Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 14



Zariq menarik dan melepaskan nafas berkali-kali. Malam itu tidurnya tidak lena. Seakan ada yang mengganggu. Setiap kali tersentak, ingatannya terus menerpa kepada Nadira. Sudah tiga kali dia cuba menyambung tidur yang terganggu. Kesudahannya Zariq tidak dapat melelapkan mata.

“Apa kena dengan kau ni?” Tajol yang tidur di tingkat bawah katil double decker turut terjaga apabila mendengar igauan Zariq.

“Entahlah...aku asyik teringatkan Nadira je. Berdebar-debar je.”

“Ermmm...Jol, kau boleh temankan aku pergi belukar tak?” soal Zariq. Tajol yang sedang baring terus duduk. Menggosok mata yang masih kelat.

“Kau dah gila ke? ni bukan siang tau! Itulah masa Nadira pergi kau menyorok. Kesian dia.” Temannya mengambil kesempatan menempelak sikap Zariq.

Zariq turun dari katil. Dihumban kain selimut dengan keras. Tanpa menghiraukan Tajol, dia keluar dari bilik. Suasana lewat malam menjelang Subuh sangat sepi. Tidak ada bunyi cengkerik atau sang kodok memanggil hujan. Zariq memerhati sekitar ruang tamu rumah. Di situ tidak kelihatan sesuatu yang menyenangkan.

Pintu hadapan rumah dikuak luas. Terasa angin dingin menerpa dan menampar-nampar kulitnya. Sejuk dan nyaman. Zariq terus melangkah keluar, menuju ke pangkin kayu yang terletak di penjuru rumah Al-Mustaqim. Kakinya diangkat naik, kain pelikat yang dipakai dijadikan kelubung supaya dingin angin tidak terlalu menyucuk. Dagunya diletakkan di atasa kepala lutut.

“Nadira...terasa lama sangat kau tinggalkan rumah ni walaupun baru seminggu kau pergi. Bila kau tak ada, aku tak rasa seronok lagi duduk sini. Kau ingat aku lagi ke Nadira?” Zariq meluahkan betapa tidak gembiranya dia sejak Nadira meninggalkannya.

“Weiii! Cakap sorang-sorang ya?” Tiba-tiba Tajol muncul. Kain pelikatnya sudah ditarik menutupi kepala.

“Sibuklah kau!”

“Kau punya pasallah dah terencat tidur aku. Tak sudah-sudah mengigau.” Balas Tajol geram.

“Jol...aku rasa nak cari Nadiralah kat Kuala Lumpur tu. Apa kata kau?” Kata-kata Tajol tidak diambil pusing. Dia tidak peduli. Apa yang ada dalam pemikirannya hanya Nadira.

“Ah! Gilalah kau. Pergi Kuala Lumpur pun tak pernah...macam mana kau nak cari dia?” Tajol duduk di sebelah Zariq. Zariq beralih sedikit supaya masing-masing dapat duduk dengan selesa.

“Aikkk...dari tadi kau asyik kata aku gila je!” Gelihati pula Zariq. Tajol sengih.

“Aku rasa nak ke belukarlah. Kau nak ikut?” ulang Zariq. Pertanyaan yang sama dan masih diajukan kepada orang yang sama.

Tajol memerhati sekeliling. Masih gelap dengan hanya dilimpahi cahaya bulan. Dia tidak pasti apa tujuan Zariq mahu ke belukar pada waktu seperti itu. Jika Haji Embong tahu tentu orang tua itu akan bising. Mereka berdua akan menjadi contoh budak nakal Al-Mustaqim. Bukan Haji Embong mahu mengongkong tetapi keselamatan setiap penghuni di rumah itu menjadi tanggungjawabnya yang perlu digalas.

“Tertangkap dengan ayah macam mana?” Tajol gusar.

“Ayah dah lena tu. Sebelum masuk Subuh kita baliklah.”

“Kau ni betul-betul gi...opsss, sorry...sorry nak terulang lagi pulak.”

Tajol ketawa. Zariq mahu mengetuk kepalanya tetapi cepat ditepis oleh Tajol. Duduk Tajol berundur sedikit supaya tangan Zariq tidak akan sampai pada kepalanya.

“Kau nak buat apa? Nak cari apa kat belukar tu? Dah tak ada kerja lain ke?” Bertalu-talu soalan meluncur dari mulut Tajol. Kemudian dia menguap besar.

“Entahlah...aku rindu Nadira.”

“Aku pun! Semua kawan kita rindukan Nadira jugak. Dia kan tukang hidang makanan setiap kali waktu makan. Sekarang ni bila orang lain yang hidang, rasa lain. Macam tak selera je aku nak makan.” Wajah Tajol serius.

Badan bulat Tajol dipandang lama oleh Zariq. Sejak dia mengenali teman sekatilnya itu, Tajol memang bulat. Tidak kira pada bulan-bulan biasa atau pada bulan puasa, saiznya tidak pernah susut. Apa yang Zariq tahu Tajol kelihatan seperti seorang yang sangat bahagia.

Tajol jarang bersedih biar pun mereka senasib. Belum pernah dia bercerita tentang keluarganya. Zariq pernah terdengar Haji Embong memberitahu Mak Som, Tajol masih mempunyai saudara mara tapi tidak ada yang ambil tahu. Dia masuk ke Al-Mustaqim dua tahun terkemudian daripada Zariq.

“Yang hari-hari mintak nasi tambah dari Mak Som tu siapa? Bukan engkau ke, Jol? Tak selera konon!”

Zariq membayangkan mulut Tajol yang penuh dengan kunyahan yang laju. Belum sempat hancur, nasi sudah ditelan. Tidak sampai lima minit pinggan sudah licin tanpa makanan yang bersisa. Selepas itu pinggan dihulurkan pada Mak Som semula untuk meminta nasi tambah.

Ketawa Tajol meledak besar. Dia tidak menafikan usikan Zariq. Memang betul apa yang temannya itu katakan. Dia sendiri tidak faham mengapa seleranya selalu ada. Tidak kira dia sedang gembira atau susah hati.

Kadang-kadang apabila sedang bermasalah, dia akan cuba melupakan masalah itu dengan banyak mengingati tentang makanan dan makan. Apabila mulutnya sibuk mengunyah, fikirannya akan dapat melupakan masalah itu.

“Maksud aku...masa ada Nadira, aku tambah tiga kali. Dia tak ada, aku bertambah dua kali je.”

Tajol mencari alasan yang lain setelah disindir oleh Zariq. Sudahnya mereka sama-sama ketawa. Zariq tidak mahu memanjangkan perkara itu. Apa yang berada dalam ingatannya hanya Nadira dan Nadira. Juga pada belukar yang terletak di belakang Al-Mustaqim.

“Jol, aku nak ke belukar. Kau cover aku ya, jangan sampai ayah tau.”

“Tak rocklah macam ni! Aku ikut sekali. Aku ni nak sangat tau apalah kena mengenanya belukar tu dengan Nadira. Bila ingat Nadira je, ingat belukar. Bila pergi belukar je, ingat Nadira. Pelik kau ni.”

“Tak ada apalah. Kita semua kan selalu pergi sana.” Jelas Zariq yang sudah turun dari pangkin. Tajol pun cepat-cepat menggerakkan punggungnya. Kakinya dijulurkan untuk menyarung selipar di atas tanah.

“Pernah tak kau pergi berdua tanpa Mak Som tau...kau dua orang curi-curi ke? hiii...bahayanya!”

Zariq menguis sebelah selipar yang belum disarung oleh Tajol. Sengaja melakukannya kerana rimas dengan Tajol yang banyak mulut. Tajol berjalan ting-ting kerana untuk mengambil selipar yang tercampak agak jauh. Zariq puas hati. Kadang-kadang dia kaki buli juga di Al-Mustaqim tetapi ramai yang mahu mendekatinya. Dia budak nakal yang baik hati.

“Merepeklah. Bukan kau tak pernah bagi aku peluang ke berdua-dua dengan Nadira? Pantang kami nak gerak sikit mulalah kau menggelisah. Mengekor je!” ejek Zariq. Tajol menggaru kepala sambil sengih.

“Kalau kau nak ikut jugak, masuk kejap ambik torchlight dengan jam loceng.” Malas Zariq memanjangkan tentang Nadira lagi. Membuang masa saja.

“Jam loceng nak buat apa?

“Dah kita tak ada jam tangan, guna jam locenglah. Tak adalah kita terbabas sampai waktu Subuh. Kalau tertangkap dengan ayah, mati kita!”

Zariq terpaksa juga menerangkan kepada Tajol yang banyak tanya. Menyusahkan saja Tajol. Kalau dia ke belukar sendiri, tidak payah dibazirkan air liurnya untuk menjawan bermacam-macam persoalan dalam diri Tajol. Tajol dan Midi hampir sama saja kerenahnya. Suka banyak tanya.

“Kenapa kau tak pergi pagi je? Kan senang, tak payah nak menyuluh...tak payah usung jam loceng.”

“Adoiii...banyaknya soalan. Biar aku jelah ambik. Kau jangan ikut!” Zariq naik geram. Tajol tidak peduli. Dia terus membuntuti Zariq.

Sudahnya Zariq membiarkan saja. Malas mahu melayan ragam Tajol. Hendak ikut, ikutlah. Tidak mahu, sudah. Apa yang pasti Tajol tetap mahu bersamanya. Sejak berada di A-Mustaqim, Tajol mempelajari kenakalan daripada Zariq. Apa saja yang Zariq lakukan sudah pasti dia mahu turut serta. Apa yang Zariq larang, tetap juga mahu dilakukan. Yang penting dia bersama Zariq.

Pada fikiran Tajol yang masih mentah, bila nakal akan rasa bebas. Bila nakal, tidak akan ada yang berani mengganggu. Bila nakal akan menjadi perhatian. Dia hanya ikut-ikutan. Baginya Zariq adalah ketua walaupun Zariq tidak pernah beranggapan seperti itu.

Senakal-nakal Zariq dia tetap menghormati Haji Embong dan Mak Som. Dia menganggap mereka sebagai pengganti kedua orang tuanya. Merekalah tempatnya menumpang kasih sayang. Sebab itulah Zariq bercita-cita akan menyenangkan hati Haji Embong yang semakin tua itu.

“Tutup semula pintu tu rapat-rapatlah weiii!” Ditepuk bahu Tajol lalu Tajol menarik daun pintu dengan rapat.

“Hah! Sudah. Cepat sikit,” lalu Zariq berjalan mendahului Tajol.

Mereka menghala ke belakang rumah. Melangkahi batas-batas sayur yang diusahakan oleh penghuni Al-Mustaqim dengan bimbingan dari Haji Embong.

“Kau langkah...jangan pulak pijak sayur-sayur tu. Mengamuk ayah nanti.” Zariq mengingatkan apabila melihat langkah Tajol yang kelam-kabut.

“Aku taulah.” Balas Tajol.

Sampai di hadapan pintu pagar kayu, Zariq membukanya. Dia terus berjalan berpandukan cahaya lampu suluh. Sorotan cahaya lampu suluh dihalakan ke sana dan ke mari untuk melihat keadaan sekeliling. Sesekali terdengar lolongan anjing yang kurang jelas. Mungkin anjing kepunyaan peniaga Cina di pekan Ulu Telom.

“Hah! Apa yang kilat-kilat tu.” Tajol hampir melompat lalu memeluk Zariq.

“Haishhh! Gelilah!”

Badan Tajol ditolak kuat. Kerana badannya yang bulat-bulat comel maka tolakan Zariq tidak berjaya mengalihkan Tajol jauh-jauh. Hanya berganjak sedikit saja sementara tangannya masih berpaut pada lengan Zariq.

“Alahai rimasnya akuuu...mengalahkan perempuan! Orang dah kata tak payah ikut, nak ikut jugak!” marah Zariq lalu menepis-nepis tangan Tajol.

“Aku bukan apa...terkejut je!” alasan seorang budak nakal yang menggelikan hati Zariq.

Zariq menyuluh ke tempat yang dimaksudkan oleh Tajol. Sahih! Apa yang dikatakan Tajol bukan mainan perasaannya. Ia juga dapat dilihat dengan jelas oleh Zariq. Dia mengamatinya lalu tersengih sendiri. Dasar...Tajol memang gagah dari saiz tubuhnya tetapi hatinya kecil. Seperti hati nyamuk.

“Kata orang kampung, dengan mata Burung Hantu pun takut. Agaknya Burung Hantu tu tengah ketawakan kau.”

Setelah yakin dengan kata-kata Zariq, barulah Tajol menjauh. Legaaa. Kaki mereka sudah melangkah memasuki belukar. Zariq berjalan dengan mudah kerana dia telah memahami selok-belok belukar itu. Hanya Tajol yang masih ragu-ragu dan tidak yakin dengan keberaniannya sendiri. Dirinya lebih dikuasai oleh rasa takut.

“Kau tau kenapa aku suka ke sini?”

“Entah!” sahut Tajol dengan malas.

“Aku akan rasa lega kalau datang sini bila aku teringatkan Nadira. Kadang-kadang aku menyesal sebab masa dia pergi, aku tak ucap selamat jalan pun. Mesti Nadira sedih.”

Kesalan Zariq tidak berguna lagi. Masa sudah pun berlalu. Kenyataannya Nadira sudah gembira menjadi anak orang kaya. Itu tanggapan Zariq kerana dia tidak tahu tentang hakikatnya.

“Kau tengok pokok yang aku suluh tu. Apa kau nampak?” soal Zariq sebaik mereka berdiri di hadapan pokok yang paling tinggi di belukar itu.

“Nampak pokoklah, kulit pokok, dahan pokok...daun pokok aku tak nampak, gelap. Lagi pun pokok ni pulak tinggi sangat.” Jawapan Tajol memang tepat tetapi itu bukan jawapan yang Zariq mahukan.

“Kau ni tak alert langsung, buat aku panas je! Kalau yang kau sebut tu, semua pokok macam tu. Kau sini!”

Ditariknya tangan Tajol agar berdiri lebih hampir dengannya. Zariq mahu Tajol melihat dengan jelas apa yang terdapat pada batang pokok tinggi itu. Tajol menggosok-gosok mata supaya dapat melihat dengan baik. Kemudian dia angguk-angguk.

“Nampak tak?” ulang Zariq.

“Ooo...nampak...nampak. Nama kau dan Nadira! Cuma sebab ni ke kau nak sangat ke belukar ni? Pelik aku tengok kau.”

Zariq tidak menyahut. Biar Tajol tidak memahami apa-apa. Itu lebih baik daripada dia faham dan kemudian tidak henti-henti bertanya. Bagi Zariq, Tajol adalah orang yang selalu dipenuhi tanda-tanya dalam dirinya. Tidak kira tentang dirinya sendiri, apatah lagi orang lain. Pernah Tajol bertanya mengapa dihantar ke Al-Mustaqim sedangkan hanya dia yang tahu jawapannya. Zariq tidak tahu menahu tentang itu.

“Kau boleh cam tak dalam gelap ni?...belah-belah sana tulah Mak Som selalu cari pucuk paku.” Jari telunjuknya dituding ke satu arah. Ekor mata Tajol mengikuti arah jari Zariq.

“Kau ni...aku baru rabun sikit je, belum buta lagi. Aku ingat lagilah walaupun gelap.”

Entah bilalah Haji Embong akan membawa Tajol untuk memeriksa matanya yang mulai kabur. Kadang-kadang pandangan Tajol kelabu. Apa yang Zariq boleh nampak dengan terang, menjadi sebaliknya bagi Tajol. Semuanya berbalam-balam.

“Kami sama-sama ukir nama kami kat pokok ni dengan pisau Mak Som.” Zariq bercerita seolah-olah sambil membayangkan Nadira sedang mengukir namanya pada batang pokok.

Seronok dapat mengimbau semula detik-detik bersama Nadira yang merupakan seorang adik dan juga kawan baiknya. Walaupun belum begitu lama Nadira meninggalkan Al-Mustaqim tapi sudah terasa bertahun lamanya. Zariq tetap hendak bercerita walaupun Tajol sudah tahu semuanya.

Tiba-tiba Mata Tajol terkelip-kelip. Jari telunjuk diletakkan pada bibirnya. Dahinya berkerut-kerut. Cerita Zariq telah mengingatkan dia pada sesuatu. Kemudian bibirnya terjongkit ke atas. Lama. Zariq menyuluh tepat ke mukanya. Cepat-cepat Tajol memejamkan mata. Silau.

“Mesti ada benda nak tanya tu.” Zariq yang sudah arif dengan sikap Tajol sengaja menebak. Melihat muka Tajol saja sudah membuat dia mahu ketawa.

“Aku rasa apa kau buat ni kan sebijik macam drama yang pernah kita tengok dulu. Dorang tu bercinta, lepas tu ukir nama kat pokok. Macam kau nilah. Kau orang tiru ya?” Tanya Tajol. Jangkaan Zariq tidak meleset. Dia tersengih.

“Pandai pun kau! Memang kami tiru...tapi dalam drama tu mereka bercinta. Aku dan Nadira cuma kawan baik. Dia adik aku. Kami buat ni untuk suka-suka...main-main. Tapi...bila Nadira dah tak ada, ukiran nama ni akan ingatkan aku pada dia.”

“Jangan-jangan kau pun bercinta dengan Nadira, ya?” terjah Tajol beria.

“Eiii...otak kau ni kan! Asal lelaki perempuan je mesti bercinta ya. Kau tau kan umur kita ni baru berap, Nadira pulak berapa. Lap hingus pun tak bersih lagi. Agak-agaklah pun!” Spontan Zariq mahu memukul bahu Tajol dengan lampu suluh. Tajol ketawa apabila dia berjaya mengelak.

“Manalah tau kan.” Tambah Tajol dicelah sisa ketawanya.

Zariq duduk sekejap. Badannya disandarkan pada batang pokok. Cuaca yang mungkin sudah menghampiri waktu Subuh semakin sejuk menyucuk. Ada pelbagai bunyi yang pelik di belukar itu. Zariq tidak mengendahkan walaupun sesekali Tajol cuba rapat dengannya. Dia tahu hati Tajol sedang kucar-kacir. Takut-takut berani.

“Kita semua dah jadi adik-beradik bila ayah ambik kita duduk kat Al-Mustaqim. Umur kita lebih dari Nadira, jadi Nadira tu adik kitalah. Bukan ke macam tu yang ayah dan Mak Som selalu ingatkan. Kat Al-Mustaqim, abang kena jaga adik. Sayangkan adik.” Zariq mengingatkan Tajol tentang ajaran dan pesanan Haji Embong dan Mak Som.

“Ya...aku pun ingat. Tapi tak salah kan kalau kita suka budak perempuan?”

“Haishhh! Engkau ni tak sudah-sudah! Belum sampai masanya benda-benda tu semua. Kau tau tak, orang masih panggil kita ni budak. Kau dah tak boleh fikir benda lain ya Jol?”

Soalan Zariq membuat Tajol menggaru-garu batang lehernya yang tiba-tiba terasa gatal. Tajol juga tersengih dalam gelap. Beberapa minit kemudian jam loceng yang berada di dalam saku baju Melayu Zariq menjerit-jerit. Keduanya tersentak. Mereka hampir terlupa yang mereka ke belukar dengan berbekalkan jam loceng.

“Adoiii...nasib baik tak jatuh jantung aku!” Cepat-cepat Zariq mematikan loceng jam. Tajol masih belum berhenti mengusap dada.

“Jom kita balik sebelum ayah sedar. Kalau tertangkap naya kita. Alamat jadi bahan pameran, sebagai budak nakal yang tak patut dicontohi.” Selesai berkata begitu, Zariq ketawa sendiri.

Tajol hanya melihat dengan baki rasa terkejut yang masih belum hilang. Tanpa membuang masa mereka segera meninggalkan belukar bersama ukiran pada batang pokok yang menjulang tinggi.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.