Penghuni Rumah Al-Mustaqim menjadi gempar apabila pada tengah
malam itu, Mak Som mendapati Nadira tidak berada di tempat tidurnya. Busyra
yang tidur di tingkat bawah katil double deckerjuga tidak menyedari
Nadira sudah hilang. Orang
yang paling bimbang ialah Haji Embong, tuan punya Al-Mustaqim. Tanpa membuang
masa dia mengajak Zariq dan Tajol mencari Nadira. Mak Som dan Busrya mahu turut
mencari tapi Haji Embong cepat-cepat melarang. Biar orang lelaki saja yang
melakukannya. Dengan
bantuan cahaya lampu suluh, mereka mencari Nadira di sekeliling pekarangan
rumah. Sudah semua ceruk dan sudut kawasan disuluh tapi masih tidak nampak
kelibat Nadira. Bukan saja panggilan mereka tidak bersahut, bahkan suasana
sekeliling terasa sangat sepi. |
“Nadira!
Kau kat mana, hah? Kalau kau menyorok, keluarlah cepat! Ayah risau, tau! Kau
tak kesiankan ayah ke?”Suara Zariq bergetar. Mukanya
berkerut-kerut sambil bola mata tetap liar memerhati sekitar.
Sebenarnya,
bukan hanya Haji Embong yang risau, dia apa kurangnya. Di dalam hati, Zariq
berdoa mudah-mudahan Nadira tidak disorokkan oleh orang bunian. Dia pernah
terdengar Mak Som bercerita tentang makhluk halus yang suka berkeliaran pada
lewat tengah malam. Cepat-cepat dia menyuarakan kekhuatirannya kepada Tajol.
“Merepeklah
kau! Cakap yang bukan-bukan. Elok-elok aku berani cari Nadira malam-malam ni,
jadi kecut pulak aku. Kau diam-diam boleh tak, Zariq?” Tajol yang tidak senang
dengan apa yang disuarakan menempelak Zariq. Zariq sudah membuat perasaannya
tidak menentu. Lebih-lebih lagi sifat penakut di dalam dirinya berada di tahap
yang agak kritikal. Dia menelan air liur dengan payah. Jantungnya asyik
berdegup tidak teratur.
“Ke
mana pulak budak bertuah ni dah pergi? Takkan lari,” gumam Haji Embong yang sudah
mengah. Dia menggaru-garu pipi yang tidak gatal sambil berfikir di mana lagi
harus mencari Nadira.
“Zariq
rasa Nadira dah merajuk, ayah.” Zariq menyuarakan pendapat.
Tajol
angguk setuju.
“Hmm...
kenapalah dia susah nak faham tujuan ayah?
Bukan dia seorang yang akan tinggalkan Al-Mustaqim. Lambat-laun semua
akan pergi jugak. Kudrat ayah dah tak mencukupi untuk mengawasi kamu semua,”
keluh Haji Embong. Ada sesalan di dalam dirinya.
“Kalau
Zariq, Zariq pun tak nak. Tak patut ayah buat macam tu,” protes budak lelaki berumur
10 tahun itu. Bagi Zariq, keluarga besar mereka adalah di Rumah Al-Mustaqim,
bukan orang luar yang mereka langsung tidak pernah kenal.
“Tajol
pun tak nak pergi mana-mana,” celah Tajol agak keras. Dia sudah terbiasa dengan
kehidupan di Al-Mustaqim yang menggembirakan walaupun serba kekurangan.
“Sudah!
Sudah! Susah kalau macam ni! Lupakan semua tu dulu, terus cari Nadira sampai
jumpa,” bentak Haji Embong. Kadangkala dia tertekan dengan anak-anak yang
kurang memahami kepayahannya kebelakangan ini. Bukan dia tidak sayang anak-anak
Al-Mustaqim yang sudah diasuh sejak bertahun-tahun lamanya, tapi keadaan
memaksa untuk dia mengambil satu langkah yang perlu.
Kerana
sayanglah()
dia mesti bertindak bijak supaya kehidupan anak-anak yang masih mentah itu
terjamin masa depan mereka. Dia sudah tua. Kudratnya semakin lemah sedangkan
perhatian untuk mereka tidak boleh berkurang walaupun sedikit. Dia tidak mahu
mereka menjadi anak-anak yang terabai dan disia-siakan.
“Jom,
Tajol.”
Mendengar
suara Haji Embong yang agak keras, cepat-cepat Zariq menarik tangan Tajol untuk
terus mencari Nadira.
Pencarian
diteruskan. Mereka menyuluh sekitar kebun kelapa sawit yang berhampiran. Pada
setiap batang pokok diintai. Bukan hanya sepokok dua tapi berpuluh-puluh banyaknya. Lelah Haji Embong dibuatnya namun
sayangnya terhadap Nadira mengatasi segala-galanya. Biar penat sedikit asalkan
Nadira akan berjaya ditemui.
“Nadiraaa!
“Nadiraaa!
“Nadiraaa!”
Masing-masing
melaung Nadira dari arah yang berbeza. Mereka berpecah supaya pencarian akan lebih
cepat dan mudah. Malangnya, tidak ada suara sahutan dari sebalik batang pokok.
Yang nampak bergerak-gerak cuma daun-daun kelapa sawit yang meliuk-lentok
ditiup angin.
Apabila
masih tidak ketemu, mereka berkumpul semula untuk berbincang.
“Tak
ada jugak, ayah.” Zariq hampa.
Tajol
menyuarakan perkara yang sama.
Haji
Embong yang dipanggil ayah menarik nafas berat. Masing-masing diam sekejap
untuk memikirkan sesuatu.
“Hah!
Masa cari kat keliling rumah, kita tak tengok pun dalam kolam. Jangan-jangan Nadira
jatuh dalam kolam...lepas tu lemas!” Meluncur daripada mulut Tajol sebaik
melintas fikiran yang buruk di kepalanya.
“Huishhh!
Cabul! Tak baiklah kau ni! Cakap bukan-bukan pulak,” marah Zariq. Dia hendak
menyiku Tajol namun Tajol cepat mengelak.
“Taklah...
manalah tau kan?” sahut Tajol teragak-agak.
Berdetak
juga jantung Haji Embong sebaik mendengar andaian Tajol. Dia tidak sanggup
kalau perkara seperti itu berlaku kepada Nadira. Anak perempuan Al-Mustaqim
yang paling disayangi. Pantas dia berdoa di dalam hati mudah-mudahan hal
seperti itu tidak akan berlaku.
“Cepat...
kita ke kolam ikan!” Termakan juga kata-kata Tajol masuk ke dalam kepala Haji
Embong. Dia tidak mahu menunjukkan kebimbangannya. Padahal di dalam hatinya Tuhan saja yang tahu. Tidak dapat
dibayangkan kalau Nadira terapung-apung di permukaan kolam dengan perut yang
sudah kembung. Nafasnya sudah terhenti dengan mata separuh terbuka.
Membayangkan itu semua membuatkan
langkah Haji Embong laju. Dia mahu cepat sampai di tepi kolam. Zariq dan
Tajol juga laju mengekori.
Longgokan
pelepah kelapa sawit tidak menghalang pergerakan mereka. Cahaya lampu suluh
sudah mencukupi untuk membantu mereka dari tersadung pelepah yang dilonggokkan
di banyak tempat itu. Apatah lagi mereka sudah biasa dengan kebun kelapa sawit
yang bersebelahan dengan tanah Rumah Al-Mustaqim itu.
“Suluh
cepat!” gesa Haji Embong sebaik tiba di tepi kolam ikan ternakannya.
Debaran
dada mereka semakin laju sambil mengharap agar tidak ada perkara buruk yang
berlaku. Tiga biji lampu suluh dihalakan ke permukaan kolam. Tidak ada batang
tubuh yang nampak di dalamnya. Hanya air kolam yang kehijauan dek lumut yang
sudah sebati. Tidak juga terlihat kocakan air waimah daripada ikan-ikan yang
diternak. Mungkin semua ikan sedang tidur lena.
“Astaghfirullah...
tak ada jugak. Ke manalah budak ni?” Kerisauan Haji Embong menjadi-jadi. Mujur
dalam gelap. Kalau tidak sudah tentu Zariq dan Tajol dapat melihat dengan jelas
peluh yang sedang mengalir pada dahinya dek terlampau cemas.
Sudahnya
Haji Embong terduduk di tepi kolam. Lemah semua sendi badannya. Dia gementar.
Orang tua itu mahu mengumpulkan tenaga dan nafas sebentar.
Zariq
berlari anak ke belakang dapur untuk mengambil sebatang kayu panjang yang
rupanya macam pendayung sampan.
Tajol
terpinga-pinga melihatnya. Dia tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh Zariq.
“Buat apa tu?”
“Nak
kuak-kuak air kolam. Mana tau bawah-bawah tu ada apa-apa ke?” balas Zariq,
selamba tanpa berfikir apa yang dikatakannya akan membuat orang lain akan
bertambah cemas.
“Maksud
kau, Nadira dah tenggelam dalam kolam ke?” soal Tajol kurang bijak. Sama macam
Zariq, tidak berfikir dengan baik sebelum bercakap.
Haji
Embong jadi tidak menentu sebaik mendengar semua itu.
“Err...
tak... bukan... aku tak kata macam tu.” Zariq serba salah. Memang dia ada
terfikir itu semua tapi perkara itu tidak sesuai untuk diucapkan depan Haji
Embong. Malangnya, dia sudah terlepas cakap. Kalau perahu bolehlah diundur,
tapi kata-katanya tidak boleh ditelan balik.
Apabila
merasakan kegugupan Zariq, Tajol turut tidak sedap hati. Tidak sepatutnya
mereka membuatkan kepala Haji Embong lebih semak lagi. Silap-silap hari bulan
boleh pitam orang tua yang kebelakangan ini asyik sakit-sakit saja.
“Kita
cari tempat lain. Ayah rasa Nadira tak ada dalam kolam ni.” Lirih suara Haji
Embong. Selemah perasaannya. Selesu badannya yang sudah tua.
“Kat
mana lagi, ayah?” soal Tajol cepat.
“Belukar!”
cepat juga Zariq menjawab mewakili Haji Embong.
Dalam
waktu yang bergerak laju mereka masih tetap mencari. Hampir dua jam pencarian
masih belum mendatangkan hasilnya. Cuaca menjelang sepertiga malam semakin
sejuk. Kaki sudah lenguh berjalan. Cuma rasa kantuk yang tidak terasa kerana
perasaan bimbang mengatasi segala-galanya.
Bunyi suara burung hantu makin jelas kedengaran apabila
belukar dihampiri. Suasana seperti itulah yang paling tidak disukai oleh Tajol.
Suara burung hantu membuatkan dia berasa mahu terkencing. Dengan kata lain
Burung Hantu ialah musuh nombor satu yang membuat dia selalu kecut perut.
“Nadira...!
Kau dalam belukar ni ke? Kalau ada, cepat menyahut! Kau tak takut ke?” laung
Zariq yang bergerak sendirian ke sebelah kiri belukar. Dia tidak takut kerana
belukar itu tempat dia dan anak-anak Al-Mustaqim yang lain bermain pada siang
hari.
“Nadira...!
Aku dah penat cari kau ni! Lagipun aku bukan berani sangat jalan sorang-sorang
dalam belukar gelap-gelap macam ni. Keluarlah, Nadira! Kalau nak merajuk...
esok siang ajelah!” Tajol melaung dari tengah belukar dengan takut-takut
berani. Kalaulah Haji Embong tidak mengarahkan untuk mereka berpecah, diupah
RM10 pun dia tidak mahu berjauhan daripada Zariq. Biar dia menjadi ekor dan
Zariq kepalanya, tidak mengapa. Malangnya, Haji Embong sangat tegas pada
waktu-waktu yang mencemaskan itu. Tidak ada tolak ansur lagi.
“Kau
ni menyusahkan betullah, Nadira. Dahlah aku ni penakut,” sungut Tajol perlahan.
Tidak mahu ada sesiapa yang mendengar. Kenyataannya Haji Embong dan Zariq
memang berada jauh daripadanya.
“Aku...
aku...” Terdengar suara halus yang kurang jelas tidak jauh dari tempat Tajol
berdiri. Kemudian terdengar esakan mendayu.
Hampir
terlepas lampu suluh dalam pegangan Tajol. Itu manusia atau hantu? Budak lelaki
yang penakut menjadi semakin kecut. Dia memasang telinga untuk memastikan arah
datangnya suara tangisan itu. Degup jantungnya jangan dikata, laju mengalahkan
degup jantung pelari pecut.
“Tajol...
aku kat sini... takut...” Kali ini suara itu lebih kuat dan jelas.
Tajol
memusingkan badan untuk mencari arah suara itu. Rupa-rupanya suara itu datang
dari sebalik sebatang pokok yang besar pangkalnya. Pantas dia mendekati pokok
itu lalu disuluh tepat ke situ. Kelihatan susuk badan budak perempuan berumur
lapan tahun sedang duduk di pangkal pokok itu. Sah! Sudah dijumpai. Tajol
bangga kerana dia yang berjaya menemui Nadira. Dilihatnya Nadira sedang menekup
muka dengan kedua-dua telapak tangannya. Badannya terhenjut-henjut kerana
tangisan yang masih belum berhenti.
“Ayah!
Zariq! Dah jumpa Nadira kat sini!” jerit Tajol. Dia pasti dengan sekali jeritan
saja Haji Embong dan Zariq akan mendengarnya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan
belukar yang sunyi itu. “Apalah kau buat sorang-sorang kat sini ni, Nadira?
Kalau ada hantu nak makan kau, tak ada siapa dapat tolong tau.”
Sudahlah
diri sendiri penakut, ada hati pula hendak menakut-nakutkan orang lain.
Sudahnya bulu roma Tajol yang tegak-tegak berdiri. Barulah dia rasa menyesal
kerana bercakap ikut sedap mulut saja. Dia juga berasa tidak seronok kerana
menjadi budak lelaki yang kurang berani.
“Biarlah
hantu makan aku. Aku tak suka orang kaya nak ambil aku. Ayah jahat! Ayah nak
bagi aku kat orang lain. Aku tak nak!” sahut Nadira dalam sedu-sedannya.
Mukanya masih di sebalik telapak tangan. Esakannya menjadi-jadi.
Sedih
pula Tajol mendengarnya. Mungkin satu hari nanti nasibnya akan menjadi macam
Nadira juga. Ada masanya dia marah pada
nasib dirinya. Seluruh ahli keluarganya sudah meninggal dunia dalam satu
kemalangan yang mengerikan sembilan tahun yang lalu. Dia tidak pernah kenal
kedua-dua orang tuanya. Jauh sekali
untuk merasai belaian kasih sayang mereka. Selalu dia bertanyakan Haji Embong,
mengapa nasibnya tidak sebaik orang lain.
Pengasas
Al-Mustaqim itu meyakinkannya bahawa nasibnya jauh lebih baik daripada bayi
yang dibuang ke dalam tong sampah atau longkang walaupun mereka masih ada
seseorang untuk dipanggil ibu. Langsung tidak dihargai oleh ibu sendiri.
Apabila Haji Embong memujuk begitu barulah dia berasa lega.
“Jangan
cakap gitulah. Nanti ayah dengar.” Cepat-cepat Tajol melupakan untung nasibnya
sendiri. Buat masa ini Nadira yang perlu diberi perhatian.
“Memang
ayah jahat! Aku benci ayah! Ayah tak sayang aku lagi!” jerit Nadira kuat. Dia
tidak tahan lagi. Sejak dia diberitahu ada orang kaya dari Kuala Lumpur yang
mahu mengambilnya dari Rumah Al-Mustaqim, dia tidak senang duduk. Sedih. Dia
tidak suka berjauhan daripada Zariq, Tajol dan anak-anak Al-Mustaqim yang lain.
Apatah lagi untuk berpisah dengan Haji Embong. Orang tua itulah yang dipanggil
ayah sejak dia mula pandai bercakap beberapa tahun lalu.
Kalau
sayangnya pada orang tua itu sangat besar, mengapa Haji Embong mahu
menyingkirkannya daripada keluarga Al-Mustaqim? Tidak kasih lagikah ayah
terhadap dirinya? Sudah seminggu dia memendam perasaan itu hingga akhirnya dia
merasakan lelaki itu sangat jahat dan sudah mula membencinya.
“Nadira...!”
Tajol tetap cuba melarang Nadira daripada
terus beranggapan buruk terhadap ayah mereka.
“Biarkan
Nadira luahkan semuanya. Biar lega hatinya.” Suara dari belakang mengejutkan
Tajol dan Nadira. Haji Embong bersama Zariq sudah berada di tempat mereka
berada.
Getar
suara Haji Embong amat ketara. Hiba hatinya apabila mengetahui mulai tumbuh
perasaan benci di dalam diri Nadira, suatu perkara yang sangat tidak baik bagi
perkembangan pemikiran seorang budak yang sedang membesar. Perasaan itu akan
terus bertunas dan bercambah dengan subur kalau Nadira sudah pergi dari Rumah
Al-Mustaqim nanti.
Sayangnya
Haji Embong tidak mampu berbuat apa-apa. Nadira mesti pergi. Rumah Al-Mustaqim
bukan tempat terbaik buatnya. Dia mahukan kehidupan yang lebih terjamin buat
Nadira. Selepas Nadira, anak-anak Al-Mustaqim yang lain akan pergi seorang demi
seorang, meninggalkannya yang sudah semakin tua dan tidak berdaya lagi untuk
menguruskan mereka.
“Nadira...
kita balik, nak. Dalam belukar ni banyak nyamuk. Lagipun sejuk,” pujuk Haji
Embong dengan lembut.
Sedikit
pun Nadira tidak mahu memandang Haji Embong. Hanya esakan yang masih
kedengaran.
“Marilah
Nadira, ikut ayah balik.” Kali ini orang tua itu cuba menarik tangan Nadira
pula.
“Nadira
benci! Ayah nak buang Nadira! Nadira tak suka!” jerit Nadira sambil menepis
kuat tangan Haji Embong. Air matanya semakin mencurah.
“Jangan
macam ni, Nadira. Ayah buat semua ni untuk kebaikan Nadira,” pujuk Haji Embong
lagi dengan suara sebak dan tertahan-tahan.
“Ayah
bohong! Kenapa ayah suruh Nadira pergi? Ayah suruhlah budak lain, bukan
Nadira!” bentak Nadira yang masih tidak berpuas hati.
Terpukul
perasaan Haji Embong. Dalam gelap-gelita,
mengalir juga air matanya tanpa ketiga-tiga anak Al-Mustaqim sedar.
Anak-anak itu masih terlalu mentah untuk memahami erti hidup. Kehidupan tidak
semudah yang mereka sangka.
Baginya,
tidak mencukupi kalau mereka sekadar memakai baju pemberian orang-orang yang
mengambil berat. Juga tidak memadai untuk mereka makan sekadarnya yang
berlaukkan ikan dari kolam ternaknya, bersayurkan sayur-sayuran yang datang
dari batas di belakang dapur Rumah Al-Mustaqim. Ada masanya Mak Som pula
memungut cendawan dan pucuk paku dari belukar.
Ihsan
pemberian dan derma orang ramai dikesampingkan untuk pelajaran dan sakit pening
anak-anak Al-Mustaqim sehinggakan sakit peningnya dibiarkan sembuh sendiri.
Bukan dia tidak sanggup berkorban untuk anak-anak yang masih mengharapkannya
tetapi tenaganya sudah surut. Badannya sudah lemah di sana sini. Ah! Susahnya
mahu membuatkan anak-anak faham.
“Kalau
boleh ayah tak nak Nadira pergi. Ayah dah cadangkan orang kaya tu ambil budak
lain tapi mereka tetap nakkan Nadira. Mereka janji akan jaga Nadira dengan
baik. Belikan baju cantik-cantik. Makan makanan yang sedap-sedap... Lepas tu...”
“Nadira
kata Nadira tak nak, tak naklah! Nadira tak nak!” Jeritan Nadira semakin kuat.
Dia terus menangis dengan kaki menghentak-hentak ke tanah.
Sesak
dada Haji Embong melihat kedegilan Nadira. Sayangnya, dia tidak boleh memarahi
Nadira. Apabila budak kecil rasa tergugat, dia hanya tahu menangis dan
menjerit. Hakikatnya Nadira adalah seorang budak baik dan dia sangat sayangkan
Nadira. Budak itu sudah seperti anaknya sendiri.
“Ayah
sayang Nadira. Mari ayah dukung. Kita balik, nak. Mak Som susah hati kalau
Nadira tak nak balik.” Terus-terusan dia memujuk dengan menyebut nama Mak Som
supaya hati Nadira menjadi lembut. Nadira memang akrab dengan wanita itu.
“Mak
Som...” gumam Nadira dengan sisa esakan. Dia tunduk merenung tanah. Masih tidak
mahu memandang muka Haji Embong.
Zariq
dan Tajol yang sejak tadi melihat adegan pujuk-memujuk itu sudah makin gelisah.
Apa tidaknya, badan mereka sudah menjadi hidangan nyamuk dan agas. Kelopak mata
pula sudah lama memberat.
Sejak
tadi mereka asyik terbayangkan tilam dan bantal. Sedap sungguh kalau dapat
tidur dengan berkelubung selimut hingga ke kepala dalam cuaca sejuk begini.
Kalau bukan sebab Nadira, mereka tidak perlu berembun di dalam belukar yang
gelap itu.
Selain
itu, mereka juga berasa sebak melihat keadaan Nadira yang begitu sedih dan sayu
hati. Kalau diberi pilihan mereka tidak mahu berpisah dengan Nadira, adik
perempuan kesayangan mereka di Al-Mustaqim. Apa boleh buat? Haji Embong yang
memutuskan semuanya.
“Agaknya
Mak Som tengah menangis sebab Nadira tak balik-balik. Kesian Mak Som,” umpan
Haji Embong lagi bila melihat Nadira mulai nampak tenang.
Nadira
masih tunduk. Hatinya hendak balik namun
kakinya berat mahu melangkah. Rasa tidak puas hatinya terhadap Haji
Embong masih berbaki. Peliknya perasaan itu bercampur aduk. Sayang dan benci
berganti-ganti. Sebahagian hatinya sedang rajuk tapi sebahagian lagi cuba
memahami. Sudahnya dia sendiri tidak selesa.
“Nadira
pening kepala... mengantuk.” Budak kecil memang jujur perasaannya. Kuapan besar
Nadira mengeyakan kata-katanya.
“Mari...”
Dengan rasa kasih, Haji Embong mendukung Nadira.
Nadira melekap pada badan Haji Embong sambil
menyorokkan mukanya. Dia tidak tahu lagi perasaan apa yang sedang menjalar di
dalam dirinya waktu itu. Yang pasti dia hanya mahu tidur dengan lena sampai
pagi. Dua minggu lagi dia akan berpisah dengan keluarga
besarnya di Ulu Telom. Rumah Al-Mustaqim akan ditinggalkan tanpa rela.