Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 3


Berkerut kening Adam memandang wanita itu. Wajahnya kelihatan tidak terurus dengan rambut yang kusut masai dan kakinya yang tidak memakai sebarang alas.

“Awak…,” Adam cuba mengingat wanita di hadapannya itu.

“Delisya. Awak hantar saya balik ek,” pinta Delisya sebelum menerobos masuk ke dalam kereta Adam. Terkebil-kebil Adam memandang Delisya.

“Cepat lah,” kata Delisya separuh mengarah. Adam pantas masuk semula ke dalam kereta. Dia mula memandu dengan seribu satu persoalan.

“Maaf lah ganggu awak. Tapi saya cuma teringat awak aje tadi. Tu sebab saya call awak,” kata Delisya dengan perasaan bersalah. Adam tersenyum hambar sambil memandang sekilas ke arah wanita itu.

“Macam mana awak dapat nombor saya?” soalnya ingin tahu.

“Awak sendiri yang beri hari tu. Awak lupa?” berkerut kening Delisya memandang lelaki itu. Adam menepuk dahinya.

Betul juga. Macam mana aku boleh lupa.

Delisya tersenyum memandang telatah lelaki itu.

“Terima kasih awak,” ucapnya dalam nada yang perlahan. Adam hanya mengangguk.

“Awak tinggal kat mana?” tanyanya pula. Sebenarnya dia hendak bertanya mengapa wanita itu kelihatan seperti baru sahaja balik dari berperang. Namun dia menahan diri apabila melihat wajah basah gadis itu.

Ingat Adam. Kau cuma doktor biasa. Bukan doktor luar biasa.

Adam menarik nafas perlahan.

“Saya tak puas hati lagi. Saya akan pastikan hidup lelaki tak guna tu menderita,” kata Delisya tiba-tiba tanpa menjawab pertanyaan lelaki itu. Adam menelan air liur yang terasa pahit.

Aduh…,tak habis lagi cerita pasal hari tu?

“Adam, saya tahu awak lelaki baik. Awak boleh tolong saya tak?” tanya Delisya separuh meminta. Berkerut kening Adam. Dia membetulkan cermin matanya.

Aku bukan sedang tolong dia ke sekarang ni?

Adam mula rasa tidak sedap hati mendengar pertanyaan wanita itu.

“To…tolong apa?” tanyanya dengan suara tersekat-sekat. Delisya tersenyum lebar.

“Tolong jadi suami saya,” jawabnya dengan penuh harapan.

“Hah!!” hampir saja Adam terlepas stereng kereta apabila mendengar permintaan wanita itu.

What the…?!

Delisya menggigit bibir melihat reaksi lelaki itu.

Melampau sangat ke permintaan aku ni?

                                 *****

Puan Hasna memandang sahaja anak lelakinya yang baru melangkah masuk ke dalam rumah.

“Dari mana?” soalnya ingin tahu. Sudah lama dia tidak melihat lelaki itu balik selewat jam itu.

“Mama tak tidur lagi?” soal Adam tanpa menjawab. Dia duduk di sofa yang berdepan dengan wanita itu.

“Tak dapat tidur bila dengar kereta Adam keluar dari garaj tadi. Pergi mana? Ada emergency ke?” soal Puan Hasna lagi.

“Tak. Tadi hantar kawan balik rumah,” jawab Adam perlahan.

“Jam 1 pagi?” soal Puan Hasna yang jelas terkejut.

“Dari mana pula kawan Adam tu? Lelaki ke perempuan?’ soalnya lagi ingin tahu. Adam tergelak kecil.

“Perempuan mama. Adam naik dulu,” katanya sebelum bangun dari sofa lantas melangkah naik ke tingkat atas.

Perempuan?

Puan Hasna tersenyum lebar.

Alhamdulillah.

                                *****

Adam hanya berpeluk tubuh memandang Ekram yang sedang tergelak besar di hadapannya. Beberapa orang mula memandang mereka.

“Wei, kalau lah aku ni penulis, aku dah karang kisah kau ni jadi novel. Lawak gila wei,” kata Ekram sambil menyambung gelaknya semula. Adam menarik nafas dalam cuba menenangkan dirinya.

Aku siku juga mamat ni.

“Delisya tu mesti dah jatuh hati dengan kau. Kalau tak, mustahil dia call kau kan?” soal Ekram agak teruja. Adam mengeluh perlahan.

“Kau lelaki bertuah Dam. Jangan lepaskan peluang ni,” sambung Ekram lagi separuh mengusik.

“Kau jangan nak merepek lah,” balas Adam sambil membetulkan rambutnya.

“Mungkin kau adalah lelaki terpilih. Maksud aku, lelaki teragung macam tajuk lagu tu,” usik Ekram lagi sambil tergelak kecil. Adam hanya menggeleng mendengar usikan sahabatnya itu. Teringat semula kata-kata terakhir Delisya sebelum dia berlalu pulang malam tadi.

“Saya akan cari awak kat hospital. Cuma awak yang boleh tolong saya doktor Adam.”

Adam menggeleng sambil meraup wajahnya perlahan.

Aku boleh jadi gila kalau macam ni.

                                 *****

“Serius?” soal Farah sambil memandang sahabatnya itu dengan riak wajah yang kurang percaya. Adam mengangguk perlahan.

“Patut lah Ram tak henti kata kau lelaki bertuah,” beritahu Farah sambil tergelak kecil. Berkerut kening Adam memandang gadis itu.

“Kau pun nak gelak kan aku?” soalnya mula geram.

“Sorry. Aku bukan tak simpati dengan kau. Aku sebenarnya masih tak percaya. Macam mana gadis tu boleh ajak kau kahwin?” soal Farah sebelum menyambung gelaknya semula. Adam hanya menggeleng melihat telatah rakannya itu.

“Dia mabuk kot,” balasnya perlahan.

“Maksud kau?” soal Farah kini dengan riak wajah yang terkejut.

“Semalam tu aku ambil dia depan kelab,” beritahu Adam sambil mengeluh perlahan.

“Tak mungkin. Kalau dia masih boleh call kau, mustahil dia mabuk. Aku dengar perempuan tu janda kan? Dia ada masalah kot dengan bekas suaminya,” teka Farah. Adam hanya diam membisu mendengar tekaan gadis itu. Dalam diam timbul rasa bimbang pada Delisya. Bagaimana jika wanita itu melakukan sesuatu yang buruk sekiranya dia tidak menurut permintaannya? Semalam dia dapat melihat dengan jelas wajah terdesak wanita itu. Delisya seperti ingin larikan diri daripada seseorang.

“Kau jangan lah fikir sangat hal ni. Pesakit memang banyak ragam,” kata Farah separuh menasihati. Adam hanya mengangguk. Dia memang maklum akan hal itu. Namun pesakit yang ini benar-benar membuatnya tidak keruan.

“Nasib baik gadis hari tu tak kejar kau macam Delisya tu. Kalau tak memang susah kau nak hadap,” sambung Farah sambil tergelak kecil. Adam hanya tersenyum. Betul kata Farah. Seorang ini pun dia sudah tidak keruan apatah lagi dua orang gadis yang ditemuinya sebelum Delisya. Adam menarik nafas panjang.

                                 *****

Datuk Ridhuan menggeleng perlahan memandang tingkah laku anak tunggalnya itu.

Degil!

“Bella gaduh dengan Khai ke? Kenapa tiba-tiba nak tangguh majlis pula?” soalnya dengan nada lembut. Dia yakin gadis itu ada sebab tersendiri mengapa dia mengambil keputusan sedemikian. Dia kenal sangat dengan anak daranya itu. Gadis itu tidak akan sesekali bertindak tanpa sebab. Bella menarik nafas berat.

“Ni nasib baik Bella tangguh aje tau. Macam mana kalau Bella batalkan?” soalnya pula tanpa menjawab pertanyaan papanya.

“Tapi kenapa? Papa nak tahu sebabnya,” soal Datuk Ridhuan lagi dengan riak wajah yang tidak puas hati.

“Bella belum bersedia papa,” jawab Bella perlahan. Dia mengeluh.

Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Nasib baik aku ekori lelaki tak guna tu hari tu. Kalau tak, sampai bila-bila aku tak tahu. Perempuan cantik macam aku ni tak layak untuk lelaki kemaruk macam kau, Khairul!!

Bella meraup wajahnya. Berkerut kening Datuk Ridhuan memandang gadis itu.

Ni mesti ada yang cuba Bella sembunyikan daripada papa.

Bisik hati kecilnya.

“Papa tolong bincang dengan keluarga Khai. Sorry papa. Bella bukan saja susahkan papa. Tapi Bella juga dah malukan keluarga kita,” ucap Bella dengan perasaan bersalah. Datuk Ridhuan menarik nafas dalam.

“Tak apa. Pasal tu Bella tak payah risau. Tahu lah papa nak urus nanti. Bella tu jangan lah dulu turun ke Cafe. Nanti tak pasal-pasal balik semula ke hospital,” nasihatnya lembut. Bella mengangguk tersenyum.

Wait, hospital?

Kening Bella terangkat apabila teringat semula doktor tinggi lampai yang bernama Adam.

Erm, rambut belah tengah dan cermin mata. Eeii! Bukan taste aku lah. Tapi, doktor tu baik. Sangat baik hati.

Bella tersenyum jahat.

Datuk Ridhuan hanya menggeleng melihat telatah gadis itu. Sekejap mengeluh, sekejap tersenyum.

                                  *****

Chinta mengggengam penumbuknya apabila melihat kelibat lelaki itu yang turut serta dalam rombongan lawatan dari hospital ke sekolah mereka. Rombongan tersebut sedang menjalankan check-up untuk para pelajar mereka. Marwah yang melihat rakannya sedang berdiri tegak memandang Nazri yang sedang berbual dengan beberapa orang pelajar pantas menghampiri gadis itu.

“Kau kena bersabar. Ni sekolah bukannya gelanggang,” bisiknya di telinga gadis itu dengan perasaan bimbang. Chinta menarik nafas perlahan.

Good girl,” puji Marwah dengan perasaan lega.

“Cikgu, boleh tak saya minta rekod kesihatan untuk pelajar ni?” soal seseorang. Chinta dan Marwah berpaling serentak menoleh ke arah datangnya suara tersebut. Adam tersenyum manis sambil menghulurkan fail.

“Oh, okay. Sekejap ya,” kata Marwah sambil menyambut fail tersebut. Dia berlalu masuk ke dalam bilik guru semula. Lama Chinta memandang lelaki di hadapannya itu. Adam hanya tersenyum membalas pandangan gadis itu.

“Doktor Adam?” soal Chinta. Senyuman Adam perlahan menghilang.

Wait, aku macam…,

Chinta tergelak kecil.

“Adam, saya Chinta. Dah lupa? Hari tu kat hospital? Yang ajak awak kahwin tu? Ingat tak?” soalnya bertalu agak teruja bertemu semula dengan lelaki itu. Adam berdehem perlahan.

“Ya saya ingat. Cikgu…”

“Panggil Chinta aje. Saya nak minta nombor doktor. Nanti ada masa, saya akan lawat doktor kat hospital,” kata Chinta dengan nada kuat supaya Nazri yang duduk tidak jauh dengan mereka dapat mendengarnya. Adam membetulkan cermin matanya. Dahinya mula berpeluh. Bulat mata Marwah memandang kedua-duanya.

Sejak bila pula minah ni pandai menggatal.

Dia pantas menghampiri.

“Doktor, ni fail tu. Doktor tak payah layan sangat cikgu Chinta ni ya. Dia cuma bergurau,” katanya sambil menyiku lengan Chinta. Chinta hanya mencebik.

“Tak apa. Awak ceria macam ni maknanya awak dah sihat. Awak jangan ulang lagi kesilapan lalu. Saya tak nak jumpa awak luka-luka lagi kat hospital,” balas Adam separuh menasihati sebelum berlalu. Chinta terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dia hanya memandanglangkah Adam berlalu.

“Kecilnya dunia ni,” katanya perlahan.

“Tahu tak apa,” balas Marwah separuh menyindir. Chinta tergelak kecil mendengar jawapan gadis itu.

Doktor Adam. Doktor Nazri. Okay, aku tahu nak buat apa.

Chinta mula tersenyum jahat.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.