Sebaik Mercedes Compressor yang dinaiki papa dan mama
meninggalkan kediaman, Hardy tidak melengahkan masa lagi. Dia berkejar ke
tingkat atas. Anak tangga dipijak melangkau. Dia mahu cepat sampai di bilik
Nadira. Sebaik berdiri di muka pintu, dia mengetuk kuat bertalu-talu. Senyap.
Ketuk lagi. Senyap. Akhirnya, dia menendang sekuat hatinya. |
Nadira
menikus di dalam sambil membayangkan singa lapar yang mahu membahamnya sekali
lagi. Dia menarik selimut lalu menutupi keseluruhan badan. Memeluk bantal
dengan kuat. Luka pada bibirnya belum sembuh, Hardy hendak membuat kacau lagi.
“Hoi,
bukaklah! Tak dengar ke?”
Nadira
menggigil ketakutan. Terasa senak perutnya mendengar jeritan Hardy yang seperti
kerasukan. Dia menekup telinga. Namun dia masih juga dapat mendengar suara anak
orang kaya yang sedang terjerit-jerit itu.
“Kalau
kau tak nak keluar, aku bakar bilik kau! Biar kau hangus dalam tu!” ugut Hardy.
Ugutan
Hardy menakutkan. Nadira membuang selimut lalu turun dari katil. Dia berlari ke
pintu gelangsar menuju ke balkoni. Menyelak langsir lalu ditolak pintu itu. Dia
merapati jeriji besi lalu memandang ke bawah. Rasa takut membuatkan dia
terfikir untuk melompat ke bawah.
“Tingginya!
Macam mana nak lompat ni?” Badannya seram sejuk dan ketar. Pipi mulusnya sudah
basah oleh peluh bercampur air mata. Perasaannya idak menentu.
Dia
terkaku seketika. Dia merenung ke bawah. Kalau dia terjun tentu akan bersepai
kepalanya. Otaknya terkeluar dan darah akan memenuhi simen itu. Ngerinya.
Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Gayat pula rasanya.
Dia
masuk ke dalam bilik semula. Bunyi bising di luar pintu masih kedengaran. Dia
tidak dapat lari lagi. Telinganya sudah bingit. Hatinya tidak tenteram. Mahu
dibuka atau tidak pintu itu?
“Nak
buka ke tidak?! Aku dah ambil minyak api ni! Mancis pun ada!” tipu Hardy,
mengugut Nadira tidak henti-henti. Jeritannya makin kuat. “Buka cepat! Buka!”
Nadira
bingung. Perlukah dibuka pintu itu? Kalau tidak dibuka sudah tentu dia akan
hangus terbakar apabila Hardy menyalakan api. Dia akan mati kerana tidak boleh
bernafas. Dia tidak mahu mati.
Akhirnya,
dia mengambil keputusan. Dengan takut-takut berani, dia membuka pintu. Semakin
tidak keruan apabila melihat Hardy tegak di situ. Muka Hardy memang garang.
Perkara pertama yang dilakukan adalah melihat tangan Hardy. Tidak ada minyak api dan mancis di tangannya.
Dia tertipu. Terasa mahu menangis.
“Kau
ikut aku. Aku nak bagi kau kerja sikit. Duduk rumah aku, kau tak boleh nak
goyang kaki aje,” arah Hardy. Dia berjalan dahulu dengan harapan Nadira akan
mengekorinya. Bila dia berpaling, dilihatnya Nadira masih lagi tercegat di
depan pintu. Hardy bercekak pinggang, matanya sengaja dibulatkan.
Nadira
memandang Hardy dengan takut-takut.
“Apasal
berdiri kat situ lagi tu?! Ikut aku!”
Nadira
tiada pilihan. Perlahan-lahan dia mengekori Hardy. Entah ke mana dia mahu
dibawa oleh Hardy, dia sendiri tidak pasti.
“Mau
dibawa ke mana Nadira, tuan muda?” Sulastri menegur. Dia khuatir Nadira akan
diapa-apakan. Rukiah, seorang lagi pembantu yang sedang berkemas hanya
memandang sekali lalu. Dia tidak mahu masuk campur urusan mereka.
“Kau
siapa, bik nak soal aku bagai? Pergi buat kerja!” jerkah Hardy.
Kelam-kabut
Sulastri pergi. Rukiah yang memandang gelihati melihat telatah Sulastri. Baru
padan muka! Ejek Rukiah yang jarang sebulu dengan Sulastri. Sama-sama datang
dari seberang tapi Rukiah kuat berdengki. Busuk hati.
Hardy
terus berjalan keluar dengan Nadira masih terus mengekorinya. Tiba di garaj
kereta, Hardy duduk di atas bangku. Kaki disilang dengan muka bengis.
Nadira
berdiri tidak jauh daripada Hardy. Terasa diri semakin tidak beruntung kerana
terpilih menjadi anak orang kaya. Tidak seindah yang digambarkan oleh Haji
Embong.
“Apa
tegak situ? Kau ambil baldi kat paip sana tu. Isi air, ambil syampu kereta
dalam almari kecik tu. Kau cuci kereta comel mama aku ni. Baik-baik... jangan
sampai calar!” arah Hardy seperti mengarah seorang kuli.
Nadira
bingung. Dia tidak biasa. Seumur hidupnya tidak pernah mencuci kereta. Kalau
kereta itu tercalar, apa yang akan dilakukan oleh Hardy terhadapnya? Melihat Hardy
yang sudah berdiri dan bercekak pinggang memandangnya, dia terus melakukan
seperti apa yang diarahkan.
Kepala
paip dipulas lalu air yang memancut ditadah ke dalam baldi besar. Setelah agak
penuh, paip ditutup semula. Nadira cuba mengangkat baldi yang dipenuhi air. Berat. Dicuba lagi mengangkat
baldi itu. Dengan tubuhnya terlalu kecil, mana mungkin dia mengangkat sebuah
baldi sederhana besar yang dipenuhi air. Penat mencuba, dia berfikir untuk
mencari ikhtiar yang lain.
Baldi
besar itu cuba ditolak pula. Dengan harapan baldi itu akan bergerak sedikit
demi sedikit hingga sampai ke garaj kereta. Harapannya musnah apabila baldi itu
senget dan air di dalamnya tumpah. Cepat-cepat dia menahan baldi daripada terus
tergolek ke simen. Jika tidak, sudah pasti baldi itu akan pecah.
‘Padan
muka!’ ejek Hardy di dalam hati. Dia ketawa berdekah-dekah. Tawanya sengaja
dikuatkan untuk menyakitkan hati Nadira. Baru dia tahu rasa.
Air
ditadah sekali lagi. Setelah terisi separuh baldi, cepat-cepat paip ditutup.
Kali ini Nadira sudah mampu mengangkat baldi besar berisi air itu dengan
kedua-dua tangan. Badannya condong ke belakang. Jalannya agak tidak teratur
kerana baldi dan kakinya asyik berlaga.
“Lambatnya!
Aku bagi kau masa sepuluh minit aje. Mesti siap!” jerit Hardy.
Nadira
terketar-ketar. Kelam-kabut dia mencurah syampu kereta ke dalam baldi. Kemudian
berdiri sebentar. Menggaru dahi. Memikirkan apa yang perlu dilakukan. Otaknya
seakan-akan tersekat. Semuanya kerana takutkan Hardy yang sedang menggila.
Dia
terpandang span di bawah paip lalu mengambilnya
untuk mencuci kereta. Baldi diheret supaya lebih hampir dengan Proton
Perdana Puan Suzi. Span dicelup ke dalam air yang berbuih. Dengan pantas span
digosok pada badan kereta. Laju. Sepuluh minit bukanlah masa yang panjang
untunya menghabiskan kerja.
Sambil
memerhati Nadira yang kelam-kabut mencuci kereta itu, hati Hardy berkata-kata
sendiri. Sesekali memuji dan banyak kali pula menyemai benci.
Hardy
menepis-nepis sedikit perasaan baik supaya tidak mengganggu rancangan buruknya
terhadap Nadira. Dia masih tidak dapat menerima hakikat orang yang tidak
dikenali telah menjadi ahli keluarganya dengan begitu mudah. Nadira akan
merampas hak yang sepatutnya diberikan kepadanya oleh kedua-dua orang tuanya.
“Ada
lima minit aje lagi. Kereta tak siap... siap kau!” jerkahnya membuatkan Nadira
terkejut lalu span di tangan terpelanting.
“Dah...
dah siap!” spontan Nadira menjawab.
Hardy
bangun. Dia mengelilingi kereta mamanya yang diselubungi buih. Buih dicolek
dengan hujung jari telunjuknya lalu mahu diletakkan pada batang hidung Nadira.
Cepat-cepat Nadira mengelak.
“Ini
apa?” soal Hardy menunjukkan buih sabun.
“Tu...
tu... bu... bu... buih!” ujar Nadira gagap.
“Dah
tau buih, bersihkanlah! Bilas!” Hardy hanya tahu mengherdik dan terus
mengherdik. Menggunakan kesombongannya untuk terus membuli Nadira. Tugas yang
sepatutnya dilakukan oleh pemandu keluarganya sengaja diberikan kepada Nadira.
“Ma...
macam mana bilas?” soal Nadira. Bukan sebab dia
terlalu dungu untuk tidak tahu, tetapi hatinya tidak menentu. Semuanya
kerana deraan Hardy sejak hari pertama dia sampai di rumah itu.
“Bodohnyalah...
kau tak sekolah ya? Sini aku ajarkan. Kau buang buih ni, kau ganti dengan air
bersih. Siram kat kereta ni. Tulah namanya bilas.”
Nadira
mengangkat baldi itu dan membawanya ke kepala paip. Air sabun dibuang lalu
ditadah dengan air bersih. Sekali lagi
Nadira melakukannya dengan terpaksa. Hatinya berbuku. Rasa bencinya pada Hardy
semakin menebal.
Sementara
Nadira menadah air, Hardy mula merancang sesuatu. Cepat-cepat dia ke stor
simpan barang-barang. Dia mahu mengambil seketul sabun buku yang selalu
digunakan oleh pemandu keluarganya.
Simen
yang telah dibasahi air akan memudahkan tugasnya. Hardy menutup sebelah mata
dan sebelah mata lagi digunakan untuk mengagak kedudukan sabun itu akan
diletakkan. Dia mahu Nadira terpijak sabun yang licin. Jatuh tergolek lalu
patah kaki atau tangan. Dia mahu memastikan rancangannya akan berjaya.
Masanya
sudah tiba. Sebaik saja Nadira hendak memulakan langkah, Hardy melemparkan
sabun ke atas simen. Betul-betul di hadapan Nadira berdiri. Sayangnya Nadira
telah menyedari. Ketika itu, Hardy sudah mahu pergi. Dengan niat tidak mahu
membantu apabila Nadira tersungkur
nanti.
Nadira
membongkok mengambil sabun itu lalu dengan pantas dilempar semula berhampiran
Hardy. Dia tidak pasti dari mana dia mendapat keberanian untuk melakukannya.
Yang pasti dia tidak ada apa-apa niat, hanya melakukannya dengan spontan untuk
mengelak daripada terpijak sabun itu.
“Haaa...
haaa... haaa... adoiii!” Hardy tergelincir apabila terpijak sabun. Sasaran
Nadira sangat tepat. Hardy tersembam ke simen seperti nangka busuk. Sakitnya
bukan kepalang.
Nadira
ketakutan. Tidak tahu mahu berbuat apa.
Wajah
Hardy berkerut-kerut. Bibir bawahnya digigit apabila menahan sakit. Tidak sedar
air matanya sudah keluar. Tidak tertahan
rasanya. Pergelangan kakinya tidak dapat digerakkan.
“Kau
sakit, ya?” soal Nadira yang sudah berdiri berhampiran Hardy. Dia ikhlas
bertanya.
“Sakitlah,
bodoh! Kau nak bunuh aku, ya?” jerkah Hardy sambil menahan sakit.
Sudahlah
sakit, masih ada hati mahu meninggi suara. Hardy tetap menunjukkan
kesombongannya. Nadira terdiam.
“Nak
aku tolong ke?” Budak kampung itu sekali lagi cuba memberanikan diri. Dia tidak
sampai hati meninggalkan Hardy di situ. Dia tahu Hardy terlalu sakit melalui
kerutan mukanya yang berlapis-lapis.
“Tak
payah! Ni semua kau punya pasal! Panggil bibik cepat!”
Tanpa
membuang masa, Nadira berlari masuk ke dalam rumah. Dia mahu memanggil
Sulastri. Kasihan juga melihat Hardy begitu, tetapi dia berasa selamat. Untuk
hari itu, Hardy tidak akan membulinya, esok atau lusa tidak tahu lagi.
Setelah
diberitahu oleh Nadira, Sulastri menghubungi Tuan Daniel dan Puan Suzi.
Nadira
masuk semula ke dalam bilik. Biar Sulastri dan Rukiah saja yang menguruskan
Hardy.