Home Novel Komedi/Romantik Komedi Kukejar Kau Lari
Bab 2


BEBERAPA orang anak Rumah Al-Mustaqim mengekori Mak Som ke belukar kecil di belakang rumah. Belukar kecil itu sudah menjadi seperti taman permainan mereka. Di situlah mereka akan berkejaran di celah-celah pokok dan rumpun senduduk yang melata.

Mereka selalu bermain tembak-tembak berpelurukan terung pipit dan bermain sorok-sorok. Ada yang gemar menangkap rama-rama serta kumbang kecil. Mereka sanggup berperang dengan nyamuk dan agas-agas asalkan dapat merasai kegembiraan dan keseronokan di situ.

Zariq dan Nadira lebih suka membantu Mak Som mencari pucuk paku untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Kadang-kadang mereka akan mengumpul cendawan butang yang tumbuh bila tiba musim hujan. Cendawan kayu juga sering menjadi mangsa mereka yang dicabut satu demi satu lalu dimasukkan ke dalam beg plastik. Sedap sungguh jika dimasak lemak cili api, air tangan Mak Som.

“Yakkk! Wachauuu! Wachauuu! Buat apa tu?” sergah Tajol sambil menggayakan aksi kungfu. Tangan kanannya sengaja mematuk belakang Zariq yang sedang terbongkok-bongkok mencabut cendawan butang.

Zariq menepis lalu memegang sebelah kaki Tajol yang sedang diangkat. Tidak sempat Tajol mengelak. Budak nakal itu terlompat-lompat dengan sebelah kaki. “Gila kau, Jol! Terkejut beruk aku! Hah! Rasakan, baru padan muka kau!”

Zariq memusing kaki Tajol hingga Tajol terjerit-jerit minta dilepaskan. Zariq mengekek melihat mata Tajol yang bulat terbeliak apabila hilang imbangan badan. Puas hatinya dapat mengenakan Tajol yang hanya tahu bermain. Tidak pernah ada hati mahu menolong Mak Som.

“Hohoho... aku surrender! Turunkan kaki aku. Aku janji tak buat lagi!” ikrar Tajol.

“Kau ni harap umur aje lebih dari budak-budak ni tapi tak pernah nak ringan tulang,” kritik Zariq. Kaki Tajol dilepaskan.

“Cuba kamu contohi Zariq ni, Tajol. Dia pun nakal jugak tapi taklah malas macam kamu. Asyik nak main aje,” tegur Mak Som yang mematah-matahkan batang pucuk paku. “Tolong Mak Som cabut cendawan. Banyak kita pungut cendawan, cepatlah Mak Som masak. Nanti kamu jugak yang bertambah nasi dua, tiga kali,” sambungnya lagi.

Tajol tergeliat-geliat, tersengih-sengih tidak sudah. Lambat-lambat dia membongkokkan badan. Mulai mengutip cendawan yang memutih di atas tanah.

Mak Som tersenyum melihat ragam Tajol.

Zariq pula menolak badan Tajol dengan punggungnya. Sengaja dia mencari fasal dengan Tajol, mahu memulangkan paku buah keras kerana Tajol telah membuatnya terkejut sebentar tadi.

Tajol berdecit lalu menjeling ke arah Zariq. Dia menjauh supaya Zariq tidak dapat mengenakannya lagi. “Sudahlah tu! Macam budak kecik!”rungutnya.

“Tau pun marah.” Zariq mencangkung di sebelah Tajol. Sama-sama mencabut cendawan butang. Baru dia mahu berasa aman, Tajol sudah menyiku pinggangnya. Kemudian bibirnya muncung ke depan. Menunjukkan sesuatu. Matanya bergerak mengekori muncung Tajol. Tidak ada apa-apa yang dilihatnya melainkan Nadira dan Busyra yang sedang membantu Mak Som memetik pucuk paku. “Apa benda? Tak ada apa pun. Yang aku nampak Nadira dengan Busyra.”

“Betullah tu!” sahut Tajol dengan mata tidak berkedip.

“Apa yang betul? Tak faham aku.” Puas Zariq berfikir. Dia masih tidak dapat memahami maksud muncung Tajol tadi. Mata Tajol pula tidak lepas-lepas memandang tempat yang sama.

“Kau tak nampak ke betapa comelnya Nadira tu? Tengok...tengok, bila dia senyum. Perghhh! Kau ada rasa mak atau ayah dia bukan Melayu ke? Aku macam jatuh cintalah.”

“Kau dah sunat ke belum? Nadira tu pulak baru lapan tahun. Budak kecik!” usik Zariq.

“Kau ingat aku macam Midi ke, takut nak sunat?”

“Manalah tau, kan. Ermm... dia budak baik. Sama macam Busyra... baik. Dia orang tu adik-adik kita yang baik. Tak nakal macam kita.” Lain pula pandangan Zariq. Sudah lama dia tahu Nadira memang comel. Dia juga selalu mengingati pesanan Haji Embong. Anak-anak di Rumah Al-Mustaqim tidak kira lelaki atau perempuan mesti menganggap mereka adik-beradik dan saling menghormati.

“Aku tahulah... cuma kadang-kadang tak puas aku tengok dia.” Mata Tajol tidak berkelip memandang Nadira

Zariq menjeling dengan jelingan maut. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam kepala Tajol. Malas melayan teman baiknya yang kadang-kadang otak miring itu.

“Ingat selalu pesan ayah, Jol. Kat sini kita paling besar. Abang-abang, kakak-kakak yang dulu dah keluar dari Al-Mustaqim. Kita kena ambil tugas dia orang tu. Kan ayah kata kita mesti jaga adik-adik kita baik-baik?” ujarnya sambil mata mengerling Nadira. Memang betul kata Tajol, di Al-Mustaqim Nadiralah yang paling comel. Kulitnya putih kemerahan dengan rambut ikal bergulung-gulung di hujungnya.

Biar secantik mana pun Nadira, budak perempuan itu adalah adik mereka. Itu yang selalu dibenamkan oleh Haji Embong ke dalam kepala mereka. Tujuan Haji Embong berbuat begitu supaya mereka saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain.


MAK SOM sudah agak menjauh. Dia mahu mengumpul lebih banyak pucuk paku supaya anak-anak Al-Mustaqim akan makan sepuas-puasnya.

“Adoi! Siapa pulak nak kena tangan aku ni?” jerit Zariq tiba-tiba. Pipinya terasa pijar terkena tembakan terung pipit.

Tajol hanya tersengih. Dia menyambung kerjanya mencabut cendawan.

“Hah! Kepala siapa tu? Jangan nak menyorok! Ingat aku tak nampak ke?” Dari rumpun senduduk yang merimbun, Zariq dapat melihat kepala seseorang. Dia pasti itulah penembak tepat yang telah menjadikan mukanya sebagai mangsa. Mungkin penembak tepat itu sedang menyorok kerana ketakutan.“Tau pun takut!” Perlahan-lahan rumpun senduduk dihampiri.

Tajol yang suka menyibuk tumpang sekaki. Bolehlah dia ‘menggulai’ mangsa bersama-sama Zariq. Bergoyang-goyang rumpun senduduk dek badan makhluk yang bergerak-gerak.

“Harghhh! Ini dia!” sergah Zariq sambil menggoncang kuat rumpun senduduk. Kelihatan kepala hitam di sebalik rumpun senduduk tertunduk-tunduk.

“Maaf, abang. Midi... Midi tak sengaja. Midi nak tembak burung.” Tiba-tiba seorang budak lelaki menjulurkan kepalanya.

“Tak peduli! Sini kau!” Sengaja Zariq menerkam badan Midi yang kecil. Kedua-dua kaki Midi dikepit tidak terlalu kuat.

Midi meronta-ronta untuk melepaskan diri.

Tajol turut serta. Dia mendepangkan kedua-dua tangan Midi ke tanah. Juga tidak terlalu kuat.

Midi menjerit-jerit minta dilepaskan.

Zariq dan Tajol menahan tawa.

“Nah makan ni. Buka mulut tu.” Zariq mengambil sebiji terung pipit di atas tanah lalu berura-ura menyumbat ke dalam mulut Midi.

“Tak nak! Tak nak! Midi tak buat lagi. Midi janji.”

Ada air mata mula keluar di tepian mata Midi. Zariq dan Tajol berpandangan lalu berbalas senyum. Puas hati sebab berjaya membuatkan Midi menangis.

“Hoi! Apa kau orang buat kat Midi?” tegur Busyra membuatkan Zariq dan Tajol menoleh ke arahnya.

Busyra dan Nadira sedang melangkah menghampiri mereka. Sempat juga mereka menjeling Mak Som yang sedang berehat di bawah pokok sambil mengelap peluh.

Mak Som tidak ambil endah kerana dia tahu Zariq dan Tajol bukanlah kaki buli. Begitulah caranya mereka hendak mengenakan adik-adik mereka. Dia sudah biasa dengan kerenah mereka.

“Dia tembak muka aku. Nilah balasannya!” kata Zariq.Perlahan-lahan tangannya mengusap ubun-ubun Midi. Tanda prihatin dan kasih sayang. Dia tidak mahu Midi takutkan dirinya. Sengaja dia berlagak tegas tadi.

Busyra senyum melihat gelagat Zariq.

Nadira mengeluh. Hatinya gusar setiap kali memikirkan hari perpisahan yang bakal tiba. “Mak Som, lambat lagi ke nak balik?” soalnya yang semakin bosan.

“Biarlah Mak Som rehat kejap. Aku pun tak puas main kat belukar ni.” Dengan muka tidak malu, Busyra bertinggung di sebelah Zariq.

“Sakit ke, Midi?” soal Nadira, mendatar. Daripada suaranya, ada nada yang payah difahami. Hanya dia saja yang tahu betapa dia sedang bersedih. Dia cemburu apabila dalam waktu dia sedang berusaha mengawal rasa sedih itu, kawan-kawannya masih mampu ketawa. Terbuku hatinya.

Dia membersihkan daun-daun kering yang melekat pada baju Midi sambil mahu menghiburkan hatinya sendiri supaya melupakan sekejap tentang kesedihannya. Sayangnya perasaan itu datang juga. Dia sudah penat menangis. Setiap malam sudah pasti bantal busuknya akan basah dengan air mata.

“Tak sakit langsung!” Jawapan Midi mematikan khayalan Nadira.

“Ceh! Kalau tak sakit, kenapa nangis?” ejek Tajol.

“Kalau tak nangis, Abang Zariq dengan Abang Tajol tak lepaskan Midi.”

“Pandainya Midi.” Busyra memberi pujian kepada budak lelaki berumur enam tahun itu.

Midi tersengih. Cepat-cepat dia mengutip terung pipit yang bertaburan di atas tanah dan dimasukkan ke dalam poket seluar tiga sukunya semula. Dia menjelirkan lidah pada Zariq dan Tajol sebelum berlari mendapatkan teman-teman yang lain.

“Midi nak tembak orang lagi!” jerit kanak-kanak itu.

“Pandai menipu budak kecik ni. Bermakna dia sengaja tembak ke muka aku tadi, Jol.”

“Itulah... jangan ingat kau aje yang bijak kat Al-Mustaqim ni. Dia tu bakal pelapis. Panjang akalnya,” ujar Tajol lalu bersandar pada batang pokok. “Nadira, cuba kau senyum sikit. Dari tadi aku tengok kau masam aje. Tak comellah,” tegurnya bila menyedari air muka Nadira yang macam awan mendung. Nadira tidak ceria.

“Biarlah dia. Kau sibuk, kenapa? Aku tau dia takut sebab nak tinggalkan tempat ni. Nadira akan duduk dengan orang yang dia tak pernah kenal. Kesian dia.” Zariq yang bersuara.

Berbulu telinga Tajol mendengar. Kalau dia cuba mencuri perhatian Nadira, Zariq selalu saja mencelah. Dia terlalu hendak mendengar suara halus budak perempuan yang berambut ikal bergulung-gulung hujungnya itu. Balik-balik suara Zariq juga yang masuk ke telinganya.

“Betul cakap Zariq. Aku takut nanti aku tak ada kawan. Tak ada orang sayang aku.” Dengan berat hati, Nadira bersuara juga. Memang suaranya halus dan perlahan. Ditambah lagi dia sedang murung. Langsung tidak bersemangat.

Nadira sudah penat mencangkung. Dia berdiri. Cepat-cepat Tajol berdiri di sebelahnya.

Pelik sungguh Zariq melihat sikap Tajol yang seperti baru sehari mengenali Nadira. Bak kata orang, macam mabuk kecubung.

Nadira menjauh sedikit apabila Tajol terlalu hampir dengannya.

“Nadira, kau janganlah cakap macam tu. Aku sayang kau.” Zariq malas mahu memandang Tajol yang tergedik-gedik. Fokusnya pada Nadira saja.

Nadira tunduk. Masih muram.

“Kau ingat lagi tak yang kita makan kat jemputan kahwin minggu lepas?” Zariq cuba mengubah perbualan bila Nadira tidak bereaksi. Mana tahu Nadira akan gembira. “Aku kalau makan sedap ingat aje. Masih terasa kari kambing yang aku makan hari tu. Nasib baik ayah pesan kena sopan-sopan. Kalau tak, aku rasa nak bertambah tiga kali,” tokoknya.

Serta-merta bayangan kari kambing berlegar-legar depan matanya. Seboleh mungkin dia terus berusaha untuk membuatkan Nadira ketawa. Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya dia mahu melihat budak perempuan itu tersenyum.

“Aku pun nak makan banyak jugak tapi tak jadi,” keluh Nadira yang berasa rugi kerana tidak bertambah nasi.

Tajol diam tidak menyampuk kerana dia mahu mendengar suara Nadira banyak kali.

“Rugilah kau. Itulah pemalu sangat. Aku kenyang sampai malam. Sedawa pun bau kari aje. Masa mandi petang aku tak berus gigi, takut hilang rasa kari dalam mulut aku.” Berderai ketawa Zariq.

Busyra senyum. Tajol dengan muka selambanya. Nadira pula masih tetap begitu. Hampa Zariq melihatnya.

Nadira melangkah ke tunggul pokok mati lalu duduk di atasnya. Di dalam kepalanya hanya terbayang bermacam-macam kemungkinan bila tinggal dengan orang kaya. Yang singgah di kepala, semuanya sangat menakutkan dan langsung tidak menggembirakan.

“Aku tak nak cakap pasal makanan!” Tiba-tiba Nadira bersuara keras. Hatinya tidak menentu lagi.

“Kenapa?” soal Zariq. Ada rasa bersalah di dalam dirinya kerana membuatkan Nadira marah.

“Aku tak nak cakap dengan kau!” Nadira jengkel.

“Hah.. kau cakap dengan aku pulak,” celah Tajol, cuba menjadi hero. Matanya melirik ke arah Zariq sedangkan Zariq hendak memandangnya pun tidak selera. Dia tahu kalau dia berlagak seperti orang dewasa, Zariq meluat.

“Aku takut. Nanti duduk dengan orang kaya mesti aku kena pukul selalu,” luah Nadira.

“Tak fahamlah. Siapalah nak pukul kau?” soal Tajol. Sudahnya dia dan Zariq ketawa.

Nadira menjeling. Geram dengan sikap mereka yang mentertawakannya. “Susahlah! Ingatkan pandai!” Dia naik angin. Jeritan kuatnya membuatkan tawa mereka terhenti serta-merta.

“Kau orang berdua ni apalah. Nak main-mainkan Nadira pulak,” marah Busyra pula.

“Bukan nak main-main. Memang tak faham.” Zariq menggaru kepala.

“Kan orang kaya selalunya jahat? Mesti dia orang tak suka aku. Kalau dia orang pukul aku, siapa nak tolong?” Ada kekhuatiran pada wajah Nadira. Hampir hendak menangis. Mata putihnya sudah bertukar merah.

“Kau ada tanya ayah dia orang baik ke jahat?” tanya Zariq.Menyesal pula dia kerana mentertawakan Nadira.

“Aku takut.”

“Nanti lepas solat, kita doa ramai-ramai supaya tak ada orang nak ambil kau dari Al-Mustaqim.” Hanya itu yang mampu diperkatakan oleh Zariq untuk memujuk Nadira.

Nadira mengangguk lesu.

Tiba-tiba Zariq sebak bila melihat air mata sudah mula mengalir di pipi Nadira. Jauh di sudut hati, dia juga berasa takut. Takut akan berpisah dengan Nadira. Nadira adalah adiknya di Al-Mustaqim. Juga kawan baik yang setiap tahun akan bersama-sama meraikan hari jadi mereka. Mereka lahir pada tarikh yang sama.

Seperti Zariq, Tajol juga tidak suka kalau penghuni Al-Mustaqim terpisah-pisah. Kebelakangan ini keluarga besar mereka mulai berkurangan. Seorang demi seorang dibawa pergi oleh orang-orang kaya.

Begitu juga dengan Busyra. Dia tidak bersedia untuk menghadapi saat kehilangan. Rumah Al-Mustaqim akan bertambah sepi dan suram nanti.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.