Daniel
Family Store Bangsar sangat sibuk. Masalah kekurangan pekerja masih belum dapat
diatasi. Hardy dan Nadira meringankan tangan untuk memeriksa stok barangan.
Tuan Daniel selalu menasihatkan mereka supaya tidak hanya goyang kaki di
pejabat tanpa mahu membantu pekerja-pekerja mereka di pasaraya. Walaupun Hardy
selalu mengasari pekerja, dia masih ringan tulang.
Nadira terjengkit-jengkit sewaktu
mengira susunan barang-barang di dalam stor. Disangkanya dia akan lebih tinggi
sesudah beberapa tahun berlalu. Kenyataannya pertambahan ketinggiannya tidak
terlalu ketara. Lenguh juga batang lehernya yang terpaksa terdongak-dongak dan
tertinjau-tinjau. Kalau dia berdiri di sebelah Zariq sudah tentu Zariq jauh
lebih tinggi.
“Zariq! Eh!...mana perginya?”
Tiba-tiba dia teringatkan Zariq.
Dalam masa yang sama bola matanya bulat apabila terpandang tangan kirinya sudah
kosong. Baru Nadira sedar, tidak ada lagi gelang bertali yang melekat di situ.
Nadira tertunduk-tunduk dan mencari di lantai pasaraya. Mana tahu ikatan gelang
terlerai lalu gelang itu telah terjatuh tanpa pengetahuannya.
“Mana ni? Alahaiii...mana
perginyaaa...habislah...habislah.”
Berpusing-pusing Nadira mencari.
Hardy yang berada di depan peti makanan sejuk beku memanjangkan leher melihat
Nadira yang pelik. Macam kucing hilang anak. Berkali-kali Nadira berlegar-legar
di tempat yang sama. Resah gelisah tidak menentu.
“Cari apa?”
Hardy sudah mendekat. Perasaan ingin
tahu mengasak kepalanya apabila melihat muka Nadira yang malap seperti lampu
minyak tanah tidak bersumbu. Nadira tidak mengendahkan. Dia mengintai pula di
antara susunan botol jem, mana tau gelang bertali sudah jatuh ke situ.
“Tak ada jugak.” Nadria menghentak
kaki.
“Dah kenapa ni? Orang tanya buat
pekak je? Kerja dah siap?”
Semasa bekerja Hardy adalah seorang
yang tegas. Dia tidak membezakan di antara pekerja biasa dan yang berpangkat.
Sewaktu mula-mula Nadira bertugas di pasaraya itu dia sering diherdik oleh Hardy hanya kerana beberapa
kesalahan kecil. Ketika itu Hardy masih tidak dapat menerima Nadira dengan
baik. Percakapannya selalu sinis dan menyakitkan. Pernah juga tangisan Nadira
terhambur di hadapan pekerja-pekerja lain akibat sudah tidak tertahan dengan
sikap Hardy yang buruk.
“Belum! Gelang dah hilang...penat
cari tapi tak jumpa?”
“Hah! Gelang? Gelang lima ringgit tu?
Dah hilang tak payahlah cari. Nanti abang boleh ganti. Berapa nak?”
Suhu Hardy tiba-tiba naik tinggi. Dia
tidak suka Nadira terlalu mengingati Zariq. Sudah10 tahun belum pernah sehari
pun Nadira melupakan lelaki yang entah bagaimana rupanya itu. Susah sungguh
Nadira hendak melupakan nama itu..
Kalau dulu Hardy tidak ambil peduli
setiap kali mendengar Nadira bercerita tentang Zariq kepada Sulastri.
Kebelakangan ini, dia begitu kisah dengan perkara itu. Dia sudah muak mendengar
nama Zariq. Zariq begitu, Zariq begini. Siang malam hanya Zariq.
“Kenapa abang ni? Memanglah gelang tu
tak mahal tapi Nadira sayang!”
Nadira turut berbahang. Sakit hati
dengan mulut Hardy yang cakap lepas. Disangkanya Hardy sudah berubah 100%,
sudah berpusing 360 darjah. Rupa-rupanya dia hanya berubah angin. Mungkin sudah
jemu menjadi jahat, kemudian tidak seronok pula untuk menjadi baik. Berbalik
asallah sikap lamanya.
“Sekarang waktu kerja! Faham? Eh!
Kalau abang jumpa gelang tu kan, abang kuis dengan kaki masuk longkang. Gelang
tu memang sesuai duduk dalam longkang!”
“Boy! Kau bukan abang aku! Kau
sombong! Aku benci kau!” suara Nadira tertahan-tahan. Dia tidak mahu akan ada
orang lain yang mendengarnya.
Terpempan Hardy mendengar kata-kata
Nadira. Dia seperti terkena sengatan kala jengking. Garang betul Nadira! Jauh
berbeza dengan Nadira yang dia kenal. Matanya terkebil-kebil. Hardy sedang cuba
untuk mempercayai yang berdiri depannya adalah Nadira yang dulu pemalu dan
penakut.
“Bukan...maksud abang, gelang tu bukan
penting pun. Boleh beli kat mana-mana. Bila-bila masa je abang boleh belikan.”
Hardy berusaha merendahkan suaranya.
Tidak mahu berbalah dengan Nadira. Selebihnya dia sedang cuba untuk memujuk
gadis itu. Kalau boleh Hardy mahu Nadira melupakan semua yang berkaitan dengan
Zariq. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia mahukan begitu. Yang pasti dia tidak menyukai nama itu.
“Tak penting buat abang tapi sangat penting
untuk Nadira! Abang orang kaya, tak akan pernah faham ini semua. Abang pernah
hidup sebagai anak yatim?”
“Tak! Tak pernah sekali pun!” Nadira betul-betul
marah.
“Itu kehidupan kami...itu dunia kami.
Zariq dan yang lain-lain keluarga Nadira. Mereka sebahagian diri Nadira. Abang
pernah tau apa itu nilai persaudaraan tanpa ada hubungan darah? Apa itu kasih
sayang tanpa ada ikatan kekeluargaan?”
“Tak! Abang tak akan pernah tau
sama-sekali. Abang anak orang kaya. Tidur atas duit. Mudah nak dapatkan
segala-galanya. Tapi bukan kami. Kami berdikari untuk hidup. Berjimat cermat
untuk makan. Bila ada undangan dari orang kaya macam abang, barulah kami dapat
makan sedap. Tapi kami tak pernah kisah itu semua. Tau apa sebabnya?” Nadira
menyoal, dia juga yang menjawab.
Hardy masih terkebil-kebil. Tidak
berani mencelah. Setiap kata-kata Nadira pedas dan tajam. Nadira masih tetap tegak
depannya. Hanya pandangan Nadira yang kosong bersama fikiran yang melayang
jauh. Sedang tercari-cari kenangan masa lalunya.
Pipi Nadira mula basah. Bibirnya
bergetar ketika kenangan itu menjelma semula. Satu per satu berlegar dalam
kotak hitam kepalanya. Menjelma suara-suara Zariq, Tajol, Busyra, Cik Ah, Midi
dan yang lain-lain. Suara ketawa riang, juga suara tangis hiba. Pesanan Haji
Embong dan Mak Jah juga masih segar dalam ingatan.
“Sebabnya...kami saling menyayangi
walau dalam serba kekurangan. Kami diajar bersyukur dengan apa yang ada. Abang
tak akan pernah tau itu semua kan?” sayu.
“Ermmm...maafkan abang kalau abang
silap.”
“Hardy anak orang kaya ke yang minta
maaf? Atau insan yang sudah faham yang hidup ni ada bahagian-bahagiannya? Ada
orang yang bernasib malang dan ada orang yang dilimpahi kemewahan. Yang mana
satu?”
Adoi! Bisanya kata-kata Nadira.
Tidak padan dengan comelnya. Hardy jadi tidak menentu. Dia sendiri tidak pasti
jawapan untuk soalan Nadira. Masihkan dia sebagai manusia yang ego atau adakah
sudah berubah menjadi seorang insan yang dapat memahami orang lain.
“Abang hina gelang murah tu bermakna
abang hina Zariq. Hina Zariq sama jugak macam hina kami anak-anak yatim.”
“Errr...bukan macam tu maksud abang.
Tak ada niat apa-apa pun. Cuba Nadira bertenang, jangan emosi. Kalau emosi
semua jadi serabut.”
Barulah Hardy bersuara. Itu pun
takut-takut berani. Bukan takutkan Nadira tapi ada perasaan lain yang
menghalangnya untuk mengasari Nadira. Padanya apalah sangat dengan Nadira,
dengan sekali hendik tentu gadis itu akan menikus. Anehnya dia selalu berat
hati untuk melakukannya.
“Emosi? Haaa...entahlah. Apa yang abang
katakan betul-betul buat Nadira tersinggung. Nadira tak akan kata macam tulah
pandangan orang kaya terhadap orang miskin macam Nadira. Tak adil kalau Nadira
beranggapan sebegitu.” Nadira cuba mengawal perasaan. Dia cuba untuk berlembut.
“Papa mama baik, tak macam abang.
Hmmm...agaknya inilah ujian yang Allah beri untuk papa mama.”
“Apa maksud Nadira?” Hardy tidak
sedap hati.
“Mereka dilimpahi kemewahan...tapi
tak ada anak yang merendah diri. Abang sombong. Sedangkan itulah harapan
terbesar papa mama pada abang. Nadira pernah dengar mama berdoa sambil
menangis. Harap abang fikirkan apa yang Nadira katakan.”
Sesudah
meluahkan semuanya, Nadira terus melangkah pergi. Fail pengiraan stok
ditinggalkan begitu saja. Dia juga tidak ada hati untuk mencari gelang bertali
yang hilang. Mungkin bukan hari ini. Esok saja. Malas untuknya berdepan dengan
Hardy lebih lama lagi.
“Arghhh! Budak kampung! Nak mengajar
aku!”
Kotak kosong di hujung kaki disepak
ke susunan botol kicap. Sebiji botol jatuh ke lantai pasaraya lalu pecah.
Lelehan kicap mengalir telah mengotori lantai. Hardy memandang sekali lalu dan
membiarkan saja. Hatinya sedang panas. Sudah agak lama dia tidak semarah itu
terhadap Nadira.
“Memang tak boleh bagi muka!
Sudahnya kepala aku nak dipijaknya. Nak menunjuk pandai, nak mengajar Hardy
Daniel! Kau tu siapa? Kalau mama tak kutip kau dah lama jadi kucing kurap!”
Kalau tadi Hardy menasihatkan Nadira
supaya tidak emosi, sekarang dia pula yang terbakar hati. Kalau boleh diintai
hatinya, mungkin sedang berasap. Kemudian akan hangus rentung menjadi hitam
legam. Marahnya tidak dapat dikawal.
“Dahlah tak siapkan kerja ni!
Bencinya aku!”
Perasaan yang pernah berada dalam
dirinya sepuluh tahun dulu datang lagi. Nadira bukan adiknya. Hanya dia waris
tunggal Tuan Daniel dan Puan Suzi. Dia juga pewaris rangkaian pasaraya di seluruh Malaysia.
“Taulah macam mana aku nak ajar kau,
Nadira!”
Dengan hati yang bengkak Hardy
terpaksa melakukan tugas itu seorang diri. Ditahan-tahan rasa marahnya hanya
kerana mahu menyudahkan tugasan dengan baik. Kalau tidak memikirkan pasaraya
itu hak milik keluarganya mahu saja dipecahkan semua barang di dalam stor itu.
Biar berbayar rasa sakit hatinya.
Keadaan stor yang agak panas itu
membuat badannya berbahang. Hati yang mendidih semakin menggelegak. Kalau
diletakkan sebiji telur pada dadanya mungkin telur akan beku. Tumpuannya pada
apa yang sedang dilakukan agak terganggu.
“Ah! Terpijak pulak! Bala betullah!”
Kaki seluarnya diangkat ke atas.
Marahnya berganda. Tumpahan kicap dibiarkan saja. Dia akan meminta tukang cuci
membersihkan sesudah tugas pengiraan stok selesai. Buat masa ini dia mesti
terus fokus pada kerja.
“Nadira tolong.”
Nadira yang tidak sedap hati
membiarkan Hardy melakukan tugasan itu sendirian telah datang semula. Dia mahu
melupakan untuk sementara kejadian yang baru berlaku. Tugas tetap tugas. Tidak
perlu dicampur aduk dengan masalah peribadi.
“Kenapa botol kicap tu pecah?”
Hardy masih diam. Buat-buat tidak
dengar. Dia menjauh sedikit. Memeriksa jumlah paket minyak masak di dalam
kotak. Nadira memandangnya lama. Sedikit pun Hardy tidak menghiraukan. Nadira
menarik nafas. Hardy buat hal lagi. Sikap lamanya muncul semula.
‘Suka hatilah orang kaya. Tak nak
bercakap dengan aku, sudah!’
Tempatnya berdiri ditinggalkan.
Nadira pergi ke sudut lain. Masih banyak barang yang perlu dikira pada
penghujung bulan seperti hari itu. Lebih baik dia menghadap benda-benda mati
daripada berdepan dengan Hardy yang hidup tapi tidak ada perasaan itu.
‘Sepatutnya aku yang terasa hati. Eleh, baru
nasihatkan sikit dah sentap. Susahlah kalau spesis betul sendiri je. Langsung
tak boleh terima teguran.’
Gadis itu tidak peduli lagi kalau
Hardy bersikap dingin. Dia sudah pandai berfikir. Dia juga tidak mahu bersikap lemah lagi.
Cita-citanya hanya satu, Nadira mahu mencari keluarganya sewaktu di
Al-Mustaqim. Dia mahu hidup bersama mereka. Cukuplah pengorbanannya untuk Puan
Suzi selama ini. Dia mahu melakukan sesuatu untuk dirinya pula.
‘Mana dia?’
Dalam bencinya Hardy tercari-cari
Nadira pula. Terintai-intai dari jauh. Yang nampak hanya sebahagian daripada
badan Nadira. Nadira terlindung oleh rak-rak barangan yang besar dan tinggi.
Melihat Nadira tidak pedulikannya, Hardy menggelisah pula. Serba tidak kena. Kenapa?
Kenapa?
‘Isyyy! Ilmu apa dia pakai?’ rungut
Hardy.
Semasa Nadira beralih ke tempat lain
dan memusingkan badannya, mereka telah bertembung pandang. Nadira biasa-biasa
saja, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Bahkan cepat-cepat dia berlalu.
Hardy pula yang gelabah.
‘Budak kampung! Kau betul-betul nak
boikot aku ke? Kalau tak nak bercakap, sekurang-kurangnya senyumlah macam
selalu.’
Nadira diintai lagi. Kali ini Hardy
tidak dapat melihatnya. Mungkin Nadira sedang bertinggung untuk memeriksa
barang-barang yang berada di rak paling bawah. Lama mata Hardy berada di situ
sambil mengharapkan Nadira akan cepat berdiri. Sayangnya apa yang diharapkan
tidak menjadi kenyataan.
Sepatutnya Hardy berasa gembira
bila Nadira mendiamkan diri. Sekurang-kurangnya Nadira tidak akan bercakap
tentang sesuatu yang menyakitkan hatinya. Hal sebaliknya yang berlaku. Hardy
seakan kekurangan sesuatu.
‘Kenapa aku tak ingat kucing Parsi
macam aku ingat dia ni? Baru sejam dua tak bercakap rasa dah makan tahun. Hati
aku ni degil sangat kenapa? Ke dia dah mandrem aku?’
Mulalah Hardy membuat andaian seperti orang
kurang siuman. Kalau Nadira dengar sudah tentu gadis itu akan mengeluarkan
kata-kata yang tajam dan bisa sekali lagi. Hati Hardy akan terasa seperti
disembur dengan serbuk cili Allagapas. Pedas dan menyengat.
“Nadiraaa!”
“Opsss! Apa aku dah buat ni? Gila
betullah Hardy!” Cepat-cepat Hardy menekup mulutnya. Akibat terlalu memikirkan
tentang Nadira, dia terpanggil Nadira. Tidak sengaja.
“Mintak-mintak dia tak dengar.”
Suaranya separuh berbisik.
“Nak Nadira tolong apa?”
“O mak kau!” Terkejut bukan main
Hardy bila Nadira sudah berdiri di belakangnya. Nadira menahan ketawa. Melatah
pula Hardy.
Terasa tebal tiga inci muka Hardy.
Bila pula Nadira bertukar tempat? Tidak ubah seperti silap mata. Atau diakah
yang terlalu banyak berkhayal hingga tidak sedar Nadira sudah bergerak ke sana
ke mari sejak tadi lagi. Banyak stok yang sudah dibereskan oleh Nadira. Hanya
Hadry saja yang tegak di situ tidak beralih-alih.
“Dah siap?”
Hardy tidak mahu Nadira mengesyaki
apa-apa. Mulalah dia berlagak sebagai seorang ketua. Sedangkan berpeluh juga
ketiaknya untuk menyorokkan rasa malunya kerana tidak sengaja memanggil Nadira.
Hajat hatinya hendak berperang dengan Nadira seperti sepuluh tahun dulu tidak
menjadi.
“Sikit lagi. Tinggal belakang sana
tu.”
“Nak tanya tentang tu je?” Nadira
berasa pelik. Selalunya Hardy tidak pernah ambil tahu cepat atau lambatnya dia
menyudahkan apa-apa saja tugas yang perlu dilakukan.
“Habis tu apa lagi?”
‘Huh! Dia yang panggil lepas tu nak
tunjuk sombong! Nasib baiklah dia cuma abang jadi-jadian aku. Abang segera.
Kalau tidak, malu aku besar aku nak mengaku dia abang aku.’ Ejek Nadira dalam
hati.
“Senyum kenapa?” Garangnya Hardy!
“Eh! Mana ada senyum? Pandai-pandai
je. Dahlah Nadira nak siapkan kerja. Malas nak gaduh-gaduh lagi.” Nadira pergi.
“Fuuu...nasib baik dia tak syak
apa-apa. Mulut aku ni pun satu!”
Untuk mengelakkan perkara itu
berulang lagi, Hardy menyibukkan diri dengan tugasnya. Sekurang-kurangnya mata
nakalnya tidak merayau tanpa kawalan. Mulutnya pula tidak akan gatal
mengucapkan sesuatu tanpa arahan akalnya terlebih dulu.
Matanya sudah mendengar kata dan
suaranya sudah disekat pada kerongkong tapi bibirnya pula tidak lekang dengan
senyum sumbing. Hardy sendiri tidak tahu kenapa dia perlu tersenyum. Hanya
bibirnya saja yang ringan hendak melakukan. Hardy! Hardy!