DR.
QASYIFULmembuka tin Milo lalu mengambil satu sudu besar
serbuk Milo kemudian meletakkannya ke dalam cawan. Kemudian, dia membuka balang
kecil yang berisi gula. Dia mengambil satu sudu kecil gula dan meletakkannya ke
dalam cawan. Air panas yang ada di dalam cerek elektrik diambil lalu
dituang ke dalam cawan. Selesai menuang air panas ke dalam cawan, Dr. Qasyiful
membancuh minuman mengikut arah lawan jam.
Selesai membancuh minuman panasnya, Dr Qasyiful mengambil
cawan lalu membawanya ke ruang tamu. Cawan itu diletakkan di atas meja. Dia
melabuhkan duduk di atas sofa.
Dia menghirup sedikit air Milo yang panas itu, kemudian
meletakkan kembali cawan itu di atas meja. Tiba-tiba, dia mengeluh. Dia
menyandarkan tubuhnya lalu memejam mata. Dia mahu merehatkan minda seketika
setelah seharian penat bekerja. Ah, penatnya!
Sedang asyik melayani perasaannya, tiba-tiba bayangan
wajah Erena menerpa. Terus dia tersentak. Spontan, matanya terbuka
Dahinya berkerut seribu. “Apa pasal wajah Rena boleh muncul
dalam minda aku pula ni? Apa yang tak kena dengan aku ni?” Dia menampar kedua
belah pipinya berulang kali.
Tiba-tiba, wajah Dr. Aiman menerpa. Spontan, dia teringat
kembali perbualannya bersama Dr. Aiman sebentar tadi.
DR. AIMAN memandang
tepat ke wajah Dr. Qasyiful. “Kau benar-benar tekad dengan keputusan ni ke,
Qasy? Kau dah fikir masak-masak? Qasy, ni soal masa depan anak dara orang. Soal
kahwin ni, jangan dibuat main,” soalnya serius.
Dr. Qasyiful mengukir senyuman. “Man, aku dah fikir
masak-masak. Aku tekad dengan keputusan ni. Aku akan mengahwini Erena. Lagipun,
Datuk Harris dan keluarga dah banyak membantu kita. Tanpa dia, klinik kita ni
tak mungkin dapat sambutan yang menggalakan. Man, aku terhutang budi pada dia.”
Dr. Aiman mengeluh panjang. “Tapi Qasy, ini bukan cara
yang sesuai untuk membalas budi Datuk Harris. Macam-macam lagi cara yang kau
boleh buat untuk balas budi baik dia. Kau boleh tolak, jangan paksa diri. Macam
yang aku katakan, perkahwinan ni seumur hidup.”
“Tak apalah Man, aku
redha dengan takdir yang tertulis ni. Barangkali, Erena memang jodoh aku.” Dr.
Qasyiful tersenyum. Biarlah… aku pasrah dengan suratan takdir yang tertulis ni,
detik hatinya.
Dr. Aiman tersenyum kelat. “Kau dah bersedia berkahwin
dengan gadis 19 tahun? Seorang gadis muda, berperangai seakan anak kecil, manja
dan keanak-anakan? Kau tahukan Erena tu macam mana orangnya?”
Dr. Qasyiful terdiam. Hisy, soalan macam mesin gan.
Sekali tembak, keluar soalan yang susah untuk aku jawab. Tepat mengena ke
batang hidung aku sendiri. Tapi… ah, bersediakah aku? Entahlah, aku sendiri
tidak tahu.
Dr. Qasyiful menarik nafas panjang. “Macam yang aku
katakan tadi, Erena mungkin adalah jodoh yang ditetapkan oleh ALLAH SWT
untukku. Insya-ALLAH, aku akan bimbing dia sebaik mungkin bila dia sah menjadi
isteri aku.”
Dr. Aiman terdiam, tidak tahu hendak berkata apa lagi.
Akhirnya, dia mengeluh panjang. “Tak apalah Qasy, kalau itu keputusan kau, aku
tak boleh nak bantah lagi. Aku cuma mampu mendoakan yang terbaik untuk kau. Semoga
tindakan yang kau ambil adalah terbaik. Aku juga berdoa agar kau bahagia di
samping Erena.”
Dr. Qasyiful tersenyum nipis. “Amin, sama-samalah kita
doakan.”
DR. QASYIFUL tersedar
dari lamunannya apabila suara azan kedengaran bergema nyaring dari arah surau. Masya-ALLAH, jauh benar menungnya sampaikan tidak
sedar jarum jam sudah berganjak ke petang.
“Astaghfirullahalazim, dah isyak rupanya,” ucap Dr.
Qasyiful lalu meraup wajahnya. Berulang kali dia beristighfar di dalam hati
apabila menyedari ketelanjurannya sebentar tadi.