Hari itu Puan Suzi tidak ke pejabat
kerana mahu memerhatikan perkembangan Nadira. Demamnya sudah kebah tapi dia
tidak berselera untuk makan. Nadira asyik termenung dan tidak ceria. Dengan
Puan Suzi pun dia tidak mahu senyum lagi.
“Mama suap Nadira ya.” Sudu sudah
berada di hadapan mulut Nadira. Dia tidak ada hati untuk makan. Kepala digeleng
lemah. Menolak untuk disuap.
“Sejak Nadira demam, Nadira langsung
tak nak makan. Nanti badan tu lemah. Bila nak sihat?” pujuk Puan Suzi.
Nadira tetap menggeleng. Mulutnya
pahit dan payau. Memang perutnya sangat lapar, sayangnya dia tidak dapat
menikmati keenakan bubur nasi yang disediakan oleh Sulastri. Puan Suzi mencari
cara yang terbaik untuk memujuk Nadira.
“Nadira tak suka duduk sini ke?”
soalnya lembut. Nadira tunduk. Jarinya bermain-main dengan cadar katil.
“Jangan diam. Kalau Nadira diam, mama
rasa Nadira bencikan mama.”
Sengaja Puan Suzi berkata begitu.
Mana tau akan lembut hati Nadira. Beberapa minit menanti, Nadira diam lagi. Dia
seakan sedang menahan air mata agar jangan keluar. Matanya dipejam celik.
Kali ini Puan Suzi betul-betul buntu. Mangkuk
berisi bubur nasi berlauk diletakkan semula di atas meja. Dia menghulurkan pula
segelas Orenge Juice. Nadira tetap menolak. Anak yatim itu seolah-olah sedang mogok
lapar.
Apabila semuanya ditolak oleh Nadira,
Puan Suzi tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Dia meninggalkan katil lalu menuju
ke hujung bilik. Kain langsir di tolak ke kanan supaya udara segar masuk ke
dalam bilik. Dia mahu Nadira cepat sihat.
“Nadira nak apa sebenarnya?”
Dia terlalu ingin tahu apa yang
sedang bermain dalam fikiran Nadira. Selain itu dia juga mahu berkongsi beban.
Itu pun kalau Nadira mahu meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Kali ini juga Nadira tetap membisu.
Dia tidak tahu cara hendak meluahkan apa yang dirasa.
Dia akut akan dimarahi. Nadira
menahan diri untuk meminjam bahu Puan Suzi walaupun terlalu mahu berbuat
begitu. Hati kecilnya teringin mempunyai seorang mama. Mahu menumpang kasih
daripada wanita itu. Perasaan yang baru tumbuh mengintai sudah dicantas oleh
sikap Hardy yang sombong dan menakutkan.
“Tak nak makan tak apa...kita keluar
dari bilik ni ya. Nadira boleh berenang di kolam renang. Nak?” Puan Suzi tidak
jemu-jemu memujuk.
Mukanya diangkat dan Nadira merenung
tepat ke dalam anak mata Puan Suzi. Dia mahu bersetuju untuk berenang sayangnya
bayangan Hardy muncul lagi. Sejak kali pertama melihat kolam renang di kediaman
itu Nadira telah berangan-angan untuk berenang di dalamnya.
“Nak?” Soal mama barunya lagi.
Mengharapkan Nadira tersenyum dan bersetuju. Malangnya tidak. Nadira tetap
tidak mahu.
“Nadira...maafkan mama atas sikap
buruk Hardy. Mama tau Hardy dah sakiti Nadira dan buat Nadira takut.”
Tangan Nadira diambil dan dipegang
lama. Selain daripada itu ada yang lebih penting lagi mahu disuarakan oleh Puan
Suzi. Dia betul-betul kesal dengan perlakuan Hardy yang kasar dan telah
menakutkan Nadira.
“Bukan salah mama. Mama baik, anak
mama yang jahat.”
Akhirnya Nadira bersuara lemah.
Puan Suzi menarik nafas lega. Jawapan Nadira kedengaran sangat jujur walaupun
dia takut-takut untuk menyuarakan.
“Kalau mama baik, dengar kata mama.” Wanita itu belum berputus asa.
Nadira geleng.
“Sikit je...dua sudu. Boleh?”
pujukannya tidak memberi kesan. Nadira tetap menolak.
“Hmmm...kalau Nadira tak selesa
tinggal kat sini, mama akan hantar Nadira ke Al-Mustaqim semula. Orang sana tak
pernah sakiti Nadira. Mama kesal dengan sikap Hardy. Mama malu.”
Kali ini Puan Suzi yang tunduk. Dia
malu pada diri sendiri. Didikannya tidak menjadi. Dia gagal sebagai seorang
ibu. Walaupun ilmu akhirat tidak pernah diketepikan dalam membentuk peribadi
Hardy, mungkin belum masanya untuk Hardy lebih memahami tentang hubungan sesama
manusia.
“Betul mama nak pulangkan Nadira?”
Mata Nadira bersinar. Tangan Puan Suzi digoncang tanpa sengaja. Dia terlalu
gembira.
Nadira membayangkan dia akan bersatu
semula dengan Zariq, Haji Embong, Mak Som dan seluruh ahli keluarga
Al-Mustaqim. Tidak ada yang lebih membahagiakan selain daripada itu.
Senyumannya lebar. Nadira sudah berasa sihat. Perutnya lapar tiba-tiba. Dia mahu
makan bubur nasi berlauk buatan Sulastri yang semestinya sangat sedap rasanya.
“Mama...boleh tak Nadira makan?”
“Boleh...boleh...makan, sayang.”
Perasaan Puan Suzi tidak dapat digambarkan.
Dia melihat senyuman Nadira dengan hati yang
menangis. Sedih. Dia akan kehilangan anak perempuan sekali lagi. Di samping itu
terselit rasa bahagia kerana dapat memberi kegembiraan buat Nadira. Dia sedar
kegembiraan Nadira berada jauh di Ulu Telom. Bersama keluarga besarnya. Bukan
di Bukit Antarabangsa. Di mana dia terpaksa menanggung siksa apabila berhadapan
dengan Hardy.
“Kesian mama! Ni semua salah aku!
Betullah...aku budak jahat.”
Rupa-rupanya sejak Nadira jatuh
demam beberapa hari lepas, Hardy sentiasa mengekori Puan Suzi apabila mamanya
ke bilik Nadira. Ketika Puan Suzi masuk ke dalam, dia akan menunggu di luar.
Mencuri dengar setiap perbualan di antara mamanya dan Nadira.
‘Pernah tak aku buat mama gembira?’ Hardy cuba
mengingati. Mungkin pernah, mungkin juga tidak.
Dia mengintai Nadira yang makan
dengan penuh selera. Mamanya pula tersenyum senang apabila melihat Nadira sudah
mahu makan. Terfikir oleh Hardy, apa salahnya jika dia menghadiahkan sedikit
kegembiraan buat mamanya. Kalau kegembiraan mamanya adalah Nadira, dia mesti
belajar untuk memahami.
“Alhamdulillah...dah kenyang.” Bubur nasi
di dalam mangkuk tidak bersisa. Licin. Selepas itu Nadira menghirup Orange
Juice dengan cepat. Habis segelas.
Sesudah kenyang dan agak bertenaga,
Nadira turun dari katil. Dia membuka pintu almari. Menyelak pakaian yang
bergantungan di dalamnya. Dia mengambil beg pakaian yang berada di sebalik
pakaian-pakaian itu. Beg dibawa ke katil.
Puan Suzi menjeling ke arah pakaian
yang tergantung di dalam almari besar lima pintu itu. Sejak Nadira berada di
situ, belum sekali pun dia mengenakan pakaian yang dihadiahkan kepadanya. Dia
lebih senang memakai pakaian yang dibawa dari Al-Mustaqim.
“Nak buat apa ambik beg pakaian
Nadira ni?” Puan Suzi berasa hairan melihat perlakuan Nadira.
“Mama kata nak hantar Nadira balik
rumah ayah!”
Nadira gembira. Puan Suzi tersentak
mendengarnya. Dia belum bersedia untuk melepaskan Nadira. Mengapa terlalu cepat
Nadira mahu bersiap-siap? Ah! Hatinya galau. Lebih-lebih lagi ketika itu Tuan
Daniel tidak ada dirumah.
‘Dia betul-betul nak tinggalkan rumah
ni. Kesian mama.’
Hardy tidak kisah jika Nadira pergi.
Kalau boleh dia mahu bertepuk sorak kerana tidak akan ada orang yang akan
menggugat kedudukannya sebagai anak tunggal di dalam keluarga itu.
Memandang mamanya yang sayu membuat
dia berasa kasihan. Mungkin mamanya benar-benar mahukan seorang anak perempuan.
Perlukah dia beralah untuk kali ini? Demi seorang mama. Hardy celaru.
Menahan Nadira dari pergi bermakna
dia akan berhadapan dengan budak kampung itu setiap hari. Dapat bertahankah
dia? Jika dia membiarkan Nadira pergi, bermakna dia akan melukakan hati
mamanya. Luka itu mungkin akan memakan masa yang terlalu lama untuk diubati.
Kerana terlalu memaksa diri untuk berfikir, dahi Hardy berpeluh.
‘Arghhh! Bencinya aku terpaksa buat
pilihan. Sakit kepala aku!’ jerit Hardy dalam hati.
‘Kenapalah kau mesti wujud, budak
kampung? Menyusahkan aku aje!’
Hatinya berbisik lagi. Rupa-rupanya
dia telah terlupa lagi tentang dosa membenci anak yatim. Insaf hanya sekejap.
Susah juga untuk mencuci hati yang sudah lama berbintik hitam. Kalau disental
dengan penyental periuk yang Sulastri selalu gunakan, belum tentu akan hilang
bintik-bintik di hati Hardy.
“Nadira...sebenarnya mama tak nak
Nadira pergi. Untuk kebaikan Nadira, mama tak ada pilihan lagi. Kalau boleh
Nadira tinggallah untuk dua tiga hari lagi. Mama dan papa akan bawak Nadira
bersiar-siar. Sejak Nadira datang, mama belum sempat bawak Nadira ke mana-mana
lagi. Boleh kan sayang?”
Puan Suzi mahu menghabiskan masa
bersama Nadira. Membawanya bersiar-siar dan membeli-belah. Dia berharap akan
ada kenangan manis yang boleh dibawa pulang ke Al-Mustaqim oleh Nadira. Tentu
Nadira akan menceritakan pengalaman indahnya di Kuala Lumpur kepada seluruh
penghuni Al-Mustaqim. Sekurang-kurangnya ia sebagai hadiah buat Nadira yang
pernah menjadi anak perempuannya walaupun hanya untuk
beberapa hari.
‘Mama berat hati rupanya. Apa aku nak
buat ni?’ getus Hardy. Dia terus mendengar setiap apa yang diperkatakan oleh
Puan Suzi.
“Mama...Nadira nak...tapi...Nadira...Nadira
takut pada Hardy. Nanti dia akan pukul Nadira lagi. Sakit. Kalau Nadira mati
macam mana? Kat TV selalu tunjuk ada budak kecik mati kena pukul.”
Akhirnya Nadira memberanikan diri
untuk meluahkan apa yang dirasa. Setelah berbuat begitu, hatinya agak lega.
Lapang. Bagi Nadira lebih baik dia dihantar balik ke Al-Mustaqim asalkan tidak
payah berdepan dengan Hardy yang selalu membuatnya bermimpi ngeri.
“Nadira!” Badan Nadira dirangkul.
Berjuraian air mata Puan Suzi.
Sedikit pun dia tidak menyangka akan separah
itu perasaan Nadira. Ketakutan yang dirasai begitu menekan sehingga dia
terfikir akan menemui kematian akibat deraan Hardy. Tentu hanya bayangan ngeri
yang mengekorinya setiap kali terpandang Hardy.
‘Ah! Aku ke tu? Sampai macam tu sekali dia
takutkan aku. Adoi...betullah katanya...aku jahat. Tak seronoknya bila semua
orang anggap aku jahat. Bukan je Nadira, bahkan mama, papa...dan Sulastri pun
anggap aku jahat.’
Hardy terus mengomel dalam hati.
Penat pula apabila mendengar terlalu banyak yang buruk tentang dirinya tapi
hatinya masih tidak mahu meninggalkan tempat itu. Ada ketikanya dia memarahi
Nadira kerana mengadu. Pada waktu yang lain pula dia marah-marah pada diri
sendiri kerana menjadi budak jahat.
“Maafkan mama ya.” Sekali lagi Puan
Suzi berasa bersalah terhadap Nadira.
“Ya, Nadira maafkan mama.” Melihat
Puan Suzi menangis, air mata Nadira ikut tumpah.
“Tapi mama...”
“Tapi apa sayang?”
“Kalau Nadira terus kat sini, Nadira
akan mimpi kena bunuh lagi. Nadira takut.” Satu lagi rahsia yang dipendam
terluah juga.
“Siapa cuba bunuh Nadira?”
“Hardy nak bunuh Nadira.” Sahut Nadira
teresak-esak. Belakang badannya diusap lembut oleh Puan Suzi supaya Nadira akan
lebih tenang.
‘Dia ni betul ke? aku lagi!...aku
lagi! Takkan aku sampai masuk dalam mimpi dia.’
Diam-diam Hardy bersungut. Kali ini
sebal pula hatinya. Geram! Nadia memang mengada-ngada. Getik Hardy
mendengarnya. Nampaknya pendirian Hardy masih berbelah bahagi. Sesalnya selalu
saja tenggelam timbul. Seperti sabut yang dicampak ke dalam air.
“Itu semua cuma mimpi. Jangan percaya
sangat pada mimpi. Lain kali bila Nadira nak tidur, basuh kaki, ambik wuduk
lepas tu baca doa tidur. Barulah syaitan nak kacau pun takut.” Ujar Puan Suzi
supaya Nadira akan lebih faham bahawa mimpi hanyalah mainan tidur.
‘Sedihnya aku...syaitan pun datang
dalam mimpi dia jadi muka aku.’
Marah Hardy pula. Entah siapa yang
dimarahinya. Nadira yang bermimpikah? Atau dirinya yang memang jahat? Mungkin
juga marah pada syaitan yang menjelma menjadi sepertinya. Bertambah jengkel
Hardy dibuatnya.
“Cuma mimpi pun Nadira nak pergi
jugak. Anak mama tak suka Nadira.”
Anak yatim itu mengeraskan hatinya.
Dia sudah serik menjadi mangsa buli. Di Al-Mustaqim tidak ada sesiapa yang
membuli atau membuatnya menangis. Malahan jika ada yang cuba menyakiti, Zariq
akan mempertahankannya.
Apa lagi yang hendak dikata. Puan
Suzi tidak mampu menahan keinginan Nadira. Dia dapat melihat pendirian Nadira
yang masih belum dapat digoyah. Puan Suzi tidak mampu untuk memujuk lagi.
Walaupun pada awalnya dia juga mahu menghantar Nadira tapi apabila tiba
waktunya berat pula hatinya.
“Baiklah. Kalau itu yang Nadira
nak...tapi Nadira mesti tunggu papa balik dulu ya. Papa dan mama akan hantar
Nadira.” Sebak suara Puan Suzi, bergetar.
‘Kesian mama...adoi macam mana
ni...hmmm...mama sedih.’ Hardy berkira-kira untuk melakukan sesuatu. Bukan
untuk Nadira tapi kerana Puan Suzi. Dia tidak mahu melihat mamanya terus
bersedih.
“Nadira kemas baju dulu ya ma.”
Nadira pula begitu gembira kerana
Al-Mustaqim semakin hampir di ingatannya. Tidak lama lagi dia akan bersatu
semula dengan seluruh penghuni rumah anak-anak yatim itu. Dia akan makan ikan
Sembilang, pucuk paku dan cendawan butang bersama mereka. Tidak sabar rasanya.
“Tak payah kemas!” Tiba-tiba Hardy
muncul. Beg pada pegangan Nadira terlepas. Dia terkejut apabila melihat Hardy sudah
berada depan matanya. Nadira sembunyi di belakang Puan Suzi.
“Boy!
Buat apa masuk bilik ni?” Puan Suzi gusar. Bimbang Hardy akan memberi masalah
lagi. Dia berdebar-debar.
Hardy geleng. Dia berjalan terhencot-hencot
dengan tongkat yang berada di celah ketiaknya. Nadira dihampiri. Puan Suzi
hanya memandang dengan seribu satu tanda-tanya. Aneh sungguh sikap Hardy. Mustahil
pula dia mahu membuli Nadira di depan matanya. Wanita itu hanya tunggu dan
lihat apa tindakah Hardy seterusnya.
“Kau tak payah pergi. Aku janji aku
tak akan buli kau lagi. Sumpah!” Tanpa diminta Hardy telah melafazkan ikrar.
Kata-kata Hardy seolah-olah bukan
keluar dari mulutnya. Nadira ragu-ragu. Haruskan dia mempercayainya? Dipandang Puan
Suzi untuk mencari keyakinan dan jawapan. Puan Suzi pula masih merenung Hardy.
Dia juga seakan tidak percaya dengan apa yang telah didengarnya.
“Boy?” Dia mahukan kepastian dari
anak lelaki tunggalnya itu.
“Ya ma. Biarlah budak ni kat sini.
Hardy janji tak akan kacau dia.” Sekali lagi Hardy meluah janji.
“Sungguh?” soal Puan Suzi lagi.
Keyakinannya belum bulat. Hardy angguk.
“Boy nak mama gembira.”
Wanita itu tersenyum lalu menepuk-nepuk
lembut belakang Hardy. Dia mengucapkan terima kasih kepada anak yang masih ada
hati itu. Biarpun dia masih tidak mempercayai sepenuhnya janji-janji Hardy
tetapi apa salahnya memberi Hardy peluang untuk membuktikan. Buat masa ini
Hardy kelihatan bersungguh.
“Kau jangan takutkan aku lagi. Aku
bukan hantu.” Ujar Hardy seadanya apabila melihat Nadira masih berada di
belakang Puan Suzi.
“Lepas ni aku tak akan datang dalam mimpi kau
lagi.” Sambung Hardy. Puan Suzi menahan ketawa. Kelakar pula kata-kata Hardy.
“Kalau datang lagi?” Nadira pula
memberanikan diri bertanya. Yang kedengaran hanya suaranya kerana dia masih
menyorok di belakang Puan Suzi.
“Tak ada punya. Aku pun bukan suka
nak datang dalam mimpi kau.”
Hardy malas melayan, dia bercakap
dengan separuh hati. Kalau diikutkan rasa meluatnya, dia tidak mahu
bercakap-cakap dengan Nadira tapi semuanya dilakukan demi seorang mama. Dia
tidak suka melihat Puan Suzi muram dan tidak bersemangat
Selepas itu Hardy memusingkan badan
untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu lama-lama berhadapan dengan Nadira. Apa
yang perlu dilakukan telah pun dilakukan. Dia berharap mamanya akan gembira
kerana tidak akan kehilangan anak perempuan buat kali kedua.
“Nadira dengar kan apa Boy kata? Tak payah
balik ke Ulu Telom ya. Jadi anak mama, ok?” Puan Suzi memujuk lagi dengan
harapan baru. Hatinya berdebar-debar menanti jawapan Nadira.
Nadira memandang beg pakaiannya di
atas katil. Bibirnya diketap sambil berfikir. Sorot mata beralih pula ke Puan
Suzi. Wanita itu cuba bertenang dan menghadiahkan senyuman untuk Nadira.
Senyuman tulus dan mengharap.
“Nadira cuba jadi anak mama.”
Akhirnya terluah ucapan Nadira.
Jawapan itu sudah memadai buat Puan Suzi. Ditarik Nadira lalu dipeluk kuat. Sekali
lagi air matanya jatuh ke pipi. Bukan sebab bersedih hati tetapi itu tanda
gembira yang tidak dapat digambarkan melalui kata-kata.