Namun sebaik sahaja keluar dari
kereta, dilihatnya Murugan dan Raju sedang riuh bercerita bagaikan ada sesuatu
yang tidak kena.
“Apa hal?” Muthu
serahkan kunci kepada Pooja.
Murugan dan Raju
terdiam. Murugan pandang Raju. Raju pandang Murugan. Masing-masing saling
menyuruh antara satu sama lain untuk menjawab.
“Cakaplah,” desak
Muthu lagi. Dia rasa semua itu hanya membuang masa. Dia sudah tidak sabar-sabar
untuk berniaga.
“Malam tadi….,”
kata Raju.
Muthu yang baru
hendak melangkah terus berhenti. Dia menoleh ke arah Raju.
“Malam tadi
Balan menjerit-jerit. Satu malam kami tak dapat tidur,” sambung Raju dengan
wajah muram.
“Apa kena dengan
dia? Malam tadi elok saja?” Muthu sukar hendak percaya. Sewaktu dia
meninggalkan bilik sewa Balan, Balan tidak pula begitu.
Murugan dan Raju
sama-sama angkat bahu dan menggeleng lemah. Di wajah mereka terlukis kerisauan
dan keletihan.
“Dia
menjerit-jerit, kata sakit… sakit. Dia kata mulut dia terbakar, dada banyak
panas. Dia juga guling-guling atas lantai. Nangis-nangis.” Murugan cuba juga
bercerita.
“Aiyo… kenapa
tak telefon?” Hati Muthu sungguh runsing mendengarnya. Buntu kepalanya
memikirkan keadaan Balan. “Habis tu sekarang dia macam mana? Kau orang boleh
pulak datang kerja?”
“Pukul dua belas
malam, dia nangis. Pukul tiga pagi, dia diam,” jawab Murugan sepatah-sepatah.
“Tapi kami berdua tak boleh tidur sampai pagi. Takut dia jerit-jerit lagi.”
“Kenapa?” Muthu
masih kurang faham.
“Pukul tiga
pagi, Balan diam. Dia tidur. Tapi atap bilik banyak bising. Ketuk sana, ketuk
sini. Cakar sana, cakar sini. Pintu kena ketuk, tingkap kena ketuk,” sambung Murugan
dengan susah payah.
Apa pulak hal
ni? Muthu hanya bertanya dalam hati.
“Ribut?”
“Malam tadi tak
hujan,” sampuk Raju pula.
Muthu tarik
nafas. Perasaannya sudah terganggu. Dia juga risau dengan keadaan Balan yang
tinggal berseorangan di bilik.
“Masuk dalam
dulu. Buat kerja. Aku pergi tengok Balan.” Muthu buat keputusan dengan cepat
sebelum berpatah balik ke kereta.
Raju dan Murugan
melihat sahaja Muthu tergesa-gesa pergi.
*****
SETELAH Muthu
pergi, Pooja bertanya kepada Raju.“Ke mana pulak dia pergi tu?”
“Tengok Balan,”
jawab Raju. Dia dan Murugan segera membantu Pooja mengangkat roller shutter ke atas.
“Tengok Balan?
Balan sakit ka?” Hati Pooja berdebar-debar. Timbul rasa kesal kerana sejak
Balan bercuti, belum sekali dia melihat keadaan adik sepupunya itu. Menurut
kata Muthu, Balan okey saja. Jadi dia tidaklah risau tetapi kenapa pula hari ni
terasa lain benar?
Kali ini Raju
tidak menjawab. Murugan juga mendiamkan diri. Kedua-duanya melangkah masuk ke
dalam kedai bagaikan tidak mendengar pertanyaan Pooja.
“Raju!” panggil
Pooja. Dia tidak puas hati kerana pertanyaannya tidak dijawab. Namun belum
sempat Raju membuka mulut, ketiga-tiganya tersenyap dan saling memandang.
“Uwekk!!!”
Pooja berlari
keluar dari kedai dan seluruh isi perutnya terlambak keluar di tepi longkang.
Itulah bau yang paling busuk pernah dihidu dalam hidupnya. Seperti bau mayat
reput, seperti bau bangkai binatang dan sesekali seperti bau najis di kandang
ternakan yang dibakar. Semua bau itu bercampur baur menghadirkan rasa loya yang
bergulung-gulung dalam dada dan rongga perut.
Setelah
memuntahkan segala yang ada dalam perutnya, dia tersandar di dinding belakang
kedainya. Lembik. Namun dia tidak berani masuk ke dalam. Dia takut akan
termuntah lagi. Tidak lama selepas itu, Raju dan Murugan pula keluar mencari
dia.
“Kakak okey?”
tanya Raju.
Pooja angguk
sahaja walaupun dia yakin dia belum pulih sepenuhnya dari rasa terkejut.
“Pergilah buang
apa yang berbau tu,” pintanya. Dia semakin risau kerana masa semakin banyak
terbuang sedangkan dia belum lagi mula memasak. Dia yakin, sekiranya Muthu
pulang, dia akan dimarahi.
“Dah cari. Tapi
tak jumpa apa-apa,” jawab Murugan pula.
Hati Pooja makin
risau.
“Buatlah
apa-apa. Sembur minyak wangi ke,” katanya. “Buka pintu depan biar angin masuk
kasi bau tu keluar.”
Raju dan Murugan
masuk semula ke dalam kedai dan tidak keluar-keluar lagi. Dari situ Pooja dapat
mendengar pintu roller shutter
bahagian hadapan dibuka. Dia dapat rasa, hari itu keadaan tidak sebaik semalam.
Tetapi, dia lebih takut memikirkan apa yang akan terjadi kepada Muthu. Hatinya
rasa tidak sedap.
*****
DENGAN kunci
pendua yang dipegangnya, Muthu terus membuka pintu gril. Suasana yang senyap di
dalam rumah kedai di tingkat dua itu, sedikit sebanyak merunsingkan dia. Dan
apabila dia melangkah masuk ke dalam, didapatinya rumah itu lebih bersepah
berbanding kali terakhir dilihatnya pada malam tadi. Tanpa berlengah dia terus
menuju ke bilik Balan.
“Balan.” Dia
menepuk sedikit bahu Balan yang masih tidur mengerekot di sudut bilik. Sempat
matanya melihat kain pelikat Balan yang dicemari darah yang basah dan kering.
“Balan,”
tegurnya lagi.
Balan bergumam.
Dia kelam-kabut bangun apabila membuka mata.
“Ya, bos?” Balan
bingung.
Muthu hempas
nafas. Apa yang dilihatnya tidaklah seteruk yang diceritakan oleh Raju dan
Murugan tadi. Perasaan runsingnya mula menyusut.
“Sakit ke?” Dia
bertanya untuk memuaskan hatinya sendiri. Dilihatnya Balan seperti biasa
sahaja.
Balan pandang
pehanya. Disingkap kain pelikat hingga menampakkan bahagian peha yang masih
berdarah. Kulit yang hampir mengering kini terkopek teruk.
“Sakit.
Berdenyut-denyut. Rasa mau demam.”
“Teruk ni. Kita
pergi klinik cuci,” kata Muthu. Dia geli melihat keadaan peha Balan yang
terdedah isi peha yang bercampur nanah dan darah. “Lain kali janganlah tidur
lasak sangat.”
Kata-kata Muthu
tidak dibantah Balan. Dengan susah payah dia bangkit berdiri untuk mencuci
muka. Dicapainya tuala yang tersangkut pada tingkap, disandang ke bahu.
“Apa yang
berlaku malam tadi?” Muthu menyoal sebaik sahaja Balan balik ke bilik setelah
membasuh muka. Dipandang sahaja Balan menukar baju dan kain pelikat di
hadapannya.
Balan diam agak
lama.
“Malam tadi ada
hantu kacau,” katanya kemudian tanpa memandang wajah Muthu.
“Mana ada
hantu?” balas Muthu seraya berdiri. Walaupun hatinya sendiri cuak selepas
mendengar cerita Raju dan Murugan tadi tetapi dia tidak mahu mengalah dan tidak
mahu mereka bertiga juga begitu.
“Bos,” panggil
Balan. “Betul, ada hantu datang sini.”
Kini mereka
berdua berpandangan lama. Muthu tahu Balan bercakap benar.
“Selepas ke
klinik kita jumpa tok sami tanya dia.”
Balan angguk
perlahan.
Dengan keputusan
itu, Muthu melangkah keluar dari bilik Balan. Dalam keadaan terleka, dia
ternampak seorang perempuan berambut lurus berjalan ke arah bilik air rumah
kedai itu. Dia menoleh sekali lagi, tetapi perempuan itu sudah tidak kelihatan.
“Ada orang lain
ke tinggal sini?”
Balan angkat
kening. Terus dia menggeleng.
“Ada bawa
perempuan masuk?”
“Tak ada, bos.
Bos boleh periksa,” jawab balan dengan yakin.
Serta-merta bulu
roma Muthu berdiri. Hati Muthu mula terasa tidak sedap. Adakah semua itu ada
kaitannya dengan apa yang telah dilakukan kepada Kedai Beng?
*****
SEJAM selepas
itu mereka sudah sampai ke kuil. Tok Sami yang sedang mengadakan upacara
sembahyang di sisi kuil menoleh. Dari jauh lagi, dia sudah menggamit mengajak
Muthu dan Balan masuk ke dalam kuil.
“Aku dah tahu,”
kata tok sami.
Muthu tergamam.
Tetapi dalam pada itu, dia berasa lega. Kalau tok sami sudah tahu, tidak
perlulah dia menerangkan apa-apa. Dia sendiri sedang bingung.
“Apa yang
berlaku, tok? Pekerja aku pun kena kacau malam tadi.”
Sebenarnya dia
lebih risaukan keadaan kedainya. Dia bimbang kejadian lima hari lepas berulang
lagi. Kali ini dia mahu minta tok sami buat tangkal yang lebih besar kuasanya.
Dia yakin tok sami itu boleh.
“Mereka balas
balik. Kali ini lebih kuat.”
Berubah air muka
Muthu. Terasa sejuk pipinya hingga ke rahang. Dia menelan air liur.
“Cubalah lawan
balik. Aku sanggup bayar berapa saja.” Itu sahaja yang mampu diucapkan saat
itu. Satu penyelesaian yang dirasakan amat mudah. Apa yang penting, kedainya
selamat.
Tok sami
menghela nafas panjang. Kemudian merenung wajah Muthu. “Dulu…. mereka sudah
tanam satu benda dalam kedai,” katanya.
“Tanam? Di mana?
Biar aku gali keluar,” jawab Muthu. Dalam rasa terkejut dia sempat memikirkan
bila masa pula orang masuk menggali dan menanam sesuatu dalam kedainya.
“Tak boleh
gali,” kata tok sami. “Mereka tanam pakai ghaib punya jalan.”
Mulut Muthu
separuh tertutup. Dia tidak begitu faham tetapi itu bukanlah penting.
“Takkan tok tak
boleh buang?”
“Sekarang mereka
buat itu ‘benda’ lagi sakit. Kalau ‘benda’ itu sakit, dia banyak marah. Banyak
kacau.”
“Tolonglah, tok.
Tolonglah.” Muthu berasa sangat risau. Dia tidak boleh hilang perniagaannya. Hendak
rasa menyesal pun sudah terlambat. Lagipun tidak mungkin dia akan mengalah
dengan permainan Beng.
“Dulu… masa mahu
bukak kedai, tak ada buat sembahyang ka?” Suara tok sami mula keras.
Dengan rasa
bersalah, Muthu menggeleng. Bukan Pooja dan Balan tidak ingatkan dia mengenai
hal itu, tetapi dia yang sudah tidak sabar-sabar mahu memulakan perniagaan di
situ. Dia tidak sangka perkara seperti itu akan berlaku.
Tok sami
mengeluh berat. Kemudian menggamit salah seorang penjaga kuil itu yang sedari
tadi memerhati perbualan antara dia dan Muthu dari jauh. Setelah lelaki itu
dekat, tok sami bercakap sebentar. Kemudian lelaki itu bergegas pergi dan
datang semula ke situ bersama bungkusan kain berwarna oren terang.
“Ini barang,
bawak balik. Sana dinding kasi gantung. Satu letak luar kedai, satu dinding
depan atas. Satu dalam ofis.” Tok sami serahkan bungkusan itu kepada Muthu
Muthu segera
mengambilnya. Berbunga-bunga perasaannya waktu itu. Kali ini bukan setakat
tangkal tapi dia dapat tiga buah topeng merah. Semakin kuat dia percaya kepada
tok sami itu. Lalu, diseluk poketnya yang mengandungi wang sebanyak lima ratus
ringgit. Diserahkan ke tangan tok sami yang tersenyum tenang.
“Ini barang mau
kasi selamat itu kedai. Apa-apa pun jangan kasi turun,” tambah tok sami.
“Untuk dia,
tok?” Muthu minta sesuatu untuk melindungi Balan dan pekerja-pekerjanya pula.
Dia yakin ‘benda’ itu mengejar Balan.
“Ini.” Tok sami
serahkan sebuah tangkal ke tangan Muthu. “Letak atas pintu depan.”
Sekali lagi
Muthu menadah tangan penuh gembira. Setelah dirasakan urusan di situ selesai,
dia segera menghantar Balan balik semula ke rumah kedai. Dia harap
perniagaannya hari itu juga laris seperti semalam walau kebimbangan di hatinya
masih terasa-rasa.