Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
54,160
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

HANYA tinggal sejam lagi waktu untuk berbuka puasa apabila kaki kanan Arel memasuki ruang tamu banglo milik keluarganya itu.

Daripada jauh lagi dia sudah mendengar suara anak saudara tunggalnya, Mya Zara yang berusia empat tahun. Sudah pasti anak cilik itu sedang sibuk mengganggu neneknya yang berada di dapur bagi menyiapkan juadah berbuka.

“Cepatnya kau balik rumah hari ni?” tegur kakak sulungnya, Mya Erlina yang hanya berbaju kelawar corak abstrak.

Presentation tunda minggu depan. Dapatlah rehatkan sekejap kepala yang tengah jammed ni.” Sengih Arel seraya duduk di sofa. Dia menyandarkan kepalanya di sofa sambil memejamkan mata.

“Apa yang kau bawa balik tu?” soal Mya Erlina, jari telunjuknya dihalakan ke arah beg kertas yang terdampar di sisi Arel.

Lelaki itu serta merta mencelikkan mata lalu teringatkan bungkusan yang di kirim oleh Qaisara. Dia sendiri belum melihat isi bungkusan tersebut.

“Qaisara kirim.” ujar lelaki itu, ringkas.

“Dia kirim?” Senyuman Mya Erlina melebar. Qaisara merupakan pelajar junior di universiti yang disukainya. Ketika itu, Mya Erlina bekerja di bahagian pentadbiran pelajar. Melalui dirinyalah, Arel dan Qaisara mula berkenalan.

“Qaisara sihat ke?” soal Mya Erlina lagi.

“Sihat je tengok.”

“Kak long tak fahamlah dengan kau ni. Sara tu budak baik, sopan santun je. Senang-senang kau nak lepaskan.”

Ini yang malas aku nak dengar ni, jerit hati kecil Arel. Hanya dia yang tahu mengapa mereka putus. Dia tidak sampai hati untuk memberitahu perihal sebenar kepada kedua-dua belah keluarga.

Masih jelas di ingatannya Qaisara tidak henti-henti menyuarakan kemaafan di atas apa yang terjadi. Sesungguhnya Arel tidak ingin memberikan peluang kedua. Hanya dia sendiri tahu mengapa.

“Kalau kak long mohon kau pertimbangkan semula dia, bolehkan?” Arel membatu.

“Kau dengar tak apa kak long cakap ni?” Lelaki itu pura-pura melelapkan mata.

“Kak Long rasa kau tak adil buat Sara macam tu. Dia tak pernah suka lelaki lain selain daripada kau sejak dulu. Kak long kenal dia sejak dia masuk universiti lagi. Tak pernah kak long tengok dia dating mana-mana lelaki sekalipun. Untungnya kau patut tahu Arel.”

Arel sudah panas hati tetapi ditahankan sahaja kerana mengenangkan bulan Ramadhan yang mulia. Silap dia juga kerana tidak memberitahu mereka perkara yang sebenarnya.

Namun, dia tidak tahu apa akan terjadi jikalau kedua-dua belah keluarganya mengetahui kejadian sebenar yang berlaku antara mereka. Arel pasrah dengan keadaan itu. Dia mahu kehidupan yang baru.

“Arel, kau…”

“Pak ngah!” Jeritan kecil Mya Zara melegakan Arel. Anak buahnya berlari mendapatkannya dan terus duduk di atas riba.

“Pak ngah tahu tak Zara buat apa tadi kat dapur?” tutur kata Mya Zara yang comel itu membuatkan lelaki tersebut memberikan sebuah ciuman hangat di ubun anak saudara yang sangat disayanginya.

Mya Erlina menjeling ke arah adiknya yang hanya tiga tahun lebih muda daripadanya. Dia tahu Arel seringkali cuba mengelak persoalan tentang Qaisara.

Sesungguhnya Mya Erlina masih tidak memahami mengapa Arel memutuskan pertunangannya dengan Qaisara tanpa sebarang alasan yang kukuh. Dia hanya mengatakan dia tidak bersedia.

Acapkali Mya Erlina bertanyakan tentang hal keputusan tersebut kepada kedua-duanya tetapi Arel tetap berdiam diri, manakala Qaisara pula hanya menangis. Sebagai anak sulung, dia mahukan kebahagian Arel dan Qaisara yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

“Zara tolong nenek masak kuih warna hijau. Golek-golek macam ni.” Arel tertawa melihat aksi Mya Zara yang sedaya upaya menunjukkan cara menggolekkan tepung.

“Apa nama kuih tu?” soal lelaki tersebut sambil tersengih.

Mya Zara membuat aksi mimik muka tidak tahu. Sejurus kemudian dia bingkas bangun daripada riba Arel dan berlari semula ke dapur.

“Eh Zara! Mama kata jangan lari!” Mya Erlina serta merta bangun lalu beredar ke ruang yang sama.

Arel cepat-cepat melarikan dirinya ke sebalik tangga rumah. Dia mahu menenangkan diri dan mandi sebelum masuknya waktu berbuka.

------------------------------------------------------------------------

KOTAK berwarna putih bersih yang dikeluarkan daripada celah almari pakaian itu ditenungnya. Hatinya terusik apabila mengingati kenangan-kenangan lama yang telah diabadikan di dalam kotak tersebut.

Satu persatu memori datang menjelma. Qaisara merupakan insan pertama yang berjaya membuka hati bekunya untuk bercinta. Itupun setelah dinasihati oleh kakaknya Mya Erlina.

Percintaan hampir empat tahun merubah sikap Arel secara perlahan. Dia menjadi seorang lelaki yang lebih bersikap terbuka, lebih banyak tersenyum dan menghargai orang sekeliling.

Semuanya kerana Qaisara. Gadis itu yang telah mencorakkan dunianya menjadi lebih berseri. Namun, semuanya itu mati serta merta apabila insiden hitam itu menjengah bayangan.

Arel mengeluh kecil sambil menyimpan kembali kotak putih itu ke dalam almari. Hati lelakinya mengakui dia masih sayangkan Qaisara tetapi jauh di sudut hati, dia pasrah dengan apa yang telah terjadi.

------------------------------------------------------------------------

“SARA suka yang ini.” Suara manja Qaisara menerjah cuping telinga. Dia menggenggam jari jemari halus Qaisara sepanjang perjalanan mereka di Mid Valley Megamall, mencari barang hantaran untuk majlis pertunangan mereka yang akan berlangsung dua bulan sahaja lagi.

Arel melihat cincin platinum bertakhta sebutir berlian yang mempunyai rekabentuk yang ringkas dan menarik. Dia menjeling melihat harga cincin tersebut dan tersenyum simpul.

“Sayang, kita tengok tempat lain dulu?” bisik Arel. Dia menarik perlahan tangan Qaisara yang masih tidak menginjakkan diri. Gadis tersebut sudah memuncungkan bibirnya tetapi akur dengan kehendak bakal tunangnya.

Sesekali Arel menyisir perlahan anak rambut Qaisara yang terbuai di pelipis pipi. Dia sayangkan gadis tersebut dan tidak ingin sekali membuatkan hati gadis itu terluka.

“Abang, jom masuk situ.” Qaisara mengajak Arel ke Pet Wonderland yang terletak di aras paling atas di kompleks tersebut. Berkerut dahi Arel apabila gadis itu menyuarakan hasratnya untuk membela arnab.

“Comelnya!” Tersengih-sengih Qaisara melihat beberapa ekor arnab yang pelbagai warna di dalam sebuah sangkar.

“Nak beli boleh?” Gadis tersebut merenungnya dalam. Pandangan lembutnya menusuk masuk ke jantung Arel, menaikkan lagi debaran di hatinya.

Macam manalah lelaki boleh tahan dengan perempuan yang disayanginya? Pelik, tetapi benar. Dahulu, Arel langsung tidak percaya bahawa wanita punya kuasa besar untuk menundukkan lelaki.

Namun kini, dia sedar hakikat tersebut. Semua kehendak Qaisara diturutkan, janji gadis itu bahagia. Sayangnya kepada Qaisara kadang kala melebihi dirinya sendiri.

Tidak sampai lima belas minit kemudian, dua ekor arnab sebesar tapak tangannya telahpun berada di dalam sangkar yang juga dibeli khas di situ.

“Abang, thank you so much. Sara sayang abang.” Qaisara mengelus perlahan lengan Arel yang sedang menarik handbrake kereta. Lelaki itu tersenyum bahagia.

“Lepas balik ni Sara nak buat apa?” tanya Arel sambil berhati-hati mengundurkan kereta Vios putih miliknya.

“Berehat aje kot. Lagipun esok dah kerja.” Qaisara menjawab.

“Abang?” Qaisara pula bertanya.

“Kita pergi masjid?”

“Buat apa?”

“Solat Asar dulu sebelum balik.” ujar Arel ringkas.

“Lepas tu?”

“Kita jumpa tok kadi, terus kahwin kat situ!” sakat lelaki tersebut.

“Abang!!” Cubitan halus di tangan kirinya hanya dibalas dengan tawa riang.

Sangka Arel gadis yang ditawan sepenuh hati itu akan setia sehingga akhirnya. Namun, segala-galanya berubah tiga ratus enam puluh darjah selepas tiga bulan pertunangan mereka dilangsungkan.

------------------------------------------------------------------------

“AREL!” Ketukan bertalu yang bergema di pintu biliknya mengejutkan lamunan Arel yang sudah hampir mengingati kejadian sebenar yang berlaku di antara mereka.

“Turun sahur ya.” Suara ibunya memecah keheningan pagi. Sambil mengeluh perlahan, dia beristighfar dan bangun daripada pembaringan.

Menyesal pula membiarkan diri mengelamun hampir setengah jam. Sepatutnya aku penuhi masa begini dengan membaca Al-Quran atau sembahyang. Arel berfikir dan beristighfar lagi. Ampunkan dosaku Ya ALLAH!

Secara perlahan, wajah Qaisara hilang daripada pandangan. Dia bangkit dan berlalu ke tandas mengambil wuduk dahulu sebelum menuju ke tingkat bawah.

Embun masih basah di luar, apatah lagi dengan hujan lebat yang turun sejak tengah malam tadi. Suasana terasa begitu dingin, sedingin hati Arel buat ketika ini.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.