Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 10



Di antara tumit dan buku lali Hardy mengalami keretakan kesan jatuh dan terlipat pergelangan kaki. Dengan sebelah kaki yang bersimen memang sangat tidak selesa untuk dia bergerak. Terpaksa menggunakan tongkat yang diselitkan di celah ketiak. Setelah dua hari berada di hospital pakar, Hardy dibawa pulang. Doktor tidak terlalu khuatir kerana ia hanyalah kes kecil saja.

Puan Suzi hanya dapat melayani Hardy untuk sehari. Ada tugasan pejabat yang penting perlu diselesaikan. Terpaksalah Sulastri dan Rukiah yang menghadap Hardy yang banyak kerenah. Seperti budak tadika! Keletihan Sulastri berganda-ganda apabila terpaksa memenuhi setiap kemahuan Hardy. Rukiah tidak begitu dibebani kerana dia memang pandai membodek.

“Bik...buatkan aku puding.”

Dalam keadaan sakit barulah nada suara Hardy agak rendah apabila bercakap dengan Sulastri. Jika tidak, Sulastri hampir pitam setiap kali mendengar herdikan dan tengkingannya. Kalaulah dia sudah mempunyai tabungan yang banyak, mahu saja dia balik ke Indonesia daripada setiap hari terpaksa berhadapan dengan singa lapar itu.

Sulastri bergegas ke dapur. Dia mesti pantas. Jika tidak Hardy akan naik angin lagi. Kadang-kadang Sulastri berasa hairan apabila membandingkan Hardy dengan kedua orang tuanya. Tuan Daniel dan Puan Suzi tinggi budi pekertinya. Mereka tidak sombong. Juga sangat perhatian. Bererti kuah tidak sempat tumpah ke nasi, sudah berjejeran di lantai dan hasilnya adalah Hardy.

“Apa pandang-pandang? Ketawakan aku ya?” Tidak padan dengan kakinya yang retak, masih ada hati mahu memarahi Nadira. Nadira yang berdiri di anak tangga geleng lagi. Menafikan.

“Kau sakit ke?”

Nadira...Nadira, sikap prihatinnya akan membuat Hardy naik darah lagi. Niatnya memang baik, mahu berkawan dengan Hardy. Tinggal sebumbung tidak perlu bermusuhan. Itu kata Nadira. Apa pula kata Hardy?

“Mata kau buta ya? Kalau dah bersimen-simen macam ni memanglah sakit. Ini semua sebab kaulah!” Hah! Hardy memang tidak ada hati untuk berdamai.

Memandangkan Hardy bersikap dingin, Nadira malas bertanya lagi. Dia menghampiri piano lalu menarik kerusi untuk meletakkan punggungnya. Hardy memandang dengan tidak puas hati. Tidak minta izin, berani pula menyentuh piano kesayangannya.

“Eh! Budak kampung, bangun dari situ!” spontan Hardy melemparkan tongkat ke badan Nadira.

Nadira melompat dari duduknya. Tongkat melayang nyaris-nyaris berlaga dengan dahinya. Tiba-tiba Nadira terlalu geram. Tongkat disepak jauh dari Hardy. Dia sakit hati bila Hardy sudah terlalu kerap memanggilnya budak kampung. Hardy memang suka menghina. Nadria tidak faham, salahkah menjadi budak kampung?

“Beraninya kau! Melawan! Ambik tongkat aku tu!” arah Hardy sambil menuding tongkat yang sudah berada di bawah piano.

“Ambik sendiri!”

Nadira membantah. Disebabkan Hardy bertongkat maka Nadira menjadi agak berani. Dia sudah penat dilayan dengan buruk. Sejak hari pertama menjadi ahli keluarga orang kaya, hidupnya tidak pernah aman lagi. Kalau begitu lebih baik terus menjadi budak miskin tetapi disayangi.

“Kau degil! Mama pulangkan kau ke rumah anak yatim, nak?” ugut Hardy apabila Nadira mengengkari arahannya.

Nadira masih tegak di hadapan Hardy yang hanya mampu duduk di atas sofa. Jika dia bangun tanpa bertongkat akan terasa sakit dan ngilu. Nadira tidak takut dengan ugutan Hardy. Baginya itu adalah lebih baik daripada setiap hari terpaksa hidup dengan seekor anak singa

‘Bagus jugak kalau aku dihantar balik ke Al-Mustaqim. Kat sana tak ada orang buli aku. Baik aku terus buat dia marah!’ bisik Nadira merancang sesuatu.

“Aku lagi suka tinggal kat rumah anak yatim! Tak ada budak jahat macam kau. Kalau ada pun nakal sikit je...macam Zariq!”

Nadira semakin berani. Dia sengih. Mengejek Hardy. Seronok pula dapat mengenakan Hardy yang hanya tinggal sebelah kaki. Seperti orang cacat.

“Kau tak akan dapat makan sedap lagi!” ejek Hardy dengan harapan Nadira akan lemah hati dan bersetuju untuk mengambilkan tongkatnya. Dia mahu ke tandas untuk buang air.

“Tak sedap tak apa...tak sedap pun aku selalu makan banyak. Sebabnya aku makan dengan budak-budak baik. Kat sini aku tak selera makan sebab asyik tengok muka kau.” Omel Nadira dengan lancar.

Hardy menghenyakkan badannya ke sofa. Kehilangan kata-kata. Terasa Nadira sudah berubah dalam sekelip mata. Dalam sikapnya yang pemalu, kuat melawan juga dia. Hardy mengambil masa untuk berfikir. Apa yang mahu dilakukannya selepas itu. Dia tidak boleh beralah hanya dengan budak kampung. Walaupun comel tetap juga budak kampung dan yang pasti Nadira adalah musuhnya.

“Bibikkk!” jerit Hardy tanpa malu.

Dia merasakan dialah tuan di rumah itu. Seorang tuan bebas berbuat apa saja terhadap seorang yang dianggap kuli. Tidak perlu hormat kepada orang lain. Orang tuanya memiliki rangkaian pasaraya yang terdapat di seluruh Malaysia. Sedangkan Sulastri habuk pun tidak ada.

Kata papanya, keuntungan dan pertumbuhan perniagaan meningkat saban tahun. Walaupun Hardy tidak begitu memahami semua itu, satu perkara yang dia tahu. Apa yang dia tahu, itu semua adalah DUIT. Apa saja kehendak dan kemahuan Hardy dituruti. Tidak sabar untuk dia menunggu usia menginjak 18 tahun. Tuan Daniel telah menjanjikan sebuah kereta untuknya.

“Ya tuan muda...maaf, pudingnya belum siap. Bahannya tak cukup, tuan muda. Bibik mau cakap, takut.”

Saat yang Sulastri paling tidak suka adalah apabila Hardy memanggilnya dengan nada yang tinggi. Itu bermakna ada yang tidak kena. Angin puting beliung sudah mahu menyerang kediaman mewah itu lagi. Ia dinamakan tiupan angin jahat Hardy.

“Aku tak tanya puding! Ambikkan tongkat aku tu bik!”

Bibirnya muncung menghala ke arah tongkat. Sulastri agak lega kerana bukan puding yang diminta. Pembantu dari seberang itu bergerak pantas, membongkok lalu mencapai tongkat di bawah piano.

“Kau pegang budak kampung tu bawak ke sini!”

“Untuk apa tuan muda?”

“Jangan tanya! Aku kata bawak dia ke sini!”

Hardy membentak lagi. Hardy seorang yang dipenuhi dengan kemarahan. Arahannya terpaksa dituruti lagi. Jika tidak dia akan terus membentak-bentak dan menjerit seperti orang yang kurang akal.

Sulastri menarik Nadira dan Nadira membiarkan saja. Dia tidak mahu melihat wanita tua itu terus ditengking oleh budak jahat yang tidak tahu menghormati orang tua. Sulastri telah mengingatkan Nadira tentang Mak Som. Mungkin usia mereka dalam lingkungan yang sama.

“Dekat lagi!”

Hardy masih tidak puas hati apabila mereka berdiri agak jauh. Tidak betul-betul di depannya. Sulastri dan Nadira bergerak beberapa tapak lagi. Kepala Nadira ligat memikirkan apa yang Hardy mahu lakukan.

“Adoi!”

Belum selesai Nadira berfikir, kaki tongkat telah dihayun ke perutnya. Sulastri terkejut bukan kepalang. Nadira apatah lagi. Hardy mengumpul tenaga dan melakukan dengan semahu-mahunya. Senak perut Nadira. Cepat-cepat Sulastri menarik Nadira agar berundur sedikit.

“Sini!” Hardy masih tidak puas hati. Sulastri dan Nadira mematikan diri.

“Kau memang tak gunalah bibik!”

“Rukiahhh! Rukiahhh!”

Jeritan Hardy boleh membuat orang yang jelas pendengaran menjadi pekak. Yang sihat menjadi sakit. Sakit hati! Mungkin juga orang yang sedang tenat akan terus mati. Apabila bibik mula engkar, Rukiah kaki ampu pula dipanggil.

Rukiah yang sedang berkemas di tingkat atas memang bertelinga lintah. Sebaik mendengar, dia bergegas turun. Dia yakin ada tugasan yang Hardy akan berikan. Tidak beroleh duit tidak mengapa, asalkan kepercayaan Hardy terhadapnya tetap utuh.

Apa yang penting dia mahu majikannya melihat dia jauh lebih baik dan lebih patuh berbanding Sulastri. Kembang hatinya apabila Hardy selalu memujinya di hadapan Tuan Daniel dan Puan Suzi. Sudah tentu khidmatnya akan diteruskan dengan menyambung permit kerjanya di Malaysia.

Dia menuruni tangga dengan laju. Pijakannya pada mata tangga dilangkau satu supaya cepat sampai. Dia yang jauh lebih muda berbanding Sulastri sudah tentu boleh bergerak dengan pantas.

“Tuan muda...” Melihat Rukiah sudah berada di hadapannya, lebar senyuman Hardy.

“Bibik boleh ke dapur sekarang.” Arah Hardy.

Berat hati Sulastri untuk pergi. Tidak sampai hati melihat Nadira dibuli lagi. Nadira pula tidak berganjak dari tempatnya. Dia tidak berniat untuk lari menyelamatkan diri. Biar Hardy melakukan apa saja ke atasnya. Jika dia lebam-lebam atau luka, akan lebih mudah baginya untuk meminta Tuan Daniel dan Puan Suzi menghantarnya balik ke Al-Mustaqim.

“Pergilah bibik!” arah Hardy lagi apabila Sulastri tetap berdegil.

Kali ini dia terpaksa beredar apabila melihat mata Hardy mula melotot. Singa lapar itu semakin dirasuk oleh kesombongannya. Terkedek-kedek semasa dia datang, terkedek-kedek juga sewaktu meninggalkan tempat itu. Dia berlalu sambil memikirkan untung nasib Nadira selepas itu.

“Bawak ke sini budak kampung tu, Rukiah. Pegang dia kuat.” Tanpa banyak soal, Rukiah terus patuh. Badan kecil Nadira diheret di hadapan Hardy.

“Rasakan!”

Seperti tadi, kaki tongkat dihenyak semula ke perut Nadira dengan kuat. Senak lagi perutnya. Nadira menyeringai mehanan sakit. Apabila terfikir untuk lari, Rukiah memegangnya lebih kuat. Sengihan jahat Rukiah memang menyakitkan hati.

Setiap kali Hardy menghayunkan tongkatnya, Nadira menutup muka dengan tangannya. Terasa ngeri. Bila tongkat singgah pada perutnya. Nadira mengaduh kesakitan. Terasa hendak muntah Pegangan Rukiah pula bertambah kuat. Dasar! Rukiah memang tidak sedar diri. Hanya pembantu rumah mahu bersikap seperti Hardy. Bukankah lebih baik sikap Sulastri yang dicontohi.

‘Tak tahannyaaa! Sakittt!’

Nadira tidak tahan lagi. Perlahan-laham kelopak matanya terasa berat. Ruang tamu seperti sedang berpusing. Berpeluh-peluh badan Nadira. Pening dan mual. Tidak lama kemudian Nadira rebah ke lantai. Lembik tidak berkutik. Rambut keriting bergulung di hujung menutupi sebahagian mukanya.

Hayunan tangan Hardy terhenti. Memandang Nadira lama. Dadanya berdegup kencang. Kalaulah orang tuanya balik pada tengahari itu, akan terbongkarlah kejahatannya. Dia bingung dan tidak tahu apa yang mesti dilakukan. Rukiah turut ketakutan.

‘Di...dia ma...mati ke?”

Hardy kelam-kabut. Rukiah geleng. Mulalah dia membayangkan akan dibuang kerja kerana bersubahat dengan Hardy. Dihantar balik ke Indonesia bererti dia tidak akan dapat membuat sebuah rumah yang besar untuk keluarganya di sana.

“Saya...saya pergi dulu ya, tuan muda. Kerjanya masih belum beres.”

Tanpa menunggu sahutan Hardy, Rukiah terkocoh-kocoh pergi. Naik ke tingkat atas dan meninggalkan Hardy sendiri. Hardy hanya mampu menyumpah dalam hati.

Badan Nadira dikuis dengan hujung tongkat. Masih tidak bergerak. Hardy berusaha untuk bangun dengan bantuan tongkatnya. Berjalan mengelilingi Nadira dengan hati yang tidak menentu. Rasa hendak membuang air yang ditahankan sejak awal tadi mulai terasa semula. Mungkin kerana rasa takutnya.

“Bibikkk.” Laungnya. Kali ini Sulastri cepat sampai. Laungan Hady yang kuat memang mudah didengar dari dapur.

“Looo...kenapa dengan Nadira?” Sulastri panik apabila melihat keadaan Nadira. Matikah?

“Tak tau. Bibik bagi dia sedar ya. Aku nak buang air.” Dengan rasa sedikit bersalah dan takut, Hardy berlalu. Berjalan dengan susah-payah menuju ke bilik air.

“Nadira....” Sulastri cemas. Dia merasai denyut jantung Nadira. Huuu...lega apabila masih terasa ombak nafas Nadira.

Cepat Sulastri berlari anak untuk mengambil segelas air masak di dapur. Dia keluar semula dengan muka yang masih cemas. Dituang sedikit air ke tapak tangan lalu disapu ke muka Nadira. Uban-ubun budak perempuan itu turut dibasahi dengan air.

“Nadira...bangun, Nadira.” Muka Nadira ditepuk-tepuk perlahan. Sulastri berharap dia akan cepat sedar. Sebak hati Sulastri melihat anak sekecil itu diperlakukan dengan sesuka hati.

“Nadira! Nadira!” panggil Sulastri lagi.

“Arhhh...sakit.” Terdengar erangan perlahan dari bibir Nadira. Bibir itu bergetar-getar sedang matanya masih belum terbuka.

Sulastri lega. Sekurang-kurangnya Nadira masih bernyawa. Diangkatnya badan Nadira yang kecil lalu dibaringkan di atas sofa. Sulastri mengusap rambut budak kecil itu sambil melepaskan keluhan yang dalam.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.