SEJURUS
tiba
di bilik, Mardiah terus melemparkan kunci ke atas meja solek. Telefon dan beg
tangan juga diletakkan sahaja di situ. Tidak ada apa yang diinginkan selain
melelapkan mata seketika. Setelah memandu sebegitu jauh, tenaganya terasa tidak
lagi bersisa. Sayangnya, baru sahaja mimpi ingin bermula; tidurnya terganggu.
Mata Mardiah terus sahaja terbuka lebar.
Pandangan matanya tertumpu ke arah siling di atas kepala. Tubuhnya kaku namun
telinganya masih dapat menangkap bunyi jatuhan air di bilik mandi. Sesekali
terdengar juga bunyi gayung menghentam dinding kolah.
Nafasnya tertahan. Dahinya berkerut.
Siapa pula yang sedang mandi? Sewaktu
dia tiba tadi, dia yakin bilik itu kosong. Bahkan tidak kelihatan apa-apa
barang di situ. Tidak ada beg pakaian, mahupun pakaian. Lagipun rasanya
mustahil pekerja di bahagian pendaftaran memberikan dia bilik yang dihuni orang
lain. Sedang ligat berfikir, pintu bilik air terbuka.
Mardiah terlompat duduk. Sekiranya mahu
keluar dari bilik itu pun, dia terpaksa melalui bilik mandi yang terletak di
tepi pintu masuk. Tidak sedar dia meromok di sudut katil; menanti apa sahaja
yang bakal berlaku. Namun apa yang berlaku selepas itu bukanlah seperti apa
yang dijangka
Pintu bilik air sudah lama
terbuka.Tetapi tidak ada sesiapa yang keluar dari situ. Bagaimanapun Mardiah
dapat mendengar bunyi tapak kaki yang basah berlegar-legar di sekitar bilik
lantaran bilik itu hanya dialas dengan jubin berwarna merah terracota. Tidak lama kemudian pintu
almari pula terbuka dengan sendirinya. Belum sempat menjerit, katilnya pula
bergegar.
Tilam melendut bagaikan menampung
sesuatu yang berat. Dia terdengar pula bunyi seseorang mengeluh keletihan.
Tanpa berlengah lagi, dia melompat turun
dari katil dan berlari membuka pintu.
******
TANPA
menoleh
ke belakang, dia berlari dan berlari meninggalkan bilik. Satu demi satu pintu
bilik dilewati. Semuanya nampak sama. Dia kehilangan arah. Koridor seolah-olah
menjadi sangat panjang.
Bukan ke aku dah jumpa nombor bilik ni
tadi? Kenapa jumpa lagi? Kepalanya makin pening. Dia seolah-olah berpusing-pusing di tempat
yang sama beberapa kali sehingga keletihan. Akhirnya dia terduduk di lantai.
Ketika itulah dia ternampak tangga yang dicari. Jauh di hujung koridor.
Dia menerpa lalu berlari turun ke
tingkat bawah.
“Puan,” tegur seorang pemuda yang
berdiri di tepi kaunter. Dia sedang menulis sesuatu sewaktu ternampak Mardiah
meluru ke bawah.
Mardiah menghela nafas lega apabila ternampak
Din di kaunter.
“Kenapa, puan?”
Mardiah mengangkat muka memandang Din.
Daripada riak wajah pemuda itu yang begitu tenang, dia menjadi serba-salah pula
untuk bercerita. Lalu dia hanya mendiamkan diri sambil menyusun nafasnya
semula.
“Puan ada masalah ke? Apa masalahnya,
puan? Boleh kami bantu?” Din bertanya dengan teratur.
Mardiah masih kelu. Memang dia ingin
mengadu perihal apa yang baru berlaku di biliknya tetapi pada saat itu dia
kehilangan kata-kata yang mampu disusun. Mungkinkah semua itu hanya illusi?
Melihatkan keadaan Mardiah yang serba
kepayahan begitu, Din mencadangkan sesuatu; “Apa kata kalau puan minum susu di
kafe kami? Sekejap, saya panggilkan Kak Yam.”
Sehabis berkata-kata, Din berjalan ke
arah sebuah bilik lalu mengetuk pintu sebelum membukanya. Dia menjengulkan
kepala lalu bercakap dengan seseorang. Kemudian dia menoleh ke arah Mardiah
semula lalu berkata, “Saya dah minta Kak Yam buatkan susu untuk puan.”
Mardiah tidak tahu apa yang patut
dikatakan. Walaupun dia bukanlah penggemar susu namun untuk naik ke biliknya
semula; dia belum berani. Sedang dia termenung, seorang perempuan menghampirinya.
Orangnya cantik manis dan bertahi lalat di hujung bibir. Itulah orang ketiga yang
ditemui di hotel itu sejak tiba di situ.
“Marilah, puan,” katanya dengan lembut.
Tanpa membantah, Mardiah ikut sahaja
perempuan berkebaya kain kasa itu ke sebelah kiri hotel. Sekurang-kurangnya dia
sudah berteman.
*****
RUANG yang gelap gelita
tadi, kini bersimbah cahaya. Walaupun tidak begitu terang namun cukup untuk
Mardiah melihat keadaan di situ. Kafe itu sungguh kemas, bersih dan mempunyai
susunatur yang menarik, tidak ubah seperti sebuah restoran zaman 60-an.
Lantainya bercorak papan catur, kerusi kayu dengan meja bulat beralas marmar
putih. Pada dinding yang dilapik kertas berbunga-bunga kecil pula dipaparkan
gambar-gambar hitam putih besar dan kecil. Kini Mardiah berasa lebih
tenang.
“Duduklah, puan.” Kak Yam tersenyum mengajak.
Dia menarik sebuah kerusi kayu untuk Mardiah. “Puan tunggu sebentar ya? Saya
mahu panaskan susu.”
“Er… tak payah. Kalau ada air sejuk pun
dah cukup,” kata Mardiah. Setelah punggungnya mencecah kerusi barulah dia rasa
lebih berani bersuara.
Senyuman di wajah Kak Yam mendadak pudar
tetapi dia tidak berkeras.
“Baiklah, tunggu sebentar.”
Sementara menanti Kak Yam mengambilkan
dia air sejuk, Mardiah membetulkan baju sejuk yang dipakai. Walaupun berada di dalam
kafe yang tertutup namun tubuhnya kesejukan bagai dielus angin pagi yang
bertiup entah dari mana; seolah-olah dia berada di tempat yang terbuka.
Krekkk!!!
Bahu Mardiah terangkat. Bunyi itu
membuatkan dia menoleh ke arah kiri. Kelihatan pintu kafe itu terbuka; kemudian
tertutup. Terbuka semula, kemudian tertutup lagi; berulang kali sebelum
akhirnya tertutup terus. Di tengah ruang pula kerusi bergerak-gerak bagaikan
ditarik orang, meja juga bergerak sedikit. Kedengaran suara-suara orang
bercakap namun agak sayup-sayup.
Mendengarkan perbualan yang datang entah
dari mana, bulu roma Mardiah mula meremang semula. Lehernya terasa sejuk dan
kaku. Dia ingin memanggil Kak Yam tetapi lidahnya kelu. Dia ingin lari tetapi
kakinya bagai dipaku. Akhirnya dia terus di situ sambil telinganya diasak oleh
suara-suara orang yang berbual entah apa. Sesekali dia melihat kerusi ditarik
dan ditolak, meja bergegar dan ketawa yang berderai-derai.
Makin lama perasaannya makin sebu. Dia menggeletar
ketakutan.
****
“INI air, puan.”
Mardiah yang terketar-ketar tadi terus
terjerit dan bangun memeluk Kak Yam. Di bahu wanita itu dia cuba menenangkan
hatinya yang berdebar kencang.
“Bertenang, puan. Cuma ada kita saja di
sini,” kata Kak Yam lagi sambil menepuk bahu Mardiah.
“Tapi, Kak Yam. Tadi saya… saya…” Dia
tidak tahu bagaimana harus menerangkan apa yang dilihat dan apa yang didengar.
Sesungguhnya dia tidak mempunyai apa-apa bukti. Apatah lagi apabila dia menoleh
semula ke arah meja yang menakutkannya tadi, semuanya sudah kembali kemas
seperti tidak pernah pun terusik.
“Kak Yam tahu… Kak Yam tahu.” Kak Yam
tarik bahu Mardiah lalu mengajaknya duduk semula di kerusi. “Puan minum sikit.
Nanti puan lebih tenang.”
Kali ini Mardiah ikut sahaja arahan Kak
Yam. Mungkin ada betulnya. Dengan jari yang terketar-ketar, dia meneguk air
sekali lalu sehingga habis.
“Kenapa puan turun ke bawah? Bilik puan
tak selesa? Kalau puan tak suka bilik tu, kami boleh beri puan bilik lain.”
“Bukan
macam tu Kak Yam,” jawab Mardiah. Susah untuk dia bercerita.
“Habis tu macam mana?”
“Bilik tu macam… macam ada orang lain dalam
bilik tu. Saya dengar… bunyi air dari bilik air, pintu almari terbuka, tertutup
kemudian seperti ada orang lain yang menggunakan katil. Tapi tak ada orang.”
Kak Yam yang mendengar cerita itu
mengangguk perlahan. “Itu perkara biasa di sini.”
“Perkara biasa?” Dia hampir rasa
tercekik. Semena-mena udara dirasakan begitu dingin. “Adakah hotel ini ber...
hantu?”
“Hotel ni hotel lama, puan. Dibina pada
tahun 1924. Puan tentu boleh bayangkan berapa banyak kejadian yang berlaku di
sini selama ini,” kata Kak Yam lagi.
“Jadi… apa semua tu? Tadi pun saya
terdengar suara orang berbual. Tapi saya tak nampak sesiapa selain kita.” Dia
masih cuba menghilangkan rasa seram sejuk yang dirasainya tadi. Dia yakin bukan
dia seorang sahaja yang merasainya.
“Mereka ada di mana-mana. Mereka datang
dan pergi bila-bila mereka suka,” balas Kak Yam.
“Kak Yam dan pekerja-pekerja di sini tak
takut ke?”
“Kami dah biasa.”
Dia kematian kata-kata. Walaupun dia
tahu jin, iblis dan syaitan itu makhluk ALLAH jua namun dia belum bersedia
untuk bertemu dan berkongsi ruang dengan mereka. Dia tidak bersedia, apatah
lagi berkongsi bilik dan katil.
“Kak Yam,” panggilnya lagi. “Ada tak
bilik lain yang kosong?”
“Ada,” jawab Kak Yam. “Tapi bilik tu
jauh sikit. Bilik yang hujung sekali. Bilik tu jarang sesiapa nak duduk.”
“Kenapa?” Dia mula bimbang.
“Biliknya kecil sikit. Letak pulak di
hujung sekali.”
“Tak apalah kalau orang lain tak nak
duduk, biar saya duduk. Daripada duduk dengan ‘mereka’ tu, biarlah saya duduk
seorang di situ,” balas Mardiah.
Dia sudah buat keputusan. Dia tidak
sanggup diganggu lagi oleh entah apa. Padanya cukuplah dua kali menempuh
pengalaman yang menakutkan di situ, pagi esok dia mahu meninggalkan hotel itu
secepat mungkin dan tidak akan kembali lagi ke situ. Sekarang baru dia faham kenapa
hotel itu tidak ramai pelanggan walau secantik itu hiasan dalamannya. Dia
percaya tidak ada yang berani menginap di situ lebih daripada satu malam. Itu
pun disebabkan tidak ada pilihan. Seperti dia juga. Kalau ada pilihan, dia
sendiri sudah tinggalkan tempat itu.
“Kalau sudah begitu kata, puan. Marilah Kak
Yam hantarkan ke kaunter. Kak Yam yakin Din akan benarkan.”
Mardiah cepat-cepat bangun.
******
TIDAK
LAMA
selepas itu mereka tiba di hadapan bilik bernombor 181. Kak Yam hanya
menghantar sampai di luar. Mardiah masuk dengan rasa yang lebih lapang. Sebaik
sahaja meletak punggung di atas katil barulah terasa letih yang teramat sangat.
Tetapi baru sahaja mahu melelapkan mata, dia terdengar bunyi tapak kaki
berlari-larian di hadapan pintu biliknya.
Matanya segera terbuka luas dan terarah
ke pintu. Dalam hati dia berdoa agar biliknya tidak diganggu lagi.
Krekk!! Pintu biliknya terbuka. Lampu
biliknya dipasang.
Dia yang sedang berbaring di atas katil,
terus duduk. Bagaimana boleh jadi begini? Pintu biliknya kan berkunci? Ataupun
dia terlupa tadi? Dia mula dibelit rasa kesal dan keliru semula. Kepala
berdenyut-denyut. Banyak perkara seperti tidak masuk akal. Dan dia semakin letih.
Bunyi tapak kaki mundar-mandir; kedengaran
jelas. Kemudian pintu bilik air terbuka. Akhirnya pintu bilik seperti dibuka lebih
lebar dan dibiar terbuka begitu sahaja. Suasana berubah senyap seolah-olah bilik
itu telah ditinggalkan.
Setelah dirasakan keadaan sudah selamat,
dengan terketar-ketar dia menjenguk di pintu. Koridor nampak kosong seperti
tidak ada apa-apa yang baru berlaku. Sunyi.
“Puan,” tegur Kak Yam.
Mardiah berpaling. Besar matanya apabila
terlihat Kak Yam dan Din tercegat di belakangnya.
“ALLAH!” Kerana terlalu terkejut, nama TUHAN terpacul daripada mulutnya. Lantas dia berlari sekuat hati tanpa arah tujuan. Yang difikirkan saat itu hanyalah mahu pergi dari situ secepat mungkin. Kerana apa yang dilihat sungguh menakutkan.
Bukan wajah Kak Yam. Bukan wajah Din. Tetapi wajah makhluk-makhluk
yang sangat hodoh. Wajah yang tidak pernah dilihat seumur hidupnya. Namun semakin jauh dia berlari, dia semakin keliru.
Alam
seolah-olah berubah. Tidak ada lagi lantai hotel yang dipijak. Tidak ada lagi
tangga yang pernah dijejak. Apa yang ada hanyalah hutan belantara yang tebal. Dia terpinga-pinga. Keliru dan sesat. Dalam keadaan yang tidak lagi berdaya itu, dia ternampak cahaya yang terang.
Dia berlari ke arah itu. Tibanya di situ,
bunyi azan yang sangat kuat memukul pendengarannya.
Dia jatuh ke lantai.