Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang 3 Dalam 1
Sayang 3 Dalam 1
Weeda Airiza
15/8/2014 19:21:59
54,158
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1

TELEKUNG bersih berwarna putih bersulam benang emas, hadiah daripada ayahanda tercinta itu aku lipat dan sangkut di tepi katil bersaiz permaisuri. Aku membetulkan baju kelawar merah tua yang tersarung di tubuh.

Sekilas pandangan, mataku tertumpu ke arah jarum jam dinding. Hampir jam sebelas malam. Aku mencongak sendiri, mungkinkah semua kekandaku sudah pulang daripada masjid?

Belum sempat mindaku menganalisa tindakan seterusnya, pintu bilik diketuk perlahan. Sambil itu, aku mencapai getah rambut di atas meja tulis yang hampir separuh dipenuhi alat tulis berwarna-warni.

“Yana!” Ini mesti abang Affiqal. Siapa lagi yang mempunyai suara garau bak buluh terbelah dua itu.

“Apa?” Malas benar aku mahu keluar daripada bilik. Sudah tentu ada kerja yang perlu dibuat. Mentang-mentanglah aku saja puteri tunggal dalam rumah ni, bongsu pula tu.

“Alang ada beli supper ni.”

Dengan langkah malas, aku menuju ke pintu bilik. Nah, wajah abang ketigaku yang punya kulit sawo matang tetapi bersih itu sedang tersengih memandangku. Kopiah putih masih terletak elok di atas kepalanya.

Aku mencapai beg plastik sederhana besar daripada tangan kanannya tanpa berkata sepatah. Alang Affiqal beredar ke bilik utama yang dikongsi bersama along atau nama sebenarnya Affizam.

“Kenapa masam je muka ni? Nak cepat tua? Senyumlah sikit dik oii…” Hampir terkejut aku disergah oleh abang keduaku pula, Affizal atau lebih mesra dipanggil angah di dapur.

Nak tak nak, aku hanya tersengih memandangnya sambil menarik isi plastik yang dipenuhi lauk pauk untuk sahur. Sewaktu berbuka lagi tadi aku sudah pesan pada abang-abang supaya beli sahaja lauk berbuka memandangkan aku benar-benar malas untuk masak sahur nanti.

“Banyaknya angah beli? Nak makan sampai lusa ke apa?” Bebelan aku tidak disambut angah. Dia sedang leka membancuh kopi putih di dalam sebuah teko.

Nama sahaja kembar abang aku ni, tapi sikap masing-masing macam langit dan bumi. Along lebih bersikap kelelakian, itu normal lah kan? Angah mujur lagi tidak ke arah keperempuan, tetapi sikapnya mengalahkan perempuan.

Sebut sahaja, memasak, mengemas, menjahit, pendek kata semua kerja perempuan akan dilakukan dengan pantas dan cekap! Pasang langsir pun handal! Tak macam aku, nak cucuk dawai penyangkut langsir tu pun terkial-kial! Malu sungguh rasanya. Nasib baik dia abang aku, kalau pakwe? Lagilah malu…

Namun yang paling menarik, along tak pernah mempertikaikan sikap kelembutan angah. Walaupun kadang-kadang bila aku tengok diorang jalan berdua macam pelik je, seorang gagah, seorang lagi sopan, tetapi along tetap ambil berat dan sayangkan kembarnya seperti kami adik beradik yang lain. Itu yang syahdunya…

Kata ummi, agaknya dulu masa mengandungkan mereka, Ayah harap dapat anak lelaki manakala ummi harapkan anak perempuan. Keluar dua-dua lelaki, cuma seorang je lebih hormon testerone! Yang seorang lagi mujur tak sampai tahap hormon oestrogen. Ish Ish…

“Angah, along mana?” Kesemua plastik berisi lauk itu aku letakkan ke dalam peti ais. Bangun sahur nanti akan kupanaskan semula. Kuih karipap di dalam plastik lain pula aku letakkan di dalam pinggan.

“Pergi jumpa kawan.” Angah mengangkat dan membawa dulang berisi teko dan cawan ke ruang hadapan. Aku mengekori langkahnya sambil membawa sepinggan karipap.

Kelibat alang tidak kelihatan. Mungkin masih di bilik, tetapi televisyen sedang terbuka, menayangkan perlawanan bola sepak. Angah memulakan syarahannya tentang kepentingan elektrik. Orang lain yang buat, orang lain yang kena. Adus!

“Angah, bagi sini remote tu.”

Travel and Living!” ujar angah.

Aku mencebik. Lagi-lagi siaran tu. Kalau tak pasal masakan, hiasan rumah, takpun jelajah negara-negara lain. Namun, aku turutkan hati juga. Daripada tengok orang berlari kejar bola, baik aku tengok orang potong steak.

Bunyi jeriji pintu hadapan dibuka membuatkan aku dan angah memandang ke arah pintu serentak. Manalah tahu, ada ketibaan tetamu tidak diundang. Sesaat kemudian, muncul abang sulungku, Affizam.

Dia hanya berkain pelikat warna ungu tua dan baju melayu ungu muda serta berkopiah putih. Wajahnya banyak mengikut ummi, bermata kuyu dan berkulit cerah. Ini kalau kawan-kawan aku tengok sekarang, gerenti masing-masing sibuk nak jadi kakak ipar aku. No way!

“Lah, sape beli karipap pula ni?” soal along. Dia terus duduk di sebelah aku yang terpaksa mengesot sedikit ke arah kanan untuk memberi ruang keselesaaan untuk kekandaku itu. Aku mencapai plastik yang dibawa along dan melihat isinya.

“Cucur udang? Masa macam ni pun ada orang jual lagi ke?” Berkerut dahiku melihat cucur udang yang sangat banyak.

“Kata bulan Ramadhan. Orang makan waktu malam macam makan waktu siang!” Along menghamburkan tawa.

“Wei, sape yang tukar channel ni?” Sergahan alang mengejutkan kami semua. Dia sedang bercekak pinggang dan matanya yang sepet itu dihalakan ke arah aku. Ni nak cari gaduh ke apa alang aku ni? Dengan berani, aku mengangkat tangan kanan sambil tersengih.

“Alang, along suruh ambil pinggan. Ada cucur udang.” Kasihan along! Tak pasal-pasal nama dia aku pergunakan. Aku tahu, alang ikut cakap. Lagi-lagi kalau along yang suruh. Cepat je kerja. Punca? Sebab tak mahu dengar along membebel sepanjang hari. Hahaha!

Aku meneruskan tumpuan melihat pengacara si kacak Oli Pettigrew di kaca televisyen. Tiada yang lebih membahagiakan apabila dapat menghirup kopi panas kaw bancuhan angah dan karipap sardin serta yang paling penting tiada tekanan kerja yang perlu dirasai.

“Adik, dah dapat kerja dah?” Aisey, soalan along telah memotong kenikmatan yang aku rasakan kini.

“Belum, dah hantar tapi takde panggilan pun…”

“Takde rezeki lagilah tu…” kata angah. Dia sibuk membelek majalah Maskulin baru kepunyaan along. Rupanya masih ada unsur-unsur kelelakian dalam diri angah biarpun tutur katanya masih mempunyai kelembutan, kesopanan dan kesusilaan. Syukur alhamdulillah.

“Ke malas?” Alang Affiqal yang baru tiba dengan pinggan dan mangkuk di tangannya tiba-tiba mencelah.

“Taklah…” Aku mencebik, bunga-bunga pergaduhan akan keluar kalau aku mula menjawab.

“Bagus juga hidup macam ni. Ada ramai abang nak sara hidup Yana.” Meletus ketawa evil aku. Mereka semua serentak memandang dengan muka cemberut.

Alang menarik pipiku dengan kuat. “Cakap sekali lagi!”

“Seronok!” Aku menjelir lidah ke arah alang. Dia cuba menarik tocang rambut tetapi tidak sampai. Aku cuba mengelak dan sudahnya pergaduhan olok-olok kami turut mengheret along apabila aku tertampar lengannya.

Wajah along berubah. Aku menggunakan isyarat mata ke arah alang yang sedang ketawa. Dia terus terdiam dan duduk di sofa sebelah kanan. Angah tergelak kecil melihat aksi tak senonoh kami.

“Ni pasal nak balik kampung ni. Apa cerita?” tanya along.

“Iqal dapat cuti seminggu. Company bagi. Nasib baik projek dah tak banyak.” Cerita Affiqal. Kerjayanya sebagai seorang arkitek muda menyebabkan dia dipenuhi kekangan masa dalam soal melunaskan projek baru dan mencari idea bernas. Letih, tetapi itu dunia yang digemarinya sejak kecil.

Along mengangguk. Dia sendiri sudah mendapat kelulusan untuk bercuti. Cuti Aidilfitri tidak sesukar mana jika hendak dibandingkan cuti Raya Haji yang hanya melibatkan sehari sahaja.

Tugasnya sebagai pensyarah di Kolej Ones dalam jurusan Accountancy itu ada kalanya sibuk terutama ketika musim peperiksaan tetapi berkurangan apabila sudah mula cuti semester.

Kedua-dua abang kembarku ini mengabdikan diri mereka ke arah dunia pendidikan. Apa yang membezakan, along menjadi seorang pensyarah, manakala angah lebih cendurung menjadi pengajar di sekolah menengah walaupun mereka berpendidikan tinggi.

Aku je yang masih terkapai-kapai mencari arah. Dah hampir 4 bulan aku menganggur setelah tamat Ijazah Sarjana Muda jurusan Multimedia Graphic daripada MMU. Kini, aku hanya sibuk menguruskan hidupku dengan mencari duit secara separuh masa.

“Kita balik hari Jumaat pagi, okey? Gerak pagi-pagi. along malas nak sesak macam tahun lepas.”

“Kuih raya macam mana?” Aku bertanya dengan rasa ingin tahu. Kalau tahun lepas, kami semua pulang awal ke kampung dan semuanya sudah tersedia kerana aku pun ketika itu masih sibuk dengan tugas sebagai pelajar.

“Angah kata, dia uruskan.” Along memuncungkan mulut menghala ke arah kembarnya. Tangannya tetap meneruskan agenda mencecah cucur udang ke dalam sosnya.

“Angah nak buat ke?” soalku lagi.

“Ada masa ke cik adik? Kuih tunjuk sudah. Angah nak pergi Jalan TAR malam Jumaat tu. Nak ikut ke?” tanya angah.

Mataku bersinar. Shopping? Oh Yeah! Mestilah mahu ikut. Apatah lagi kalau bersama angah. Sudah tentu apa yang aku inginkan akan dibelinya. Angah lebih pandai sikit bab-bab fesyen dan aksesori ni.

Walaupun dia tak pakai, tetapi dia suka lihat dan beli untuk dihadiahkan kepada aku. Namun, kadang-kadang angah bising juga sebab katanya aku tak sampai tahap feminin. Maksudnya berskirt, berblaus bunga-bunga ataupun berkasut tumit tinggi 5 inci! Yang aku suka hanyalah T-shirt dan jeans. Tak kisah, masa itu akan tiba juga suatu hari nanti.

“Dah, pergi tidur. Nanti sahur semua terkulat-kulat.” tegur along seraya mengemaskan meja.

“Mana boleh. Baru lepas makan, nanti buncit.” Alang menepuk-nepuk perutnya yang sudah mula menonjolkan diri. Selepas itu, semuanya pakat sibuk membandingkan perut masing-masing. Eih… Tak nampak ke ada perempuan kat sini? Tak malunya!

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.