PROLOG
Masa: Tahun 2014
Lokasi: Di
sebuah rumah sewa di Batu Berendam.
“TAPI malam tu
malam hantu lapar.” Jacky tidak sedap hati.
Tarikh itu satu
tarikh yang amat digeruninya. Setiap kali tarikh itu datang, dia tidak boleh
tidur pada waktu malam. Pada waktu siang pun dia ketakutan. Dia sentiasa
memastikan ada orang lain di sisinya. Dia tidak berani bersendirian.
“Kita pergi
malam lain la.” Dia hempas daun terup yang sudah lembap di tangan. Sudah hilang
mood untuk bermain terup malam itu.
“Alahai… malam
tu la bagus. Tak payah panggil-panggil pun mereka sendiri datang.” Budi
menjawab sesuka hati. Dia tidak sangka Jacky ada masalah dengan tarikh yang
dicadangkan. Tapi dia juga tidak ada masa lapang yang lain.
“Jangan ooo…
jangan main-main. Malam tu hantu betul-betul keluar.” Jacky mula geram. Budi
tidak tahu apa yang dicakap. Budi belum merasa apa yang dia rasa. Budi belum
pernah alami apa yang dia pernah alami.
“Yang kau takut
sangat ni kenapa? Relaks la. Mana ada hantu? Kalau ada pun… semua hantu takut
pada aku.”
Budi mendebik
dada beberapa kali. Dia bukan sekali dua buat kerja itu. Sudah banyak kali.
Tidak pernah pula dia diganggu. Kalau yang dipuja dan dipanggil itu datang pun,
hanya datang sekejap sahaja tunjuk muka. Selepas itu hilang. Dia tidak pernah
rasa takut yang keterlaluan. Setakat terkejut sekejap itu tidak ada apa. Dia
percaya Jacky yang disangkanya berani itu sebenarnya penakut.
“Tapi bukan
malam tu. Kita pergi malam lain.”
“Bila lagi nak
pergi? Malam lain aku kerja.”
Budi tarik muka
masam. Dia juga hempas daun terup ke lantai. Dia geram kerana Jacky banyak
songeh pula kali ini. Selalunya Jacky ikut sahaja. Tetapi kalau Jacky tidak
ikut pada malam itu nanti, susah pula. Dia tidak arif dengan tempat itu.
Lagipun kerja pecah memecah rumah atau bangunan itu bukan kemahirannya. Itu
kemahiran Jacky.
Pertanyaan Budi
buat Jacky termenung lama.
“Bolehlah. Ya?”
Budi tepuk bahu Jacky. “Nak takut apa? Aku kan ada? Kalau ada hantu… aku flying kick dia, okey?”
Jacky telan air
liur. Tekak terasa perit. Kata-kata Budi bukan buat dia bertambah lapang tetapi
bertambah bimbang. Flying kick konon. Dia tidak tahu siapa yang akan kena flying kick nanti. Budi tidak tahu apa
yang dicakap. Budi tidak tahu apa yang akan dihadapi kali ini. Budi belum kenal
apa yang ada di lot 55 itu.
“Tapi… orang
kata tempat tu… sangat keras. Hantunya ganas. Makan darah.”
Dia berbisik.
Ingatannya jauh terimbau mengingati segala apa yang pernah berlaku di lot 55;
yang mungkin tidak pernah diketahui oleh Budy. Itu hantu bukan sebarang hantu.
Orang panggil… Lengloi.
“Ataupun, kita
pergi tempat lain. Tepi Sungai Muar pun okey jugak.”
Satu pukulan
hinggap di kepala Jacky.
“Aku dah tempah
dah cermin yang nak digunakan tu, kau nak ubah tempat pulak.” Budi makin geram.
Tidak pasal-pasal melayang sahaja modal yang telah dikeluarkan. Semuanya kerana
Jacky.
“Kalau nak
pergi, boleh. Tapi jangan malam tu.” Jacky membalas.
“Aku tak peduli.
Aku hanya boleh pergi pada malam tu saja. Lepas tu aku nak balik kampung. Kalau
kau nak buat jangan banyak songeh. Ikut saja. Aku ada.”
Jacky tarik
nafas berat. Dia rasa menyesal mencadangkan tempat itu kepada Budi tempoh hari.
Sekarang dia juga yang susah.
“Tangkal saja
besar tapi penakut!” perli Budi lagi sambil menjeling tajam.
Sakit hati Jacky
tetapi dia tidak membalas. Dia raba tangkal di leher. Dia usap perlahan-lahan.
Mungkin betul kata Budi. Dia tidak perlu takut. Sudah hampir dua tahun tidak
ada apa-apa pun yang berlaku pada dia; mungkin kali ini juga Lengloi tidak akan
apa-apa kan dia.
*****
SEMINGGU dari
pertemuan itu, malam yang ditunggu-tunggu itu pun tiba. Malam ke ke 14 bulan ke
tujuh dalam kalendar lunar Cina. Dengan berat hati, Jacky tinggalkan rumah
selepas pukul 10.00 malam dan pergi menjemput Jacky di rumah sewa. Dari situ
mereka terus bergerak ke tempat yang dituju.
“Barang-barang?”
tanya Budi sebaik sahaja masuk ke dalam kereta.
Jacky angguk
sepintas lalu. Sejak tinggalkan rumah dia sentiasa berdebar-debar sehinggakan
timbul rasa malas mahu bercakap tetapi dia lihat Budi relaks sahaja seperti
tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan. Mungkin dia juga harus begitu;
fikirnya.
“Itu apa?”
Budi bertanya
sewaktu melintas sebatang jalan kecil yang dipenuhi orang dalam perjalanan ke
situ tadi. Sayup-sayup sahaja dia melihat sebuah patung besar berdiri di tengah
altar yang didirikan di tengah satu lorong di sebelah kanan jalan. Hampir kesemuanya
berwarna merah dan hitam. Dari jauh pun rupa patung besar itu sudah cukup menakutkan.
Jacky menoleh
sekejap ke arah yang ditunjukkan Budi. Kesesakan jalan membuatkan pemanduannya
tersekat-sekat. Suasana di situ pun riuh dan meriah. Sekiranya tidak ada tugas
mahu juga dia singgah untuk menjamah Loh Bak yang sedap.
“Itu patung Phor
Thor Khong. Atau kita panggil Tai Su Yah.”
“Apa tu?” Budi
tidak faham langsung.
“Raja Neraka. Ruler of Underworld.” Selamba sahaja Jacky
membalas. “Orang sembahyang dia untuk minta dia control semua hantu-hantu lapar tu. Supaya jangan buat kacau pada
orang lain.”
“Kalau tak letak
makanan, hantu tu marah ke?” Budi melihat beberapa buah meja diletak di tepi
jalan atau di hadapan kedai-kedai. Di atas meja ada makanan, lilin dan colok.
Malah ada makanan yang ditabur-tabur ke jalan raya. Di mana-mana juga ada
bendera dan kertas dibakar. Di sesetengah tempat terdapat colok-colok sebesar
pemeluk dinyalakan.
“Orang Cina
berfahaman Tao percaya hantu-hantu tu lapar. Mereka tak mahu hantu-hantu masuk
ke dalam rumah cari makanan. Nanti kacau pula. Juga, ada yang takut hantu-hantu
itu balik balas dendam. Jadi kasi dia makan la.”
“Betul ke malam
ni hantu-hantu semua balik?” tanya Budi lagi. Dia pernah nampak hantu. Bukan
sekali tetapi banyak kali. Tetapi semua hantu-hantu itu hanya datang apabila
dipanggil dan diseru bukan merayau sesuka hati.
“Kau fikir macam
mana?” Jacky sakit hati dengan mulut Budi. Celupar bukan main.
“Tiap-tiap hari
ada hantu,” kata Budi.
Jacky tidak
membalas. Banyak perkara lain yang berlegar dalam kepalanya. Soal kerja, soal
hutang. Lagipun dia bimbang Budi akan bercakap besar lagi. Hampir sejam setengah
selepas itu baru mereka tiba ke tempat yang dicari-cari.
“Di sini ke?’
tanya Budi. Matanya sempat melirik ke arah papan tanda yang bertulisan huruf
besar sepenuhnya; Taman Tasik Setia.
Jacky angguk
sekali sahaja. Semakin dekat hatinya semakin berat.
*****
Lokasi:
Lot kedai 55
Taman Tasik
Setia
DI SINI matahari
tidak tenggelam di kaki laut. Di sini matahari hanya tenggelam di balik
bumbung-bumbung bangunan kedai yang sudah lama usang, sunyi dan tidak bernyawa.
Selalunya tanpa salam pamitan atau tanpa dipedulikan sesiapa. Cuma semua orang
di sini tahu apabila matahari tenggelam, tempat ini perlu ditinggalkan kecuali
beberapa orang manusia yang sememangnya datang mencari bala.
Pada waktu itu,
udara malam begitu dingin. Rebas hujan masih bertempias ke kaki lima. Sekaligus
bersaing dengan angin memadamkan lilin dan colok-colok yang terpacak di atas
sebuah meja lipat kecil yang diletakkan di tepi tiang di sebelah kanan kedai.
Dalam remang
suasana, masih terlihat jelas apa yang diletakkan di atas meja. Ada beberapa
biji buah limau, taufu, nasi yang direndam di dalam air dan sebuah bungkusan.
Di tepi meja itu pula ada sebuah tong besi berwarna merah yang digunakan untuk
membakar wang neraka dan sebuah kerusi yang seperti telah diduduki orang.
Semua itu jelas
menunjukkan ada seseorang yang telah berusaha menyajikan hidangan di situ untuk
roh-roh yang dipercayai telah dibebaskan dari neraka dan tersesat ke situ
mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Namun bagi Budi semua itu tidak memberi
erti.
“Aduh…”
“Cepatlah sikit!”
Keluhan Jacky
mematikan lamunan Budi. Sambil menggesa, tangan Budi menolak-nolak bahu Jacky
yang sedang cuba membuka kunci mangga roller
shutter. Kunci di sebelah tengah sudah dibuka. Tetapi entah apa masalahnya,
kerja yang sepatutnya senang, sudah jadi susah. Dia mula hendak marah. Apatah
lagi beg plastik yang dipegang semakin lama semakin menyakitkan jari. Kerana
tidak tertahan, dia meletakkan sahaja beg plastik itu ke atas lantai kaki lima
yang berdebu.
Jacky berdecit
keras. Dalam keheningan malam, deruan nafas yang laju memacu rasa cemas. Gigil
di tangan semakin kencang. Dahi mula basah. Dalam hati dia menyumpah-nyumpah apa
sahaja yang terlintas dalam kepala. Dia tidak sangka akan jadi sesusah itu.
Mulalah dia rasa menyesal.
“Fuh!”
Kata-kata itu
tersembur daripada mulutnya apabila kunci roller
shutter terungkai. Barulah dia boleh bernafas semula. Tanpa membuang masa,
dia terus berdiri sambil menarik roller
shutter itu ke atas sedikit. Namun ketatnya bukan main. Sampai cekang urat
perutnya.
Krek! Pintu itu
bergesel dan berkeriut apabila ditolak Jacky sekuat hati. Maklumlah sudah lama
tidak dibuka sesiapa.
“Perlahan la
sikit!” Budi menegur dengan kerutan di dahi.
Sesekali matanya
melingas memerhati keadaan sekeliling; memerhati kalau-kalau ada sesiapa yang
lalu-lalang. Kerana setahu dia, di tempat sebegitu kadang-kadang memang ada
polis dari balai polis berdekatan yang membuat rondaan. Kalau terserempak
memang menjawab panjanglah jadinya. Lagipun waktu sudah hampir benar ke tengah
malam. Sesiapa sahaja boleh mengesyaki yang bukan-bukan.
“Tunggu apa?
Cepatlah masuk!”
Kini Jacky pula
yang menyergah Budi yang masih terhegeh-hegeh di kaki lima kedai. Budi,
badannya sedang-sedang. Sekali pandang seperti seorang peladang dengan tuala
Good Morning melingkari leher dan topi Jepun yang sentiasa melekap di atas
kepala tetapi yang sebenarnya Budi hanyalah seorang pekerja di sebuah kilang
batu-bata haram. Juga seorang kawan yang sekepala dalam hal-hal perjudian dan
nombor ekor. Mereka kenal pun di meja judi.
Mendengarkan
arahan Jacky, Budi segera mencapai beg plastik di atas lantai. Kemudian
menundukkan kepala untuk melepasi roller
shutter yang hanya dibuka lebih kurang enam kaki tinggi. Dia terus mencelah
masuk dan tubuhnya terlanggar tubuh Jacky yang berdiri di hadapan pintu bersama
lampu suluh kecil.
“Hisy!” bentak
Jacky.
Sempat ditampar
bahu Budi sekali. Kemudian dia terus menekan roller shutter ke bawah, kemudian memijaknya sehingga menyentuh
lantai supaya tidak ada sesiapa perasan ada orang di dalam kedai bernombor 55
itu. Kemudian mendekati Budi yang tidak bergerak jauh.
“Jom!”
“Engkau la jalan
dulu. Aku mana tahu tempat tu kat mana,” balas Budi.
Kakinya bagaikan
terpaku ke lantai. Berat sungguh untuk diangkat walau dia juga yang beria-ia
mahu mencuba nasib di situ. Cuma apabila berada di dalam tempat yang tertutup
begitu, dia dihurung rasa yang menyesakkan. Seperti tidak cukup Oksigen.
“Aiya… tentu la
kat belakang. Mana ada orang buat toilet
kat depan pintu?” jawab Jacky sambil melangkah ke hadapan tetapi perlahan-lahan
lantaran cahaya lampu suluh yang tidak berapa terang. Hendak dibawa lampu besar
bimbang limpahan cahayanya boleh dilihat dari luar.
“Jalan la
cepat.” Budi mula mengatur langkah di belakang Jacky.
Setapak Jacky
bergerak, setapak juga dia melangkah. Sesungguhnya pergi ke tempat-tempat yang
dikatakan keras begitu bukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sebut sahaja
di mana ada tempat yang sesuai untuk menurun nombor ekor, dia akan pergi. Cuma
inilah kali pertama dia ke situ. Itu pun setelah Jacky buka cerita.
Kata Jacky, dia
tahu satu tempat yang dia rasa boleh bawa untung besar. Yang anehnya sejak
sampai ke kawasan perniagaan di situ lagi, dia sudah dihurung rasa tidak
selesa. Dadanya berat. Debarnya kencang. Rasa sejuk mencengkam dari dalam.
Udaranya juga seperti tidak berangin dan pengap. Dan yang paling jelas sekali,
dia sentiasa rasa menggermang. Sudah dicuba segala apa yang dia tahu, rasa itu
tetap tidak hilang. Kini dia akui Jacky tidak berbohong. Daripada
pengalamannya, dia yakin tempat itu memang keras.
“Aiyaaa!” Jacky
berundur ke belakang secara tiba-tiba.
Budi di belakang
terus terlanggar tubuh Jacky. Dia hampir lagi tersungkur ke lantai kalau dia tidak
cepat berpaut pada dinding bilik.
“Janganlah!” Dia
bingkas berdiri tegak semula. Dia benci kalau terkejut terutama dalam keadaan
seperti itu.
“Tu.” Jacky
angkat lampu suluhnya semula. Kali ini lebih tinggi, kira-kira separas mata
mereka berdua. Dia bukan sengaja hendak menjerit.
Mata Budi
melirik mengikut arah cahaya. Apa yang disuluh Jacky buat dia tergamam. Di
hadapan mereka, berdiri sesusuk tubuh hitam legam. Kepala botak berkilat dengan
mata biru muda. Lebih tergamam apabila Budi nampak mata biru itu berkelip.
Bagai hendak gugur jantung Budi seketika. Mujurlah dia cepat menyedari semua itu
mungkin hanyalah khayalan.
“Patung….” Lesu
suara Budi.
Nafasnya mula
teratur semula. Kemudian apabila Jacky menyuluh ke sekeliling, ada empat lagi
patung yang serupa di sekitar ruang itu. Ada yang berbaju dan ada yang tidak.
Di atas lantai juga masih bersepah kain-kain yang sudah menakung habuk tebal.
Maka betul kata Jacky, kedai itu memang sebuah butik pakaian wanita suatu
ketika dahulu.
“Kat sini boleh
la.” Jacky berhenti melangkah. Cahaya lampu suluhnya tepat menyuluh ke arah
lantai yang lapang.
“Ke depan la
sikit. Kata kat toilet,” Budi
menegur.
Sejujurnya dalam
keadaan yang gelap gelita itu, dia belum nampak bilik air yang dikatakan oleh Jacky
sejak beberapa hari yang lalu. Kenapa di bilik air, dia pun tidak tahu kerana
setelah puas didesak Jacky tetap tidak mahu beritahu apa-apa. Cuma apa yang
diberitahu oleh Jacky ialah tempat yang paling keras di kedai itu ialah di
bilik air.
Itu bukan
menghairankan sangat kerana setahu dia selalunya di dalam sesebuah kedai orang
bukan Islam; tuan punya akan mengadakan acara sembahyang untuk menyeru
datuk-datuk untuk menjaga tempat dan memanggil untung. Mungkin kedai itu juga
begitu. Mungkin juga yang akan diseru nanti itu salah satu datuk yang diikat di
situ. Budi tidak peduli asalkan pada malam itu dia dapat nombor yang boleh
menang besar.
“Tu.” Jacky
angkat lampu suluh ke sebelah kanan kedai.
Di sudut
belakang terdapat dua buah bilik yang pintunya tertutup rapat. Mungkin
berkunci, Budi tidak dapat memastikan kerana Jacky menyuluh hanya sekilas lalu.
“Buat depan toilet la. Kat sini jauh sangat.” Itu
pendapat Budi. Kalau boleh lagi dekat lagi bagus.
Jacky tidak
membantah walaupun hatinya mula ragu-ragu. Hal itu memang tidak menyusahkan
tetapi dia lebih bimbang kepada akibatnya nanti. Dia harap kalau apa-apa terjadi,
dia dan Budi masih sempat keluar dari situ.
“Cukup la ni.”
Jacky tidak mahu
bergerak lebih jauh daripada itu. Padanya tempat itu sudah cukup baik. Kalau
apa-apa hal berlaku pun mereka hanya perlu lari lurus sahaja ke hadapan.
Masalahnya cuma satu. Setibanya di situ; dadanya berdebar makin kuat.
Sejujurnya dia hendak keluar sahaja dari situ kalau boleh. Rasa menyesal sudah naik
ke kepala. Dia rasa semakin tidak tahan.
“Ke depan la
sikit.”
“Tak mau la.
Sini cukup la.” Jacky berkeras.
Melihatkan Jacky
sudah tidak mahu lagi bergerak walaupun sejengkal, Budi terpaksa mengalah.
Setelah memandang-mandang, dia mula mencari tempat duduk untuk memulakan acara.
Lantas beg plastik besar yang dibawa tadi diletakkan di atas lantai yang kotor
dan berhabuk tebal. Barang-barang di dalamnya perlu dikeluarkan satu persatu.
Namun belum sempat dia membuka beg plastik itu, beg plastik itu bergerak
kira-kira sekaki bagai direntap seseorang.
Berderau darah
Budi.
Dia pandang Jacky.
Jacky pandang dia dengan mata yang tidak berkelip. Hanya setelah keadaan
kembali tenang, dia tarik semula bungkusan itu rapat kepada dia tanpa mahu
memandang ke mana-mana. Pada dia, lebih cepat urusan di situ selesai, lebih
baik. Pada fikirannya, tempat itu bukan sebarang tempat.
Sehelai kain
tudung bawal berwarna merah darah dibentang sebagai alas. Sebiji pinggan
plastik. Seekor ayam ponteh yang disimpan dalam sebuah bekas plastik, tujuh
batang lilin hitam dan sekeping cermin muka berbentuk tiga segi yang ditempah
khas untuk upacara itu. Sebuah mangkuk kecil porselin berwarna merah dan
sebentuk cincin yang dibelit dengan benang hitam. Kesemuanya disusun di atas
lantai; betul-betul di hadapan bilik air yang pertama.
Ayam ponteh
diletak di atas pinggan. Kemudian diletak cermin tiga segi di belakangnya. Di
sebelah ayam ponteh diletakkan sebuah mangkuk kecil yang berisi cincin. Selepas
itu baru tujuh batang lilin hitam disusun melengkung di kiri kanan cermin.
Setelah siap, Budi menyalakan ketujuh-tujuh batang lilin itu sebelum menyusun
sila. Dia tumpukan perhatian sambil jari-jarinya meramas-ramas serbuk kemiyan
di sisi lutut. Dia sudah bersedia untuk menyeru.
Jacky pula
sekadar duduk bertinggung di sebelah kiri Budi. Tugasnya untuk membawa Budi ke
situ sudah selesai. Kini sampai giliran Budi pula untuk menjalankan kerjanya.
Dia pernah melihat Budi menyeru dan menurun di beberapa tempat yang keras. Di
rumah kosong, di jirat Cina, di rumah bomoh yang mati dibunuh, di puncak bukit,
semua pernah. Ternyata Budi seorang manusia yang tidak tahu takut. Dia juga
pernah melihat Budi menang nombor ekor beberapa kali. Jadi, dia memang percaya
kepada kebolehan Budi. Pada malam itu dia benar-benar berharap, mereka akan
dapat nombor yang betul-betul bagus.
Dengan penuh
harapan, Jacky menunggu dan menunggu. Ada rasa tidak sabar kerana dia mahu
keluar dari situ secepat mungkin. Apatah lagi, semakin lama, udara dirasakan
semakin kering dan panas. Ditambah haba yang keluar dari lilin yang mencair dan
asap hitam yang mula memenuhi ruang yang tertutup itu. Kulit hidungnya terasa
perit dan gatal. Lebih-lebih lagi apabila asap semakin banyak dan udara di situ
dipenuhi bau kemiyan yang mencucuk hidung.
Makin lama, Jacky
makin terasa susah bernafas. Paru-parunya tidak cukup Oksigen. Bahunya sakit.
Lehernya seperti dicekik sesuatu. Peluhnya sudah menitis. Dia semakin gelisah
kerana Budi seolah-olah akan lama lagi di situ sedangkan dia semakin kekurangan
nafas.
“Budi…” Dia
memanggil dengan sisa suara yang ada.
Namun Budi tidak
menyahut. Budi semakin asyik bertafakur sambil memejamkan mata rapat-rapat.
Bibir Budi terkumat-kamit membaca jampi serapah yang tidak tentu ulas butir.
Dia percaya Budi sudah berada di alam lain dan dia keseorangan di situ. Namun
kerana tidak tahan, dia pegang lengan Budi. Dia tarik sekuat hati kerana
pandangan matanya sudah berpinar-pinar. Kepalanya pening. Dia rasa hendak pitam
apatah lagi apabila terlihat apa yang bertenggek di atas pintu bilik air. Rasa
hilang darah dari tubuhnya.
Budi buat tidak
tahu sehinggalah telinganya ditampar sesuatu. Berdesing. Sakit. Apabila dia
buka mata, lilin paling hujung di sebelah kiri terpadam. Kemudian yang kedua,
ketiga, keempat. Tinggal tiga batang lilin sahaja yang masih menyala. Budi tahu
apa yang diseru sudah datang. Baru hendak tersenyum, dia lihat cincin di dalam
mangkuk kecil bergerak.
Keletak!
Keletak! Keletak!
Cincin yang
dibelit benang hitam itu bergerak-gerak dengan laju dan keras; memukul
sisi-sisi mangkuk dengan kuat.
Keletak!
Keletak! Keletak!
Tidak
berhenti-henti sehinggalah tercampak ke atas kain alas apabila mangkuk itu
tergolek tumbang.
“Jacky! Tengok…”
kata-kata Budi tidak habis di situ.
Dia terkedu
apabila melihat Jacky terpaku seperti patung dengan kepala Jacky mendongak
tinggi arah ke bilik air. Mata Jacky buntang tidak berkelip. Mulut Jacky
terlopong sehingga terkeluar air liur. Dia ikut memandang tetapi tidak melihat
apa-apa, cuma dia mula terasa tengkuknya berat dan ketat seperti dipeluk
sesuatu dari belakang. Dari leher sampai ke pangkal punggung terasa panas.
Belum sempat menegur,
Jacky sudah kelam-kabut bangun dan lari dari situ.
“Jacky!” Dia
memanggil tetapi Jacky terus hilang dalam kegelapan. Terdengar juga pintu yang
membahagikan ruangan hadapan dan ruang belakang tertutup semula.
Kini dia berseorangan
dan serba-salah. Usahanya sudah berjaya tetapi Jacky pula yang lintang-pukang
melarikan diri. Hendak dimarah pun sudah terlambat cuma dia tidak sangka pada
malam itu Jacky akan menjadi manusia yang sangat penakut. Selama ini tidak pula
Jacky bersikap seperti itu.
Mahu atau tidak,
dia terpaksa meneruskan apa yang telah dibuat. Kerana dia tahu seru bukan
sebarang seru. Ada seru memanggil datang; ada pula seru menyuruh pulang. Kalau
tidak, hal itu tidak akan selesai di situ sahaja. Panjang ceritanya.
Lalu jampi
serapah diteruskan. Mata dipejamkan semula. Fikiran ditumpukan. Dia benar-benar
berharap apa yang diseru tidak berkecil hati dan mahu memberikan sebaris angka
pada cermin. Baru beberapa saat, satu hembusan angin sejuk menyapa pipi kiri.
Dia membuka mata.
Lilin mula terpadam satu demi satu, sehingga tinggal lilin yang terakhir.
Betul-betul yang berada di sebelah cermin. Dia yakin detik yang ditunggu sudah
tiba, dia lantas merenung cermin tidak berkelip. Dia berharap benar, akan
muncul sebaris nombor tetapi sayangnya lain pula yang dilihat berada di
belakang dia. Lantas anak matanya membesar.
Di atas cermin
terlihat seorang perempuan sedang memandang ke arah kanan. Yang kelihatan cuma
sebelah pipi yang rentung, sebelah mata yang merah, rambut lurus yang berjurai
turun dan baju kebaya hitam pendek yang dipakai. Setakat itu sahaja kerana
selebihnya tidak sanggup lagi dipandang Budi. Apabila perempuan dalam cermin
itu menjeling ke arahnya sambil tersenyum, nafas Budi seakan terhenti.
Tubuh Budi mula
ketar. Air liur berbuih-buih keluar. Dia mula terfikir untuk menghentikan semua
itu. Bibirnya laju membaca mentera tetapi semuanya sudah berterabur. Entah yang
mana pangkal; yang mana hujung. Dia terus baca bersungguh-sungguh. Selesai
sahaja, dia terus mengambil cincin di atas lantai. Tanpa diduga, satu deruan
angin yang kuat berserta bunyi jeritan menerpa dari entah mana. Pintu bilik air
terhempas kuat. Lilin terakhir terpadam. Ruang kembali gelap gelita.
Namun sebaik
sahaja kedua tapak kaki memijak lantai, Budi terus berlari keluar mengikut
gerak hati. Dalam kelam-kabut begitu, dia terlanggar patung mannequin dan
tersembam ke lantai. Walaupun terasa sakit, dia dapat bangun semula dan
merangkak mencari dinding. Dinding itu disusuri sehinggalah berjumpa pintu ke
ruang hadapan. Sewaktu dia menarik daun pintu, dia tersembam jatuh buat kali
kedua.
Dagunya
terhentak ke lantai. Sakit. Belum sempat bangun kakinya direntap ke belakang.
Dia meronta tetapi tubuhnya tetap bergerak ke belakang sehingga terlanggar dinding.
Ditarik pula ke hadapan, belum sempat bernafas sudah dilontar semula ke dinding
sekali lagi.
Perut Budi
senak. Tulang-temulang terasa hendak tercabut namun siksaan itu tidak berhenti
setakat itu. Rambutnya pula ditarik ke belakang sehingga tubuhnya jatuh
terlentang. Kemudian terasa tubuhnya perit seperti dilibas sesuatu yang tajam
dan panas. Budi berguling dan menjerit-jerit. Kesakitan yang dirasa seakan
tidak tertanggung lagi.
“Budi!”
Suara Jacky yang
menerpa masuk semula ke situ, mengejutkan Budi. Dia hanya mampu mengecilkan mata
apabila cahaya lampu suluh Jacky singgah ke muka. Dalam rasa lega dia tahu
nyawanya sudah sampai ke penghujung. Dia sedar sekujur tubuhnya sudah basah
dengan darah. Tulang patah-patah dan daging separuh hancur. Dia tidak mampu
bergerak jauh. Itulah kali pertama dalam hidupnya dia rasa menyesal kerana
tidak mengikut nasihat orang lain dan bersikap takabbur.
“Jacky!” Cincin yang digenggam tadi disua
kepada Jacky. Itulah sahaja yang terdaya.
“Budi!”
Jacky yang
tadinya tergamam kini mula panik. Walaupun keadaan Budi begitu teruk, dia tetap
menarik tangan Budi yang basah dengan darah. Dia cuba angkat tubuh Budi yang
lemah longlai untuk kembali berdiri namun sayang, tubuh Budi direntap kuat
sehingga terlambung menghentam dinding sekali lagi. Budi tersungkur mencium
lantai. Kemudian berguling-guling menahan sakit.
Jacky tergamam
lama. Antara mahu membantu Budi ataupun cabut lari, dia tidak dapat membuat
keputusan. Namun apabila terasa kakinya pula disentuh, dia tidak menunggu lagi.
Dia terus lari dan lari. Memang dia menyesal datang ke situ lagi.
*****
EMPAT hari sudah
berlalu. Jacky masih belum menerima apa-apa berita daripada Budi. Dia semakin
risau. Entah di mana Budi dan entah bagaimana keadaan Budi. Lalu pada hari itu
dia bernekad untuk mencari Budi sampai dapat.
Selepas selesai
mengisi minyak di sebuah stesen, dia berhenti untuk menelefon Budi tetapi
sekali lagi panggilannya tidak berjaya. Yang sebenarnya sejak malam itu, dia
sentiasa cuba menghubungi Budi tetapi panggilannya tidak pernah berjawab. Sejak
dua hari lepas pula, nombor telefon Budi terus tidak dapat dihubungi. Dia
benar-benar bingung.
Walaupun begitu,
dia amat berharap Budi selamat. Mungkin juga kerana dia diheret rasa bersalah
setelah lari meninggalkan Budi malam itu. Disebabkan tidak betah berada dalam
keadaan tertanya-tanya begitu, dia akhirnya membuat keputusan untuk pergi
semula ke lot 55 untuk melihat apa yang telah berlaku di sana. Tetapi sewaktu
dia tiba di situ, jalan di hadapan lot itu sudah sesak dengan orang ramai.
Kereta polis dan
ambulan sudah tiba dan berada di kotak parkir. Pita rentang pula sudah dipasang
di hadapan lot 55. Nafasnya sesak. Setelah memarkir kereta agak jauh, dia
berjalan selaju yang mungkin menuju ke situ. Setibanya di situ, dia melihat
empat orang anggota polis sedang mengangkat sebuah stretcher keluar dari lot 55.
Di atas strecher ada sekujur mayat yang diletakkan di dalam plastik hitam. Dia
rasa hendak menangis tetapi sedaya upaya menahan diri.
“Teruk keadaan
mayat tu.”
Jacky terdengar
seorang lelaki bercerita. Apabila dia menoleh, lelaki itu rupa-rupanya tuan
punya gerai yang menjual air tebu dan pisang goreng yang terletak bertentangan
dengan lot 55. Dia terus mendekat untuk bertanya lebih lanjut.
“Pak cik tengok
ke mayat tu?”
Lelaki tua itu
angguk.
“Pak cik dan
tuan punya kedai tu yang jumpa tadi. Pak cik yang telefon tuan punya kedai tu
sebab dah banyak hari pak cik tengok kedai tu terbuka saja pintunya. Bila masuk
dalam, sudah ada bau busuk. Bila masuk cari, dah kembung berulat.”
“Budak-budak
hisap dadah la tu. Kalau tak, mesti nak mencuri.” Suara yang lain pula
kedengaran. Di situ riuh-rendah dengan pelbagai cerita. Semua orang hendak
bercakap.
“Memang silap
besarlah pilih kedai tu,” jawab yang lain.
“Orang luar kut?
Orang sini mana berani dekat dengan kedai tu. Tak pasal-pasal ada yang
menumpang tidur malam karang.”
Semakin banyak
cerita yang Jacky dengar. Semakin susah hatinya.
“Yang mati tu… lelaki ke perempuan, pak cik?” Dia
masih ingin memastikannya lagi. Walaupun lambat laun dia akan tahu juga.
“Lelaki. Tapi
dah susah nak kenal.”
“Kenapa?” Jacky
dihurung rasa pilu. Dia semakin yakin yang mati itu Budi.
Pak cik itu
terdiam lama.
“Kenapa, pak
cik?” tegur Jacky. Rasa sedih dan bersalah ditelan dalam-dalam. Kalaulah orang
tahu dia kenal siapa yang mati itu, tentu sukar jadinya. Tetapi dia juga tahu
kes Budi tidak akan berlarutan lantaran Budi hanyalah seorang pendatang haram.
“Badan dia… dari
muka ke kaki hancur. Tapi yang pelik tu tak ada apa-apa yang hempap dia. Cuma
macam disebat dengan belati sampai mati. Ada kesan berbelang-belang. Kesan
darah tak usah cakaplah. Macam banjir bahagian belakang tu. Ulat-ulat
menggeletik sampai ke pintu tengah.”
Jacky ternganga.
Tidak dapat dibayangkan kesakitan yang Budi rasa pada malam itu namun semuanya
sudah terlambat untuk disesali. Cuma ada baiknya dia tidak menjejakkan kaki di
situ lagi.
“Tapi… itu bukan
kematian yang pertama di kedai tu,” tambah pak cik tadi.
Sekali lagi Jacky
menelan air liur. Ya, bukan yang pertama. Dia pun tahu. Cuma itulah yang paling
dahsyat setakat ini.
Dua tahun
sebelum itu….
Bab 1
Masa : Tahun 2012
Lokasi : Kedai
Daun Pisang Muthu
Lot 55, Taman Tasik Setia
BAGIMuthu, kedai itu adalah segala-galanya.
Dunia, harga diri, masa hadapan dan kebahagiaan. Terlalu besar harapan yang
disandarkan kepada kedai itu; sepertimana besarnya harapan isteri dan anaknya,
Devi yang tersandar di bahunya. Terlalu banyak pengorbanan dan modal yang telah
dilaburkan kepada kedai itu. Dan dia pula bukanlah seorang yang mampu menerima
kegagalan.
Hari itu dia
mengharapkan perniagaan kedai makannya berjalan seperti hari-hari yang lalu.
Dengan bantuan isterinya, Pooja dan tiga orang pekerja yang rajin dia percaya
kedai makannya akan bertambah maju hari demi hari. Malah dia bercadang untuk
mendapatkan kawasan kedai yang lebih luas, menambah bilangan pekerja dan
membeli bangunannya sendiri. Dia percaya kepada kerja kuat, buat baik dan masakan
yang sedap.
“Khushiyaan
aur gham sehti hai… phir bhi yeh chup rehti hai…”
Bibirnya mengikut perlahan lagu Hindustan daripada filem Mann
yang berkumandang di dalam kedainya pada waktu itu. Sambil jarinya ligat
membuat perkiraan jumlah bil yang perlu dibayar dengan menggunakan kalkulator
sebesar dua tapak tangan. Sesekali, dia mengangkat muka memerhati pekerja dan
pelanggan yang keluar masuk dari kaunter yang terletak di sebelah kanan kedai.
Tidak jauh dari pintu masuk. Bahagia hatinya. Semuanya berjalan seperti
biasa.Tidak ada masalah.
“Teh tarik satu.
Roti telur satu.”
Suara yang biasa
didengarnya itu, membuatkan anak matanya spontan melirik ke arah sebuah meja di
tepi dinding. Dari tempatnya berdiri, dia dapat melihat seorang anak muda
berbangsa Cina sedang tunduk memeriksa telefon bimbitnya. Hatinya terus diseru
rasa sayu.
Dia sedar, itu
pun salah satu kisah kehidupan manusia. Tetapi yang ini ceritanya penuh
kesedihan. Kalah kisah Romeo dan Juliet. Melihatkan wajah anak muda itu yang
sugul, sudah cukup untuk membayangkan kesedihan yang ditanggung.
Di matanya,
tubuh Lim nampak susut sedikit berbanding dahulu. Mungkin kerana kurang makan
atau kurang tidur. Mungkin juga kerana terlalu merindui kekasihnya, Suzy.
Sedikit sebanyak dia turut berasa sedih.
Lantas, dia
kutip satu persatu bil di atas kaunter lalu dimasukkan sahaja ke dalam poket
baju. Rasanya tidak mengapa jika dia meluangkan sedikit masa menegur pemuda
itu. Setibanya di meja, bahu Lim ditepuk dengan mesra. Tanpa dipelawa, dia
menarik kerusi di sebelah kiri Lim lalu duduk.
“Macam mana?”
Cukup setakat itu dia bertanya. Dia yakin Lim faham apa yang dia tanya tanpa
perlu bercakap panjang lebar.
Lim menggeleng
sambil menundukkan muka semula. Perlahan-lahan dia menghirup air teh tarik
dalam cawan besar di hadapannya. Namun matanya tidak lekang dari skrin telefon.
“Sabarlah. Mesti polis jumpa dia,” katanya.
Itulah sahaja
kata-kata semangat yang dapat diberikan walaupun kalau boleh dia juga mahu
mengatakan lebih daripada itu. Dia sendiri mahu melihat keadaan itu berubah.
Dia mahu kesugulan pada wajah Lim hilang. Dia mahu anak muda itu tersenyum dan
ceria semula seperti dahulu. Dia juga mahu menatap wajah Suzy yang cantik manis
itu semula.
Kata-kata Muthu
buat Lim mengangguk. Mulutnya masih terkatup rapat.
Muthu pandang
lagi wajah Lim. Nampaknya bukan mudah untuk mengubati kelukaan hati anak muda
itu. Mungkin Lim perlukan masa seperti orang putih kata; ‘Time will heal’
“Nanti, uncle
tampal poster Suzy di depan kedai. Siapa tahu, mungkin ada yang nampak dia. Di
kaunter pun boleh letak.”
Kini anak mata
Lim spontan melirik ke arah Muthu.
“Boleh ke,
uncle?”
“Boleh. Apa tak
boleh pulak? Buatlah satu poster, buat banyak pun tak apa. Nanti bila balik
rumah, uncle tampal pulak di rumah.”
Bagaikan bunga
baru belajar berkembang, begitulah senyuman yang menghiasi bibir Lim. Dia
angguk lagi.
Muthu cuma mampu
mengeluh. Dia sendiri tidak sangka perkara itu boleh berlaku. Selama ini, dia
sering berbual dengan Lim dan Suzy setiap kali pasangan muda itu datang makan
dan minum di kedainya. Sayangnya sejak sebulan yang lalu, Suzy hilang dalam
perjalanan balik dari kerja. Sejak itu Suzy tidak ditemui lagi walau segala
usaha sudah dibuat untuk mengesan Suzy. Sejak itu juga sikap Lim berubah menjadi
pendiam. Dia sendiri rasa berdukacita dengan kejadian itu.
“Toilet sudah boleh guna ke, uncle?”
“Boleh. Semalam lagi sudah siap. Cantik!”Muthu acung ibu jari tanda bagus. Dia
bangga.
Lim menyambut
dengan ketawa kecil. Dia terus bangkit untuk ke bilik air.
Dari jauh, Muthu
mengeluh halus. Walaupun dia gembira dengan bilik air yang baharu itu tetapi
tetap ada kemusykilan di hati. Kerja ubahsuaian yang sepatutnya dilakukan oleh
sebuah syarikat tiba-tiba sahaja ada masalah lalu dia terpaksa menerima kontraktor
baharu yang ditawarkan. Kerja ubahsuai jadi bertambah lewat tetapi mujurlah
dapat juga disiapkan dengan elok. Dia sudah tidak tahan dengan rungutan
pelanggan. Dia dan pekerja-pekerjanya pun susah juga. Kena cari tandas awam.
“Wah! Banyak
cantik la uncle,” puji Lim sebaik sahaja sampai semula di meja.
Muthu cuma
tersengih. Lega hatinya kerana masalah itu telah selesai. Baru hendak buka
mulut semula dia terlihat seorang perempuan tua berketurunan Baba dan Nyonya
masuk ke kedai.
“Tengok tu siapa datang.” Dia terus berdiri
dan tinggalkan Lim.
Lim menjeling
dari jauh.
******
“AUNTY…. Wah! Aunty
banyak cantik hari ni.” Muthu cuba mengambil hati. Dia tahu Aunty May juga
terluka seperti hati Lim. Malah mungkin lebih lagi.
Mendengarkan
pujian Muthu, Aunty May tersenyum nipis tetapi tidak bersuara. Dengan langkah
yang perlahan, dia mendekati kaunter yang menghidangkan pelbagai jenis makanan.
“Hari ni kita
cuma masak kari ayam. Kari ikan yang aunty suka tu, tak ada la. Ikan hari ni
banyak mahal.”
Muthu cuba
membantu ketika Aunty May tercari-cari lauk yang hendak dibeli. Sejujurnya melihat
Aunty May bersendirian di situ hatinya semakin tersentuh. Dulu, semasa Suzy
masih ada, Suzy dan Aunty May sering makan di situ jika tidak makan bersama
Lim. Mereka berdua; ibu dan anak yang sangat mesra dan rapat. Suka bercerita
dan sangat peramah. Sayangnya semua itu sudah tinggal kenangan.
“Aunty pilihlah
ya, saya mahu keluar bayar bil,” kata Muthu lagi. Baru teringat kerja yang
tertangguh.
Aunty May
terangguk-angguk. Kemudian pandangan mata Aunty May tertancap ke arah Lim yang sedang
duduk di tepi dinding. Mereka berdua hanya berpandangan dalam diam tanpa
secalit senyuman.
Melihatkan
keadaan itu, Muthu dapat merasakan ketidakselesaan antara Aunty May dan Lim
namun dia tidak ingin masuk campur. Dia faham kedua-duanya masih dalam keadaan
bersedih dan cuba menerima keadaan itu dengan sebaik-baiknya. Sedang dia
bersiap-siap untuk meninggalkan kedai, dia ternampak Lim menggamit dia dari
jauh. Dia sekadar memberikan isyarat supaya Lim menunggu sekejap.
“Mahu tambah
dal?” Dia terus bertanya sambil merapati meja Lim. Pada waktu itu Aunty May sedang
bercakap dengan pekerjanya, Balan.
Sayangnya Lim
mengeleng. Dahinya berkerut.
Muthu angkat
kening. Kenapa pula dengan Lim? Muka kelat semacam saja.
“Cuba bau...
kenapa bau dia lain ha, uncle?” Lim angkat piring yang berisi kari ayam lalu
diunjuk ke arah Muthu.
“Hah?”
Muthu
cepat-cepat pegang piring itu lalu dibawa ke hidung. Selain bau rempah kari dia
terbau sesuatu yang aneh. Yang busuk. Yang meloyakan. Seperti kari itu sudah
basi lama. Spontan, dia menguis batang hidupnya yang terasa perit. Terasa darah
sejuk menyerbu ke mukanya, apatah lagi pada waktu itu Lim sedang merenungnya.
******
“SEKEJAP, uncle
tukar.”
Dalam
kebingungan Muthu bergegas membawa piring itu ke hadapan semula, di mana semua
lauk-pauk sedang terhidang dan pekerjanya sedang sibuk melayan pelanggan. Macam
mana boleh jadi macam ni? Hatinya tertanya-tanya. Setahu dia, rempah ratus yang
digunakan sama sahaja sejak dia membuka restoran itu setahun yang lalu. Selama
ini tidak pernah pula masakannya berbau seperti itu.
“Kenapa semua
lauk berbau macam ni?” Dia menegur pekerjanya yang bernama Balan.
Balan tergamam.
“Bau apa?”
Muthu dekatkan
piring tadi ke hidung Balan.
Balan tergamam
sekali lagi. Mulutnya terkunci namun dahinya berkerut rapat. Mereka berdua
terdiam seketika. Bingung.
Kemudian, Muthu
meletakkan piring yang dipegangnya di atas meja. Dia ambil piring lain lalu
mengisinya dengan kuah kari yang baru. Namun, apabila dia menceduk kuah dari
periuk hidungnya menangkap bau kari yang busuk. Spontan, senduk yang
dipegangnya terlepas.
“Macam mana
boleh jadi macam ni? Macam mana kari ni boleh basi?” Muthu sudah mula rasa
panik. Waktu makan tengah hari sudah tiba, pelanggan sudah mula datang
berduyun-duyun.
Balan kelu. Dia
hanya mampu menggelengkan kepala.
“Angkat periuk
ni ke belakang. Pergi buang,” arah Muthu secepatnya.
Balan segera
mengikut arahan Muthu. Periuk besar yang mengandungi kari ayam itu diangkat
dengan segala kekuatan menuju semula ke dapur. Sambil itu mulutnya membebel.
Dari jauh, Muthu
dapat melihat wajah isterinya yang tercengang-cengang di muka pintu dapur. Dia
hanya dapat memandang kerana dia belum ada masa untuk menjelaskan keputusannya.
Kemudian, dia mendekati meja Lim semula dengan niat mahu meminta maaf dan
bertanya jika dia boleh menggantikan kari ayam tadi dengan lauk yang lain.
Namun belum sempat dia membuka mulut, dia sudah dipanggil oleh pelanggan yang
duduk di meja lain. Dia lantas menukar arah.
“Kenapa lauk ni
rasa semacam? Bau pun busuk.” Pelanggan berbangsa India itu bertanya lantang
sambil menunjukkan nasi yang sudah bergaul dengan pelabagai jenis kuah di atas
daun pisang.
Untuk sesaat,
Muthu rasa mahu pitam. Betul ke lauk-pauk yang lain juga basi? Aneh!
“Maaf,” katanya.
Lalu menggamit isterinya untuk menukar daun pisang dan nasi. Pelanggan itu
merungut tidak habis-habis.
Isterinya Pooja,
terus datang. Walaupun tidak begitu memahami apa yang sedang berlaku, Pooja
segera menukar daun pisang dan mencedukkan nasi yang baharu. Apabila Pooja
selesai meletakkan kuah, pelanggan tadi segera menciumnya.
“Ceh! Busuk!
Ptuihh!” Pelanggan itu menolak kerusi dengan kuat lalu meludah ke lantai.
Pelanggan lain
tersentak.
“Aiyo.... Jangan
ludah.” Suara Muthu mula meninggi.
Dia rasa marah
sungguh dengan sikap pelanggan itu. Apatah lagi dia sedang runsing dengan
kekalutan itu. Namun pelanggan itu semakin marah, segala sumpah seranah sudah
keluar dari mulutnya.
Muthu tergamam.
Dia menggenggam penumbuknya sekuat hati.
“Porah!”
Pelanggan itu meludah sekali lagi selepas puas memaki hamun Muthu.
Kali ini, Muthu
lupa diri. Sedar-sedar sahaja penumbuknya sudah melayang ke pipi pelanggan
tadi. Dia sendiri terdorong ke arah meja dan pelanggan tadi terjatuh ke atas
lantai.
Kedai menjadi
gempar. Mujurlah kedua-dua dapat dipegang oleh pelanggan lain yang ada di situ.
Bersama sumpah
seranah yang tidak putus-putus, pelanggan tadi meninggalkan kedai setelah
dipaksa keluar dari situ oleh Balan. Disusuli dengan ancaman untuk membakar
kedai Muthu ataupun menyamannya berjuta-juta.
Di dalam kedai,
Muthu tercungap-cungap mengambil nafas. Dia bingung dengan apa yang baru
berlaku. Dalam kekalutan itu, dia hanya mampu melihat pelanggan-pelanggannya
mula meninggalkan kedai seorang demi seorang termasuklah Aunty May. Yang
tinggal cuma seorang sahaja iaitu Lim.
*****
UNTUK seketika,
kesemua yang ada di dalam kedai itu bungkam. Mulut masing-masing bagaikan
digam. Radio yang mengalunkan lagu-lagu Hindustan tadi pun sudah dimatikan. Di
suatu sudut Muthu termenung panjang memikirkan apa yang patut dilakukan. Semua
itu di luar jangkaan. Dia pening.
“Cuba tengok
lauk. Semua basi ka?” Dia menjengilkan mata ke arah Balan.
Tanpa berlengah,
Balan pergi memeriksa. Satu demi satu lauk dicium dan dirasa kemudian datang
semula memberi laporan.
“Semua sudah
basi.”
Muthu hempas
nafas. Macam mana pula boleh basi? Semua lauk-pauk itu dimasak di situ sejak
pagi tadi. Memang begitulah cara dia berniaga sejak dahulu lagi. Selama ini
sampai ke petang pun elok sahaja malah jarang bersisa kerana semua habis dibeli.
“Tutup sajalah kedai.” Itulah keputusan yang
dirasakan paling tepat.
“Hah?” Pooja
terperanjat.
“Aiyo… jangan
banyak tanyalah. Aku kata tutup kedai, tutuplah!” tengking Muthu sambil
menghenyak punggung ke kerusi. Darah mula terasa menyerbu ke setiap urat di
kepala. Kemudian berkumpul di situ. Dia berpeluh-peluh. Bukan mudah untuk
membuat keputusan itu. Tutup kedai bermakna hilang pendapatan.
Suasana semakin
hening.
Pooja tidak
bersuara lagi. Dia hanya memberi isyarat kepada Balan dan Raju untuk segera
melaksanakan arahan Muthu. Kebetulan pada waktu itu, seorang pelanggan baru
sahaja hendak melangkah masuk ke situ. Pelanggan itu terus dihalang.
Melihatkan
keadaan yang tegang di situ, Lim bangun meninggalkan kerusi.