Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 12


Dengan kaki terhencot-hencot Hardy berjalan ke hulu ke hilir di depan bilik Nadira. Setiap kali orang tuanya ke pejabat sudah tentu budak kampung itu akan kelam-kabut mengurung diri dan mengunci pintu dari dalam. Hardy mencari akal untuk memaksa Nadira keluar. Rancangan malam tadi mesti dilaksanakan. Tidak boleh tidak!

Seperti semalamnya, Hardy memanggil-manggil Nadira dengan lantang. Sedikit pun tidak dihiraukan oleh Nadira. Dia sudah serik sesudah ditipu Hardy. Dia juga lebih rela tidak makan seharian asalkan selamat tanpa gangguan anak singa jantan itu. Nadira memekakkan telinga dan memejamkan mata seolah-olah tidak mendengar apa-apa.

“Amboi dah berani melawan! Dekat ½ jam aku panggil macam orang bodoh, dia tak menyahut jugak. Nanti kau!” geram betul Hardy. Tekaknya sudah perit dan kering. Dia bercakap sendiri sambil mencari akal lagi.

“Kena cakap baik-baik ni, lembut-lembut,” lalu Hardy berubah fikiran. Dia tahu dengan jeritan dan suara yang lantang Nadira akan jadi takut.

“Nadira...aku nak kawan dengan kau. Aku kesian kau. Mesti kau bosan, kan...tak ada kawan. Keuarlah. Aku janji aku tak akan apa-apakan kau. Percayalah!”

Tipu muslihat Hardy berjalan lagi. Selagi dia tidak dapat mengenakan Nadira untuk sehari, hatinya tidak akan puas. Kalau dulu dengan bermain piano boleh menghilangkan rasa bosan, sekarang dia mahu menjadikan Nadira pula sebagai tempat dia menghiburkan hati. Menyakiti budak kampung itu adalah satu keseronokan buatnya.

“Boleh percaya kat dia ke? Dia jahat.” Nadira kebingungan sendiri. Dia gelisah apabila masih mendengar pujukan-pujukan Hardy yang lembut. Sudahnya dia tidak senang duduk. Ditarik hujung baju lalu digigit-gigit sambil terus berfikir.

“Nadira...kan mama kata kau dah jadi adik aku. Keluarlah.” Pujuk Hardy lagi.

Suaranya lembut tapi mukanya Tuhan saja yang tahu. Sekejap-sekejap dia mencebik. Meluat dengan Nadira yang mengada-ngada. Sudah dipanggil banyak kali tapi masih berdegil tidak mahu keluar. Budak kampung tak sedar diri! Tidak sudah-sudah Hardy mengutuk dalam hati.

“Betul ke aku jadi adik kau?” sesudah berkali-kali dipanggil, Nadira memberanikan diri bertanya. Dia kurang yakin dengan kata-kata Hardy.

“Betullah...kan mama yang kata macam tu.” Hardy suka sebab dia pasti umpannya akan mengena. Apa sangatlah dengan budak kampung yang baru berumur 8 tahun itu. Mudah digula-gulakan.

“Cepatlah keluar!”

“Buat apa?

“Kau suka piano tak? Aku boleh ajar kau main piano.” Anak singa jantan mula memsang perangkap.

“Suka! Aku boleh main piano sambil nyanyi tak?”

Budak kampung pula mula teruja. Hilang semua rasa sangsi terhadap Hardy. Dia yakin abang barunya itu mahu berbaik-baik dan berkawan dengannya. Tidak ada Zariq, Hardy pun tidak mengapa. Esok lusa tidaklah Nadira sunyi lagi tinggal di rumah yang sangat besar itu.

Perlahan-lahan Nadira menguak pintu dengan sedikit debar yang masih berbaki. Entah kenapa sesudah dia berbaik sangka, debaran itu masih ada. Dia mengintai Hardy. Hardy menghadiahkan senyuman. Lega hati Nadira. Perlahan-lahan debaran yang tinggal terus hilang.

“Jom...ikut aku.” Ajak Hardy. Nadira hanya angguk.

Hardy mula melangkah dengan perlahan dan payah. Entah bila kakinya akan betul-betul sembuh. Itu semua gara-gara Nadira! Hardy tidak akan pernah melupakan kejadian itu. Tangga dituruni dengan berhati-hati. Nadira tetap di belakangnya. Tangga yang tinggi membuat badan Hardy berpeluh. Penat apabila terpaksa berjalan seperti orang sakit.

“Piano sana! Kenapa kau jalan tempat lain?”

Nadira berasa pelik sewaktu melihat Hardy hanya melewati piano tanpa memandangnya. Dia langsung tidak menghiraukan piano hitam yang berkilat itu. Nadira teringin hendak menekan-nekan gigi piano sambil menyanyi.

“Aku tau. Kemudianlah kita main piano. Aku nak bawak kau ke bilik belakang. Sana ada lebih banyak lagi mainan. Aku kumpulkan sejak umur aku tujuh tahun.” Hardy terus berjalan.

“Ooo...,” sahutan dari Nadira tanda dia puas hati dengan jawapan Hardy.

Sampai di depan sebuah bilik yang letaknya bersebelahan bilik dobi, Hardy memasukkan anak kunci ke tombol pintu. Tombol dipulas dan daun pintu ditolak. Hardy melangkan masuk diikuti oleh Nadira. Bilik itu agak gelap dan panas.

Betul kata Hardy, banyak barang permaian terletak di situ. Ada basikal kecil, kuda kayu, kayu hoki, raket dan macam-macam lagi. Sebuah gambar lukisan besar Hardy dan orang tuanya juga turut terlekat pada dinding bilik itu. Di sebelahnya ada sebuah almari besar yang sudah berlubang pintunya.

“Banyaknya mainan!”

“Kau suka?”

“Suka.”

“Kalau kau suka, hari-hari kau boleh masuk bilik ni. Mainlah apa kau nak main, aku tak kisah.”

Bercahaya mata Nadira. Pelawaan Hardy membuat dia gembira. Kalau tidak ada kawan berbual, sekurang-kurangnya dia akan leka dengan semua barang permainan itu. Tidak akan terasa masa lambat berlalu.

“Yang ni aku panggil almari silap mata...kau pernah tengok orang buat silap mata dalam tv?” soal Hardy.

Laju Nadira geleng. Siaran tv di Al-Mustaqim tidak ada rancangan seperti itu. Masa menonton juga dicatu. Haji Embong tidak mahu anak-anak Al-Mustaqim asyik berhibur saja. Kadang-kadang Zariq dan Tajol mengajaknya curi-curi menonton sewaktu Haji Embong tidur siang atau berkebun. Malamnya pula mereka hanya dibenarkan menonton selama dua jam saja.

“Nak main silap mata?” sebaik Hardy bertanya, Nadira terus mengangguk laju.

“Kau masuk dalam tu. Lepas tu aku tutup dari luar.” Arah Hardy serius.

“Aku takut!” Nadira tidak menyangka begitu permainan silap mata. Seseorang mesti masuk ke dalam almari.

“Apa nak takut. Sekejap aje. Nanti aku baca ayat, tau-tau kau dah ada kat luar walaupun aku tak bukak pintu.” Jelas Hardy dengan lebih serius lagi.

“Macam seronok je!” Hilang takut Nadira, timbul teruja.

“Mestilah seronok. Cepat masuk.” Hardy meyakinkan sambil menolak badan Nadira supaya dia bergerak masuk ke dalam almari.

“Kalau aku masuk, kau cepat-cepat baca ayat tau supaya aku cepat keluar.” Minta Nadira sambil melangkah masuk. Besar senyum Hardy sebaik badan Nadira yang kecil sudah berada di dalam almari.

Hardy menutup pintu dengan pantas. Kemudian dia mengambil sebatang kayu di atas meja kecil lalu menyelak pintu almari dari luar. Sebaik dia berjaya melakukannya, dia hendak ketawa. Ditahan-tahan, tidak mahu Nadira mendengar.

“Cepatlah baca ayat. Dalam ni gelap.” Suara halus Nadira kedengaran. Hardy menekup mulut supaya tidak ketawa.

“Okey, aku baca ayat sekarang...selamat tinggal Nadira. Aku keluar dulu. Kau duduklah dalam tu sampai petang nanti. Bila mama dan papa dekat-dekat nak balik, aku keluarkan kau. Tata!” lalu Hardy keluar, dia mengunci bilik permaian dari luar.

Selepas berada di luar pintu barulah pecah ketawanya. Puas hatinya dapat mengenakan Nadira sekali lagi. Nadira mesti membayar hutang. Nadira berhutang kerana membuat kakinya sakit dan susah hendak berjalan. Dendamnya sudah terlaksana untuk hari itu.

“Bodoh! Kau tipu aku. Aku nak keluar! Aku takut, dalam ni gelap! Tolong! Tolong!” jerit Nadira dari dalam almari. Lubang di pintu almari langsung tidak membantu untuk Nadira melihat ke luar. Dia terlalu rendah untuk mengintai ke lubang yang tinggi itu.

Anak singa jantan tidak terus pergi. Dia memasang telinga. Jeritan demi jeritan Nadira langsung tidak membuat dia simpati. Sebaliknya dia puas hati kerana sudah berjaya membuli Nadira sekali lagi. Dia terus bersandar pada pintu untuk menikmati suara jeritan yang sudah bercampur tangisan.

“Ayahhh! Mak Sommm! Tolong Nadira! Nadira takuttt! Nadira nak balik ke Al-Mustaqim. Tolong Nadira, tolonggg!”

Budak kecil itu teresak-esak sambil buku limanya menumbuk-numbuk pintu almari. Dia berharap pintu almari akan terbuka. Suasana di dalam almari yang gelap dan panas membuat Nadira ketakutan. Peluh sudah membasahi badannya.

“Zariqqq! Datang sini ambik aku! Aku tak nak duduk sini lagi. Aku takut. Tolong aku, Zariq!...Tajol, tolong aku!”

Keluarganya di Al-Mustaqim bertubi-tubi muncul dalam ingatan. Hanya dengan mereka saja Nadira boleh meminta pertolongan. Nadira yang masih sangat kecil sudah terlupa mereka tidak akan mendengar jeritannya. Mereka berada terlalu jauh dari tempatnya berada.

Ketawa Hardy pula terhenti sebaik melihat Sulastri sedang menuju terkocoh-kocoh menuju ke arah bilik dobi. Dia tidak mahu pembantu rumah itu tahu apa yang sedang berlaku. Harapannya Sulastri tidak akan pergi ke bilik permainan itu.

“Tuan muda...” Harapan Hardy musnah sebaik terasa bahunya dicuit Sulastri. Dia cuba berlagak tenang. Dipandang pembantu rumah itu dengan muka garang.

“Tuan nampak tak Nadira? Adoi matilah bibik kalau tuan dengan puan tau. Puas bibik cari Nadira tapi tak jumpa. Semua tempat udah bibik cari.” Adu Sulastri yang sedang bingung.

“Entah! Tak nampak! Dia hilang ke?” soal Hardy dengan muka menyadin.

“Bibik tak tau...tapi budak itu udah tidak ada, tuan muda.” Bertambah pusing Sulastri.

Hardy tidak mahu orang tua itu lama di situ. Khuatir dia akan mendengar jeritan halus Nadira. Dia mesti mencari jalan supaya Sulastri cepat-cepat pergi dari situ. Kalau perbuatannya ketahuan sudah tentu dia akan dimarahi oleh kedua orang tuanya dengan teruk.

“Cuba cari kat luar. Kat garaj kereta sana.” Arah Hardy yang cengil. Langsung tidak senyum.

“Iya...iya...bibik pergi.” Sulastri memusingkan badannya untuk pergi.

“Tolong aku Zariq! Zariqqq! Aku susah nak nafas! Tolong!”

Langkah Sulastri terhenti. Telinganya mendengar sesuatu walaupun kurang jelas. Dia terus berdiri di situ untuk mendengar lagi. Hardy sudah gelabah. Perbuatan jahatnya akan tertangkap. Tidak menentu dia jadinya.

“Tolonggg! Zariqqq! Aku nak balikkk!” suara di celah esak tangis kedengaran lagi. Kali ini Sulastri yakin dia tidak salah dengar. Itu suara Nadira!

“Ya ampun...keluarkan Nadira, tuan. Jangan kurung dia...boleh mati, tuan.” Sulastri nekad merayu demi keselamatan Nadira yang masih kecil.

“Diam kau! Pergi sana! Pergiii! Kalau kau tak pergi, aku pukul dengan tongkat ni!” herdik Hardy yang sudah naik angin. Sulastri gugup lalu mahu pergi dari situ.

“Ingat kau orang tua! Kalau kau beritau mama dan papa, siap kau!” ancam Hardy.

‘Bibik tetap akan beritau tuan sama puan. Bibik tidak mau akan ada orang mati dalam rumah ini. Kalau bibik mau diantar pulang ke Indon ya terpulang.’ Bisik Sulastri yang sedang pergi. Dia nekad akan menceritakan semuanya kepada Tuan Daniel dan Puan Suzi.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.