“ERENA AMANI!” jerit Datin Katrina dari
luar pintu bilik. Suara
wanita itu kedengaran nyaring. Bertubi-tubi wanita itu mengetuk pintu bilik
Erena. Bagai hendak pecah dikerjakan pintu itu, namun masih tiada tanda-tanda
gadis itu akan menyahut panggilannya. Budak nilah… takkanlah dah pekak kot?
Telinga dia bersumbat dengan earphoneke?
Seronok sangat dengar lagu Korealah tu. Huhh! Geramnya dia!
Datin Katrina bercekak
pinggang. Wajahnya merah menyala, umpama ditenyeh dengan cili merah. Kalau
letak bom di sebelahnya pun, mesti dia tidak akan sedar. Entah-entah, siap
berpeluk sakan dengan bom. Agaknya kalau bom meletup pun, anak gadisnya itu
masih lagi membungkus bak London
Swissroll dengan kain selimutnya.
Mengenangkan
sikap Erena yang saban hari semakin teruk itu, membuatkan kepala Datin Katrina
berputar 360 darjah celcius. Sakit kepalanya melayan karenah anak gadis
tunggalnya yang manja dan bersikap seakan kebudak-budakan itu.
Datin
Katrina melepaskan keluhan panjang. Dia menggeleng. “Subhanallah… budak ni,
matahari dah meninggi pun masih tak reti nak bangun-bangun lagi? Takkanlah nak
tunggu bulan terpacak kat atas kepala, baru nak bangun? Hisy!” bebel Datin
Katrina panjang lebar.
Lantas,
tombol pintu bilik Erena dipulas. Alangkah terkejut badaknya Datin Katrina
apabila melihat ‘pemandangan indah’ di dalam bilik Erena.
Dia mendengus keras.
“Ya ALLAH, bilik macam sarang tikus! Tak lama lagi, ada la ular sawa datang
bertandang kat dalam bilik ni. Rena… Rena…” panggilnya geram.
Datin
Katrina menggeleng apabila melihat suasana di dalam bilik Erena yang bersepah
macam sampah itu. Kain baju bersepah, macam setahun tidak berlipat. Dengan buku
yang bertaburan di atas lantai, umpama daun kering yang berlonggok di atas
jalan raya. Masya-ALLAH… perempuan apalah macam
ni? Anak aku ke ni? Bebelnya di dalam hati.
Sekali
lagi Datin Katrina menggeleng kepala apabila
melihat Erena yang masih lagi membungkus dengan kain selimutnya di atas katil.
Wanita itu menarik muka geram. “Masya-ALLAH… tak
habis-habis dengan kain selimut dia tu. Hisy, dah macam hantu bungkus!”
marahnya lagi.
Lalu,
wanita itu melabuhkan duduk di sebelah Erena. “Rena… Rena… bangun! Dah lambat
ni. Kejap lagi kan kamu ada kelas. Nanti terlambat pula. Kamu juga yang susah,”
kejut Datin Katrina sambil menggoyang tubuh Erena.
Spontan
Erena mengeliat lalu membuka sebelah matanya. Kemudian, gadis itu menutup
matanya kembali. Dengan selamba badaknya, gadis itu menarik kain selimutnya
hingga ke paras dada lalu memejamkan matanya semula.
Mulut
Datin Katrina ternganga luas. Lalu, wanita itu menarik muka geram.
“Astaghfiurlah al-azim! Budak ni, boleh pula dia tidur lagi?” bebel Datin
Katrina geram.
Lantas
wanita itu bangun lalu menarik selimut yang menutupi tubuh anak gadisnya, namun
Erena tetap membungkam di atas katil. Langsung tidak menunjukkan sebarang
tanda-tanda untuk bangun dari katil kesayangannya itu.
Datin
Katrina mendengus geram. Dia bercekak pinggang. “Hisy, sleeping beauty ni… teruk bebenor perangainya. Tak boleh jadi ni.
Makin menjadi-jadi kalau dibiarkan,” omel Datin Katrina lagi.
Datin
Katrina terdiam seketika, memikirkan cara yang paling sesuai untuk membuat
Erena bangun dari katilnya. Wanita itu mengetuk dagu. Hmm… macam mana nak buat,
ya? desis hatinya.
Tiba-tiba,
satu idea jahat menjengah ke kotak fikirannya. Spontan, bibirnya terukir
senyuman penuh makna. He he he… siap kau, Erena Amani! Hatinya tergelak
jahat.
Lalu,
Datin Katrina melangkah masuk ke dalam bilik air. Dalam masa beberapa saat, dia
keluar semula bersama sebaldi air sejuk. Wanita itu tersenyum jahat. Keningnya
terjungkit sebelah.
Dah besar panjang pun,
mama kena mandikan, ya? Ala, bucuk-bucuk… Dengan selamba kataknya, dia
menyimbah air sejuk itu ke tubuh Erena.
Erena
terkejut besar dengan tindakan mama. Apa lagi? Menggigil tubuh Erena dek
siraman air sejuk itu. Spontan gadis itu menapak bangun. Tegak gadis itu
berdiri, bak sedang menjalani latihan polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).
Datin
Katrina mengukir senyum sinis. Padan muka! Baru reti nak bangun? Haa… nilah
padahnya! Amekaw, rasakan penangan air sejuk! ejek hati Datin Katrina geram.
Kening Datin Katrina
terjungkit sebelah. Dia tersenyum mengejek. “Hah, boleh pun bangun? Ingatkan,
nak bertapa lagi kat atas katil tu. Dah kena siram dengan air sejuk, baru nak
bangun?” bebel Datin Katrina geram.
Erena
menarik muncung panjang. Lalu, gadis itu melabuhkan duduk di atas katil. “Hah,
apa ni mama? Tengok, kan dah basah. Rena nak tidur kat mana nanti?” balas Erena
sambil jari telunjuknya tertuju ke arah katilnya yang sudah basah lencun.
Datin
Katrina tergelak sinis. “Tak payah tidur sampai bila-bila, jadi robot! Matahari
dah terpacak kat langit pun, tak reti-reti nak bangun? Apa nak jadi dengan kamu
ni, Rena? Kamu tu perempuan. Kalau macam nilah gayanya, siapa nak beristerikan
kamu?
Bilik
dah macam tong sampah! Kain baju merata-rata! Buku bersepah sana-sini, macam
baru lepas kena rompak aje! Huhh, mama pun tak tahu nak cakap apa lagi. Cubalah
berubah, Rena. Kamu bukan budak kecil lagi, dah besar panjang,” bebel Datin
Katrina.
Erena
menarik muka cemberut. Lalu, gadis itu menjeling geram. Aduh, mama dah mula
membebel. Kalau dah mula tu, sampai ke malamlah aku kena menadah telinga
mendengar ceramah mama. Huhh, tidak!!! bentak Erena dalam hati.
“Ala
mama, Renakan budak lagi. Kalau dah namanya budak, mana reti nak kemas bilik,”
balas Rena tidak mahu mengalah. Siap menayang sengihan lebar lagi.
Datin
Katrina membuntangkan matanya. Siap bercekak pinggang lagi. “Kamu bukan budak
lagi, Rena. Kamu dah boleh jadi mak budak,” balas Datin Katrina geram.
Bulat
mata Erena apabila mendengar kata-kata itu. Lalu, gadis itu menarik muka
cemberut. “Mama, Rena muda trang tang tang
lagilah! Belum sampai masanya nak jadi mak budak tau,” balasnya spontan. Apalah
mama aku ni? Ke situ pula. Tak naklah aku kahwin di umur belia macam ni. Hisy!
Datin Katrina mendengus
geram. Hisy, ada aje jawapannya. Luku baru tau! Tak pasal-pasal jadi biul
terus. Hatinya membebel geram. “Dah, mama tak nak dengar apa-apa alasan lagi!
Pergi mandi sekarang, lepas tu turun bersarapan. Lepas sarapan, kemas bilik ni.
Sakit mata mama tengok tau!” arahnya tegas. Serentak itu, dia melangkah keluar
dari bilik Erena.
Erena
menarik muncung panjang. Gadis cantik itu menjeling geram. “Mama ni, ada ke
suruh aku jadi mak budak? Hisy, tak patut! Tak nak aku kahwin awal-awal ni,
buat menyemak kepala otak aje,” omel Erena geram.
Bila teringatkan arahan
mama, Erena segera menapak turun dari katilnya yang sudah basah lencun.
Sebelum
mama mula membebel, baik aku ikut arahan mama. Mama kalau dah mula berceramah,
kalah Ustazah Siti Nor Bahyah. Hisy… tak sanggup aku nak tadah telinga dengar
ceramah hebat dari mama. Lalu, cepat-cepat dia melangkah masuk ke dalam bilik
air.